Advertisement - Contact Us

1MDB: Saksi hanya hantar kiriman pesanan kepada Najib setahun sekali...


[14 Oktober 2019]

Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sudah masuk hari ke-22 sebelah petang ini akan terus menyambung pemeriksaan balas antara peguam bela, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan saksi ke-9 nanti.
Prosiding kes bermula lewat sekitar jam 2.30 petang berikutan permohonan oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tentang anak guamnya, Najib terpaksa ke Parlimen bagi menyertai perbahasan Belanjawan 2020 pagi ini.
Semalam, Shahrol yang juga bekas Ketua Eksekutif 1MDB diasak bertalu-talu oleh Shafee sehingga ada satu waktu seolah-olah beliau hilang sabar dan menggelarnya ‘bodoh’ kerana hanya mengikut segala kehendak dan arahan Low Taek Jho atau Jho Low tanpa merujuk kepada Najib terlebih dahulu.
Shahrol juga banyak memberikan jawapan-jawapan seperti ‘tidak tahu’ ‘no comment’ dan ‘tidak setuju’ dengan cadangan-cadangan dikemukakan oleh Shafee lebih-lebih lagi berkait dengan ahli perniagaan dalam buruan itu.
Lebih memeranjatkan lagi apabila Shahrol memberitahu mahkamah walaupun  mempunyai akses untuk berhubung terus dengan Najib namun beliau tidak pula ‘menyalahgunakan’ peluang itu kerana sangat menghormati Najib sebagai Perdana Menteri.
Jelasnya, beliau lebih senang untuk hanya sekadar menghantar pesanan ringkas kepada Najib ketika hari jadi setiap tahun, hari raya dan juga sebelum pilihan raya sahaja.
Malah beliau amat mempercayai apa sahaja yang didakwa oleh Jho Low dan tidak pernah ragu-ragu kerana padanya pasti Najib tahu tentang semua arahan serta dakwaan tersebut.
Shafee: Adakah kamu bersetuju dengan cadangan bahawa sebenarnya kamu mempunyai akses dan boleh berbalas mesej dengan Najib lagi-lagi nombor kamu ada dalam telefon bimbit Najib?
Shahrol: (Mengangguk). Saya hanya menghantar mesej kepada Najib setahun sekali untuk mengucapkan selamat hari jadi, hari raya dan sebelum pilihan raya.
Memang benar saya memang boleh berhubung terus dengan Najib, namun saya perlu menghormati beliau dan tidak menghantar mesej sewenang-wenangnya kepada beliau untuk perkara yang saya percaya adalah betul.
Saya juga pada masa itu saya tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak mempercayai Jho Low.
Shafee berkata Shahrol bersekongkol dengan Jho Low untuk menyembunyikan kedudukan sebenar syarikat 1MDB malah jawapan-jawapan kononnya banyak yang tidak tahu dan hanya sekadar mengikut arahan yang diberikan olehnya dengan kedudukan sebagai CEO langsung tidak boleh di terima sama sekali.
Shafee: Saya cadangkan anda ini sebenarnya bukan lurus atau naif kerana semuanya mengikut arahan Jho Low?
Shahrol: Tidak setuju.
Pada masa sama, Shahrol bagaimanapun bersetuju dengan cadangan peguam bahawa 1MDB melengah-lengahkan permintaan Jabatan Audit Negara untuk mendapatkan dokumen berkaitan syarikat.
Jelas Shahrol itu adalah keputusan Lembaga Pengarah namun tidak pula bersetuju bahawa Najib tiada kena mengena.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berdepan dengan penyewelengan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion selain daripada 21 pertuduhan lain termasuk penggubahan wang dan salah guna kuasa mengggunakan dana sama ketika masih menjawat jawatan Perdana Menteri.
Prosiding akan bersambung petang nanti di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama