Advertisement - Contact Us

Saya terima AS$1.05 bilion bagi projek CSR, biayai PRU13, kata Najib


[4 Disember 2019]

Najib Razak memberitahu perbicaraan SRC International di Mahkamahh Tinggi di sini hari ini, beliau menerima AS$1.05 bilion dari 2011 hingga 2013 untuk tujuan “tanggungjawab sosial korporat (CSR)” dan membiayai Pilihan Raya Umum pada 2013.
Bekas perdana menteri itu berkata, beliau hanya mengetahui transaksi pemindahan dana itu ke akaun Ambanknya ketika disoal pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu.
Katanya, sebahagian wang itu yang diterima pada 2013 daripada akaun bank Tanore Finance Corporation digunakan untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam PRU13.
BN memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen pada 2013.
“Ini untuk memastikan kestabilan politik di negara ini seperti apa yang diharapkan Raja Abdullah.
“Baginda (Raja Abdullah) tidak mahu melihat kesan ‘Arab Spring’ tersebar ke Malaysia kerana berpendapat Malaysia boleh teladan kepada negara Islam lain,” katanya dalam pernyataan saksinya.
Terdahulu, Najib berkata, ahli perniagaan diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho memberitahunya pada 2010, Raja Abdullah mahu memberi bantuan kepadanya dalam bentuk bantuan kewangan tanpa menyatakan jumlahnya.
Katanya, sebagai presiden Umno dan pengerusi BN ketika itu, beliau diberikan kuasa untuk mengumpul sumbangan bagi perbelanjaan pilihan raya.
“Ini ialah sesuatu yang presiden Umno dan pengerusi BN terdahulu lakukan.”
Najib turut memberi maklumat mengenai 9 transaksi berjumlah AS$680.9 juta yang diterimanya daripada Tanore, sejurus sebelum PRU13 pada 5 Mei 2013, dalam akaun Ambanknya.
Katanya, beliau mengembalikan AS$620 juta kepada Tanore, sebuah syarikat yang beliau percaya ada kaitan dengan kerabat diraja Saudi pada Ogos tahun sama.
“Saya rasa tidak selesa menyimpan sejumlah besar wang dalam akaun saya dan saya bimbang jika maklumat ini bocor, ia mungkin dimanipulasi bagi tujuan politik,” katanya sambil menambah baki AS$120 juta dipindahkan ke satu akaun baru pada bulan sama.
Katanya, beliau menerima hampir AS$100 juta daripada Putera Faisal dan Kementerian Kewangan di Riyadh diterimanya pada 2011 dan AS$270 juta daripada Putera Faisal serta Blackstone Asia Real Estate Partner pada 2012.
Beliau berkata, wang itu digunakan untuk tujuan CSR dan tiada baki yang dikembalikan.
Najib berkata, beliau hanya tahu mengenai AS$1.05 bilion datang daripada Tanore, Putera Faisal, Kementerian Kewangan di Riyadh dan Blackstone Asia apabila disoal siasat SPRM serta selepas peguamnya mendapat dokumen bank daripada pihak berkuasa.
Beliau berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dana SRC International ke akaunnya.
Ahli Parlimen Pekan itu turut dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.
Perbicaraan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali diteruskan Isnin depan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama