Advertisement - Contact Us

Kenyataan Najib akrab dengan Jho Low hanya khabar angin, mana boleh pakai?


[24 September 2019]

Pasukan peguambela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membantah kenyataan saksi, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang didakwa tidak mengikut ‘prinsip keadilan’ dalam kes perbicaraan 1Malaysia Development (1MDB) hari ini.
Menurut Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dakwaan yang mengaitkan anak guamnya dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kononnya mempunyai hubungan akrab tidak boleh digunapakai.
Ini kerana, katanya, Jho Low sendiri tidak ada dalam mahkamah bagi membuktikan kenyataan didedahkan oleh Shahrol yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB sebelum ini.
Muhammad Shafee merujuk kepada kenyataan ‘hubungan rapat Najib dan Jho Low’ sekitar tahun 2009 berdasarkan penyataan saksi Shahrol.
Katanya, ia patut ditolak dan tidak sepatutnya dibenarkan kerana pihaknya juga tidak dapat menyoal Jho Low tentang kesahihan dakwaan tersebut.
“Apa yang Shahrol dakwa itu tidak seharusnya dibenarkan kerana Jho Low tidak ada dalam mahkamah untuk kita soal dengan lebih lanjut. Prinsip-prinsip keadilan perlu dilaksanakan dan ditegakkan.
“Tetapi apabila melibatkan Jho Low, asas prinsip keadilan tidak ada di sini kerana saya tidak dapat menyoal Jho Low dengan apa yang saksi Shahrol katakan ini,” hujahnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hari ini.
Tambah Muhammad Shafee lagi, sebelum ini saksi ke-8, bekas pegawai khas Najib iaitu Datuk Amhari Efendi Nazaruddin sendiri membuat pengakuan tentang penyataan saksinya yang menyebut master manipulator itu sebenarnya hanya merujuk kepada Jho Low dan bukan Najib.
“Jadi bagaimana jika Jho Low menipu tentang hubungan antara dirinya dan Najib kepada Shahrol? Bagaimana kita boleh terima testimoni ini?
“Lagipun sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah mendedahkan pihaknya sudah mengenalpasti kedudukan Jho Low yang kini dalam buruan dan akan di hadapkan ke mahkamah,” ujarnya.

Beliau juga mahu pasukan pendakwaan membawa Jho Low ke mahkamah bagi memastikan dakwaan itu ditentukan kebenarannya.
Sebentar lagi, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram di jangka berhujah mengapa penyataan saksi itu dibenarkan oleh hakim dan meneruskan perbicaraan bersama Shahrol.
Perbicaraan berehat 15 minit sebelum bersambung.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama