Advertisement - Contact Us

PRK P044 : PANAS !!! Info Bocor... Legasi Wan Azizah Akan Azmin Dan DAP Kuburkan Dalam PRK Kali Ini...

(Sambungan sebelumnya)

Pada awalnya, Azmin menjangkakan bahawa Cikgu Zaidi selaku Ketua UMNO Bahagian akan dicalonkan mewakili BN. Azmin beranggapan inilah masanya untuk PKR merubah senario politik Permatang Pauh dengan mencadangkan Dr. Afif. Ditambah pula rekod cemerlang yang ditonjolkan oleh Dr. Afif sepanjang menjadi ADUN Seberang Jaya dan EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang. SMB akui kebolehan Dr. Afif. Dari segi khidmat, Dr. Afif boleh dianggap berjaya menggunakan kedudukannya sebagai EXCO Negeri untuk membantu ramai masyarakat luar bandar terutama orang Melayu membabitkan golongan petani dan nelayan, yang melibatkan portfolio EXCOnya. Namun, dari segi politik, Dr. Afif masih mentah dan hanya dianggap cebisan di kalangan pimpinan DAP.

Cadangan awal Azmin ini dibuat sebelum krisis dalaman Pakatan Rakyat melibatkan PAS memuncak. Pada waktu itu, Azmin masih beranggapan bahawa PAS akan menyokong calon PKR. Tidak dinafikan PAS lebih berminat dengan nama Dr. Afif berbanding Wan Azizah atau anaknya. Namun begitu, kemelut yang melanda PR telah merubah banyak tanggapan awal. Ditambah dengan kenyataan beberapa pemimpin utama PAS termasuk Ketua DPPPP, Yusni Mat Piah, Pesuruhjaya PAS Permatang Pauh, kenyataan Mursyidul Am PAS, Dr. Haron Din dan yang paling utama adalah kenyataan dari Presiden PAS sendiri yang tidak mahu bekerjasama dengan PKR dan DAP sehinggalah permohonan maaf isu hudud dibuat.

Pengumuman Saudara Suhaimi Bin Hj Sabudin sebagai calon BN juga telah menyumbang kepada perubahan strategi politik Azmin dan DAP. Nama Suhaimi sememangnya kurang dikenali di peringkat tertinggi dan nasional. Namun bagi pengundi Permatang Pauh, peranan Suhaimi telah banyak menyumbang dan merubah lanskap politik Permatang Pauh. Lazimnya, peranan Setiausaha sangat penting dalam menyusun atur dan menentukan hala tuju organisasi. Setiausaha lah yang banyak berhubung dengan pemimpin akar umbi dan ahli di bawah. Jadi tidak hairanlah nama Suhaimi lebih dekat di hati pengundi Permatang Pauh dari segi sumbangan berbanding Wan Azizah walaupun memiliki nama besar dalam politik.

Dalam perbincangan tertutup antara Azmin dan beberapa pemimpin DAP serta PAS dari kelompok liberal pada malam selepas pengumuman calon BN, Azmin mahu semua pihak bersetuju dengan calon yang dinamakan oleh Anwar dari Sungai Buluh yang mahukan Wan Azizah. Wan Azizah dan kumpulan yang pro Azizah tidak dimaklumkan berkenaan pertemuan ini. Terus terang SMB katakan, peluang Wan Azizah untuk menang dalam PRK kali ini adalah 50-50, tidak seperti PRK Permatang Pauh sebelum ini, dan Azmin mengetahui perkara ini.

Bagi Azmin, inilah peluang terbaik yang harus digunakan untuk menjatuhkan reputasi keluarga Anwar dan sekaligus menamatkan legasi Anwar dari PKR. Azizah mahukan kerusi Permatang Pauh kekal miliknya atau Nurul Nuha kerana beranggapan bahawa selama ini kemenangan Azizah mahupun Anwar di atas tiket PKR di Permatang Pauh adalah disebabkan sokongan ahli PKR yang ramai. Hakikatnya, Permatang Pauh bukanlah kubu kuat PKR mahu pun UMNO. Sejarah menunjukkan bahawa PAS melalui wakil rakyatnya, Haji Zabidi pernah memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh sebelum ini. Sehinggalah Tun Mahathir membawa masuk Anwar untuk merampas kembali kerusi Permatang Pauh. Dengan kebolehan yang dimiliki Anwar dan sokongan kuat dari Tun Mahathir ketika itu, akhirnya Permatang Pauh berjaya dirampas oleh Anwar dan berjaya membentuk sokongan padu di dalam UMNO Permatang Pauh.

Pemecatan Anwar menyebabkan UMNO Permatang Pauh terpecah dua. Sebahagian besar yang terdiri daripada pemimpin utama peringkat bahagian dan cawangan telah menyertai Reformasi Anwar. Sebahagian kecilnya yang nampak berpeluang untuk mengambil alih Bahagian Permatang Pauh dengan ketiadaan Anwar memilih untuk kekal bersama UMNO. Berbeza dengan PAS, apapun yang berlaku dalam UMNO, PAS tidak terkesan dengannya. Kebanyakan ahli PAS di Permatang Pauh merupakan ahli PAS tegar.

Sepanjang tempoh kemenangan Wan Azizah mahu pun Anwar atas tiket KeAdilan mahupun PKR disumbang oleh undi dari penyokong PAS Permatang Pauh. KeAdilan mahupun PKR setiap kali menghadapi pilihanraya pasti akan menjalin hubungan dengan PAS. Matlamat PAS hanya satu, menjatuhkan kerajaan UMNO BN walau dengan apa cara sekalipun.

Berbeza dengan PRK P044 kali ini. Pemimpin utama PAS sudah pun menyatakan pendirian untuk tidak lagi memberi kerjasama kepada PKR selagi tiada permohonan. Apatah lagi Wan Azizah sendiri yang telah menyelar keputusan PAS berkenaan dengan hudud. Azmin percaya, PAS akan mengotakan apa yang dikata. Azmin tahu pengundi PAS tidak akan memangkah walau siapa pun calon BN, tapi sebagai tanda boikot, dalam masa yang sama pengundi PAS juga tidak akan menyokong Wan Azizah. Cara terbaik adalah tidak hadir langsung pada hari pengundian. Disebabkan hal ini, ditambah dengan kebangkitan sokongan kepada perubahan yang dilakukan oleh UMNO BN. Maka Wan Azizah terpaksa mengharapkan sokongan dari segelintir sisa penyokong PKR yang disangkanya ramai dan undi simpati dari golongan atas pagar dan masyarakat Cina.

Kekalahan Azizah sekaligus membuka peluang baru kepada penguasaan team Azmin. Azmin yang sekian lama kepingin untuk menjadi Presiden PKR perlu menguburkan terlebih dahulu legasi sifunya. Kekalahan Azizah di kubu kuat sendiri, di depan penyokong sendiri akan menjadi tamparan hebat kepada Anwar dan Azizah. Dan inilah peluang yang dinantikan oleh azmin untuk menekan Anwar. Jadi tidak hairanlah kenapa Azmin akur dengan pencalonan Wan Azizah. Yang penting sekarang, strategi yang perlu dilakukan oleh Azmin adalah memastikan PAS tidak mudah berubah angin. Tidak hairanlah dengan kenyataan media hari ini yang menyatakan bahawa Azmin tidak mengakui wujud permohonan maaf antara Azizah dengan PAS. Malah dalam satu kenyataan media beberapa hari sebelum hari penamaan calon, Azmin telah mencabar dan mencetuskan provokasi kononnya PKR tidak memerlukan PAS untuk menang di Permatang Pauh.

Hari ini pun, sokongan yang kelihatan dari PAS sebenarnya bukanlah PAS tetapi daripada kelompok serpihan dalam PAS iaitu PASMA yang sememangnya pro-Azizah. PASMA sememangnya menyokong Azizah sejak dari Kajang Move lagi iaitu sewaktu hendak melantik Wan Azizah sebagai MB Selangor. Spekulasi-spekulasi berkaitan sokongan PAS kepada Azizah akan sentiasa ditiup menggunakan topeng PASMA bagi menarik semula sokongan ahli PAS. Selagi tidak ada kenyataan rasmi dari Presiden PAS, maka ia akan kekal sebagai spekulasi dan pastinya Azmin ia kekal begitu untuk menjatuhkan Presidennya dalam PKR.

(Selanjutnya : Apa pula kaitan dan manfaat yang dapat dikutip oleh DAP hasil dari perancangan Azmin ini? DAP juga bersetuju dengan pencalonan Wan Azizah secara dasarnya tetapi pasti bersebab. Nantikan posting selanjutnya perbincangan antara SMB dengan sahabat tadi berkenaan peranan DAP dalam perbincangan tertutup tersebut)
(SMB nak pusing Permatang Pauh)

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama