
"KUALA LUMPUR, 4 Mac (Hrkh) - Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar menegaskan Speaker Dun Perak, V Sivakumar mempunyai peruntukan kuasa besar berdasarkan kedudukan Dun dalam sistem perundangan negara.- Harakah Daily
Untuk itu katanya keputusan memanggil sidang Dun Tergempar pada 3 Mac lalu adalah sah dari segi kuasa Speaker yang diperuntukan dalam perlembagaan.
Sejak merdeka sistem demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan adalah tunjang kepada pemerintahan, yang mana Dun atau Parlimen mempunyai kedudukan, sementara raja mempunyai peranannya, kata beliau.
Justeru kenyatan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa sidang dun tergempar yang dipanggil Sivakumar sebagai tidak sah adalah satu penghinaan kepada kemuliaan Dun dan perlembagaan, katanya.
"Di sinilah kuasa yang terdapat pada Speaker Dun atau Dewan Rakyat.Sebenarnya saya telah membaca tulisan peguam kanan di negara ini kesimpulan mereka jelas speaker Dun atau Dewan Rakyat ada kuasa besar dalam tentukan keputusan dan uruskan dewan," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Tumpat.
Ujar Kamarudin, secara jelas tindakan Speaker Dun Perak memanggil sidang tergempar adalah sah mengikut pandangan peguam kanan Tommy Thomas.
Sehubungan itu, tiada siapa termasuk TPM atau Setiausaha Dun Perak boleh untuk buat apa-apa kenyatan atau tindakan arahkan polis dan mengarahkan bangunan ditutup, katanya.
Bagi Kamarudin, perbuatan itu bercanggah dengan perlembagan negara, negeri dan bercanggah dengan iktiraf ketelusan institusi Dun dan speakernya,
"Maka oleh sebab itu tindakan Setiausaha Dun dan TPM adalah menghina kuasa Speaker Dun dalam hal ini,"katanya."
Memanggil sidang DUN untuk diadakan persidangan tergempar adalah tidak salah, tetapi cara Sivakumar selaku Speaker memanggil sidang itu adalah tidak bertepatan dan tidak mengikut kaedah perlembagaan yang sudah termaktub. Dimana kewajarannya memanggil sidang DUN jika pada masa yang sama menggantung beberapa ADUN BN termasuk Menteri Besar yang baru dilantik darimengikuti persidangan tersebut. Apatah lagi, kesempatan ini diambil oleh Pakatan Rakyat untuk mengemukakan usul yang boleh dianggap besar.
Sudah pasti usul yang dikemukakan menjadi berat sebelah memandangkan suara majoriti yang sepatutnya dan layak untuk mengikuti sama persidangan ini tidak dibenarkan menyertainya. Perkara kedua yang menunjukkan bahawa persidangan 'bawah pokok' ini tidak sah juga kerana ia dipanggil dan diadakan tanpa mendapat perkenan dari Sultan Perak. Ia jelas menunjukkan betapa Pakatan Rakyat terdesak hingga sanggup membelakangkan Sultan dan perlembagaan yang sudah tercatat dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak di mana menyatakan sidang yang hendak diadakan perlu mendapat perkenan dari Ke Bawah duli Sultan.
Kini, PAS cuba untuk berdalih dan cuba melempar keburukan kepada orang lain. Kenapa pula Najib dikatakan menghina perlembagaan walhal secara jelas dan nyata segala tindakan yang diambil oleh Pakatan Rakyat lah yang benar-benar menghina perlembagaan. Apatah lagi ditambah dengan kesanggupan Pakatan Rakyat mengadakan sidang tidak sah ini di bawah pokok di kawasan meletak kereta. Jadi, siapa sebenarnya yang menghina perlembagaan? Rakyat pasti dapat menilai sekarang mana yang betul dan mana yang salah.