Advertisement - Contact Us

Kemelut UMNO Dan PAS : Siapa Dalang Yang Nak MemecahBelahkan Umat Islam Bangsa Melayu?

Manusia merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya daripada Allah itu sebaik-baik perancangan. Atas pelbagai kemelut yang melanda akhir-akhir ini, jelas menunjukkan manusia sibuk merancang sesuatu, namun Allah jualah yang berhak menentukan kejayaan perancangan itu. Mungkin ramai tidak sedar, kekalutan yang berlaku begitu terarah kepada dua parti yang mewakili umat Islam berbangsa Melayu utama di Malaysia.

DAP berjaya menampilkan imej Mr Clean di saat bangsa Melayu sedang bergolak. Hari ini mereka sedang menyusun strategi susulan tatkala melihat 'jarum' pertama berjaya ditusuk masuk dalam pemikiran pemimpin Islam dan Melayu. DAP sedar bahawa mereka tidak berupaya untuk menyusup ke dalam UMNO mahupun PAS jika mereka bersendirian. Makanya, PKR dan ideologi PKR cuba dimanfaat sepenuhnya. PKR tidak ada pilihan lain jika mahu berkuasa melainkan terus kekal menjadi tali barut DAP. Ditambah dengan keadaan bos utama PKR yang sekarang sedang merengkok di penjara dan segala rahsia dalam dan luar seluar bos tersebut ada dalam poket DAP.

Ideologi PKR yang digelar golongan Anwarinas sebenarnya sudah memecah masuk ke dalam UMNO dan PAS sejak 2008 lagi. Mereka mungkin tidak menzahirkan sokongan kepada PKR tapi jika dinilai cara fikir, strategi dan kaedah politik yang digunakan, terserlah ke'PKR'an yang mahu memecahbelahkan perpaduan umat Melayu.

Di dalam UMNO, mereka sedang berusaha untuk memanipulasi pemikiran mantan Perdana Menteri yang juga merupakan bekas Presiden UMNO, Tun M. Tun M menjadi PM hampir 30 tahun. Ini tidak termasuk tempoh beliau menjadi pemimpin di peringkat kabinet dan bahagian. Selama tempoh itu, beliau berjaya mengangkat Malaysia ke
satu kedudukan yang hebat. Memang tidak boleh dinafikan. Selama tempoh itu jua, beliau disanjung tinggi di seluruh dunia, semua pihak akan akur dengan arahan dikeluarkan, setiap cadangan dan rancangan akan dipatuhi dan ke mana saja Tun M pergi, beliau akan disambut dengan sambutan yang gilang gemilang.

Namun hari ini, segalanya berubah. Tun M bukan lagi Perdana Menteri. Malaysia ditadbir oleh kepimpinan baru di bawah Datuk Seri Najib (DSN) dan barisan kabinetnya. Namun ini tidak beerti pandangan dan cadangan Tun M tidak bernilai lagi. SMB percaya, DSN dan barisan kepimpinannya sentiasa mengalu-alukan pandangan dari semua pihak termasuk Tun M selagi mana ia demi kebaikan negara. Mendengar pandangan tidak bermaksud DSN perlu terima bulat-bulat pandangan tersebut. DSN perlu meneliti dan membuat keputusan atas kapasiti beliau sebagai PM. Penilaian DSN mungkin berbeza dengan orang lain. Dan pastinya DSN perlu bertanggungjawab dengan setiap keputusan yang dibuat.

Masalahnya sekarang adalah bilamana ada pihak luar yang cuba menabur racun dalam semaian perpaduan yang telah dipupuk. SMB percaya, semua isu yang dibangkitkan oleh Tun M untuk mengkritik DSN sebenarnya bukan dari hati sanubari Tun M sendiri. Ada pihak yang cuba meniup api kebencian dalam fikiran Tun M. Agak janggal bila difikirkan apabila seorang mantan PM yang hebat dan berpengalaman cuba membangkitkan isu yang lebih bersifat peribadi. Apatah isu tersebut telah pun dijawab sebelum ini dan semua pihak sedia maklum mengenainya. Manakala 1 lagi isu yang dibangkitkan masih dalam siasatan yang mana Tun M pasti sedia maklum kenyataan yang dibuat boleh menjejaskan siasatan.

Isu berkenaan pemberian BRIM dan pelaksanaan GST pula sebenarnya adalah keputusan kerajaan. Tun M mungkin mempunyai sudut pandang yang berbeza dengan DSN dalam isu ini. Dan sewajarnya semua pihak meraikan perbezaan pandangan. Namun rasanya tidak perlu hingga ke peringkat Tun M membuat desakan yang agresif. Hinggakan, Tun M sedia membuat pengakuan salah laku dan penyelewengan yang berlaku pada zaman pentadbirannya. Ini bukan sikap asal Tun M yang kita kenali.

Kredit wajar kita berikan kepada DSN. Sebagai Perdana Menteri, beliau masih bersedia melayan dan menjawab tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan melalui media. Apatah lagi tuduhan yang dibuat semuanya tidak disusuli dengan bukti yang sahih. Beliau boleh memilih untuk tidak melayan setiap tuduhan yang dibuat dengan pelbagai alasan. Namun mungkin atas dasar hormat kepada Tun M dan tidak mahu melihat perpecahan melanda UMNO maka beliau menjawab setiap tuduhan yang dibuat.

Tidak kurang juga apa yang berlaku di dalam PAS. Golongan Anwarinas telah berjaya menyusup dalam kepimpinan tertinggi PAS hingga berjaya menguasai sebahagian kerusi majlis tertinggi. Mereka telah mula menyusun stategi untuk menguasai sepenuhnya kepimpinan PAS. Pada peringkat awal, mereka berjaya menzahirkan topeng syaitan mereka kononnya mereka menyokong penuh kepimpinan ulama.

Manusia merancang, Allah juga merancang. Ditakdirkan berlaku PRK Kajang dan kemudiannya disusuli dengan kemelut kepimpinan melibatkan Menteri Besar Selangor. Di sinilah setiap topeng-topeng syaitan terbuka. Golongan Anwarinas yang selama ini berselindung terpaksa menzahirkan sokongan mereka terhadap pemimpin pilihan bos PKR dan DAP. Keputusan Dewan Ulama PAS dan kepimpinan tertinggi PAS yang dipelopori oleh golongan ulama terpaksa diingkari. Satu ketika, golongan Anwarinas seolah-olah yakin mereka sudah cukup bersedia untuk mengambil alih kepimpinan PAS. Maka ditubuhkan PasMa yang berfungsi untuk memecahkan PAS.

Baru-baru ini, Allah sekali lagi menunjukkan kekuasaanNya. Timbul isu pembentangan Pindaan Enakmen Hudud di Kelantan. DAP si kafir sekali lagi dengan angkuh menentang cadangan pembentangan tersebut. Tentangan ini turut mendapat sokongan daripada tali barut PKR. Sekali lagi topeng syaitan golongan PasMa terbongkar. Mereka begitu berani duduk bersekongkol dengan sekutu kafir harbi si DAP untuk menentang perlaksanaan hudud, undang-undang yang satu ketika dahulu menjadi asas perjuangan PAS. Mereka lebih rela menolak salam perpaduan yang dihulur oleh UMNO hanya untuk duduk bersekongkol dengan musuh utama Islam, DAP.

Apa yang berlaku telah membuka mata kebanyakan ahli PAS. Asas Islam yang mereka perjuangkan selama ini sebenarnya bukan ditentang oleh pihak luar, tetapi oleh kelompok dalaman mereka sendiri. Alhamdulillah, hari ini, PasMa sudah tidak diterima dalam kalangan ahli PAS. Malah golongan Anwarinas yang cuba merosakkan PAS dari dalam juga sudah mula ditendang keluar. Sebahagian besar PAS Kawasan yang bersidang telah menolak pencalonan Mat Sabu untuk kekal di kerusi no 2. Malah Kawasan yang dipimpin oleh puak Anwarinas sebelum ini juga telah bertukar orang. Ini termasuklah bekas MB Perak dari Kerajaan Pasir 2 Butir yang tewas dalam pemilihan PAS Kawasan kepada seorang pemimpin tempatan biasa sahaja.

Allah telah menunjukkan perancanganNya. Namun kemenangan perlu diusahakan oleh manusia sendiri. Walaupun 70, 000 malaikat turun membantu Rasulullah dalam perang Badar, namun setiap Quraish yang mati tercatat tangan-tangan tentera muslimin yang membunuhnya. Kemelut yang melanda UMNO hanya dapat diselesaikan jika kedua-dua pihak iaitu DSN dan Tun M kembali berjiwa besar, berfikiran terbuka dan bertolak ansur. Kedua-dua pihak perlu kembali kepada matlamat perjuangan asal iaitu ke arah memartabatkan perjuangan agama, bangsa dan tanahair. Jangan lagi biarkan anasir luar yang jahat menghasut dan meracuni pemikiran kerana akibatnya sangat besar dan mampu merosak perpaduan UMNO.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama