Advertisement - Contact Us

Harga Minyak turun di 4 negeri Pakatan Rakyat. Benarkah Anwar keluarkan wang poket untuk tampung subsidi minyak 'senyonyong'nya???

1.  Seperti sudah menjadi adat. Jika tidak masakan boleh wujud pepatah Melayu yang mengatakan "Di beri betis nakkan paha". Akhirnya apa yang terjadi, "Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran". Inilah yang lazimnya berlaku dan jelas ia berlaku sejak zaman nenek moyang kita lagi. Kerana tidak tahu bersyukur dengan apa yang dimiliki maka mata mula mengintai hak orang lain yang lebih besar. Akibatnya, kerana gagal mengawal apa yang dimiliki dek mengejar apa yang belum pasti, padahnya, kedua-duanya terpaksa menggigit jari.

2.  Perlu diingat tapi tak sepatutnya diulang-ulang, kerajaan Pakatan Rakyat sudahpun memiliki dan berkuasa di 4 buah negeri yakni Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Ini bermakna mereka merupakan sebuah kerajaan yang berkuasa hampir sepenuhnya ke atas negeri-negeri yang ditadbir. Maka dengan itu, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk mentadbir dan menggunakan kuasa yang dimiliki dengan sebaik mungkin demi kebaikan negeri-negeri terlibat.

3.  Hakikatnya, apa yang dapat kita lihat sebenarnya adalah kegagalan dan kelemahan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di keempat-empat negeri yang dikuasai. Kenapa ini boleh berlaku? Walhal mereka memeliki kuasa penuh untuk menjadikan negeri-negeri tersebut sebagai yang terbaik dan boleh dicontohi serta dikagumi oleh seluruh rakyat Malaysia.

4.  Kini mereka mula menabur pelbagai janji untuk mengusai kerajaan pusat sepertimana Buku Jingga yang mereka baru umumkan. Mereka juga mula membuka skrip lama dengan berjanji hal kebajikan rakyat, menurunkan harga barang dan minyak, memberi pelbagai bantuan kepada golongan sasaran dan bermacam lagi. Semuanya menurut mereka hanya akan menjadi realiti jika mereka dipilih sebagai sebuah kerajaan pusat menggantikan kerajaan Barisan Nasional.

5.  Kenapa perlu menjadi kerajaan pusat dahulu baru boleh melunaskan dan melaksanakan semua janji? Kenapa Pakatan Rakyat tidak mahu melaksanakan apa yang dijanjikan di negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka terlebih dahulu? Bukankah lebih molek dan lebih mantap jika mereka mengotakan dan merealisasikan apa yang dijanjikan di negeri pimpinan mereka sebelum mula memasang hajat untuk gah sabagai kerajaan pusat?

6.  Jika Pakatan Rakyat benar-benar ikhlas untuk mengotakan apa yang dijanji mereka boleh mula menurunkan harga barang seperti yang dicanang di negeri-negeri pimpinan mereka. Malah kerajaan negeri seperti Kelantan sepatutnya sudah mampu mengeluarkan subsidi untuk menurunkan harga petrol jika benar-benar menitik beratkan soal kebajikan rakyat. Sebenarnya banyak lagi perkara boleh mereka laksanakan di negeri masing-masing sebelum bercakap soal memimpin negara.

7.  Matlamat Pakatan Rakyat sebenarnya hanyalah untuk berkuasa sebagai sebuah kerajaan di Malaysia, seperti apa yang dicita-citakan selama ini dan pada masa yang sama menjadi kuda tunggangan Sang Anwar untuk merealisasikan impian yang belum tercapai yakni menjadi Perdana Menteri Malaysia. Soal kebajikan rakyat, pembangunan negara serta ekonomi bukanlah matlamat utama Pakatan Rakyat. Ini semua sekadar simbolik untuk mencapai cita-cita mereka.

8.  Alasan seperti kekangan sumber kewangan mengakibatkan mereka gagal melaksanakan pembangunan di negeri bawah pentadbiran sebenarnya sudah tidak rasional lagi. Sebagi sebuah kerajaan negeri, sepatutnya mereka lebih kreatif dalam usaha untuk menjana ekonomi negeri walau dengan apa cara tanpa mengharapkan sepenuhnya dari pusat demi untuk rakyat, bukan untuk poket sendiri.

9.  Mereka juga sering menggunakan alasan kononnya kuasa mereka dihadkan gara-gara perlembagaan. Pastinya perlembagaan termaktub demi untuk membela agama, bangsa dan negara. Tidak ada sebab untuk menggubal perlembagaan melainkan mempunyai agenda yang menyimpang dari landasan sepatutnya. Kelantan sendiri hingga kini masih gagal melaksanakan undang-undang hudud dan kerajaan pusat dipersalahkan atas kegagalan ini. Walhal kerajaan PAS sebenarnya gagal mengemukakan sebarang cadangan yang bernas bagaimana untuk melaksanakan hukum hudud sebaik mungkin di Malaysia berdasarkan kedudukan dan situasi masa kini.

10.  Walau apa pun asassnya, SMB tetap berpendapat bahawa sepatutnya kerajaan Pakatan Rakyat wajib membuktikan kemampuan, kebolehan dan kewibawaan mereka di negeri-negeri yang mereka tadbir sekarang. Kerajaan pusat sebenarnya sekadar penyuntik dan pelangkap apa yang kurang, bukan segala-galanya bergantung penuh kepada kerajaan pusat. Perlu diingat, Kelantan menerima peruntukan lebih besar dari kerajaan pusat berbanding negeri-negeri lain walaupun di bawah pentadbiran BN seperti Melaka. Tidak sepatutnya Kelantan menjadi negeri yang mundur jika jumlah peruntukan yang diterima diambil kira. Melainkan memang wujud ketirisan seperti yang mereka dakwa, tetapi bukan di dalam BN, di dalam parti komponen mereka sendiri yakni PAS.


"LABIS 25 Jan — Pembangkang yang memainkan isu kenaikan harga barangan bagi meraih sokongan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, dicabar supaya terlebih dahulu menurunkan harga barang di empat negeri yang mereka perintah.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, kalau hebat sangat pembangkang, sila segera turunkan harga barangan seperti harga petrol di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

"Jangan tunggu selepas pilihan raya kerana mereka sudah dapat perintah empat negeri itu, saya cabar mereka cari duit dan beri subsidi agar harga barang di empat negeri itu turun,” katanya kepada pemberita selepas bersarapan pagi bersama penduduk di warung Kampung Tenang di sini, hari ini.

PRK itu pada 30 Januari ini, melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azahar Ibrahim, 39, dan lawannya daripada Pas, Normala Sudirman, 38.

Ia diadakan berikutan kematian Datuk Sulaiman Taha daripada BN pada 17 Disember tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis." - Utusan Online

3 Ulasan

  1. bagus ulasan saudara SMB, padat dan tepat...boleh dijadikan modal kempen...syabas!

    BalasPadam
  2. Benda ni anwar cakap dia ada cara.. Caranya, pindahkan subsidi penjanaletrik bebas ke subsidi rakyat.. Dapat jimat RM19 b setahun. RM19 b ni lah yang akan digunakan untuk turunkan harga minyak.

    Ini pemikiran bagus.

    BalasPadam
  3. bila subsidi penjana bebas ditarik, jadi tarif elektrik akan naik? jd kalau rakyat tak tanggung, kerajaan akan tanggung? jd apa bezanya?

    BalasPadam
Terbaru Lebih lama