Advertisement - Contact Us

Calon PKR: 18 tawar diri di Bkt Selambau. - MalaysiaKini

"Feb 23, 09 1:32pm
Seramai 18 calon telah menawarkan diri untuk bertanding mewakili PKR dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN), Bukit Selambau di Kedah pada 7 April depan.

Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan kesemua mereka Sabtu lalu.

Berikutan itu, katanya, empat nama telah disenarai pendek untuk pertimbangan pucuk pimpinan parti tersebut.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad berkata peluang PKR untuk mengekalkan kerusi tersebut adalah amat cerah ekoran wujudnya perebutan kerusi antara parti komponen BN.

Sebelum ini, Umno bahagian Merbok dilaporkan meminta kerusi tersebut dipulang kepada parti itu kerana tidak yakin dengan kemampuan MIC untuk memenanginya.

Ditanya mengenai empat nama tersebut, Ahmad bagaimanapun enggan menyatakan identiti dan keturunan calon-calon tersebut kerana ia "cukup sulit".

Kerusi tersebut kosong selepas penyandangnya, V Arumugam meletak jawatan exco kerajaan negeri dan Adun Bukit Selambau awal bulan ini.

Dalam pilihanraya 8 Mac tahun lalu, . Arumugam yang bertanding atas tiket bebas menang dengan majoriti 2,362 undi. Beliau mendapat 13,225 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari MIC, S Krisnan yang mendapat 10,863 undi.

Saiful tidak bertanding

Beliau menewaskan calon BN dari MIC, S Krishnan, sebelum menyertai PKR dan dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri.

Manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak kertas pencalonan calon PKR, Saiful Izham Ramli atas sebab-sebab teknikal.

Kali ini, terdapat 35,140 pengundi layak mengundi di DUN Bukit Selambau, dengan lebih 50 peratus merupakan pengundi Melayu.

Mereka terdiri daripada 35,125 pengundi biasa, manakala 15 lagi adalah pemilih pos.

Ahmad juga ditanya mengenai ura-ura bahawa Saiful Izham yang juga ketua AMK Kedah, akan bertanding semula dalam pilihanraya kecil kali ini.

Setahunya, kata beliau, Saiful Izham tidak boleh bertanding ekoran tidak menghantar penyataan kewangan sewaktu bertanding di DUN tersebut dalam pilihanraya umum ke-12, Mac tahun lalu.

PKR pusat akan umum

"Pilihanraya akan datang, bolehlah (bertanding)" kata Ahmad yang juga ahli Parlimen Kuala Kedah.

Ditanya mengenai ciri-ciri calon yang dititikberatkan, beliau berkata, pihaknya mengambil kira dari sudut keperibadian calon, latar belakang pendidikan serta penglibatan dalam perjuangan parti serta kalis ugutan dan sogokan.

"Kita mementingkan ketelusan (calon) dan kebolehpercayaan dalam parti serta jaminan bahawa dia tidak akan lompat parti," katanya.

Menurut Ahmad lagi, pihaknya sudah bersedia bertemu dengan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bila-bila masa untuk menyerahkan nama calon-calon tersebut.

Katanya, pengumuman nama calon bagi kerusi tersebut akan dibuat oleh PKR pusat bila tiba masanya."
- MalaysiaKini

Terdapat beberapa faktor kenapa begitu ramai ahli PKR yang berminat menawarkan diri untuk bertanding di atas tiket PKR di Bukit Selambau pada pandangan saya. Pertama, mungkin disebabkan semangat yang membara di kalangan ahli PKR untuk berjuang membela rakyat dan melakukan perubahan di Bukit Selambau. Masing-masing pastinya sudah bersedia dengan manifesto yang serba hebat yang mampu menyakinkan rakyat dan pucuk pimpinan PKR untuk memilih mereka.

Kedua, mungkin disebabkan masing-masing kepingin untuk memegang kuasa selaku ADUN kerana yakin mampu menang di Bukit Selambau. Lagipun mereka pasti dapat merasa betapa sukarnya untuk mereka menjadi wakil rakyat tatkala berada bersama BN dahulu. Persaingan di kalangan parti komponen BN membuatkan mereka akan terpinggir dan dipinggir. Peluang berada bersama PKR pasti tidak akan dilepaskan untuk menjadi wakil rakyat kerana jumlah ahli yang memiliki kredibiliti untuk memimpin agak terhad. Disebabkan masalah inilah yang membuatkan calon setahun jagung diambil dan terus cuba diberi kepercayaan menjadi orang no 2 dalam kerajaan P. Pinang walhal kemampuan untuk mentadbir yang dimiliki Fairoz tidaklah sehebat mana.

Kemungkinan ketiga yang tidak seharusnya dipandang sepi adalah berdasarkan senario politik semasa. Suasana politik yang semakin rancak dengan tragedi melompat parti pastinya menjadi salah satu faktor kenapa masing-masing berebut untuk menjadi calon. Ini kerana sekiranya mereka menang, inilah masanya untuk mereka menerima pelawaan melompat parti dengan ganjaran yang amat lumayan. Siapa yang sanggup melepaskan RM50 juta yang ditawarkan sekiranya melompat parti. Inilah yang dinamakan bulan jatuh ke riba.

Walau apa pun kemungkinan, pasti ada sebab musabab kenapa masing-masing beria-ia menawarkan diri menjadi calon. Hanya mereka dan Allah sahaja yang tahu...

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama