Advertisement - Contact Us

Teguran Ku Nan ditujukan kepada Si Pemakan Cili yang kini dalam kepedasan...

1.  Baru-baru ini Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tengku Adnan Tengku Mansor telah menegur sayap UMNO yakni Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri yang dilihat kurang bermaya dan gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan berkesan. Teguran itu dibuat pada hari yang sama dengan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pemuda dan Puteri.

2.  Ku Nan juga menyelar sikap beberapa pemimpin di kalangan Pemuda dan Puteri yang dilihat mahu merebut jawatan di dalam parti semata-mata inginkan jawatan yang lebih tinggi dalam kerajaan. Dan hari, beberapa respon telah diberikan oleh pemimpin Pemuda dan Puteri bagi menjawab dakwaan yang dibuat oleh Ku Nan.

3.  Rata-rata kebanyakan pemimpin Pemuda dan Puteri berasa sedih dan kecewa dengan dakwaan tersebut. Apatah lagi teguran itu dibuat secara terbuka melalui media. Mereka juga mendakwa bahawa kenyataan itu dibuat secara 'sweeping statement'. Selain itu, Ku Nan juga berasa sedih dengan segelintir pimpinan Pemuda dan Puteri yang gagal berfungsi dan baginya ini diakibatkan cara mereka naik yang begitu mendadak, bukannya dari bawah.

4.  Bagi SMB, tidak ada salah dan cacat celanya dengan teguran yang dibuat oleh Ku Nan. Ku Nan sememangnya layak dan berhak untuk menegur anak-anak buahnya dibuah terutama di kalangan Pemuda mahupun Puteri. Beliau merupakan seorang pemimpin berpengalaman dan kedudukannya sebagai setiausaha Agung menjadikan Pergerakan Pemuda dan Puteri berada di bawah tanggungjawab beliau.

5.  Cara Ku nan membuat teguran juga adalah terbuka walau pun disalahtafsir sebagai 'sweeping statement' dan bukannya dituju secara khusus. Sememangnya pemimpin yang makan cili pasti akan terasa pedas manakala pemimpin yang sudah menunjukkan komitmen dengan baik tidak perlu berasa gusar dengan teguran itu.

6.  Bagi SMB, teguran yang dibuat oleh Ku Nan memang ada asasnya. Masakan rakyat Malaysia apatah lagi kami dari Pemuda tidak merasai hal ini. Tidak dinafikan, komitmen Pergerakan Pemuda dilihat amat tidak bermaya dan gagal memainkan peranan dengan baik. Walaupun tidak semua, namun segelintir pemimpin yang bersifat negatif ini telah menenggelamkan potensi yang cuba ditonjolkan oleh pemimpin yang berwibawa yang lain.

7.  Pergerakan Pemuda dilihat agak lemah dan seperti dikekang oleh sesuatu. Suara yang dibawa oleh barisan Pemuda juga tidak menunjukkan keberanian yang sepatutnya. Malah refleksi yang ada dalam pergerakan Pemuda agak lembab dan sedikit ketinggalan. Tidak semua biro memainkan peranan dengan berkesan. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa ada juga biro yang seperti tidak wujud dalam barisan Pergerakan Pemuda.

8.  Sebagai mewakili suara anak muda, sepatutnya pergerakan Pemuda membawa perwatakan yang lebih berani, garang, agresif dan lebih dominan. Barisan Pemuda perlu menjadi benteng barisan hadapan tatkala berdepan dengan isu nasional, maruah, sensitiviti dan isu-isu besar lain, bukannya berlindung di belakang dan sekali-sekala terpekik di balik pintu. Aktiviti-aktiviti Pemuda juga perlu dipelbagaikan dan perlu lebih menarik jika mahu menarik minat golongan Pemuda yang lain.

9.  Tidak dinafikan, beberapa biro dalam Pemuda berjaya memainkan peranan dengan baik. Sebagai contoh, biro pimpinan Khairul Aseh yang dilihat lebih menonjol jika dibandingkan dengan Pemuda yang lain. Sesuatu perlu dilakukan segera jika mahu melihat Pergerakan Pemuda kembali bangkit dengan penuh bersemangat demi masa depan negara. Dan saya percaya, begitu juga dengan Pergerakan Puteri, sesuatu perlu dilakukan.

10. Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda perlu memperkemaskan semula barisan kepimpinan Pemudanya. Malah Pergerakan Pemuda dan Puteri seharusnya menerima teguran yang dibuat oleh Ku Nan ataupun pemimpin UMNO yang lain dengan hati yang terbuka dan dengan pandangan yang positif. KJ sepatutnya berupaya memberi tumpuan khusus kepada anak buahnya memandangkan komitmen beliau hanya terarah kepada memperkasakan Pemuda tanpa perlu runsing untuk terlibat dalam hal-hal berkaitan kerajaan. Sepatutnya, jika KJ mahu pergi lebih jauh, beliau perlu terlebih dahulu membuktikan kemampuan Pemuda berada di tahap terbaik dan boleh dihormati baik oleh kawan mahupun lawan.

1 Ulasan

  1. kau kj sama saja mcm anuar... perosak umno dan bn... liabiliti to najib... dah byk duit ko sapu... dah le tu... bersaralah... cari bidang lain

    BalasPadam
Terbaru Lebih lama