Advertisement - Contact Us

DAP Semakin Berbelah Bahagi.


"KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini berkata semua ahli dalam parti itu tidak bersetuju dengan amalan lompat parti dan cadangan pelaksanaan hukum hudud.

Kenyataan Karpal itu dilihat bercanggah dengan pendirian Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang mengalu-alukan penyertaan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bota Datuk Nasarudin Hashim ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, sebelum kembali semula menyertai Umno.

Pada 27 Jan lepas, Lim dilaporkan berkata bahawa tindakan Nasaruddin menyertai PKR akan menguatkan lagi Pakatan Rakyat di Perak.

Karpal berkata, beliau mahu Ketua Menteri Pulau Pinang itu menjelaskan pendiriannya berhubung isu lompat parti, yang beliau sifatkan sebagai pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat.

Jika benar Guan Eng mengeluarkan kenyataan itu, ia bermakna beliau telah melakukan satu kesilapan yang besar memandangkan tindakan mempromosikan budaya lompat parti adalah salah, kata Karpal kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Karpal turut mempertahankan kenyataannya tempoh hari yang menyelar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak layak menjadi pemimpin Pakatan Rakyat kerana beliau hanya memberi masalah kepada pakatan pembangkang itu."
- Bernama

Kepincangan dalam Pakatan Rakyat dilihat seperti tidak dapat dibendung lagi. Berpunca dari situasi politik yang telah berlaku di Negeri Perak, Setiap parti di dalam PR umpama sudah hilang kesefahaman yang selama ini cuba dibentuk. Kepincangan ini turut merebak hingga menjangkiti kepimpinan DAP.

Tindakan Karpal Singh selaku Pengerusi DAP yang menyelar Penasihat PKR, Anwar Ibrahim rupanya tidak mendapat sokongan daripada kepimpinan lain dalam DAP. Mungkin masing-masing yakni Guan Eng dan Kit Siang dalam keadaan berbelah bahagi samada perlu menyokong pendirian yang dinyatakan oleh Pengerusi DAP itu atau bertahan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Anwar Ibrahim yang menolak kemungkinan untuk menyaman Sultan Perak.

Apapun kemelut yang sedang melanda Pakatan Rakyat pasti akan membawa kesan buruk pada masa akan datang. Kesefahaman yang cuba dipertahankan semakin terurai. DAP pasti akan mengkaji semula penglibatan mereka dalam Pakatan Rakyat. Tidak mustahil jika DAP bakal menjadi parti pertama yang berundur dari Pakatan Rakyat.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama