Custom Search

Apa Cerita...

Loading...

Jumaat, Julai 10, 2009

PPSMI : Orang Melayu takut berubah dan akan kekal di takuk yang lama...

1. Akhirnya kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran terpaksa akur dengan memansuhkan PPSMI di semua sekolah di seluruh Malaysia. Walaupun langkah pemansuhan tersebut hanya akan berkuatkuasa bermula tahun 2012 namun bagi saya ia merupakan satu keputusan yang agak mengecewakan dan merupakan satu kegagalan kepada dasar baik yang cuba dibawa dan diperkenalkan oleh kerajaan.

2. Tidak dinafikan bahawa salah satu faktor kemerosotan sokongan terhadap kerajaan BN terutama ketika PRU yang lalu adalah disebabkan isu PPSMI ini. Pihak pembangkang atau lebih tepat Pakatan Rakyat bijak memanipulasikan isu ini hingga membawa imej negatif kerajaan di mata rakyat. Akibatnya, kerajaan terpaksa akur dan tunduk terhadap desakan pembangkang.

3. Kerajaan sebenarnya berniat baik dengan memperkenalkan PPSMI ini di semua sekolah di seluruh Malaysia. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan mutu pembelajaran dalam usaha melahirkan generasi pelajar yang lebih berkualiti yang mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain seluruh dunia.

4. Dalam pada masa yang sama, kerajaan tidak pernah meminggirkan dan mengenepikan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar utama dan bahasa rasmi negara. Bezanya, kerajaan cuba menumpukan Bahasa Inggeris dalam pembelajaran Matematik dan Sains.

5. Para pelajar terutamanya dari kalangan bumiputera mungkin menghadapi masalah pada peringkat awal. Namun dengan usaha yang betul dan berterusan, ia akan menjadi lebih mudah. Para pelajar akan menerima manfaatnya setelah mula melangkah ke universiti dan alam karier.

6. Mungkin wujud beberapa kelemahan dalam perlaksanaan PPSMI ini oleh kerajaan. Namun tidak sewajarnya untuk kerajaan memansuhkan terus dasar yang baik ini. Mungkin beberapa penambah baikkan perlu disuntik dalam perlaksanaannya seperti meningkatkan kualiti tenaga pengajar, memperbanyakkan lagi bahan bantu mengajar dan beberapa lagi penambahbaikkan yang dapat membantu.

7. Perlu diingat, bangsa yang banyak menghadapi masalah dengan kaedah PPSMI ini adalah dari bumiputera. Dan bumiputera jugalah yang menentang PPSMI ini dengan bersungguh-sungguh. Bagaimana keadaannya dengan bukan bumiputera seperti Cina dan India? Hakikatnya, bumiputera terutamanya bangsa Melayu akan terus kekal dalam kepompong lama selagi orang Melayu takut untuk melakukan perubahan.

8. Walau apa pun, kerajaan sudah pun mengumumkan keputusan pemansuhan PPSMI ini. Tidak semua pihak akan berpuas hati dengan pemansuhan ini, sama seperti sewaktu perlaksanaannya dahulu. Dengan kegagalan PPSMI ini, diharap agar kerajaan dapat mencari jalan supaya mutu dan kualiti pelajar terutama bumiputera tidak terjejas malah akan terus meningkat pada masa hadapan.

Selasa, Julai 07, 2009

Guan Eng perlu tinggal di banglo mewah untuk selesaikan masalah Kg. Buah Pala...

1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang mesti menyelesaikan masalah tanah di Kampung Buah Pala dengan menggunakan budi bicara sendiri tanpa perlu ada campur tangan dari pihak lain. Kenyataan bersifat keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk tidak mahu terlibat dengan sebarang tindakan yang akan diambil oleh Lim Guan Eng adalah tepat.

2. Lim Guan Eng dan kerajaan Pakatan Rakyat perlu ingat bahawa salah satu faktor kemenangan PR dalam PRU yang lalu adalah berpunca dari janji-janji yang telah ditabur termasuk untuk menyelesaikan masalah di Kampung Buah Pala ini. Jadi, adalah tidak wajar jika Guan Eng cuba mengambil sikap lepas tangan atau cuba meletakkan tanggungjawabnya ke atas tanggungan orang lain.

3. Guan Eng sepatutnya bertindak rasional dan relevan sebelum bersedia untuk menabur apa jua janji kepada pihak lain. Harus diingat bahawa setiap janji yang ditabur merupakan satu harapan yang diberi kepada mereka terutama melibatkan perkara yang mendesak. Adalah tidak wajar dan satu penganiayaan jika harapan yang ditabur itu hanya tinggal harapan.

4. Kerajaan Pusat berhak untuk tidak campur tangan memandangkan masalah yang timbul merupakan janji dari Pakatan Rakyat malah tanah yang terlibat juga berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Jika di tempat-tempat lain, Pakatan Rakyat sanggup bersusah payah untuk merampas dan mengambil alih tanah dari pihak lain, mengapa tidak di kampung Buah Pala.

5. Jika kerajaan pusat berbaik hati untuk menyelesaikan maslah ini, ia umpama memikul beban dan bara api di bahu. Kerajaan negeri pasti akan menyalahkan kerajaan pusat, seperti yang sering berlaku dalam banyak hal, sekiranya kerajaan pusat gagal menyelesaikan masalah ini. Malah, jika kerajaan pusat berjaya sekalipun, pastinya kerajaan negeri akan memanipulasikan maklumat sehingga PR yang akan mendapat nama atas kejayaan tersebut.

6. Tidak timbul soal kewangan jika apa yang dibentangkan oleh Guan Eng dalam Dewan Negeri diambil kira. Menurutnya, Kerajaan negeri berjaya membawa masuk sejumlah besar pelaburan dari luar. Malah tindakan Guan Eng yang berpindah kediaman ke sebuah banglo mewah dan memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk kerja-kerja penyelenggaraan di Rumah Seri Teratai yang menjadi kediaman rasmi Ketua Menteri membuktikan bahawa tidak timbul masalah kewangan dalam kerajaan negeri Pulau Pinang. Jadi, sepatutnya tidak timbul masalah untuk kerajaan Pakatan Rakyat melunaskan janji mereka di Kampung Buah Pala.

7. Walau apa pun, adalah memang patut untuk kerajaan pusat membiarkan kerajaan negeri menyelesaikan masalah mereka sendiri. Kerajaan negeri dan Pakatan Rakyat perlu lebih bertanggungjawab atas setiap janji-janji yang telah mereka taburkan sebelum ini. Bukan hanya bijak berjanji dan akhirnya mencari jalan untuk mengelak dari masalah yang timbul akibat dari janji yang ditabur.

Sabtu, Julai 04, 2009

Awas !!! Anwar Ibrahim semakin gila meroyan...

1. Syabas diucapkan kepada Anwar Ibrahim dan rakan sekutu Pakatan Rakyatnya. Seperti yang telah digembar-gemburkan sebelum ini, akhirnya Anwar berjaya menemui barisan kepimpinan bayangannya yang telah beliau umumkan semalam. Tercapai jua hajat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri walaupun berstatus bayangan dan pada masa yang sama terpaksa berkongsi kedudukan dengan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi serta pemimpin DAP, Lim Kit Siang.

2. Seperti yang telah Anwar nyatakan sebelum ini, matlamat utama pembentukan barisan kabinet bayangan ini adalah sebagai sebuah pasukan pemantau bagi menilai atau lebih tepat lagi untuk mencari salah dan silap serta kelemahan yang mungkin berlaku dalam pentadbiran kerajaan Barisan Nasional berdasarkan portfolio yang telah ditetapkan.

3. Namun saya melihat, pembentukan kabinet bayangan ini adalah bertujuan untuk menarik perhatian rakyat kononnya inilah barisan kepimpinan yang akan dilantik sekiranya ditakdirkan Pakatan Rakyat dipilih menjadi kerajaan.

4. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menutup keretakan yang kian berlaku dalam PR hingga memungkinkan PR berada di ambang perpecahan. Perkara ini jelas kita boleh lihat seperti yang berlaku dalam kerajaan negeri Kedah di mana DAP Kedah secara rasminya telah mengumumkan untuk berundur dari Pakatan Rakyat. Keretakan juga berlaku di Pulau Pinang apabila semalam Pengerusi Perhubungan PKR Negeri, Dato' Zahrain secara terbuka membidas dan mempertikaikan beberapa tindakan Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri. Lim dikatakan gagal melaksanakan tanggungjawab dalam kepimpinan dengan baik apatah lagi untuk menjadikan Umar Abd. Aziz sebagai role model terutama melibatkan isu berkaitan pemecatan Ahli Majlis, Johari Kassim dari MPSP.

5. Jadi, bagi mengkaburi mata rakyat dari tertumpu ke arah keretakan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat maka Anwar Ibrahim mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan barisan kabinet bayangannya. Umum juga pasti sudah mengenali Anwar Ibrahim, seorang pemimpin yang kaya dengan spekulasi dan bijak mempergunakan angan-angan kosongnya untuk menarik perhatian rakyat.

6. Saya juga tertarik dengan senarai barisan kabinat yang diumumkannya. Siapakah sebenarnya yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia jika Pakatan Rakyat memerintah? Berdasarkan senarai beliau, Anwar menamakan dirinya, Hadi dan Lim bagi memantau portfolio Jabatan Perdana Menteri. Adakah ini juga bermakna ketiga-tiga nama tersebut bakal dilantik sebagai PM? Atau Anwar masih malu-malu cicak untuk melantik diri sendiri dan mahu membiarkan orang lain yang mengangkat dirinya.

7. Sekiranya Anwar bercadang untuk melantik ketiga-tiga nama sebagai PM maka boleh diandaikan bahawa negara bakal ditadbir oleh 3 nakhoda dalam satu masa jika PR memerintah. Kelazimannya, kapal akan tenggelam jika dikawal oleh ramai nakhoda. Dan mungkin inilah yang diinginkan oleh Anwar.

8. Itu bagi jawatan no. 1 yakni Perdana Menteri. Anwar juga gagal menamakan siapa menteri, Timbalan Menteri dan setiausaha parlimen mengikut portfolio yang telah beliau umumkan. Beliau hanya menamakan dari ketiga-tiga wakil parti bagi mengisi portfolio kementerian. Ini menunjukkan bahawa Anwar dan kepimpinan Pakatan rakyat masih was-was untuk menentukan siapa paling layak memimpin portfolio. Cara dan tindakan Anwar juga boleh menyebabkan perpecahan kerana masing-masing pasti akan menonjolkan diri dan menjadikan diri sebagai yang terbaik di mata Anwar. Maka, akan berlakulah tolak-menolak, tikam-menikam dan pijak-memijak antara satu sama lain.

9. Walau apa pun, senarai yang diumumkan oleh Anwar hanya akan menjadi realiti jika PR ditakdirkan menjadi kerajaan. Sehingga itu ia kekal hanya sebagai satu barisan bayangan dan ia tidk cukup untuk menggugat kedudukan kerajaan. Apa yang lebih penting, Anwar sepatutnya menumpukan segala kudrat untuk mengukuhkan semula tali ikatan dalam Pakatan rakyat sebelum boleh bercakap soal hendak menjadi kerajaan. Hakikatnya...biarlah Anwar dengan angan-angan Mat Jeninnya...

Khamis, Julai 02, 2009

UMNO DAP : Jadi ahli DAP dan bawa pulang RM2000...

1. Kedudukan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang selaku kerajaan yang mentadbir sebuah negeri dilihat semakin goyah dan pincang. Kenyataan ini turut disokong dengan beberapa pendedahan yang telah dilakukan termasuk beberapa kelemahan pentadbiran yang dapat dilihat dan dinilai secara jelas. DAP selaku majoriti dalam kerajaan negeri hanya gah di kalangan rakan-rakan Pakatan Rakyat lain iaitu PAS dan PKR namun pada masa yang sama gagal menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan berkebajikan sebagaimana dijanjikan sebelum ini.

2. Baru-baru ini, Ketua Pembangkang dari BN, Dato' Azhar (ADUN Penaga) telah mendedahkan salah laku serta cubaan untuk mengambil kesempatan yang cuba dilakukan oleh DAP terhadap rakyat Pulau Pinang. Dakwaan ini cuba disangkal oleh DAP termasuk desakan agar Dato' Azhar memohon maaf secara terbuka atas pendedahan yang telah dilakukan.

3. Tidak dinafikan bahawa salah satu faktor kekuatan BN adalah terletak kepada pengaruh undi di saluran 1 dan 2. Umum mengetahui bahawa saluran 1 dan 2 kebanyakannya menyenaraikan pengundi dari kalangan warga emas atau mereka yang berada dalam lingkungan umur atas 50-an.

4. Pakatan Rakyat yakin bahawa mereka sudah mampu menarik sokongan dari golongan muda. Ini terbukti berdasarkan keputusan Pilihanraya bagi saluran 3,4 dan 5 yang boleh dikatakan kebanyakannya memihak kepada Pakatan Rakyat.

5. PR beranggapan bahawa untuk memenangi pilihanraya adalah amat penting untuk mendapatkan sokongan dari saluran 1 dan 2. Segala usaha mula ditumpukan untuk meraih sokongan dari golongan warga emas.

6. Langkah permulaan yang cuba digerakkan oleh DAP adalah dengan menawarkan baantuan khas kepada golongan warga emas. Syarat untuk mendapatkan bantuan ini hanyalah dengan mengisi borang menjadi ahli parti DAP. RM2000 diberikan sebaik sahaja selesai mengisi borang keahlian tersebut.

7. Ini menunjukkan betapa Pakatan Rakyat tidaklah seikhlas dan sejujur mana. Mereka juga lebih banyak menggunakan wang untuk meraih sokongan malah mereka sanggup mengambil kesempatan terhadap rakyat yang terdesak untuk menyokong mereka. Adakah ini ciri-ciri kerajaan berkebajikan yang didambakan oleh seluruh rakyat Malaysia???

PAS DAP : Pakatan Rakyat menuju kehancuran hanya disebabkan 'BABI'...

1. Semalam, DAP Kedah telah membuat satu kejutan dengan mengambil keputusan dan mengumumkan untuk keluar dari Paktan Rakyat melaui satu kenyataan media. Keputusan ini telah diumumkan sendiri oleh Pengerusi DAP Kedah sebaik sahaja selesai mesyuarat tergempar kepimpinan tertinggi DAP Negeri.

2. Keputusan ini diambil ekoran daripada tindakan kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS melalui Majlis Perbandaran yang telah bertindak merobohkan dan memusnahkan kandang babi di kampung Berjaya. DAP Kedah tidak berpuas hati dengan tindakan ini dan bertindak cuba untuk menghalang kerja-kerja meroboh tetapi gagal.

3. Salah satu alasan yang diberikan adalah tindakan PBT yang hanya memberi tempoh notis selama sebulan untuk berpindah. DAP Kedah juga beranggapan bahawa kerajaan PAS bertindak tidak adil terhadap mereka dan tidak melambangkan kerajaan untuk semua masyarakat dan kaum.

4. Dengan penarikan diri DAP Kedah dari Pakatan Rakyat jelas menunjukkan sesuatu yang janggal dan tidak kena sedang berlaku dalam Pakatan rakyat terutama melibatkan hubungan antara parti. Untuk makluman, DAP kedah hanya memiliki satu kerusi DUN sedangkan majoritinya dikuasai oleh PAS dan BN.

5. Alasan yang mungkin diberikan oleh kepimpinan Pakatan rakyat bagi menjawab isu ini adalah keputusan yang diambil oleh DAP Kedah tidak melambangkan keputusan keseluruhan dan ianya hanya melibatkan kes terpencil serta tidak mampu menggugat ikatan pakatan Rakyat. Ini yang berlaku di Kedah di mana kerajaan negerinya dikuasai oleh PAS.

6. Pujian mungkin boleh diberikan kepada kerajaan PAS Kedah kerana berjaya bertindak tegas dalam menangani isu kandang babi haram ini. Namun, dalam pada masa yang sama, PAS mungkin boleh mula melupakan untuk menubuhkan sebuah kerajaan Islam sepenuhnya jika ditakdirkan Pakatan Rakyat berkuasa jika sikap DAP kini diambil kira.

7. DAP memang dari dulu lagi secara terang dan nyata menolak sebarang usaha atau cadangan untuk menubuhkan atau menjadikan negara Malaysia sebuah negara Islam sepenuhnya dan melaksanakan undang-undang Islam secara total. Pakatan Rakyat bukanlah platform yang tepat jika PAS serius untuk menubuhkan sebuah negara Islam sebenar.

8. Walau apapun, DAP pastinya tidak akan membiarkan perkara yang berlaku berlalu begitu sahaja. Harus diingat, DAP merupakan kerajaan majoriti bagi kepimpinan Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Dan pastinya yang bakal menjadi mangsa adalah Melayu Pulau Pinang yang sudah mula dipinggir dan diketepikan secara perlahan-lahan dalam banyak hal oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP.

Rabu, Julai 01, 2009

UMNO PR : Guan Eng cabut lari bila didesak isu Kg. Buah Pala...

1. Tertarik...menarik... Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilihat semakin hari semakin mendedahkan kelemahan diri sendiri. Kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat dan dikepalai oleh pemimpin tinggi dari DAP, Lim Guan Eng mula menunjukkan taring yang tumpul dari mulut yang berbau hapak dengan pelbagai janji palsu.

2. Dimanakah perginya slogan kerajaan negeri berkebajikan, janji untuk menjadikan CAT sebagai teras pentadbiran negeri, janji membela nasib penduduk Pulau Pinang dan 1001 janji lagi yang mungkin sudah dibawa ombak Pantai Telok Bahang yang bergelora. Atau itu semua hanya sekadar janji pemanis mulut, pemikat hati khas buat rakyat Pulau Pinang.

3. Semalam bukan lagi kemuncak kebangkitan akibat kemuakan rakyat Pulau Pinang yang ditunjukkan oleh penduduk Kampung Buah Pala melalui demonstrasi yang dibuat di Dataran KOMTAR. Itu pun sudah cukup memperlihatkan betapa Lim Guan Eng sudah ketandusan langkah untuk menyelesaikan masalah sehingga memaksa Guan Eng membuka langkah seribu dengan hanya membiarkan wakilnya pergi bertemu dengan kumpulan demostrasi itu walhal Guan Eng ketika itu berada dalam bangunan KOMTAR tersebut.

4. Kerajaan Negeri berjanji untuk menyelesaikan masalah penduduk Kampung Buah Pala yang benar-benar terdesak setelah MPPP mengugut hendak mengambil alih tanah milik kerajaan negeri dan terpaksa merobohkan kediaman penduduk kampung tersebut. Penduduk kampung hanya menagihkan pembelaan dari kerajaan negeri seperti yang dijanjikan sebelum ini. Kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menghalang pengambil alihan tersebut tetapi sedihnya apabila Guan Eng dilihat seperti merestui kerja-kerja perobohan diteruskan.

5. Itu cerita Kampung Buah Pala. Sejak Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampok pemerintahan kerajaan negeri, apa yang dapat dilihat dan dinikmati oleh penduduk Pulau Pinang bukan lah kesenangan dan kejayaan, tetapi lebih banyak kegagalan dan kesengsaraan. Bermula dengan pembuangan pekerja sektor swasta dan perkilangan secara besar-besaran.

6. Meroboh tapak perniagaan, menaikkan kadar sewa gerai milik kerajaan negeri, mengenakan sewa pada setiap meja yang diletakkan atas tanah kerajaan negeri. Mengambil alih dewan dan prasarana lain termasuk pasar malam secara paksa. Cuba merampas gerai dan permis perniagaan milik pertubuhan di bawah kerajaan terdahulu dan koperasi. Serta banyak lagi tindakan melampau yang melambangkan betapa kerajaan Pakatan Rakyat ini benar-benar terdesak dan seboleh-bolehnya cuba untuk menggunakan kuasa yang dimiliki demi untuk kepentingan sendiri.

7. Kuasa yang mereka miliki cuba dipergunakan dengan sewenang-wenangnya hinggakan mereka lupa bahawasanya kuasa yang ada adalah milik Allah dan hanya dipinjamkan semetara kepada umat manusia. Kita boleh lihat kemelut kuasa melibatkan perletakan dan perlantikan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang hingga membawa kepada PRK. Malah terbaru membabitkan isu perlantikan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sehingga membawa kepada pemulauan majlis angkat sumpah YDP yang baru oleh wakil PKR yang kecewa kerana bukan orang PKR yang dilantik ke jawatan tersebut.

8. Cukupkah dengan memberi bantuan RM50 bersama sekampit beras kepada orang miskin dan ibu tunggal untuk menambat hati rakyat Pulau Pinang. Atau hanya dengan pemansuhan saman PBT dan pengurangan taarif bil air di bawah RM20 sebulan maka terlangsailah segala janji yang ditabur sebelum ini. Jika hanya inilah yang termampu dilakukan oleh kerajaan Pakatan rakyat maka boleh lah dikatakan bahawa kerajaan BN terdahulu adalah jauh lebih baik dari apa yang dinikmati sekarang.

9. Walau apapun, sudah tiba masanya untuk seluruh rakyat Pulau Pinang membuka minda, bertindak dan berfikiran rasional dengan penuh kewarasan dan hati yang terbuka untuk menilai kemampuan dan kredibiliti kepimpinan dahulu dan terkini demi masa depan negeri pulau mutiara yang dicintai ini.

Jumaat, Jun 19, 2009

UMNO PAS : Negara Islam sejati akan menjadi realiti hanya melalui kerajaan perpaduan...

1. Siapa sebenarnya yang mencetuskan 'Islamophobia' baik di kalangan orang bukan Islam di dalam Malaysia mahupun di luar negara seperti yang dinyatakan oleh Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Aziz? Adakah selama ini UMNO dan BN yang mewujudkan perasaan 'Islamophobia' hingga membuatkan orang bukan Islam memandang serong dan berpandangan negatif terhadap umat Islam?

2. Semakin hari, semakin banyak alasan yang cuba diberikan oleh Nik Aziz hanya untuk menagakkan benang yang basah dan menidakkan usaha merealisasikan cadangan kerajaan perpaduan ini. Sikap Nik Aziz ini langsung tidak mendatangkan sebarang manfaat baik kepada umat Islam mahupun bangsa Melayu malah ia mencerminkan imej Nik aziz yang sering bertindak terburu-buru dan gemar mempergunakan kedudukannya dalam PAS untuk menjatuhkan dan memburukkan pihak lain.

3. Nik Aziz juga sering meluahkan rasa tidak puas hatinya menggunakan saluran yang salah tanpa melalui sebarang perbincangan terlebih dahulu. Sepatutnya, mengenai isu kerajaan perpaduan ini, walaupun Nik Aziz dilihat mempunyai pandangan yang bertentangan, beliau perlu berbincang dan mencari pendekatan melalui permuafakatan dan muzakarah sesama kepimpinan PAS yang lain. Bukannya mempergunakan saluran media dan pengaruhnya untuk menghentam pihak lain hingga menampakkan seperti wujud perpecahan dalam PAS.

4. Berbalik kepada istilah 'Islamophobia' tadi. Sebelum ini, siapakan yang paling ramai ditahan dan disiasat berhubung penglibatan dengan gerakan keganasan seluruh dunia? Dari mana datangnya ahli-ahli Jemaah Islamiah yang hangat diperkatakan sebelum ini yang mana mempunyai perkaitan dengan gerakan Al-Qaeda dan beberapa pertubuhan lain? Bukankah antara yang terlibat dan ditahan bagi membantu siasatan adalah anak kepada Tuan Guru Nik Aziz sendiri? Jadi, tidak salah saya katakan bahawa PAS lah sebenarnya yang menyumbang kapada perasaan 'Islamophobia' di Malaysia pada ketika itu.

5. Mungkin sekarang tidak lagi. Ini atas usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh hendak membersihkan nama negara dari terus dilabel sebagai negara pengganas dan jaminan yang telah diberikan oleh kerajaan kepada pihal luar untuk memerangi habis-habisan sebarang gerakan keganasan di dalam negara.

6. Mungkin ada benarnya apabila PAS menyatakan bahawa Pakatan Rakyat berjaya merapatkan jurang antara kaum dan sekaligus membuang perasaan takut orang bukan Islam kepada umat Islam. Tapi ini semua berlaku setelah PAS secara drastik telah mengubah dasar perjuangan asal dari pro Islam fanatik kepada yang lebih terbuka hanya semata-mata untuk memenuhi kehendak rakan sekutu lain dalam Pakatan Rakyat.

7. Apa sudah jadi dengan dasar untuk mewujudkan sebuah negara Islam sejati secara total? Apa pula ceritanya dengan perjuangan untuk melaksanakan hudud? Mahukah DAP bekejasama jika PAS secara serius mahu meneruskan agenda perjuangan asalnya? Sedangkan Lim Kit Siang dan Karpal Singh secara terbuka menolak cadangan PAS untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam jika ditakdirkan PR menjadi kerajaan.

8. PAS sebenarnya cuba meletakkan kegagalan mereka untuk memperjuangkan negara Islam kepada UMNO. Mereka berjaya memanipulasikan dan menipu rakyat kononnya UMNO lah yang menyekat dan menghalang perjuangan mereka ke arah negara Islam. Pada masa yang sama PAS menggunakan ketayap dan serban di kepala untuk memperolok-olokkan dan hanya bersikap acuh tak acuh terhadap perjuangan negara Islam ini.

9. PAS sebenarnya amat takutkan DAP walhal jika mereka bersungguh-sungguh, negara Islam seperti yang mereka inginkan mampu menjadi realiti. Kerajaan perpaduan dan kerjasama dengan UMNO dan BN merupakan pilihan yang paling tepat jika mereka mahu negara Islam direalisasikan. Bukan dengan DAP atau Anwar Ibrahim yang jelas hanya memperjuangkan kepentingan peribadi dan politiknya sahaja.

10. Tuan Guru Haji Hadi dan Ustaz Nasharuddin sedar akan perkara ini. Masalahnya sekarang cuma Nik Aziz yang terlalu taksub dengan Pakatan Rakyat. UMNO pada bila-bila masa sahaja sedia untuk mendengar pandangan dan cadangan PAS beghubung kerajaan perpaduan yang pastinya lebih kepada sebuah negara Islam. Pemimpin UMNO juga Islam dan pastinya UMNO juga tahu bahawa Islam adalah pilihan terbaik dan paling adil terhadap semua pihak. Asalkan semua pihak bersikap terbuka dan positif tanpa perlu memikirkan sebarang syarat yang mana akhirnya akan jadi tembok penghadang kepada kejayaan kerajaan perpaduan ini.

11. Apa lagi yang cuba dipertahankan oleh Nik Aziz? Jika benar PAS mahu jadikan Malaysia sebuah negara Islam hakiki, mulakan lah langkah pertama ke arah kerajaan perpaduan antara UMNO - BN - PAS.

Khamis, Jun 18, 2009

UMNO PAS : Nik Aziz 'senteng' lengan, Ustaz Nasha 'senteng' kaki...

1. PAS benar-benar di ambang keretakan. Ini juga beerti misi pertama Anwar Ibrahim iaitu membentuk 2 puak dalam PAS semakin berhasil. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz betul-betul naik angin hingga sanggup mendesak Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin untuk meletak jawatan selaku Timbalan dan juga ahli Parlimen Bachok. Ini bermaksud Nik Aziz sudah mula bertindak menghalau pemimpin PAS yang sah dan dilantik berdasarkan suara majoriti ahli Pas keluar dari parti PAS.

2. Kenapa Nik aziz benci sangat dengan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan ini? Adakah kerajaan perpaduan yang dibenci atau orang yang engkar kepada arahannya? Jika begini lah lenggok gayanya, ini menunjukkan bahawa PAS sudah hilang kebebasan bersuara dan hak untuk memberi pendapat.

3. Apa yang lebih menarik berkenaan dengan isu ini adalah penerimaan ahli-ahli PAS yang lain berhubung cadangan pembentukan kerajaan perpaduan. Jika keputusan pemilihan kepimpinan dalam muktamar PAS baru-baru ini dijadikan kayu pengukur, jelas menunjukkan ahli-ahli PAS peringkat akar umbi memandang isu kerajaan perpaduan dan Pro-muzakarah ini dari aspek yang positif dan mahu melihat perkembangan cadangan ini berdasarkan penerimaan pemimpin yang menang dalam pemilihan tersebut.

4. Jadi kenapa Nik Aziz begitu bersungguh-sungguh hendak menentang cadangan ini hingga tidak mahu lagi berbincang dengan pemimpin lain untuk mencari pendekatan yang lebih baik? Salahkah jika saya andaikan wujudnya pihak ketiga yang menjadi dalang dan penghasut utama kepada Nik Aziz supaya menolak mentah-mentah sebarang usaha untuk merealisasikan pembentukan kerajaan perpaduan.

5. Terbaru, timbul desas-desus mengatakan Jentera Pilihanraya Kecil DUN Manek Urai di bawah pimpinan Nik Aziz telah menyenarai hitamkan nama beberapa pemimpin PAS dan akan melarang nama-nama tersebut untuk terlibat dalam sebarang ceramah dan kempen di Manek Urai.

6. Sementara itu, Kelab Penyokong PAS yang pro Nik Aziz mencadangkan agar memboikot dan melarang mana-mana pemimpin PAS yang pro kerajaan perpaduan dari hadir dan membantu kempen PAS di Manek Urai.

7. Akibatnya, hari ini, beberapa Dewan Pemuda PAS Negeri yang sepatutnya membantu jentera PAS di Manek Urai telah mengambil keputusan untuk menarik diri dan tidak mahu terlibat dalam kempen PRK tersebut. Enam negeri tersebut termasuklah Terengganu yang juga merupakan negeri Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi.

8. Apa pun yang pasti, pihak yang tersenyum lebar menyaksikan perkembangan dalaman PAS ini sudah tentulah dalang utamanya, Anwar Ibrahim. Niatnya untuk menjatuhkan kumpulan pro-muzakarah walaupun pada muktamar yang lalu telah gagal namun kini telah menampakkan anda-tanda positif.

Rabu, Jun 17, 2009

UMNO DAP : Lim Kit Siang mahu apa yang orang Melayu dapat...

1. Bolehkah Anwar memberi jaminan bahawa orang Melayu di Malaysia tidak akan ketinggalan dan tidak akan terpinggir sepertimana yang telah terjadi kepada Melayu Singapura sekiranya Anwar tersangkut menjadi PM Malaysia?? Dan mampukah kepimpinan PAS berjanji akan membawa orang Melayu seiring dalam pembangunan setidak-tidaknya di kedudukan sekarang jika ditakdirkan Pakatan Rakyat diberi mandat sebagai kerajaan???

2. Jika mampu, pastikan jaminan dan janji itu bukan sekadar janji politik yang lazimnya umpama menanam tebu dipinggir bibir. Buktikan sekarang... Rakyat tidak mahu lagi memberi harapan bersandarkan pada janji-janji tatkala belum berada di puncak.

3. Kenapa saya bangkitkan persoalan ini? Adakah kita sedar di mana kedudukan dan apakah halatuju seterusnya orang Melayu kini? Terus terang memang saya ingin bangkitkan soal perkauman. Kenapa??? Kerana semakin hari kini semakin banyak pertikaian cuba ditimbulkan oleh segelintir pihak yang ingin mengambil kesempatan termasuk melibatkan hak-hak keistimewaan orang Melayu yang selama ini telah dipersetujui bersama.

4. Semalam, di Parlimen, pemimpin DAP, Lim Kit Siang dengan nada angkuh dan bongkak cuba mempersoalkan kenapa orang Melayu lebih ramai menerima bantuan biasiswa berbanding bangsa lain. Itu yang terbaru. Walhal sebelum ini pun sudah banyak pihak secara terang-terangan menggunakan hak kebebasan bersuara untuk mempersoalkan isu sensitif ini. Antara yang sering dipersoalkan adalah berhubung kuota 30% penglibatan bumiputera dalam ekonomi, kedudukan agama Islam dan Bahasa Melayu sebagai agama dan bahasa rasmi, peranan orang Melayu dalam kerajaan, hak-hak keistimewaan dan bantuan-bantuan yang diterima oleh bangsa Melayu dan beberapa perkara lain.

5. Kenapa perkara ini ditimbulkan sekarang? Tidakkah selama ini rakyat Malaysia sudah hidup dalam suasana harmoni dan makmur tanpa ada pihak yang terpinggir walaupun dibayangi dengan hak-hak keistimewaan ini. Adakah pertikaian ini sebenarnya merupakan agenda yang cuba dibawa bersama dengan kebangkitan Pakatan Rakyat??

6. Apa sebenarnya yang telah berlaku dengan kotak pemikiran orang Melayu sekarang? Adakah orang Melayu terutama yang mendokong aspirasi Pakatan Rakyat berpijak di bumi nyata atau berada di alam khayalan ciptaan Anwar? Sedangkan ditatang dek keistimewaan dan hak-hak selaku pribumi pun masih berada nun jauh ketinggalan berbanding bangsa lain. Inikan pula jika segala hak keistimewaan yang selama ini dikecapi ditarik balik.

7. Sudah lah wahai Anwar. Janganlah engkau terus mempergunakan kelembutan bangsa Melayu hanya untuk meraih sokongan bangsa lain. Jangan lah engkau mempergadaikan maruah bangsa sendiri demi mengejar cita-cita nafsu serakah mu. Jangan kerana janji yang kau tabur kini membuatkan bangsa Melayu hilang telur di reban sendiri...

UMNO PAS : Nizar memang merancang untuk buat 'havoc' dalam Parlimen...

1. Tindakan spontan??? Adakah tindakan bekas Menteri Besar Perak, Mohd Nizar Jamaluddin yang terpekik terlolong di dalam Parlimen sebaik sahaja selesai majlis angkat sumpahnya sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang boleh dikategorikan sebagai tindakan spontan?

2. Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin mengaku bahawa Nizar tidak pernah memaklumkan kepadanya atau pemimpin PAS yang lain yang beliau akan bertindak sedemikian di dalam Parlimen. Ustaz Nasha juga agak terkejut dengan tindakan Nizar dan menanggap bahawa tindakan itu merupakan satu tindakan spontan dari Nizar dan ia tidak dirancang.

3. Nizar bersama beberapa pemimpin Pakatan Rakyat lain, kebanyakannya dari Perak, melaungkan 'Hidup rakyat' dan 'Bubar DUN Perak' sebaik sahaja beliau selesai menangkat sumpah. Mereka juga telah mengenakan lilitan hitam bertulis 'Bubar DUN Perak' di songkok dan di lengan.

4. Akibat dari tindakan biadap itu, Nizar dan pemimpin PR yang terlibat telah diusir keluar dari dewan oleh Speaker dan disusuli dengan tindakan gantung selama 2 hari. Perbuatan mengenakan lilitan di kepala dan lengan jelas menunjukkan bahawa mereka merancang lebih awal untuk bertindak sedemikian rupa dan ia bukanlah satu tindakan spontan.

5. Lainlah jika Nizar secara tiba-tiba berguling di lantai dan menjerit tidak tentu hala, barulah dinamakan spontan atau tindakan luar kawalan atau tindakan tanpa dirancang.

Selasa, Jun 16, 2009

UMNO PAS : Sejauh mana keikhlasan PAS berhubung kerajaan perpaduan...

1. Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak hari ini telah mengeluarkan kenyataan pada dasarnya kerajaan berminat dan bersetuju untuk mengkaji secara terperinci berhubung cadangan PAS yang ingin mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan dengan UMNO.

2. Sebelum ini, PAS melalui Presidennya, Tuan Guru Haji Hadi telah mencadangkan sebuah kerajaan perpaduan antara PAS dan UMNO walaupun mendapat tentangan hebat dari Mursyidul AM PAS sendiri Tuan Guru Nik Aziz dan rakan sekutu Pakatan Rakyat yang lain.

3. Namun begitu, apa yang menarik, TGHH bersama kumpulan Pro-Muqabalahnya telah menjaya menumbangkan cubaan pengambil alihan kuasa oleh kumpulan Edrogan yang diyakini didalangi oleh Anwar dalam Muktamar PAS baru-baru ini. Keputusan ini seperti menampakkan kehendak akar umbi dan ahli PAS yang berminat dengan cadangan bermuqabalah bersama UMNO.

4. Manakala dalam UMNO, wujud kemungkinan salah faham berhubung cadangan penubuhan kerajaan perpaduan ini. Sebagai contoh, mantan PM, Tun Mahathir dikatakan kurang berminat dengan kewujudan kerajaan perpaduan ini. Alasan, bagi sebuah negara demokrasi, perlu ada pihak pembangkang yang akan menjadi cermin kepada kerajaan.

5. Dalam perkara ini, TGHH dan golongan PAS yang pro-kerajaan perpaduan perlu memberi penjelasan apa yang dimaksudkan dengan kerajaan perpaduan. Adakah ia bermakna semua parti dalam negara ini menjadi kerajaan bersama dan tidak wujud istilah pembangkang? Atau hanya kerajaan perpaduan antara BN dan PAS yakni kerjasama antara parti UMNO dan PAS bagi membentuk kerajaan bersama?

6. Dato' seri Najib juga beranggapan bahawa TGHH dan golongan PAS yang pro kerajaan perpaduan sudah mula menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan bagi menjayakan cadangan kerajaan perpaduan ini.

7. Namun begitu, perlu diingat, kedua-dua pihak perlu mengkaji dan meneliti sedalam-dalamnya berhubung isu kerajaan perpaduan ini. Ia perlulah merangkumi semua aspek yang relevan seperti bentuk kerjasama yang sesuai, perkara yang memerlukan penekanan khusus dan hala tuju kerajaan perpaduan ini.

8. Pastinya semua pihak tidak mahu perlaksanaan kerajaan perpaduan ini hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam, atau akan timbul rasa tidak puas hati dan rasa terpinggir baik di pihak UMNO mahu pun PAS. Demi agama, bangsa dan negara, kita mahu kerajaan perpaduan ini (jika berjaya dilaksanakan) akan dapat menyumbang sesuatu ke arah yang positif dan apa yang lebih penting adalah rakyat dan negara dapat menikmati faedah dan manfaat dari kejayaan kerajaan perpaduan ini.

Isnin, Jun 15, 2009

UMNO PAS : Langkah awal Nizar, langkah 'Biadap'...

1. Biadap. Inilah istilah paling tepat untuk ditujukan kepada Nizar dan geng mangkuk hayunnya yang telah dihalau keluar dari Parlimen.

2. Nizar yang baru hari ini mula masuk ke Parlimen mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang yang baru dimenanginya dalam PRK lalu sudah mula terbawa-bawa sikap biadap dan tidak senonohnya dari Perak ke Parlimen.

3. Belum pun sampai 1/2 jam Nizar mengangkat sumpah, dia dengan penuh keegoan cuba untuk menarik perhatian dan menagih simpati Dewan berkaitan kemelut yang melanda negeri Perak. Turut serta bersamanya beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat lain antaranya Datuk Ngeh Khoo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping), N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) and Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dan beberapa pemimpin lain.

4. Nizar bersama konco-konconya cuba membuat kacau di dalam Dewan dengan memakai lilitan tangan bertulis 'Bubar DUN'. Speaker sebelum itu sudah beberapa kali memberi amaran agar menghormati dewan sebelum beliau hilang sabar dan terpaksa mengusir mereka keluar dari Dewan.

5. Sambil berjalan keluar, Nizar dengan sombongnya memekik "Bubar DUN" dan disambut oleh rakan-rakannya yang lain. Berikutan dengan tindakannya itu, Nizar bersama 4 lagi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dikenakan hukuman gantung dari menghadiri sidang selama 2 hari.

6. Saya amat tidak bersetuju dengan cara Pakatan Rakyat yang menggunakan nama rakyat untuk menarik perhatian dalam usaha untuk mendesak agar DUN Perak dibubarkan. Adakah seluruh rakyat Malaysia amnya dan rakyat Perak khususnya mahukan agar DUN dibubarkan? Atau hanya segelintir rakyat yang terdiri dari penyokong Pakatan Rakyat sahaja yang mahukan pembubaran DUN?

7. Bagaimana dengan suara rakyat yang tidak memerlukan pembubaran DUN? Jadi, Pakatan Rakyat tidak layak menggunakan istilah rakyat Malaysia untuk menagih simpati. Sepatutnya mereka perlu lebih rasional dengan menggunakan istilah 'seluruh penyokong Pakatan Rakyat' mahukan pembubaran DUN Perakk, bukan 'seluruh rakyat Malaysia'.

8. Walau apa pun, tindakan Nizar yang tidak menghormati parlimen memang tidak boleh dimaafkan. Jelas kini matlamatnya menjadi Ahli Parlimen bukan untuk berkhidmat kepada rakyat, tetapi berkhidmat untuk kepentingan politik peribadi.