Advertisement - Contact Us

4 ke 8 calon bakal bertanding merebut DUN Penanti.

1. 23 Mei ini telah ditetapkan hari penamaan calon bagi Pilihanraya Kecil DUN Penanti manakala 31 Mei pula merupakan hari kemuncak di mana seluruh warga Penanti yang telah berdaftar akan keluar mengundi bagi menentukan ADUN baru bagi kawasan tersebut.

2. Kerusi DUN Penanti telah dikosongkan setelah bekas penyandang yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Fairus Khairuddin meletak jawatan.

3. Wujud kemungkinan bahawa PRK Penanti ini bakal menyaksikan satu lagi perebutan melibatkan ramai calon yang bertanding sepertimana yang telah berlaku di DUN Bukit Selambau. Untuk rekod, PRK DUN Bukit Selambau telah ditandingi oleh seramai 15 calon dan ianya dimenangi oleh calon PKR.

4. Jumlah calon yang telah menyatakan pendirian mereka untuk bertanding di DUN Penanti setakat ini adalah seramai 4 orang yang bakal mewakili parti masing-masing. Jumlah ini tidak termasuk calon BN yang masih menantikan jawapan dari Presidennya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak samada akan meletakkan calon atau tidak. Sebelum ini timbul spekulasi bahawa BN tidak akan turut serta bagi merebut kerusi Penanti ini.

5. Antara calon yang telah mengesahkan bakal bertanding di DUN Penanti ini adalah Dr. Mansor Othman (PKR), seorang calon dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), seorang calon dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang calon Bebas iaitu Aminah Abdullah.

6. Aminah Abdullah (gambar) yang bakal bertanding atas tiket Bebas merupakan bekas Ketua Angkatan Wanita Keadilan. Sebelum ini beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa wujud penawaran jawatan tertinggi dalam PKR kepada beliau supaya beliau menarik balik hasrat untuk bertanding.

7. Tidak mustahil akan ada beberapa calon Bebas yang bakal turut serta dalam PRK ini berdasarkan senario politik semasa terutama melibatkan kemelut dalaman Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Sebelum ini wujud desakan dari Pemuda PAS Negeri untuk meletakkan calon PAS bagi merebut kerusi Penanti ini. Desakan ini telah ditolak oleh kepimpinan tertinggi PAS atas alasan semangat setiakawan di kalangan PR perlu dijaga.

8. Kemungkinan jumlah calon yang bakal bertanding di DUN Penanti ini boleh mencecah hingga 8 orang jika BN dan beberapa calon Bebas mengesahkan pendirian mereka untuk bertanding.

9. Apapun, sehingga hari penamaan calon dan sehingga tempoh bantahan pada hari penamaan calon tersebut, macam-macam perkara boleh berlaku dan pelbagai andaian serta spekulasi akan terus menjadi isu selepas ini.

10. Tidak mustahil PRK kali ini juga bakal menyaksikan jumlah yang ramai bakal kehilangan wang deposit sepertimana yang telah berlaku di Bukit Selambau.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama