Advertisement - Contact Us

SRC International: Bagus juga Najib tak buat laporan polis tentang deposit RM42 juta...


[23 Oktober 2019]

Pasukan pendakwaan kes SRC International semalam mempersoalkan mengapa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membuat laporan polis wujudnya ‘deposit haram’ dalam akaun peribadinya.
Malah Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam nada sinis turut bertanya seandainya sudah mengetahui wujudnya deposit yang mencecah puluhan juta ringgit yang bukan miliknya, mengapa atas kapasiti Perdana Menteri ketika itu tidak membuat laporan polis sahaja.
Malah Tommy berkata, Najib sebagai pemegang akaun bank sepatutnya lebih berhati-hati untuk memastikan tiada wang dalam jumlah yang besar daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang masuk ke akaunnya itu.
Namun hari ini, ketika berhujah, peguam bela Farhan Read tampil melahirkan rasa lega dengan tindakan Najib yang tidak membuat laporan polis selepas mendapat tahu adanya wang sebanyak RM42 juta didepositkan oleh pihak lain ke dalam akaunnya.
Farhan dalam hujahnya berkata, seandainya Najib telah membuat laporan polis pada masa itu pasti pada masa ini pendakwaan sudah tampil menuduh Najib telah menggunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai Perdana Menteri untuk mempengaruhi polis ketika itu.
Sebelum tu, peguam bela, Harvinderjit Singh juga memberikan fakta pasukan pendakwaan berhubung tindakan Najib tidak membuat laporan polis selepas mendapati adanya deposit haram dalam akuannya.
Jelas Harvinderjit, Najib tidak membuat laporan polis pada pertengahan 2015 berhubung dana yang dikreditkan ke dalam akaunnya kerana siasatan ke atas SRC International sudah dijalankan.
Kata Harvinderjit, siasatan itu telah dimulakan sejurus selepas pendedahan oleh portal, Sarawak Reportmengenai penyewelengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion pada Julai 2015.
Siasatan bersama dilakukan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam serta Bank Negara Malaysia (BNM).
“Itu punca mengapa Najib tidak buat laporan polis, siasatan telah mula dijalankan pada masa itu lagi. Najib telah serahkan kepada pihak-pihak ini untuk menyiasat secara menyeluruh.
“Jadi apakah satu keperluan untuk membuat laporan polis lagi membabitkan dana tersebut?,” soalnya ketika berhujah di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
SRC International yang ditubuhkan pada 7 Januari 2011 merupakan anak syarikat 1MDB sebelum pemilikannya dipindahkan kepada Menteri Kewangan (MoF) Inc, yang diketuai oleh Najib, pada tahun berikutnya.
Antara 24 Disember 2014 dan 6 Februari 2014 sejumlah RM42 juta dipindahkan ke dalam akaun AmBank milik Najib melalui anak syarikat SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan rakan kongsi tanggungjawab sosial korporat (CSR), Ihsan Perdana Sdn Bhd.
Najib dituduh telah mendapat ‘ganjaran’ sebanyak RM42 juta yang dipercayai telah didepositkan ke dalam akuan Ambank beliau antara 2014 dan 2015 selepas mendapatkan pinjaman sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
Najib yang juga bekas Menteri Kewangan ketika itu didakwa melakukan kesalahan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan penggubahan wang haram serta satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama