Advertisement - Contact Us

Peguam Najib mahu pakar Australia sahkan tandatangan, tulisan


[9 Disember 2019]

Pasukan pembelaan Najib Razak bagi perbicaraan SRC International mahu memanggil pakar asing bagi menentukan ketulenan tandatangan dan tulisan barang-barang kes tertentu.
Peguam, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini pakar akan tiba dari Australia pada Rabu.
Beliau mencadangkan pakar itu menjalankan pemeriksaan barang kes disaksikan kakitangan mahkamah dan pasukan pendakwaan.
“Barang-barang kes itu tidak akan diganggu. Selepas pakar periksa barang-barang kes, dia akan pulang dan sediakan laporannya,” kata Shafee.
Bagaimanapun, pendakwa raya ad hoc, V Sithambaran membantah permintaan pasukan pembelaan itu, mengatakan pendakwaan mungkin akan diprejudiskan.
“Saya mahu pertikaikan perkara ini secara rasmi, dan mereka harus buat satu permohonan rasmi dan kemukakan satu afidavit untuk kami jawab,” katanya.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali meminta pasukan pembelaan membuat satu permohonan rasmi untuk pertimbangannya.
Seorang lagi peguam Najib, Harvinderjit Singh kemudian berkata mereka akan membuat permohonan itu minggu ini.
Terdahulu, Najib beritahu mahkamah tiada keterangan dokumen atau testimoni saksi menunjukkan beliau menggelapkan dan mengarahkan pemindahan dana SRC International ke akaun banknya.
“Tiada pun keterangan dikemukakan di mahkamah menunjukkan saya minta sebarang suapan semasa pengeluaran jaminan kerajaan kepada SRC,” katanya dalam testimoni.
Ketika disoal peguamnya, Wan Aizuddin Wan Mohammad kerana beliau tidak membuat laporan polis selepas muncul berita mengenai dakwaan pemindahan RM42 juta dana SRC International, beliau tidak berbuat demikian atau membuat sebarang kenyataan kerana tidak mahu dilihat mengganggu pihak berkuasa.
“Pada 2016, peguam negara tampil berkata tiada keterangan yang mengaitkan saya dengan sebarang salah laku. Itu yang saya pegang hingga hari ini,” katanya.
Aizuddin berkata pasukan pembelaan akan memanggil bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali untuk memberi keterangan mengenai mengenai kenyataan medianya bahawa tiada keterangan dalam siasatan pihak berkuasa yang menunjukkan Najib menyalahgunakan kedudukan sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.
Najib juga berkata setiausaha peribadinya sebelum ini, Azlin Alias mungkin diperdaya ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho dan ketua pegawai eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil berhubung isu berkaitan akaun banknya.
“Dakwaan oleh seorang saksi (bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia, Ung Su Ling) bahawa Azlin mengarahnya memindahkan dana daripada Ihsan Perdana Sdn Bhd ke akaunnya adalah tidak berasas dan semasa perbicaraan didedahkan dia rakan Low,” katanya.
Najib berdepan 6 tuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam penyaluran RM42 juta ke akaunnya daripada SRC International, bekas unit 1MDB.
Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion kepada SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan.
Perbicaraan di hadapan Nazlan bersambung esok.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama