Advertisement - Contact Us

SRC International: Tak masuk akal Najib cuba curi RM42 juta...


[22 Oktober 2019]

Hujah lisan dari pihak pendakwaan dan pembelaan kes perbicaraan berprofil tingggi, SRC International membabitkan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta bermula hari ini.
Pada 27 Ogos lalu, Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazal menetapkan 22 dan 23 Oktober mendengar hujah lisan pendakwaan dan pembelaan serta memerintahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujah bertulis mereka pada 24 Sept lalu.
Pihak pembelaan yang memulakan hujah memberitahu Mahkamah Tinggi pendakwaan sebenarnya telah gagal mengemukakan bukti kukuh bagi menyokong tuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib didakwa telah menyalahgunakan kuasa dengan memberikan pinjaman sebanyak RM4 bilion kepada SRC International antara 2011 dan 2011.
Peguambela, Farhan Read dan Harvinderjit Singh yang masing-masing berhujah tidak ada bukti kukuh yang sebenarnya menyokong kesimpulan Najib telah menerima ‘ganjaran’ sebanyak RM42 juta yang kemudiannya di masukkan ke dalam akaun peribadinya.
Jelas Harvinderjit, tuduhan kononnya wang itu adalah ganjaran yang telah di terima oleh Najib sebelum dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah satu tuduhan ‘jahat’.
Peguambela memberitahu deposit berjumlah RM42 juta yang dimasukkan dalam akaun Najib pada tahun 2014 dan 2015 sebenarnya merupakan arahan daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Bagaimanapun, perkara itu tidak pula mendapat pertikaian daripada pihak pendakwaan sebelum ini.
Harvinderjit juga menegaskan, dakwaan kononnya Najib sudah merancang untuk mencuri wang sebanyak RM42 juta sebelum dimasukkan ke dalam akaunnya juga tidak masuk akal apatah lagi SRC International mempunyai ahli lembaga pengarah.
“Sebanyak RM4 bilion yang masuk ke dalam SRC International telah dikeluarkan pada hari yang sama dan tidak ada sesiapa tahu apa yang berlaku dengan wang itu malah lembaga pengarah juga tidak tahu.
“Seandainya lembaga pengarah sendiri tidak tahu, jadi bagaimana Najib akan tahu apa yang berlaku terhadap wang itu kerana beliau sendiri perlu mendapatkan kelulusan daripada lembaga pengarah untuk mendapatkan wang berkenaan.
“Transaksi RM42 juta dibuat tanpa pengetahuan Najib dan sebahagian besar bukti sepanjang perbicaraan meletakkan seseorang memberi arahan untuk tujuan dan kepentingan sendiri.
“Najib tidak melakukan sebarang transaksi RM42 juta deposit sebaliknya dilakukan oleh individu lain,” kata Harvinderjit di hadapan Hakim Mohd Nazlan sebentar tadi ketika prosiding  hujahan kes SRC International.
Dalam pada itu, kata pihak pembelaan, tidak dapat dibuktikan wujudnya aturan penyewelengan oleh Najib telah memutuskan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk menyediakan pinjaman sebanyak RM4 bilion kepada SRC.
Kata mereka, bukti yang telah diberikan juga sebenarnya tidak cukup kukuh untuk membuktikan Najib berkedudukan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah menyebabkan keputusan untuk memberikan jaminan kerajaan kepada SRC International.
“Jaminan kerajaan telah diberikan kerana itu adalah syarat yang dikenakan oleh Jabatan Pendapatan Tetap KWAP dan Panel Pelaburan KWAP selain daripada pihak lain seperti Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan & Aktuari, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan juga kabinet.
“Dan perlu diingat, ketika itu juga Najib telah bertindak demi kepentingan negara dengan keputusan paling terbaik,” kata Harvinderjit.

Harvinderjit menambah ketika berhujah, pihak pendakwaan yang menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) sebenarnya telah gagal membuktikan anak guamnya terlibat dengan jenayah tersebut.
“Seharusnya anak guam kami dibebaskan daripada semua pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri berikutan pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie,” tegas Harvinderjit.
Sepanjang perbicaraan selama 57 hari, pendakwaan mengemukakan lebih 750 barang kes termasuk dokumen bank berkaitan akaun bank milik Najib, dokumen pemindahan wang, minit mesyuarat dan Blackberry Messanger berhubung transaksi wang Najib.
Ahli Parlimen Pekan itu pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018 untuk berdepan tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC berjumlah RM42 juta.
Pada 8 Ogos, beliau didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yang sama dan kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. 

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama