Advertisement - Contact Us

Sidang tergempar DUN: Wajah Di Sebalik Topeng Pakatan Rakyat. - MalaysiaKini

"Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar memanggil sidang tergempar dewan itu Selasa depan untuk membahaskan dua usul yang boleh mengusutkan lagi krisis politik negeri tersebut.

Beliau menggunakan kuasanya bawah peraturan tetap 8 dan 11 DUN itu untuk membahaskan isu-isu utama yang menjadi ketegangan pokok antara Pakatan Rakyat dan BN sejak awal bulan ini.

Usul pertama, mengesahkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah sebelum ditumbangkan dalam rampasan kuasa BN.

Kedua, membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihanraya peringkat negeri diadakan seperti hasrat Pakatan Rakyat sebelum ini.

Krisis politik di negeri itu tercetus susulan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat meninggalkan kerajaan campuran itu dan menyatakan sokongan kepada BN.

Speaker membenarkan kesemua Adun hadir di persidangan khas itu kecuali mereka yang telah digantung pada 18 Feb lalu, iaitu menteri besar kerajaan BN sekarang Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exconya.

Tiga wakil rakyat bebas - yang dianggap telah mengosongkan kerusi masing-masing melalui surat peletakan jawatan mereka - juga dilarang menyertai sidang tersebut.

Jika larangan itu dipatuhi, barisan wakil rakyat BN akan tinggal 21 orang, sementara Pakatan Rakyat 27 orang, tidak termasuk Sivakumar.

Sidang tergempar DUN ini akan mencetuskan satu lagi babak tegang dan tidak menentu perebutan kuasa antara BN dan Pakatan.

Menurut Bernama, Sivakumar memberitahu media di Ipoh bahawa sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan persidang biasa DUN dan bukannya untuk sidang tergempar.

Katanya, arahan telah diberikan kepada Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong, untuk menghantar notis secepat mungkin kepada semua 49 Adun yang dibenarkan hadi bagi menyertai sidang itu.

Ditanya sama ada tindakannya memanggil sidang tergempar itu tanpa perkenan Sultan Azlan Shah akan dianggap sebagai tidak menghormati baginda, Sivakumar berkata beliau hanya mengikut Perintah Tetap dewan.

Beliau juga enggan mengulas tindakan selanjutnya jika kesemua
Adun BN enggan menghadiri sidang tergempar itu atau jika kesemua 10 wakil rakyat yang dilarang itu tetap hadir ke sidang tersebut, lapor agensi berita itu lagi.

Sementara itu, exco kanan Perak bawah kerajaan Pakatan Rakyat, Datuk Ngeh Koo Ham dilaporkan berkata penasihat undang-undang negeri Datuk Ahmad Kamal Mohd Shahid cuba menghalang notis sidang tergempar itu dikeluarkan.

Tambahnya, tindakan sedemikian boleh disifatkan menghina dewan dan boleh dikenakan tindakan oleh DUN tersebut."
- MalaysiaKini

Siapa yang takut dan penakut sebenarnya. Memanggil sidang tergempar adalah perkara biasa tetapi memanggil ketika ADUN BN di gantung dan ADUN Bebas dilarang hadir adalah satu tindakan yang gila dan tidak masuk akal. Ditambah pula dengan kemungkinan bakal berlakunya usul tidak percaya kepada kerajaan BN yang baru menambahkan lagi kebingungan pentadbiran negeri Perak.

Tak kisah lah jika hendak mengadakan usul tidak percaya, tapi kenapa diadakan ketika ADUN BN digantung? Tidakkah ini menunjukkan betapa pengecutnya Pakatan Rakyat? Dan menunjukkan betapa teringinnya Pakatan rakyat hendak mengambil kuasa di Perak? Sudah la begitu, 3 ADUN Bebas yang condong kepada BN juga tidak dibenarkan hadir ke sidang tersebut. Jadi, tidak perlu dihitung lagi kerana jelas Pakatan Rakyat akan memperolehi suara majoriti walaupun melalui cara yang paling bacul sekali dalam sejarah demokrasi Malaysia.

Kenapa tidak dipanggil kesemua ADUN negeri Perak termasuk dari BN untuk hadir ke sidang tergempar tersebut. Sekurang-kurangnya rakyat akan tahu siapa sebenarnya yang menjadi majoriti dalam dewan tersebut. Walau apa pun, topeng yang selama ini melindungi wajah Pakatan Rakyat kian terbongkar sedikit demi sedikit. Rakyat tanpa perlu diajar akan dapat menilai mana satu kerajaan terbaik yang benar-benar membela rakyat dengan kerajaan yang hanya mabuk kuasa dan sentiasa terlentok duduk di atas kerusi selesa.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama