-->

Suara Melayu Baru

Breaking News
Loading...

Khamis, 30 Julai 2009

PR Selangor akan tertiarap sepertimana kematian Teoh Beng Hock...

1. Apakah cerita sebenar di sebalik kematian setpol kepada seorang EXCO Selangor dari DAP, Teoh Beng Hock (TBH) yang telah dijumpai mati setelah terjatuh atau mungkin terjun dari sebuah bangunan yang juga menempatkan pejabat SPRM? Siapakah dalang di sebalik kejadian ini? Dan apakah punca sehingga membawa kepada kematiannya? Inilah antara persoalan yang hangat diperkatakan baik dikalangan penyokong kerajaan mahupun pendokong Pakatan Rakyat.

2. Umum mengetahui bahawa sebelum kejadian ini, TBH telah dipanggil oleh SPRM bagi merekodkan keterangannya berhubung kes salah guna wang peruntukan negeri Selangor yang membabitkan beberapa kepimpinan yang juga bergelar EXCO negeri. TBH selesai memberi keterangan kira-kira jam 3 pagi dan kemudiannya beliau meminta izin kepada SPRM untuk berehat di perkarangan pejabat SPRM. Beliau ditemui mati sekitar jam 10.30 pagi hari yang sama.

3. Akibat dari kematian TBH, Pakatan Rakyat cuba mengambil kesempatan untuk meraih publisiti dengan menyalahkan SPRM dan kerajaan persekutuan menjadi punca kepada kematiannya. Ini membawa kepada beberapa perhimpunan yang dianjurkan PR bagi menyatakan protes mereka kepada SPRM dan kerajaan termasuklah perhimpunan menyalakan lilin yang juga melibatkan bekas MB Perak, DS Mohd Nizar dan beberapa pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat lain.

4. Apa yang menarik perhatian saya adalah kenapa SPRM dan kerajaan perlu dipersalahkan berhubung kejadian ini? Walhal jika difikirkan secara logik dan rasional, jelas menunjukkan bahawa perkaitan antara PR terutama melibatkan isu kes salah guna wang peruntukan dan melindungi kongsi gelap adalah lebih relevan dan bermotif untuk menjadi punca kematian TBH. Adalah menjadi kebiasaan untuk SPRM mahupun pihak polis untuk memanggil mana-mana individu bagi membantu siasatan dalam mana-mana kes pada bila-bila masa. Jadi adalah amat tidak logik untuk mengatakan bahawa SPRM ataupun anggotanya telah membunuh TBH samada sebelum TBH jatuh atau dengan cara menolaknya jatuh. Tidak ada sebab untuk SPRM melakukannya malah ada banyak cara lain yang tidak menyalahi undang-undang dan tidak menimbulkan isu jika benar SPRM berniat untuk mengenakan TBH atau mana-mana individu lain.

5. Apa yang saya dapat lihat adalah wujudnya keraguan atau berlaku sesuatu yang tidak kena hingga membawa kepada kematian TBH. TBH berkemungkinan ada menyimpan atau memiliki sesuatu maklumat yang sangat penting yang boleh mengaitkan PR dan EXCO DAP Selangor dengan kes salah guna wang dan kongsi gelap yang menjadi tajuk siasatan utama SPRM. Kematian TBH dilihat lebih menguntungkan pihak ini berbanding SPRM atau kerajaan. Sekurang-kurangnya beberapa maklumat penting yang boleh mensabitkan kesalahan mereka yang berkepentingan akan turut dibawa bersama dengan kematiannya.

6. TBH mungkin sangat tertekan pada hari kejadian disebabakan beberapa maklumat akan terdedah atau terpaksa didedahkan. Ini ditambah pula dengan tekanan yang diterima dari pihak berkaitan agar tidak membocorkan maklumat. Ini berdasarkan rekod panggilan telefon milik TBH dimana beberapa panggilan diterima dari pemimpin PR dan DAP yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan kegiatan kongsi gelap. Tidak mustahil TBH ada menerima ugutan dari pihak yang berkepentingan ini agar tidak membocorkan maklumat jika mahu dirinya atau keluarganya selamat.

7. Kebiasaannya, seseorang yang tidak bersalah akan terus pulang selepas siasatan dijalankan. Ini berbeza dengan TBH yang tidak terus pulang tetapi meminta izin untuk berehat di perkarangan pejabat SPRM. Ini menunjukkan bahawa TBH berada dalam keadaan rungsing dan belum bersedia untuk berhadapan dengan pihak yang dilindungi di luar. TBH seperti memerlukan masa untuk memikirkan alasan yang perlu dikatakan kepada pihak luar yang sedang menunggu memandangkan mungkin ada maklumat penting yang terpaksa dibocorkannya kepada SPRM dan ini amat merisaukannya.

8. TBH dikatakan mudar-mandir di pejabat SPRM selepas siasatan tersebut. Pada ketika ini, TBH dikatakan telah berselisih dengan seorang lagi ahli Pakatan Rakyat yang turut dipanggil bagi membantu siasatan SPRM. Mungkin wujud perhubungan dalam bentuk ugutan atau amaran samada secara langsung atau tidak langsung sewaktu kedua-dua individu ini bertembung.

9. Akibat dari kebuntuan fikiran sewaktu mencari alasan ditambah dengan tekanan yang diterima dari dalam dirinya yang pasti diselubung rasa bersalah dan tekanan berbentuk amaran yang diterima dari luar sudah cukup membuatkan TBH berada dalam keadaan hilang kewarasan serta gagal mengawal emosi diri. disebabakan akal yang pendek dan berada dalam situasi kebuntuan yang melampau maka tidak mustahil TBH mengambil jalan mudah dan singkat dengan terjun dari bangunan dan sekaligus segala masalah yang melanda dirinya akan selesai.

10. Walau apapun, saya yakin dan percaya bahawa tidak wujud pihak ketiga yang membunuh atau menolaknya jatuh ke bawah. Tekanan emosi dan perasaan bersalah sudah cukup untuk membuatkan TBH cenderung untuk membunuh diri. Jika wujud pihak ketiga sekalipun, saya yakin ia bukan didalangi oleh pihak SPRM mahupun kerajaan. Apapun, diharap semua pihak perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan suruhanjaya siasatan bagi mencari punca di sebalik kejadian ini.

Selasa, 28 Julai 2009

Mari biarkan Nik Ajis dan PAS terjun dengan labu-labunya...

1. Tuan Guru Nik Aziz sepatutnya sudah tidak layak untuk digelar Tuan Guru mahupun ulama Islam lagi. Beliau kini bukan lagi membawa contoh teladan yang baik tetapi dilihat mula menggunakan serban di kepalanya untuk meraih sokongan saki baki pengikutnya yang fanatik.

2. Jika dinilai tindak tanduknya kebelakangan ini, ia jelas bertentangan dengan sifat-sifat murni yang sepatutnya diamalkan oleh seorang muslim apatah lagi jika seseorang itu bergelar ulama. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kelakuannya telah mencemarkan kesucian dan kesopanan yang seharusnya menjadi imej bagi setiap orang Islam.

3. Bagaimana seorang ulama yang terkenal dengan sifat rendah diri dan dihormati oleh ramai orang tergamak mengeluarkan kenyataan yang amat menghina iaitu 'pergi jahanamlah UMNO'? Terlupakah beliau bahawa orang UMNO juga merupakan sebangsa dengannya malah merupakan saudara seagama? Adakah ini merupakan ciri-ciri seorang muslim yang dipelajari oleh Nik Aziz?

4. Walhal sebelum ini Nik Aziz lah yang mencadangkan agar diwujudkan kerjasama yang erat antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat. Setelah kerajaan pusat menunjukkan minat dan mula menghulur tangan, Nik Aziz mula bermuka-muka dan mencerca dengan kata-kata yang tidak sepatutnya. Apakah yang dimaksudkan dengan kerajaan pusat jika bukan UMNO? Atau Nik aziz maksudkan kerajaan pusat adalah komponen dalam BN selain UMNO?

5. Nik Aziz secara ketara telah menunjukkan sifat dan sikapnya yang buruk sejak bersekonkol dengan Pakatan rakyat. Mungkin disebabkan tekanan yang kerap diberikan oleh sekutu PR yang lain iaitu PKR dan DAP kepada PAS menyebabkan PAS seperti berada di persimpangan. Jika ini berlaku, maka jelas menunjukkan bahawa PAS bukanlah sebuah parti yang kuat dan berpendirian tetapi hanyalah sebuah parti yang lemah, mudah diperalat oleh pihak lain dan lebih selesa mengikut telunjuk orang.

6. PAS dilihat gemar bermain tarik tali dan lebih suka mengacah-acah. Mereka akan mencadangkan sesuatu dan akhirnya mereka juga akan menolak dan menentangnya dengan menyalahkan pihak lain. Lihat sahaja isu kerajaan perpaduan, mereka yang mencadang dan akhirnya mereka menuduh UMNO ingin memecah belahkan Pakatan Rakyat.

7. Adakah wujud agenda tersembunyi di dalam PAS dan hanya menanti masa sesuai untuk mengorak langkah? Hakikatnya mereka sebenarnya sudah hilang kepercayaan terhadap kemampuan Pakatan Rakyat tetapi dalam masa yang sama mereka mengharap keajaiban akan berlaku yang memungkinkan mereka berada dalam kerajaan bersama Pakatan rakyat. Mereka terus terpengaruh dengan momokan Anwar kononnya UMNO diambang kehancuran dan ini membuatkan mereka gusar untuk menjalin kerjasama dengan BN.

8. Bagi saya, tidak ada gunanya lagi untuk UMNO dan BN mengharapkan agar wujud jalinan kerjasama antara UMNO dan PAS. Malah UMNO dilihat semakin berjaya mengukuhkan semula kedudukannya dan mulai kembali memperoleh kepercayaan dari rakyat. Ini berdasarkan sokongan yang diterima dari golongan muda dalam PRK Manek Urai dan juga berdasarkan peratusan populariti yang kian meningkat yang diterima oleh barisan kepimpinan baru di bawak pentadbiran DS Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

9. Jadi, tanpa kerjasama dengan PAS pun UMNO akan kembali kuat, sama seperti dahulu sewaktu PRU 11. Malah rakyat yang sebelum ini beralih angin menyokong Pakatan rakyat terutama di kalangan pengundi atas pagar juga dilihat semakin yakin dan percaya dengan kemampuan, kredibiliti serta perkembangan positif yang ditunjukkan oleh pentadbiran kerajaan BN yang baru ini.

Jadi...biarkanlah PAS terus dilindungi oleh bayang-bayangnya sendiri...

Isnin, 27 Julai 2009

Pakatan Rakyat 'mati kutu' dalam usaha menyaingi kebijaksanaan DS Najib...

1. Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak terus mengorak langkah dengan penuh bergaya dalam usahanya untuk merealisasikan '1 Malaysia ; Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Beliau hari ini telah mengumumkan beberapa dasar yang sangat positif sewaktu perjumpaannya dengan para pegawai kerajaan.

2. Sewaktu hari jadinya baru-baru ini, beliau telah mengumumkan beberapa perkara yang sedikit-sebanyak telah memberi kelegaan kepada rakyat di dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ini. Setidak-tidaknya rakyat bersyukur dan ini menunjukkan bahawa kerajaan sememangnya bersungguh-sungguh untuk mendahulukan rakyat dalam semua hal. Ia juga merupakan hadiah hari jadi terbaik dari PM kepada rakyat.

3. Hari ini, PM telah memberi tumpuan khusus dalam usaha untuk menutamakan pencapaian yang terbaik dari kakitangan kerajaan. Beliau telah mengumumkan Indek Pencapaian Utama (KPI) bagi enam bidang teras Keberhasilan Utama Negara. Ini termasuklah beberapa bidang yang mana sebelum ini sering menjadi modal kepada Pakatan Rakyat untuk menghentam kerajaan iaitu membanteras jenayah dan memerangi rasuah.

4. Beliau telah melantik enam menteri utama untuk memberi tumpuan khusus terhadap usaha menjayakan KPI bagi bidang-bidang yang dipilih. Antara bidang lain yang akan diberi tumpuan termasuklah meluaskan akses dalam pendidikan, meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkasakan prasarana dan menambah baik pengangkutan awam.

5. Pengumuman ini nyata melegakan rakyat dan terbukti akan kesungguhan PM mentadbir negara Malaysia dengan baik. PM bijak menggunakan peluang ini untuk menarik semula perhatian rakyat di kala Pakatan rakyat sedang bergelumang dengan pelbagai pergolakan yang melanda.

6. Jika diimbas kembali, kebanyakan dasar yang diumumkan oleh PM kebelakangan ini adalah juga merupakan janji-janji yang pernah ditabur oleh Pakatan Rakyat di saat mereka sedang menghadapi PRU yang lepas. Malangnya PR gagal melunaskan semua janji tersebut dan kesempatan ini sememangnya wajar disambar oleh PM bagi meningkatkan semula populariti dirinya dan kerajaan serta mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap kepimpinan baru di bawah Najib Tun razak.

7. Apa yang penting sekarang adalah kerajaan perlu bekerja lebih keras serta bersungguh-sungguh untuk menjayakan setiap dasar yang diperkenalkan atau setidak-tidaknya perlu menunjukkan perkembangan yang positif bagi membuktikan bahawa setiap dasar itu tidak sia-sia.

8. Malah saya percaya dan penuh yakin bahawa hanya dengan cara ini sahaja kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional bakal kembali ke persada takhta dan menjadi sebuah kerajaan yang kuat dan digeruni semula, seperti sebelum ini. PM berjaya mengambil pendekatan yang sangat berbeza berbanding Pakatan Rakyat dalam usaha untuk menarik perhatian rakyat. PR lebih banyak berpolitik, bermain isu, menabur fitnah, menghentam peribadi, membuka pekung dan menabur janji palsu. Berbeza dengan kepimpinan Najib yang dilihat lebih berhemah, mementingkan kualiti perkhidmatan dan benar-benar memberi keutamaan kepada rakyat dalam setiap tindakan yang hendak diambil.

9. Bagi saya, tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa Pakatan Rakyat sebenarnya sedang menuju kehancuran. Masing-masing hanyalah berpaut pada dahan yang reput dan menanti masa untuk rebah ke bumi.

10. Berbeza dengan BN dan UMNO terutamanya yang dilihat kembali subur tumbuh bertunaskan pucuk yang baru, muda dan penuh keterampilan. Secara perlahan-lahan rakyat kembali berteduh di pohon yang subur dan bersama-sama membajai pohon ini agar terus subur dan memberi nikmat di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Sabtu, 18 Julai 2009

Anwar tawarkan TPM kepada Dr. Chua jika PR berkuasa???

1. Inilah yang dinamakan politik 'udang di sebalik mee'. Tidak sesiapa pun boleh menafikan wujudnya unsur politik berkepentingan jika isu kemasukan bekas pemimpin tinggi MCA, Dato' Dr. Chua Jui Meng menyertai PKR menjadi tajuk perbincangan.

2. Seperti yang dijangka, alasan beliau untuk menyertai PKR sememangnya akan berkisar dengan kemelut politik yang sedang melanda negara dan subjek utama yang pasti dipersalahkan adalah UMNO.

3. Bagi saya mudah. Alasan sebenar beliau keluar dari MCA adalah disebabkan rasa kecewa dan rasa terpinggir setelah gagal mendapat tempat dalam sebarang jawatan dalam parti MCA apatah lagi dalam kerajaan. Akibat dari kesuraman karier politik yang bakal dihadapinya sekiranya beliau terus kekal dalam MCA maka mahu tidak mahu tanpa ada pilihan lain beliau terpaksa mencari alternatif lain bagi melonjakkan semula populariti namanya.

4. Dr. Chua cuba untuk mengambil kesempatan di saat rakyat sedang memberi perhatian kepada kemampuan dan kredibiliti Pakatan Rakyat dengan mengumumkan untuk menyertai PKR dan secara tak langsung beliau akan cuba mencari jalan untuk menyerlahkan semula populariti dirinya melalui parti barunya itu.

5. Kemelut yang berlaku di dalam MCA, selaku parti terbesar mewakili kaum Cina juga sebenarnya menyumbangkan rasa tidak percaya sesama masyarakat Cina hingga meninggalkan kesan yang amat negatif kepada Barisan Nasional. Kegagalan MCA memainkan peranan sebagai wakil kaum Cina mengakibatkan ramai pengundi Cina beralih angin dengan menyokong DAP dan PKR.

6. Ditambah pula dengan kebijaksanaan Anwar yang berjaya memperkotak-katikkan kepercayaan dan perasaan orang Cina dengan pelbagai janji manis walaupun tidak ada satu pun janji yang berjaya ditunaikan namun ia tetap mengakibatkan MCA terus diketepikan. Malah tidak keterlaluan jika saya andaikan bahawa salah satu faktor penyertaan Dr Chua ke PKR mungkin disebabkan wujudnya perjanjian berunsur kepentingan samada politik atau peribadi di antara Anwar dan Dr. Chua.

7. Pada hemat saya, berdasarkan situasi politik semasa, mengambil keputusan untuk meninggalkan Barisan Nasional dan menyertai Pakatan rakyat adalah merupakan satu tindakan yang agak sumbang dan penuh risiko. Ini berdasarkan jumlah peratusan penerimaan rakyat terhadap BN dan peratusan populariti kepimpinan Dato' Seri Najib selaku PM yang dilihat semakin meningkat saban hari dan menunjukkan perkembangan positif.

8. Ditambah pula dengan keadaan Paktan rakyat kini yang sedang dilanda badai terutama melibatkan keadaan politik beberapa negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat mengukuhkan lagi tanggapan segelintir pemerhati politik yang mengatakan bahawa jangka hayat gabungan Pakatan Rakyat sedang menuju ke penghujung umpama retak menanti belah.

9. Walau apapun, keputusan yang diambil oleh Dr. Chua sebenarnya tidak menjadi kudis terhadap kemampuan serta peningkatan kepimpinan Barisan Nasional. Malah tidak mustahil untuk saya kataka bahawa keputusan yang diambil ini bakal memakan dirinya sendiri kerana dengan menyertai PKR adalah umpama masuk ke mulut buaya.

Rabu, 15 Julai 2009

Manek Urai membuktikan bahawa rakyat semakin menolak Pakatan Rakyat...

1. Syabas diucapkan kepada Abe Uji, calon dari PAS yang kini secara rasminya bergelar wakil rakyat yang sah bagi DUN Manek Urai setelah berjaya memenangi PRK kawasan tersebut dengan menewaskan calon dari BN dengan kelebihan majoriti sebanyak 65 undi. Berdasarkan keputusan PRK ini, secara tak langsung ia telah menjawab pelbagai spekulasi dan andaian politik berlandaskan perkembangan semasa.

2. Dakwaan PAS kononnya Manek Urai merupakan kubu kuat PAS ternyata meleset sama sekali. Kemampuan calon BN mengurangkan jurang majoriti daripada 1000 lebih sebelum ini kepada hanya 65 menunjukkan bahawa penduduk manek Urai selama ini bukanlah memilih PAS sepenuhnya, tetapi mereka menilai kemampuan dan kewibawaan seorang calon yang bakal mewakili mereka. Malah kumpulan jumlah majoriti yang sebelum ini memilih PAS dan kini beralih kepada BN merupakan kumpulan pengundi atas pagar yang tidak fanatik pada mana-mana pihak.

3. Rakyat sebenarnya tidak pernah menolak UMNO dan BN. Malah rakyat mengakui akan kemampuan dan kredibiliti yang ditonjolkan oleh UMNO dan BN selaku sebuah kerajaan yang memerintah negara lebih 50 tahun. Rakyat juga sedar bahawa bukan mudah bagi parti lain terutama Pakatan Rakyat menandingi atau sekurang-kurangnya menyamai dengan pencapaian BN selama ini.

4. Kemerosotan pencapaian BN dalam PRU yang lalu bukanlah disebabkan rakyat menolak sepenuhnya kepimpinan kerajaan BN. Malah kebangkitan Pakatan Rakyat dalam PRU tersebut juga tidak bermakna rakyat inginkan kerajaan baru dari PR.

5. Penolakan BN oleh rakyat dalam PRU yang lepas adalah perlu dan sangat ken pada masanya sebagai satu pengajaran kepada kerajaan ke atas kealpaan dan dan ketaksuban pihak kerajaan terhadap kuasa. Rakyat berjaya menyedarkan semula kerajaan agar tidak terlalu selesa dengan kuasa yang dimiliki dan mahu UMNO serta BN kembali ke landasan perjuangan yang asal.

6. Kebangkitan Pakatan Rakyat pula adalah berfaktorkan pilihan yang wujud kepada rakyat sewaktu PRU yang lalu. Bagi menunjukkan rasa ketidak puasan hati rakyat kepada kerajaan maka rakyat tidak ada pilihan lain melainkan memilih Pakatan rakyat sebagai alternatif. Walhal pada masa yang sama rakyat sedar bahawa Pakatan Rakyat bukanlah pilihan yang terbaik.

7. Kini UMNO dan BN mulai sedar dan sudahpun memulakan langkah untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan. Bermula dengan peralihan kuasa, perubahan beberapa dasar penting, memperkenalkan konsep yang memberi keutamaan kepada rakyat, memperkemaskan serta penstrukturan semula dasar dan imej kerajaan, memperkenalkan dasar liberalisasi, membuka lebih banyak peluang kepada semua pihak, merapatkan semula jurang perbezaan di kalangan rakyat dan beberapa langkah lain jelas menunjukkan bahawa kesungguhan kerajaan untuk kembali diyakini.

8. Selepas 100 hari pentadbiran baru dato' Seri Mohd Najib, ia jelas memberi impak yang besar dan menampakkan laluan positif di hadapan. Ini juga membuatkan Pakatan Rakyat semakin terhimpit dan terdesak dalam usaha untuk mengekalkan populariti rakyat. Malah semakin hari semakin banyak kelemahan yang wujud dan terungkai dari Pakatan Rakyat yang diikat hanya berlandaskan ikatan kuasa semata-mata. Jadi tidak hairanlah kenapa, Lim Kit Siang mahukan PRU diadakan segera dalam tempoh yang terdekat. Mereka benar-benar tergugat dengan peningkatan peratus populariti yang diterima oleh kerajaan di bawah pimpinan Najib.

9. Walau apa pun, seperti juga kata Pakatan Rakyat, biarlah rakyat sendiri yang melihat, menilai dan akhirnya menterjemahkan penilaian melalui peti undi dalam PRU yang akan datang. pilihan yang terbaik sangat penting demi masa depan negara yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang...

Selasa, 14 Julai 2009

Manek Urai : Siapa pun pemenangnya, janji tetap janji...

1. Selamat mengundi diucapkan kepada seluruh pengundi berdaftar dalam DUN Manek Urai yang akan melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat yang terbaik bagi mewakili suara mereka. PRK DUN Manek Urai menyaksikan pertandingan dua penjuru di antara calon PAS dan BN. Untuk rekod, PRK ini diadakan berikutan kematian wakil rakyat terdahulu dari PAS akibat serangan jantung.

2. Tempoh berkempen selama kira-kira 1 minggu telah digunakan sebaik mungkin oleh kedua-dua belah pihak untuk menyampaikan aspirasi masing-masing bagi menarik sokongan para pengundi. Pelbagai isu timbul sepanjang tempoh berkempen ini berlangsung.

3. Seperti biasa, PAS menggunakan slogan 'Undi PAS Dapat Pahala' sebagai modal untuk menggula-gulakan penduduk Manek Urai. Dalam pada masa yang sama, PAS tidak mampu menyembunyikan kemelut yang melanda dalaman partinya terutama melibatkan isu kerajaan perpaduan.

4. Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin yang sebelum ini dikaitkan dengan kerajaan perpaduan gagal menujukkan muka di Manek Urai hingga akhir tempoh berkempen. Ini menguatkan lagi spekulasi kononnya Ustaz Nasha telah dipulau dan dilarang dari melibatkan diri dalam sebarang aktiviti kempen di Manek urai oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.

5. Seperkara lagi yang menarik perhatian saya adalah berhubung desakan Anwar Ibrahim di dalam satu sessi ceramahnya yang meminta SPRM agar menyiasat janji yang di sampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kepada pengundi di Manek Urai. Anwar Ibrahim menuduh Muhyiddin cuba merasuah penduduk manek Urai melalui janjinya itu.

6. Bagi saya, tidak ada sebarang cacat celanya dengan janji Muhyiddin yang menyeru penduduk manek Urai agar mengundi calon BN jika mahu sebuah jambatan di Manek Urai. Ini merupakan satu bentuk kempen yang biasa digunakan samada oleh BN malah Pakatan Rakyat terutama Anwar juga sering menggunakan kaedah yang sama untuk menarik sokongan pengundi.

7. Anwar juga pernah berjanji akan menurunkan harga minyak jika pakatan rakyat dipilih menjadi kerajaan tetapi malangnya gagal. Malah PAS juga sering berjanji kononnya pengundi yang mengundi PAS akan dijamin masuk syurga. Tidakkah ini juga boleh dikategorikan sebagai rasuah dan perlu penelitian dari SPRM?

8. Apa yang lebih penting sekarang bukan apa yang dijanjikan, tetapi bagaimana hendak melunaskan janji yang ditabur? Mampukah pihak yang berjanji itu melaksanakan apa yang telah dijanjikan? Kita tidak mahu seperti apa yang berlaku di Kampung Buah Pala di mana kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat hingga hari ini masih gagal mencari penyelesaian terbaik sepertimana yang mereka telah janjikan sebelum PRU dahulu.

9. Namun satu perkara yang boleh dipuji di Manek Urai adalah sikap keterbuakaan yang ditonjolkan oleh kedua-dua calon yang bertanding. Kedua-dua calon masih boleh duduk dan minum air kelapa semeja walaupun masih bergelar musuh di gelanggang politik. Semoga semangat persaudaraan dan perpaduan ini berkekalan dan dapat di semai di semua peringkat tanpa mengira latar belakang politik.

Jumaat, 10 Julai 2009

PPSMI : Orang Melayu takut berubah dan akan kekal di takuk yang lama...

1. Akhirnya kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran terpaksa akur dengan memansuhkan PPSMI di semua sekolah di seluruh Malaysia. Walaupun langkah pemansuhan tersebut hanya akan berkuatkuasa bermula tahun 2012 namun bagi saya ia merupakan satu keputusan yang agak mengecewakan dan merupakan satu kegagalan kepada dasar baik yang cuba dibawa dan diperkenalkan oleh kerajaan.

2. Tidak dinafikan bahawa salah satu faktor kemerosotan sokongan terhadap kerajaan BN terutama ketika PRU yang lalu adalah disebabkan isu PPSMI ini. Pihak pembangkang atau lebih tepat Pakatan Rakyat bijak memanipulasikan isu ini hingga membawa imej negatif kerajaan di mata rakyat. Akibatnya, kerajaan terpaksa akur dan tunduk terhadap desakan pembangkang.

3. Kerajaan sebenarnya berniat baik dengan memperkenalkan PPSMI ini di semua sekolah di seluruh Malaysia. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan mutu pembelajaran dalam usaha melahirkan generasi pelajar yang lebih berkualiti yang mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain seluruh dunia.

4. Dalam pada masa yang sama, kerajaan tidak pernah meminggirkan dan mengenepikan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar utama dan bahasa rasmi negara. Bezanya, kerajaan cuba menumpukan Bahasa Inggeris dalam pembelajaran Matematik dan Sains.

5. Para pelajar terutamanya dari kalangan bumiputera mungkin menghadapi masalah pada peringkat awal. Namun dengan usaha yang betul dan berterusan, ia akan menjadi lebih mudah. Para pelajar akan menerima manfaatnya setelah mula melangkah ke universiti dan alam karier.

6. Mungkin wujud beberapa kelemahan dalam perlaksanaan PPSMI ini oleh kerajaan. Namun tidak sewajarnya untuk kerajaan memansuhkan terus dasar yang baik ini. Mungkin beberapa penambah baikkan perlu disuntik dalam perlaksanaannya seperti meningkatkan kualiti tenaga pengajar, memperbanyakkan lagi bahan bantu mengajar dan beberapa lagi penambahbaikkan yang dapat membantu.

7. Perlu diingat, bangsa yang banyak menghadapi masalah dengan kaedah PPSMI ini adalah dari bumiputera. Dan bumiputera jugalah yang menentang PPSMI ini dengan bersungguh-sungguh. Bagaimana keadaannya dengan bukan bumiputera seperti Cina dan India? Hakikatnya, bumiputera terutamanya bangsa Melayu akan terus kekal dalam kepompong lama selagi orang Melayu takut untuk melakukan perubahan.

8. Walau apa pun, kerajaan sudah pun mengumumkan keputusan pemansuhan PPSMI ini. Tidak semua pihak akan berpuas hati dengan pemansuhan ini, sama seperti sewaktu perlaksanaannya dahulu. Dengan kegagalan PPSMI ini, diharap agar kerajaan dapat mencari jalan supaya mutu dan kualiti pelajar terutama bumiputera tidak terjejas malah akan terus meningkat pada masa hadapan.

Selasa, 7 Julai 2009

Guan Eng perlu tinggal di banglo mewah untuk selesaikan masalah Kg. Buah Pala...

1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang mesti menyelesaikan masalah tanah di Kampung Buah Pala dengan menggunakan budi bicara sendiri tanpa perlu ada campur tangan dari pihak lain. Kenyataan bersifat keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk tidak mahu terlibat dengan sebarang tindakan yang akan diambil oleh Lim Guan Eng adalah tepat.

2. Lim Guan Eng dan kerajaan Pakatan Rakyat perlu ingat bahawa salah satu faktor kemenangan PR dalam PRU yang lalu adalah berpunca dari janji-janji yang telah ditabur termasuk untuk menyelesaikan masalah di Kampung Buah Pala ini. Jadi, adalah tidak wajar jika Guan Eng cuba mengambil sikap lepas tangan atau cuba meletakkan tanggungjawabnya ke atas tanggungan orang lain.

3. Guan Eng sepatutnya bertindak rasional dan relevan sebelum bersedia untuk menabur apa jua janji kepada pihak lain. Harus diingat bahawa setiap janji yang ditabur merupakan satu harapan yang diberi kepada mereka terutama melibatkan perkara yang mendesak. Adalah tidak wajar dan satu penganiayaan jika harapan yang ditabur itu hanya tinggal harapan.

4. Kerajaan Pusat berhak untuk tidak campur tangan memandangkan masalah yang timbul merupakan janji dari Pakatan Rakyat malah tanah yang terlibat juga berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Jika di tempat-tempat lain, Pakatan Rakyat sanggup bersusah payah untuk merampas dan mengambil alih tanah dari pihak lain, mengapa tidak di kampung Buah Pala.

5. Jika kerajaan pusat berbaik hati untuk menyelesaikan maslah ini, ia umpama memikul beban dan bara api di bahu. Kerajaan negeri pasti akan menyalahkan kerajaan pusat, seperti yang sering berlaku dalam banyak hal, sekiranya kerajaan pusat gagal menyelesaikan masalah ini. Malah, jika kerajaan pusat berjaya sekalipun, pastinya kerajaan negeri akan memanipulasikan maklumat sehingga PR yang akan mendapat nama atas kejayaan tersebut.

6. Tidak timbul soal kewangan jika apa yang dibentangkan oleh Guan Eng dalam Dewan Negeri diambil kira. Menurutnya, Kerajaan negeri berjaya membawa masuk sejumlah besar pelaburan dari luar. Malah tindakan Guan Eng yang berpindah kediaman ke sebuah banglo mewah dan memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk kerja-kerja penyelenggaraan di Rumah Seri Teratai yang menjadi kediaman rasmi Ketua Menteri membuktikan bahawa tidak timbul masalah kewangan dalam kerajaan negeri Pulau Pinang. Jadi, sepatutnya tidak timbul masalah untuk kerajaan Pakatan Rakyat melunaskan janji mereka di Kampung Buah Pala.

7. Walau apa pun, adalah memang patut untuk kerajaan pusat membiarkan kerajaan negeri menyelesaikan masalah mereka sendiri. Kerajaan negeri dan Pakatan Rakyat perlu lebih bertanggungjawab atas setiap janji-janji yang telah mereka taburkan sebelum ini. Bukan hanya bijak berjanji dan akhirnya mencari jalan untuk mengelak dari masalah yang timbul akibat dari janji yang ditabur.

Sabtu, 4 Julai 2009

Awas !!! Anwar Ibrahim semakin gila meroyan...

1. Syabas diucapkan kepada Anwar Ibrahim dan rakan sekutu Pakatan Rakyatnya. Seperti yang telah digembar-gemburkan sebelum ini, akhirnya Anwar berjaya menemui barisan kepimpinan bayangannya yang telah beliau umumkan semalam. Tercapai jua hajat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri walaupun berstatus bayangan dan pada masa yang sama terpaksa berkongsi kedudukan dengan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi serta pemimpin DAP, Lim Kit Siang.

2. Seperti yang telah Anwar nyatakan sebelum ini, matlamat utama pembentukan barisan kabinet bayangan ini adalah sebagai sebuah pasukan pemantau bagi menilai atau lebih tepat lagi untuk mencari salah dan silap serta kelemahan yang mungkin berlaku dalam pentadbiran kerajaan Barisan Nasional berdasarkan portfolio yang telah ditetapkan.

3. Namun saya melihat, pembentukan kabinet bayangan ini adalah bertujuan untuk menarik perhatian rakyat kononnya inilah barisan kepimpinan yang akan dilantik sekiranya ditakdirkan Pakatan Rakyat dipilih menjadi kerajaan.

4. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menutup keretakan yang kian berlaku dalam PR hingga memungkinkan PR berada di ambang perpecahan. Perkara ini jelas kita boleh lihat seperti yang berlaku dalam kerajaan negeri Kedah di mana DAP Kedah secara rasminya telah mengumumkan untuk berundur dari Pakatan Rakyat. Keretakan juga berlaku di Pulau Pinang apabila semalam Pengerusi Perhubungan PKR Negeri, Dato' Zahrain secara terbuka membidas dan mempertikaikan beberapa tindakan Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri. Lim dikatakan gagal melaksanakan tanggungjawab dalam kepimpinan dengan baik apatah lagi untuk menjadikan Umar Abd. Aziz sebagai role model terutama melibatkan isu berkaitan pemecatan Ahli Majlis, Johari Kassim dari MPSP.

5. Jadi, bagi mengkaburi mata rakyat dari tertumpu ke arah keretakan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat maka Anwar Ibrahim mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan barisan kabinet bayangannya. Umum juga pasti sudah mengenali Anwar Ibrahim, seorang pemimpin yang kaya dengan spekulasi dan bijak mempergunakan angan-angan kosongnya untuk menarik perhatian rakyat.

6. Saya juga tertarik dengan senarai barisan kabinat yang diumumkannya. Siapakah sebenarnya yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia jika Pakatan Rakyat memerintah? Berdasarkan senarai beliau, Anwar menamakan dirinya, Hadi dan Lim bagi memantau portfolio Jabatan Perdana Menteri. Adakah ini juga bermakna ketiga-tiga nama tersebut bakal dilantik sebagai PM? Atau Anwar masih malu-malu cicak untuk melantik diri sendiri dan mahu membiarkan orang lain yang mengangkat dirinya.

7. Sekiranya Anwar bercadang untuk melantik ketiga-tiga nama sebagai PM maka boleh diandaikan bahawa negara bakal ditadbir oleh 3 nakhoda dalam satu masa jika PR memerintah. Kelazimannya, kapal akan tenggelam jika dikawal oleh ramai nakhoda. Dan mungkin inilah yang diinginkan oleh Anwar.

8. Itu bagi jawatan no. 1 yakni Perdana Menteri. Anwar juga gagal menamakan siapa menteri, Timbalan Menteri dan setiausaha parlimen mengikut portfolio yang telah beliau umumkan. Beliau hanya menamakan dari ketiga-tiga wakil parti bagi mengisi portfolio kementerian. Ini menunjukkan bahawa Anwar dan kepimpinan Pakatan rakyat masih was-was untuk menentukan siapa paling layak memimpin portfolio. Cara dan tindakan Anwar juga boleh menyebabkan perpecahan kerana masing-masing pasti akan menonjolkan diri dan menjadikan diri sebagai yang terbaik di mata Anwar. Maka, akan berlakulah tolak-menolak, tikam-menikam dan pijak-memijak antara satu sama lain.

9. Walau apa pun, senarai yang diumumkan oleh Anwar hanya akan menjadi realiti jika PR ditakdirkan menjadi kerajaan. Sehingga itu ia kekal hanya sebagai satu barisan bayangan dan ia tidk cukup untuk menggugat kedudukan kerajaan. Apa yang lebih penting, Anwar sepatutnya menumpukan segala kudrat untuk mengukuhkan semula tali ikatan dalam Pakatan rakyat sebelum boleh bercakap soal hendak menjadi kerajaan. Hakikatnya...biarlah Anwar dengan angan-angan Mat Jeninnya...

Khamis, 2 Julai 2009

UMNO DAP : Jadi ahli DAP dan bawa pulang RM2000...

1. Kedudukan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang selaku kerajaan yang mentadbir sebuah negeri dilihat semakin goyah dan pincang. Kenyataan ini turut disokong dengan beberapa pendedahan yang telah dilakukan termasuk beberapa kelemahan pentadbiran yang dapat dilihat dan dinilai secara jelas. DAP selaku majoriti dalam kerajaan negeri hanya gah di kalangan rakan-rakan Pakatan Rakyat lain iaitu PAS dan PKR namun pada masa yang sama gagal menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan berkebajikan sebagaimana dijanjikan sebelum ini.

2. Baru-baru ini, Ketua Pembangkang dari BN, Dato' Azhar (ADUN Penaga) telah mendedahkan salah laku serta cubaan untuk mengambil kesempatan yang cuba dilakukan oleh DAP terhadap rakyat Pulau Pinang. Dakwaan ini cuba disangkal oleh DAP termasuk desakan agar Dato' Azhar memohon maaf secara terbuka atas pendedahan yang telah dilakukan.

3. Tidak dinafikan bahawa salah satu faktor kekuatan BN adalah terletak kepada pengaruh undi di saluran 1 dan 2. Umum mengetahui bahawa saluran 1 dan 2 kebanyakannya menyenaraikan pengundi dari kalangan warga emas atau mereka yang berada dalam lingkungan umur atas 50-an.

4. Pakatan Rakyat yakin bahawa mereka sudah mampu menarik sokongan dari golongan muda. Ini terbukti berdasarkan keputusan Pilihanraya bagi saluran 3,4 dan 5 yang boleh dikatakan kebanyakannya memihak kepada Pakatan Rakyat.

5. PR beranggapan bahawa untuk memenangi pilihanraya adalah amat penting untuk mendapatkan sokongan dari saluran 1 dan 2. Segala usaha mula ditumpukan untuk meraih sokongan dari golongan warga emas.

6. Langkah permulaan yang cuba digerakkan oleh DAP adalah dengan menawarkan baantuan khas kepada golongan warga emas. Syarat untuk mendapatkan bantuan ini hanyalah dengan mengisi borang menjadi ahli parti DAP. RM2000 diberikan sebaik sahaja selesai mengisi borang keahlian tersebut.

7. Ini menunjukkan betapa Pakatan Rakyat tidaklah seikhlas dan sejujur mana. Mereka juga lebih banyak menggunakan wang untuk meraih sokongan malah mereka sanggup mengambil kesempatan terhadap rakyat yang terdesak untuk menyokong mereka. Adakah ini ciri-ciri kerajaan berkebajikan yang didambakan oleh seluruh rakyat Malaysia???

PAS DAP : Pakatan Rakyat menuju kehancuran hanya disebabkan 'BABI'...

1. Semalam, DAP Kedah telah membuat satu kejutan dengan mengambil keputusan dan mengumumkan untuk keluar dari Paktan Rakyat melaui satu kenyataan media. Keputusan ini telah diumumkan sendiri oleh Pengerusi DAP Kedah sebaik sahaja selesai mesyuarat tergempar kepimpinan tertinggi DAP Negeri.

2. Keputusan ini diambil ekoran daripada tindakan kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS melalui Majlis Perbandaran yang telah bertindak merobohkan dan memusnahkan kandang babi di kampung Berjaya. DAP Kedah tidak berpuas hati dengan tindakan ini dan bertindak cuba untuk menghalang kerja-kerja meroboh tetapi gagal.

3. Salah satu alasan yang diberikan adalah tindakan PBT yang hanya memberi tempoh notis selama sebulan untuk berpindah. DAP Kedah juga beranggapan bahawa kerajaan PAS bertindak tidak adil terhadap mereka dan tidak melambangkan kerajaan untuk semua masyarakat dan kaum.

4. Dengan penarikan diri DAP Kedah dari Pakatan Rakyat jelas menunjukkan sesuatu yang janggal dan tidak kena sedang berlaku dalam Pakatan rakyat terutama melibatkan hubungan antara parti. Untuk makluman, DAP kedah hanya memiliki satu kerusi DUN sedangkan majoritinya dikuasai oleh PAS dan BN.

5. Alasan yang mungkin diberikan oleh kepimpinan Pakatan rakyat bagi menjawab isu ini adalah keputusan yang diambil oleh DAP Kedah tidak melambangkan keputusan keseluruhan dan ianya hanya melibatkan kes terpencil serta tidak mampu menggugat ikatan pakatan Rakyat. Ini yang berlaku di Kedah di mana kerajaan negerinya dikuasai oleh PAS.

6. Pujian mungkin boleh diberikan kepada kerajaan PAS Kedah kerana berjaya bertindak tegas dalam menangani isu kandang babi haram ini. Namun, dalam pada masa yang sama, PAS mungkin boleh mula melupakan untuk menubuhkan sebuah kerajaan Islam sepenuhnya jika ditakdirkan Pakatan Rakyat berkuasa jika sikap DAP kini diambil kira.

7. DAP memang dari dulu lagi secara terang dan nyata menolak sebarang usaha atau cadangan untuk menubuhkan atau menjadikan negara Malaysia sebuah negara Islam sepenuhnya dan melaksanakan undang-undang Islam secara total. Pakatan Rakyat bukanlah platform yang tepat jika PAS serius untuk menubuhkan sebuah negara Islam sebenar.

8. Walau apapun, DAP pastinya tidak akan membiarkan perkara yang berlaku berlalu begitu sahaja. Harus diingat, DAP merupakan kerajaan majoriti bagi kepimpinan Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Dan pastinya yang bakal menjadi mangsa adalah Melayu Pulau Pinang yang sudah mula dipinggir dan diketepikan secara perlahan-lahan dalam banyak hal oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP.

Rabu, 1 Julai 2009

UMNO PR : Guan Eng cabut lari bila didesak isu Kg. Buah Pala...

1. Tertarik...menarik... Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilihat semakin hari semakin mendedahkan kelemahan diri sendiri. Kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat dan dikepalai oleh pemimpin tinggi dari DAP, Lim Guan Eng mula menunjukkan taring yang tumpul dari mulut yang berbau hapak dengan pelbagai janji palsu.

2. Dimanakah perginya slogan kerajaan negeri berkebajikan, janji untuk menjadikan CAT sebagai teras pentadbiran negeri, janji membela nasib penduduk Pulau Pinang dan 1001 janji lagi yang mungkin sudah dibawa ombak Pantai Telok Bahang yang bergelora. Atau itu semua hanya sekadar janji pemanis mulut, pemikat hati khas buat rakyat Pulau Pinang.

3. Semalam bukan lagi kemuncak kebangkitan akibat kemuakan rakyat Pulau Pinang yang ditunjukkan oleh penduduk Kampung Buah Pala melalui demonstrasi yang dibuat di Dataran KOMTAR. Itu pun sudah cukup memperlihatkan betapa Lim Guan Eng sudah ketandusan langkah untuk menyelesaikan masalah sehingga memaksa Guan Eng membuka langkah seribu dengan hanya membiarkan wakilnya pergi bertemu dengan kumpulan demostrasi itu walhal Guan Eng ketika itu berada dalam bangunan KOMTAR tersebut.

4. Kerajaan Negeri berjanji untuk menyelesaikan masalah penduduk Kampung Buah Pala yang benar-benar terdesak setelah MPPP mengugut hendak mengambil alih tanah milik kerajaan negeri dan terpaksa merobohkan kediaman penduduk kampung tersebut. Penduduk kampung hanya menagihkan pembelaan dari kerajaan negeri seperti yang dijanjikan sebelum ini. Kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menghalang pengambil alihan tersebut tetapi sedihnya apabila Guan Eng dilihat seperti merestui kerja-kerja perobohan diteruskan.

5. Itu cerita Kampung Buah Pala. Sejak Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampok pemerintahan kerajaan negeri, apa yang dapat dilihat dan dinikmati oleh penduduk Pulau Pinang bukan lah kesenangan dan kejayaan, tetapi lebih banyak kegagalan dan kesengsaraan. Bermula dengan pembuangan pekerja sektor swasta dan perkilangan secara besar-besaran.

6. Meroboh tapak perniagaan, menaikkan kadar sewa gerai milik kerajaan negeri, mengenakan sewa pada setiap meja yang diletakkan atas tanah kerajaan negeri. Mengambil alih dewan dan prasarana lain termasuk pasar malam secara paksa. Cuba merampas gerai dan permis perniagaan milik pertubuhan di bawah kerajaan terdahulu dan koperasi. Serta banyak lagi tindakan melampau yang melambangkan betapa kerajaan Pakatan Rakyat ini benar-benar terdesak dan seboleh-bolehnya cuba untuk menggunakan kuasa yang dimiliki demi untuk kepentingan sendiri.

7. Kuasa yang mereka miliki cuba dipergunakan dengan sewenang-wenangnya hinggakan mereka lupa bahawasanya kuasa yang ada adalah milik Allah dan hanya dipinjamkan semetara kepada umat manusia. Kita boleh lihat kemelut kuasa melibatkan perletakan dan perlantikan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang hingga membawa kepada PRK. Malah terbaru membabitkan isu perlantikan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sehingga membawa kepada pemulauan majlis angkat sumpah YDP yang baru oleh wakil PKR yang kecewa kerana bukan orang PKR yang dilantik ke jawatan tersebut.

8. Cukupkah dengan memberi bantuan RM50 bersama sekampit beras kepada orang miskin dan ibu tunggal untuk menambat hati rakyat Pulau Pinang. Atau hanya dengan pemansuhan saman PBT dan pengurangan taarif bil air di bawah RM20 sebulan maka terlangsailah segala janji yang ditabur sebelum ini. Jika hanya inilah yang termampu dilakukan oleh kerajaan Pakatan rakyat maka boleh lah dikatakan bahawa kerajaan BN terdahulu adalah jauh lebih baik dari apa yang dinikmati sekarang.

9. Walau apapun, sudah tiba masanya untuk seluruh rakyat Pulau Pinang membuka minda, bertindak dan berfikiran rasional dengan penuh kewarasan dan hati yang terbuka untuk menilai kemampuan dan kredibiliti kepimpinan dahulu dan terkini demi masa depan negeri pulau mutiara yang dicintai ini.








Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE