Advertisement - Contact Us

PRK P044 : Antara Kredibiliti Dan Simpati... Apa Pilihan Anda ?

"SEMPOI" & "MUDAH KIRA"

Ini lah ciri-ciri yang dimiliki oleh calon BN bagi PRK P044 Parlimen Permatang Pauh, Saudara Suhaimi Bin Haji Sabudin yang telah diumumkan oleh Timbalan Presiden UMNO semalam di PERDA Mall City. Dengan semangat baru yang dimiliki oleh orang muda pastinya akan menjanjikan satu perubahan yang positif yang akan dibawa ke Parlimen Permatang Pauh sekiranya beliau diberi mandat dalam PRK nanti.

Dengan slogan :

"MELAKAR SEJARAH BARU"

seolah-olah menggambarkan penduduk Permatang Pauh sebenarnya sangat mendambakan satu perubahan. Perubahan yang mana mampu memacu pembangunan sosio-ekonomi seiiring dengan kemajuan yang sedang dikecapi di kawasan lain.

Secara umumnya, Permatang Pauh merupakan sebuah kawasan pinggiran bandar yang berpotensi besar untuk dibangunkan. Pada zaman era Barisan Nasional memerintah Pulau Pinang, sudah banyak pembangunan yang dilaksanakan di Permatang Pauh khususnya di Bandar PERDA. Tidak dinafikan sumbangan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh yang ketika itu mewakili UMNO dan Barisan Nasional, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri sudah mula membuat perancangan untuk memajukan parlimennya.

Namun begitu, harus diingat, sekalipun beliau dan isteri tidak lagi mewakili panji Barisan Nasional sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, kerajaan negeri dan persekutuan di bawah UMNO dan Barisan Nasional tidak pernah meminggirkan Permatang Pauh. Pembangunan yang telah dirancang tetap diteruskan sekalipun BN sedar bahawa Permatang Pauh merupakan kubu kuat, tanah kelahiran parti Keadilan dan PKR. Bilamana kerajaan negeri diambil alih oleh Pakatan Rakyat pimpinan DAP, mereka hanya mengambil manfaat sahaja hasil pembangunan yang telah dimulakan oleh BN.

Istimewanya di Permatang Pauh, majoriti penduduknya adalah berbangsa Melayu. Pembangunan bijak yang dirancang oleh PERDA dan UDA Land telah memberi peluang kepada kaum bumiputera Melayu memiliki hartanah dan rumah di Permatang Pauh terutama di PERDA dan Seberang Jaya. Dalam masa yang sama, kampung-kampung Melayu masih dikekalkan seperti di kawasan Permatang Pasir, sebahagian kawasan Penanti dan Kampung Pelet, Kampung Pertama dan beberapa kawasan lagi.

Permatang Pauh juga telah dibangunkan oleh kerajaan persekutuan hasil perancangan yang rapi dengan menjadikannya sebagai kawasan gedung ilmu. Politeknik Seberang Perai, UITM Permatang Pauh, Kolej Matrikulasi Permatang Pauh, Maktab Tunku Bainun dan beberapa Kolej Komuniti telah dibina di dalam Parlimen Permatang Pauh. Malah ibu pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai yang dulunya terletak dalam Parlimen Bagan telah dipindahkan di bangunan baru yang tersergam indah di Bandar PERDA.

Permatang Pauh menjadi lokasi yang strategik bermula siapnya Lebuhraya Utara Selatan. Lebuhraya yang merentasi Semenanjung Malaysia dari Johor hingga ke Perlis melalui sebahagian kawasan antara Permatang Pauh dan Seberang Jaya. Lebih menarik lagi, apabila mula beroperasi Jambatan Pulau Pinang yang pertama, pintu masuk dari tanah besar untuk melalui jambatan terletak di Jalan Baru dalam kawasan Permatang Pauh. Kemudian, sekali lagi Permatang Pauh menjadi penghubung antara penduduk Kulim, Baling hingga ke Pantai Timur setelah siapnya Lebuhraya BKE. Pendek kata, Permatang Pauh merupakan titik tengah kepada seluruh penduduk Pulau Pinang yang tinggal di kawasan Tanah Besar atau Seberang Perai.

Lanskap politik di Permatang Pauh berubah bermula sekitar tahun 1998 bilamana Ahli Parlimennya yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri telah dipecat dari UMNO dan kerajaan dan kemudiaanya telah didakwa dan dijatuhkan hukuman atas pelbagai kesalahan. Walaupun sebenarnya Permatang Pauh tidaklah boleh dianggap sebagai kubu UMNO walaupun sewaktu di bawah DSAI kerana sejarah menunjukkan bahawa Permatang Pauh pernah dimenangi oleh calon dari PAS. Hinggalah DSAI dibawa masuk ke dalam UMNO oleh Tun M dan merubah Permatang Pauh menjadi kawasan kubu kuat UMNO.

Apabila dipecat, DSAI telah mengheret sama penyokong setianya dalam kawasan Permatang Pauh untuk terus bersamanya. Malah pada tahun 2004, dalam Pilihanraya Umum ke 11, bilamana semua calon Parlimen dari KeAdilan, termasuk juga nama-nama besar dalam PAS dan DAP, yang mana ketika itu telah pun dibentuk satu kerjasama atas nama Barisan Alternatif antara ketiga-tiga parti pembangkang telah tewas mengejut kepada calon dari Barisan Nasional, hanya yang tinggal adalah Datin Seri Wan Azizah Ismail yang berjaya mempertahankan Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti yang sangat kecil menewaskan bekas imam Masjid Negara,, Datuk Firdaus Ismail. Pada PRU-11 juga memperlihatkan penguasaan BN pimpinan Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi yang berjaya memperolehi 2 per 3 kerusi parlimen untuk menubuhkan kerajaan.

Apabila DSAI dibebaskan dan dibenarkan untuk kembali ke arena politik, isterinya, DSWA telah mengorbankan kerusi Parlimen yang dimenanginya untuk ditandingi oleh DSAI. DSAI yang mewakili PKR telah dicabar oleh Dr Mazlan dari BN. Atas kertas jelas menunjukkan kelebihan memihak kepada DSAI. Namun hakikatnya, sekalipun Dr. Mazlan tewas, beliau telah berjaya mengurangkan sejumlah besar majoriti hingga tinggal sekitar 10, 000 sahaja. Ini seolah membayangkan kematangan pengundi Permatang Pauh yang sudah muak dengan mainan politik pembangkang yang hanya mempergunakan pengundi Permatang Pauh untuk berkuasa.

Kali ini, PRK P044 Parlimen Permatang Pauh kembali sekali lagi. Atas apa yang berlaku kebelakangan ini, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, pastinya akan sekali lagi merubah persepsi pengundi Permatang Pauh dan menjadikan lanskap politik Permatang Pauh kembali menarik. Yang pasti, hanya pengundi Permatang Pauh sahaja yang mengetahui apa sebenarnya kehendak mereka. Adakah mereka ingin terus dibuai rasa simpati dan air mata mainan keluarga DSAI? Atau, sudah tiba masanya untuk mereka berubah dan kembali berpijak di bumi yang nyata...

"TEPUK DADA, TANYA SELERA"

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama