Advertisement - Contact Us

PRK P044 : Cikgu Zaidi Berkorban Demi Perpaduan Permatang Pauh. Tanggungjawab Besar Di Bahu Abg Mie...


Ini adalah status yang telah dimuatnaik oleh Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Dato' Mohd Zaidi Bin Mohd Said di dalam laman facebook beliau 1 hari selepas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Bin Yassin mengumumkan Saudara Suhaimi Bin Hj. Sabudin sebagai calon PRK P044 Parlimen Permatang Pauh mewakili Barisan Nasional.

Sebenarnya banyak pihak tertanya-tanya kenapa Dato' Zaidi selaku Ketua UMNO Bahagian tidak dipilih sebagai calon BN. Berdasarkan latar belakang, komitmen, kerja keras dan semangat jelas sekali Dato' Zaidi sepatutnya menjadi pilihan utama. Ditambah pula dengan keupayaan beliau yang berjaya melakukan transformasi dalam Bahagian Permatang Pauh sebaik sahaja berjaya menduduki kerusi Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh menjadikan beliau sangat dihormati dan disegani oleh segenap lapisan masyarakat Permatang Pauh.

Dominasi oleh segelintir puak dalam Bahagian Permatang Pauh telah berjaya dirombak oleh beliau. Berdasarkan pengalaman beliau sewaktu menduduki kerusi Pemuda Bahagian menjadikan beliau tekad untuk meruntuhkan tembok dominan yang menjadi penghalang antara kerajaan UMNO BN dan penduduk Permatang Pauh.

Beliau merupakan seorang ketua yang sangat rajin turun ke akar umbi. Banyak program-program dan aktiviti-aktiviti UMNO Bahagian telah sampai manfaatnya hingga ke bawah. Kemesraan dan keramahan beliau melayan setiap individu yang ditemuinya membuatkan masyarakat mudah mesra untuk bergaul dengan beliau. Terkenal dengan panggilan 'Cikgu Zaidi', beliau amat dikagumi dan digeruni oleh kawan mahupun lawan. Satu persatu pembaharuan yang positif telah berjaya beliau perkenalkan di Permatang Pauh. Dengan program-program mesra anak muda dan belia menyebabkan semakin ramai golongan muda yang sudah mula tertarik dengan UMNO dan perjuangannya.

Dari awal lagi SMB seolah-olah dapat merasakan bahawa Cikgu Zaidi bukanlah calon yang akan diumumkan. Berdasarkan spekulasi-spekulasi yang bertiup kencang ditambah pula dengan kenyataan dari Cikgu Zaidi sendiri sewaktu membayangkan hasil perbincangan beliau bersama Presiden UMNO, tampak Cikgu Zaidi seolah-olah sudah merangka pelan strategi terbaik untuk menghadapi PRK ini.

Seorang ketua yang layak, yang memenuhi kriteria calon yang ditetapkan dan memiliki rekod bersih, apabila beliau sendiri menolak untuk dicalonkan dan bersedia untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon pilihan, ini adalah satu pengorbanan yang besar, yang tidak dimiliki semua orang, hanya ada dalam diri pemimpin yang berjiwa besar, yang sedia berjuang dan berkorban demi agama, bangsa dan tanahair.

Calon yang beliau cadangkan juga pastilah bukan calang-calang orang. Saudara Suhaimi mungkin kurang dikenali di peringkat tertinggi. Namun berdasarkan pengalaman beliau yang pernah menjadi orang no. 2 dalam Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, kemudiannya dilantik oleh Cikgu Zaidi sendiri sebagai Setiausaha UMNO Bahagian hingga kini dan merupakan Ketua UMNO Cawangan Guar Jering menjadikan SMB yakin bahawa calon yang dipilih ini sudah sangat dikenali dan akrab dengan seluruh masyarakat Permatang Pauh khususnya pengundi yang akan membuang undi pada bulan Mei ini. Dan inilah sebenarnya kriteria yang paling penting yang perlu ada untuk menjadi calon PRK P044 mewakili UMNO BN.

SMB sekali lagi salute dengan pengorbanan yang telah dibuktikan oleh Cikgu Zaidi. Jelas sekali niat beliau sewaktu menduduki kerusi Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh bukanlah kerana hendak mengejar pangkat dan kuasa. Demi memartabatkan perjuangan UMNO, demi membela nasib penduduk Pematang Pauh khususnya orang Melayu, demi membawa perubahan kepada bumi Permatang Pauh mendorong beliau mengambil alih tampuk kepimpinan UMNO bahagian Permatang Pauh.

Namun lebih dari itu, beliau sanggup mengorbankan kerjaya beliau sebagai seorang guru yang sepatutnya telah menjamin masa depan beliau untuk memilih terjun ke dunia politik yang penuh pancaroba. SMB percaya bahawa Cikgu Zaidi bersama barisan kepimpinannya lah yang akan menjadi tulang belakang dan tiang seri kepada kejayaan UMNO dan Parlimen Permatang Pauh... InsyaAllah.

SMB mendoakan agar Cikgu Zaidi, Saudara Suhaimi dan seluruh jentera UMNO Permatang Pauh sentiasa istiqhomah dalam perjuangan membela agama, bangsa dan tanahair bersama UMNO. Ikhlaskan perjuangan anda, bekerja keras dan patuh dengan suruhan Allah, InsyaAllah, Allah akan bersama dengan mereka yang benar.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama