Advertisement - Contact Us

MGJ2011 : KJ dijadual akan merasmikan event berbasikal terbesar di Bukit Merah dan bakal tercatat dalam Malaysian Book Of Record...


KEPALA BATAS 22 Mac - Lebih 2,500 peminat sukan basikal gunung (MTB) di seluruh negara bakal berentap dalam kejohanan Malaysian Gold Jamboree 2011 anjuran Pemuda UMNO di Bukit Merah Lake Town Resort, Perak, Ahad ini.

Program julung-julung kali diadakan itu juga bakal mencipta sejarah tersendiri apabila mencatatkan rekod baru dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai jambori kayuhan lasak terbesar pernah diadakan.

Jambori membabitkan kayuhan sejauh 48 kilometer itu turut disertai kira-kira 200 peserta luar termasuk dari Singapura, Thailand, Jepun, Australia, Denmark dan Jerman.

Pengerusi Biro Sukan Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Darus berkata, program tersebut bertujuan menyuburkan budaya sukan di kalangan masyarakat terutama generasi muda selain menggalakkan mereka beriadah.

Beliau berkata, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dijadualkan menyempurnakan majlis perasmian jambori tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Penyerahan tajaan dari SunTonic kepada Dato' Ahmad Darus.

"Sejak program ini dipromosikan di laman web Pemuda UMNO dua bulan lalu, kita menerima maklum balas amat menggalakkan termasuk peminat basikal lasak di luar negara.

"Sehingga hari ini sebanyak 2,511 penyertaan termasuk kira-kira 200 dari luar negara sudah diterima dan jumlah ini sudah mencukupi untuk kita mencipta rekod baru dalam MBR," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada sidang akhbar itu turut diadakan penyerahan tajaan daripada Sunquick Malaysia yang juga penaja utama jambori berkenaan.

Ahmad memberitahu, jambori yang dijangka berlangsung selama dua jam bermula pukul 7.45 pagi itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu terbuka, wanita dan veteran.

Menurutnya, sepanjang jambori tersebut, para peserta akan merentasi kawasan hijau sekitar kawasan peranginan itu selain melalui jalan-jalan kampung yang sempit dan mencabar.

"Selain hadiah utama bagi setiap kategori, seramai 1,000 peserta paling awal tiba pula akan menerima medal daripada pihak penganjur," jelasnya.

Beliau menambah, sempena jambori itu para peserta juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk basikal bukit bernilai RM8,000.

-Utusan Online-

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama