Advertisement - Contact Us

Dato' untuk dijual !!! Kenapa begitu mudah anugerah ini diperdagangkan...

1.  Kenapa begitu mudah gelaran Dato' atau Dato' seri diperolokkan, dipermainkan, dijual beli dan akhirnya disalahguna oleh pihak yang tak bertanggungjawab? Bukankah gelaran ini dan seangkatan dengannya adalah merupakan satu anugerah yang eksklusif apatah lagi jika gelaran itu datangnya dari Yang DiPertuan Agong?

2.  Sesuatu perlu dilakukan dan banyak perkara perlu dikaji semula oleh pihak betanggungjawab terutama dari istana dalam memastikan setiap anugerah yang diberikan hanya diterima oleh mereka-mereka yang benar-benar layak dan mampu memikul anugerah yang diberikan. Kebelakangan ini kita sering lihat ketirisan yang berlaku di mana pangkat dan anugerah yang sepatutnya berprestij ini dapat diperolehi oleh sesiapa sahaja walaupun gagal dari segi kelayakan. Apa yang penting, mereka yang inginkan anugerah ini hanya perlu memiliki banyak wang, sedikit berpengaruh dan bijak bermain kata.

3.  Lihat sajalah dengan pembunuhan kejam Dato' Sosilawati. Suspek utama yang juga merupakan dalang mengaku memiliki gelaran Dato'. Walhal setelah disiasat, didapati bahawa gelaran Dato' itu sebenarnya dibeli dari individu lain, bukan diterima secara sah. Ini baru satu contoh. Entah berapa banyak lagi gelaran seperti ini telah diperdagangkan dan akhirnya jatuh ke tangan orang yang tidak layak.

4.  Tidak dinafikan bahawa ada beberapa negeri yang dilihat begitu mudah memberi anugerah dan gelaran. Hanya perlu sedikit bakti kepada masyarakat, wang, kenalan dari dalam maka ini sudah melayakkan seseorang individu menerima anugerah dari istana. Latar belakang, rekod silam tidak diletakkan sebagai antara kriteria utama bagi sesuatu anugerah. Jadi tidak hairanlah bagaimana kepala kongsi gelap, penjenayah komersial dan kolar biru, kaki suap dan kaki makan suap malahan termasuk pembunuh sendiri masih boleh layak menerima anugerah dan gelaran yang hebat ini.

5.  Sepatutnya, sebelum diputuskan kelayakan seseorang itu untuk menerima anugerah, pihak pengelola yakni dari istana perlu menubuhkan jawatankuasa khas yang telus, amanah dan bertanggungjawab bagi mengkaji dan meneliti sedalam-dalamnya dari segala aspek dan kriteria seseorang calon bagi apa jua anugerah yang akan diberikan. Ini termasuklah dari segi sumbangan kepada masyarakat, kedudukannya di hati masyarakat setempat berdasarkan feedback yang diberikan, rekod lampau dan beberapa kriteria lagi yang dianggap penting. Jawatankuasa yang dilantik mestilah telus dan terdiri daripada beberapa panel yang layak bukannya meraka yang boleh dibeli dengan wang ringgit.

6.  Selain itu, perlu juga diwujudkan satu pengkalan data bertujuan merekodkan dan menyenaraikan individu yang telah menerima apa jua anugerah di semua negeri. Sekurangnya-kurang orang ramai boleh memeriksa samada seseorang individu itu benar-benar menerima anugerah atau tidak dan ini dapat mengelakkan penipuan. Dengan wujudnya pengkalan data ini, maka tidak timbul hal menjual anugerah kepada pihak ketiga memandangkan nama setiap penerima sudah tercatat dalam pengkalan data itu.

7.  Di samping itu, pihak istana perlu lebih tegas bagi memastikan prestij setiap gelaran yang dianugerah sentiasa terpelihara. Individu yang telah menerima anugerah kemudiannya didapati bersalah oleh mahkamah dalam apa juga kes perlu dikenakan tindakan tatatertib. Ini termasuklah menarik semula anugerah yang diberikan, menggantung anugerah, denda atau apa yang difikirkan sesuai berdasarkan tahap kesalahan yang telah dilakukan. Pihak istana juga perlu sentiasa memantau agar anugerah yang diberikan ini tidak disalahgunakan.

8.  SMB memuji pihak istana Johor dan Kelantan yang telah mengambil tindakan tegas terhadap individu yang pernah menerima anugerah dari kedua-dua negeri dan kemudiannya melakukan salah laku yang tidak sepatutnya. Perlu diingat setiap penerima sebenarnya membawa bersama nama istana yang menganugerahkan kepada mereka. Jadi, memang sewajarnya untuk mereka sentiasa menjaga nama baik istana dan pada masa yang sama memastikan agar gelaran yang diterima tidak dicemuh dan diperbodohkan oleh masyarakat.

3 Ulasan

  1. Nak berurusan dengan Dato palsu ini bukan mudah. Setiap yang di bayarkan akan di ambil balik. Selepas di pulangkan semula wang, pilihan di beri kepada pelanggan samada hapuskan diri sendiri atau Dato boleh menghantar Upahan Sri Langka untuk menghapuskan bukti.

    agbr47: Bila peguam mengurus peniagaan haram.

    BalasPadam
  2. Alahai Datuk.....rasanya kalau lontar batu kat tengah-tengah Chow Kit ada besar kemungkinan akan kena seorang Datuk......dulu gelaran Datuk ada nilai, sekarang ramai yang shopping kat Nilai

    BalasPadam
  3. Benarkah wujud orang dalam berkaitan kes Sosilawati???

    BalasPadam
Terbaru Lebih lama