Advertisement - Contact Us

Sultan Mizan lantik Jho Low jadi penasihat TIA – Najib


[3 Disember 2019]

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan bagaimana Low Taek Jho atau Jho Low yang merupakan kenalan rapat kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin memainkan peranan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).
Kata Najib, Jho Low yang kini sedang dalam buruan pihak berkuasa telah dipilih sebagai penasihat kepada Sultan Mizan bagi menentukan hala tuju TIA dalam pembangunan di Terengganu.
TIA kemudian telah ditukar nama kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas Najib menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009.
Jho Low juga kata Najib merupakan kenalan rapat adik kepada Sultan Mizan iaitu Tengku Datuk Rahimah Almarhum Sultan Mahmud.
“Seperti apa yang saya fahami, konsep TIA ini ‘muncul’ kerana perbincangan antara Jho Low dan Sultan Mizan serta Kerajaan Negeri Terangganu pada masa itu.
“Saya difahamkan juga Jho Low dilantik sebagai penasihat kepada pengerusi lembaga pengarah TIA iaitu Tuanku Mizan sendiri.
“Jho Low mempamerkan dirinya sebagai individu yang amat berpengaruh di negara Asia Barat.
“Saya percaya bahawa ahli perniagaan itu mampu dalam mempermudahkan urusan pelaburan kerana negara Asia Barat mempunyai lebihan wang tunai disebabkan kenaikan harga minyak.
“Disebabkan itu saya berfikiran bahawa pengaruh dan jalinan oleh Jho Low sememangnya akan mempermudahkan matlamat dan pelaburan 1MDB seperti yang diinginkan,” katanya.
Najib berkata demikian ketika membacakan pernyataan bersumpahnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika perbicaraan membela diri SRC International hari ini.
Sambung Najib lagi, oleh kerana gambaran ‘pengaruh’ Jho Low itu juga menyebabkan ahli perniagaan itu kekal sebagai penasihat walaupun TIA diambil alih kerajaan Persekutuan.
Kata Ahli Parlimen Pekan itu lagi, walaupun nama TIA telah ditukar kepada 1MDB namun ia tetap mengekalkan lembaga pengarah yang sama berikutan pengalaman dan kelayakan mereka dalam operasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Nama lembaga pengarah yang disebut oleh Najib termasuk Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Mohd Bakke Salleh, Tan Sri Datuk Azlan Zainol dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TIA.
Dedah Najib lagi, selepas keputusan supaya TIA diambil alih oleh kerajaan Persekutuan dan saham dipegang Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), Ahli Lembaga Penasihat memaklumkan mengenai keperluan untuk meminda Memorandum & Artikel Persatuan 1MDB (M&A) yang sedia ada.
Perbicaraan kemudiannya berhenti rehat untuk makan tengah hari.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama