Advertisement - Contact Us

UMNO Mahu Kembali Kerusi Bukit Selambau. - MalaysiaKini

"Feb 11, 09 2:18pm
Umno Bahagian Merbok hari ini mencadangkan agar calon daripada Umno dipilih untuk bertanding dalam pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bukit Selambau.

Ketuanya Datuk Tajul Urus Md Zain berkata kerusi DUN Bukit Selambau pernah diwakili oleh Umno sebelum ia diberikan kepada MIC selama empat penggal.

"Setelah empat penggal, MIC kini tidak lagi mempunyai pengaruh di kawasan itu dan kita telah menerima maklum balas daripada pengundi di peringkat akar umbi yang mahukan wakil daripada Umno untuk bertanding," katanya kepada Bernama hari ini.

Bukit Selambau merupakan sebuah pekan kecil yang terletak dalam kawasan Parlimen Merbok dan kawasan DUN itu dikosongkan ekoran peletakan jawatan wakil rakyatnya V Arumugam Isnin lepas.

Arumugam yang menang atas tiket bebas dalam pilihanraya umum tahun lalu, kemudiannya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri sebelum meletakan kedua-dua jawatan itu atas alasan tidak tahan dengan ugutan pihak tertentu.

Pakatan Rakyat memerintah selepas memenangi 22 daripada 36 kerusi di DUN negeri. BN pula mempunyai 14 kerusi.

Daripada 22 kerusi tersebut, 16 dimenangi PAS, PKR (5) dan DAP (1).

Sementara itu, Tajul Urus berkata Umno percaya sudah tiba masanya kerusi DUN berkenaan diberi semula kepada parti itu kerana jumlah pengundi Melayu melebihi 50 peratus.

Katanya mesyuarat khas Umno Bahagian yang diadakan malam tadi juga memutuskan untuk memohon pertimbangan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) agar memilih calon BN daripada Umno untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN itu.

PAKATAN RAKYAT JUGA BEREBUT KERUSI.

Parti-parti gabungan dalam Pakatan Rakyat telah menyatakan hasrat mereka untuk meletakkan calon masing-masing bertanding dalam pilihanraya kecil Bukit Selambau di Kedah.

DAP dan PAS, malah Hindraf yang telah diharamkan, berminat untuk bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan bermesyuarat Jumaat ini berhubung pilihanraya kecil di Bukit Selambau dan Bukit Gantang.

Setiausaha penganjur DAP Kedah, Teoh Teik Guan mengesahkan spekulasi yang partinya berminat untuk bertanding kerusi tersebut kerana calon DAP pernah bertanding di situ sebelum pilihanraya umum 2008 apabila pembangkang bertanding di bawah Pakatan Rakyat.

"Ia adalah kerusi DAP sebelum 2008. Jadi kita berhasrat untuk bertanding semula di situ," katanya kepada Malaysiakini, sambil menambah DAP Kedah akan bermesyuarat tidak lama lagi untuk memutuskannya.

Kepimpinan DAP negeri, katanya, telahpun menyampaikan hasratnya untuk mengenal pasti 'calon yang berwibawa' tetapi menyerahkan kepada pemimpin parti untuk memuat keputusan muktamad selepas berbincang dengan rakan-rakan lain dalam Pakatan.

Antara calon yang disebut-sebut ialah ahli seumur DAP, S Neelamekan, 49, yang dilahirkan di Pulau Pinang.

Neelamekan yang juga pengerusi cawangan Lunas, pernah bertanding kerusi DUN Perai tetapi kalah kepada penyandang dari Barisan Nasional (BN), Dr K Rajapathy pada 1999.

Pada tahun 2000, beliau merupakan antara calon-calon yang dipertimbang bertanding dalam pilihanraya kecil Lunas di bawah tiket DAP.

PAS difahamkan juga berminat untuk meletakkan calonnya bertanding yang berturunan India-Jegadeeson Thavasu - dari Sungai Petani.

Beliau yang merupakan ahli kelab penyokong PAS di Kedah, Jegadeeson aktif berkempen untuk calon parti itu dan Pakatan dalam pilihanraya umum lalu.

Jegadeeson dilihat oleh pemimpin PAS tempatan sebagai calon yang mampu menarik sokongan pengundi semua kaum.

Sementara itu, penyelaras nasional Hindraf, RS Thanenthiran, 45, yang mungkin bertanding atas tiket PKR."
- MalaysiaKini

Nampaknya masing-masing baik dari Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat amat inginkan kerusi Bukit Selambau ini. Berdasarkan situasi politik terkini nampaknya peluang masing-masing amat terbuka. Jika sebelum ini kerusi Bukit Selambau diwakili oleh ADUN dari Bebas sebelum mengambil keputusan untuk menyertai PKR, namun tidak mustahil selepas ini kerusi itu bakal ditawan semula oleh Barisan Nasional.

Barisan Nasional perlu meneliti dan mengkaji dengan sebaik mungkin sebelum mengambil keputusan untuk meletak calon yang paling bersesuaian bagi merampas kembali kerusi tersebut dari tangan PR.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama