-->

Suara Melayu Baru

Breaking News
Loading...

Khamis, 30 April 2009

PAS dipergunakan dan terus ditipu oleh Anwar Ibrahim...

PAS kawasan Permatang Pauh telah mengambil satu langkah berani apabila mengumumkan keputusan untuk membekukan jentera kempen pilihanrayanya bagi menghadapi PRK DUN Penanti. Ini berikutan cadangan akar umbi PAS kawasan tersebut yang mahukan calon mereka bertanding bagi merebut DUN Penanti setelah kerusi tersebut dikosongkan oleh bekas penyandangnya, Fairus Khairuddin. Cadangan akar umbi itu kini diperingkat pertimbangan oleh kepimpinan tertinggi PAS Pusat. Usul PAS kawasan untuk bertanding telah mendapat sokongan majoriti suara akar umbi dan telah dikemukakan kepada Tuan Guru Haji Hadi untuk dipertimbangkan. Kini hanya menanti keputusan samada PAS Pusat akan meletakkan calon mereka di situ atau tidak dan hanya akan diumumkan melalui Perhubungan PAS Negeri.

Perkara ini jelas menunjukkan bahawa ada sesuatu yang sedang malanda kepimpinan Pakatan rakyat Negeri Pulau Pinang. Kemelut yang melanda ahli komponen Pakatan Rakyat yang selama ini mungkin masih mampu disembunyikan nampak gayanya kini sudah tidak mampu dibendung lagi. Rakyat Pulau Pinang terutama penyokong setia PAS mungkin mulai sedar betapa selama ini mereka telah ditipu dan dipergunakan sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu demi untuk kepentingan politik semata-mata. Kepercayaan yang diberikan selama ini seperti telah ditabur dengan tuba. Beberapa artikel saya sebelum ini juga ada menyebut betapa PAS Pulau Pinang hakikatnya telah dipinggirkan dan dianaktirikan oleh sahabat Pakatan Rakyat yang lain.

Sejak dari mula lagi iaitu sesudah PRU-12 berakhir yang mana menyaksikan Kerajaan BN Pulau Pinang telah tumbang dan pentadbiran negeri berjaya diambil alih oleh kepimpinan Pakatan Rakyat, PAS telah diperlakukan seperti tidak wujud dan tidak memberi apa-apa sumbangan di atas kejayaan Pakatan Rakyat. Walaupun tidak banyak kerusi yang berjaya dimenangi oleh PAS namun tidak sepatutnya PAS langsung tidak diberi peluang atau jawatan dalam EXCO dan kepimpinan negeri. Sekurang-kurangnya EXCO Agama sepatutnya diberi kepada wakil PAS sebagai menghargai sokongan dan sumbangan ahli PAS lain yang telah memberi undi mereka kepada calon Pakatan Rakyat. Sehinggalah Fairus dilihat gagal melaksanakan tugas dengan baik barulah EXCO agama yang sebelum ini dipegang oleh beliau ditari balik dan diserahkan kepada wakil PAS dan hakikatnya ia sudah terlambat.

Selain itu, kemelut yang melanda dalaman PAS sendiri sebenarnya telah membuka mata banyak pihak terutama ahli-ahli PAS sendiri. Selama ini mereka terlalu memberi kepercayaan, ruang dan peluang kepada Pakatan Rakyat untuk mengejar matlamat politik yang mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional tanpa memikirkan natijah disebaliknya. Tanpa disedari, PAS sebenarnya telah dipergunakan oleh Sang Anwar dengan menggunakan sepenuh pengalaman dan kelicikannya dalam politik demi untuk menggapai cita-cita jahatnya.

Anwar Ibrahim telah memasang jerat pelanduknya di dalam parti PAS hingga berjaya mewujudkan puak pro-Anwar atau dikenali puak edrogan bagi mengambil alih tampuk kepimpinan tertinggi PAS yang selama ini dipegang oleh kumpulan ulama. Anwar sebenarnya telah berjaya memecah belahkan PAS setelah kejayaan pertamanya memutuskan persaudaraan dalam UMNO apabila membawa keluar penyokongnya dari UMNO untuk mewujudkan parti PKR. Kini Anwar menuju kepada 'second step'nya untuk mengambil alih PAS melalui muktamar PAS yang kian hampir. Cadangan yang dikemukakan oleh Presiden PAS untuk memulakan usaha bermuzakarah dengan UMNO membuatkan Anwar menjadi tidak senang duduk kerana baginya jika usaha bermuzakarah ini berjaya maka ia sekaligus akan membantutkan cita-citanya untuk ke Putrajaya.

Bagi mengatasinya, Anwar mula mencucuk jarum jahat kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz supaya menentang cadangan Presiden PAS untuk bermuzakarah dan sekaligus mengeruhkan hubungan antara dua pemimpin utama PAS ini iaitu Haji Hadi dan Nik Aziz. Benarlah kata orang tua-tua bahawa perpecahan akan membawa kepada kehancuran. Dan inilah yang cuba dilakukan oleh Anwar terhadap kepimpinan PAS. Bagi Anwar, jika dia berjaya menguasai kepimpinan PAS yang juga merupakan parti kedua utama bagi orang Melayu maka misinya untuk menjadi Perdana Menteri bolehlah dianggap berjaya dan jalan untuknya ke Putrajaya akan terbentang luas.

Pada pandangan Anwar, untuk menguasai pemikiran dan mendapatkan sokongan orang Cina dan India tidaklah sesukar mana jika dibandingkan untuk mendapatkan sokongan dari bangsanya sendiri. Kini pun kita sudah dapat melihat melalui beberapa PRK yang lepas akan kemampuan Anwar bilamana beliau berjaya meraih sokongan padu dari masyarakat Cina dan India di semua kawasan yang ditandingi oleh calonnya. Bagi orang Cina dan India, apa yang penting bagi mereka adalah peluang untuk mereka mencari makan di bumi Malaysia. Sudah cukup bagi mereka bila Anwar menjanjikan satu kerusi Timbalan Perdana Menteri jika Anwar berjaya menjadi PM dan janji Anwar untuk menghapuskan kuota ekonomi bumiputera menjadi satu bonus untuk mereka terus memonopoli ekonomi negara.

Hakikatnya kini, kunci penentu berada di tangan PAS. Hanya PAS sahaja yang dapat memastikan samada Anwar berjaya mencapai cita-citanya atau tidak. Pendedahan yang dikemukakan oleh anak Mursyidul Am Pas, Nik Mohd Abduh sedikit sebanyak telah berjaya membuka mata banyak pihak terutama di kalangan ahli-ahli PAS. Sekurang-kurangnya, ahli-ahli PAS yang selama ini begitu taksub untuk menguasai kerajaan dan sedaya-upaya beruasaha membantu Anwar untuk mencapai impiannya akan dapat menilai kembali mana intan dan yang mana kaca. Diharap mereka akan sedar bahawa segala usaha mereka selama ini hingga sanggup mengenepikan prinsip perjuangan PAS sebenar adalah satu usaha yang sia-sia dan hanya untuk kepentigan individu yang bernama Anwar. Apa yang pasti PAS hanya akan umpama melukut di tepi gantang sekiranya ditakdirkan Anwar berjaya mencapai cita-citanya.

Fikir-fikirkanlah...

Rabu, 29 April 2009

4 anjakan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan sektor awam.

Perdana Menteri Malaysia telah menyenaraikan 4 anjakan paradigma ke arah modenisasi yang perlu dilaksanakan oleh sektor perkhidmatan awam bagi mencapai kejayaan di alaf baru yang serba mencabar. Anjakan ini dilihat penting bertujuan untuk meningkatkan prestasi dan meletakkan sektor awam ini di kedudukan terbaik. Bersesuaian dengan matlamat One Malaysia yang diperkenalkan oleh PM, serta sasaran kerajaan untuk mencapai negara maju pada tahun 2020 maka sektor awam perlu melakukan satu anjakan positif memandangkan sektor awam ini merupakan nadi dan tulang belakang kerajaan dalam menetukan keberkesanan perlaksanaan sesuatu dasar yang diwujudkan oleh kerajaan.

Anjakan pertama yang digariskan oleh mamanda Perdana Menteri adalah melakukan perubahan daripada ketegaran kepada keanjalan. Ini penting sebagai satu suntikan atau pemudah cara kepada sektor swasta untuk meningkatkan prestasi bertepatan dengan peranan yang dimainkan oleh swasta yang juga merupakan penyumbang dan penentu kejayaan serta peningkatan ekonomi negara. Ini secara tak langsung dapat menyumbang semula kepada sektor awam hasil daripada peningkatan prestasi dan produktiviti sektor swasta melalui cukai korporat bilamana keanjalan atau peluang pelbagai cara dapat diterapkan dalam sektor perkhidmatan awam.

Anjakan kedua pula adalah perlunya peralihan daripada budaya out put dan perbelanjaan atau kesan nyata semata-mata, kepada mementingkan keberhasilan secara holistik. Sektor perkhidmatan awam perlu mengkaji dan meneliti sesuatu perlaksanaan agar lebih berkesan dan dapat menyumbang semula secara maksimum, bukannya pembaziran semata-mata. Perbelanjaan atau peruntukan yang digunakan bukan saja perlu secara berhemah tetapi kena pada tempat, masa dan ketika di samping dapat memberi kesan secara menyeluruh. Sebagai contoh, pembinaan klinik kesihatan dan hospital terutama di kawasan luar bandar bukan sahaja perlu ditingkatkan dari segi kuantiti malah kualiti perkhimatan yang diberikan perlu juga sejajar dan sentiasa berada pada tahap terbaik.

Anjakan ketiga adalah perubahan daripada birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang memudah cara serta menyenangkan rakyat. ISO atau pemantauan perkhidmatan perlu dipertingkatkan kualitinya dan keberkesanannya bagi memastikan sistem yang diguna pakai sentiasa relevan dengan kehendak semasa. Sektor perkhidmatan awam perlu sentiasa mengkaji kaedah 'memperturunkan kuasa' atau memberi mandat kepada orang bawahan yang layak dan sesuai terutama melibatkan prosedur-prosedur yang kurang penting di bawah pengawasan. Ini sekaligus dapat mendidik sifat kebertanggungjawaban dan mewujudkan rasa dihargai dalam diri setiap penjawat awam yang diberi peranan. Setidak-tidaknya ia dapat mengurangkan karenah birokrasi yang sentiasa membelenggu perkhidmatan awam.

Manakala anjakan keempat yang digariskan oleh Dato' Seri Najib adalah sektor awam perlu beralih daripada hanya menekankan soal produktiviti kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan inovasi. Bersesuaian dengan faktor kehendak semasa dan arus globalisasi yang maha mencabar kini, setiap pihak di dalam sektor perkhidmatan awam perlu diterapkan dan dipupuk dengan ketiga-tiga kretiria di atas. Hakikatnya sekarang kuantiti bukan lagi faktor penting dalam menentukan kejayaan sesuatu organisasi tetapi kualiti yang dapat dibentuk terutama melibatkan elemen-elemen positif mampu melonjakkan tahap dan prestasi sesuatu struktur menjadi lebih baik.

Dengan erti kata lain, jika sektor perkhidmatan awam mampu merealisasikan anjakan yang digariskan oleh Perdana Menteri ini maka sasaran One Malaysia dan Wawasan 2020 akan mampu dicapai dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. Apa yang penting, semua pihak perlu memainkan peranan dengan berkesan agar anjakan ini mampu menjadi realiti.

Selasa, 28 April 2009

PRK Penanti : Siapa lawan siapa sebenarnya ni???

Debaran menanti hari penamaan calon bagi Pilihanraya Kecil DUN Penanti benar-benar dirasai. Ini berdasarkan keadaan senario politik semasa dan spekulasi-spekulasi yang tak putus-putus hangat diperkatakan. Semuanya berkisarkan kepada ketaksuban dan keegoan kepimpinan tertinggi PKR terutaman penasihat parti, Anwar Ibrahim yang terus menanam tekad untuk membalas dendam kepada kerajaan Barisan Nasional dan sekaligus ingin bertakhta di kedudukan no. 1 negara.

Hari ini, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah menarik balik perlantikan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Negeri, Dr. Mansor Othman dari senarai Ahli Dewan Negara atau Senator (Klik Sini). Ini sekaligus mengesahkan ura-ura sebelum ini bahawa Dr. Mansor merupakan calon yang bermain di benar Anwar untuk bertanding di DUN Penanti di bawah tiket PKR dan jika ditakdirkan menang maka beliau akan dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang telah dikosongkan setelah Fairus Khairuddin meletak jawatan.

Kemelut yang kian meruncing di dalam kepimpinan Pakatan Rakyat negeri semakin terserlah apabila PAS selaku salah satu komponen di dalam PR berminat untuk meletakkan calonnya bagi merebut DUN Penanti walaupun PKR telah mengesahkan untuk mengekalkan kuota calonnya di situ. Ini berikutan suara akar umbi dari PAS yang inginkan calon untuk bertanding di kawasan tersebut setelah kecewa dengan kepimpinan PKR sebelum ini yang dilihat gagal melaksanakan tugas dengan baik.

Bagi Barisan Nasional pula, Najib telah mencadangkan untuk tidak turut serta bagi merebut kerusi tersebut di atas alasan pengosongan DUN Penanti tidak wajar berlaku jika Pakatan rakyat mengambil sikap lebih bertanggungjawab dan PRK yang bakal diadakan hanya menyumbang kepada pembaziran wang dan membuang masa dimana sepatutnya tumpuan maksimum perlu diberikan kepada usaha untuk memulihkan ekonomi negara. Tun Mahathir pula mempunyai pendapat yang berbeza dan mahu BN meletakkan calonnya di Penanti kerana bagi beliau BN tidak pernah terlepas dari mana-mana PRK dan seharusnya BN menjadikan kerusi Penanti ini sebagai platform untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada Barisan nasinal.

"Jawatankuasa PAS Kawasan Permatang Pauh akan bermesyuarat malam ini bagi membuat keputusan muktamad berhubung cadangan untuk meletakkan calon bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti, 31 Mei depan.

"Kita tengok reaksi AJK kawasan dan kita kumpul maklumat (mengenainya)," kata Yang Dipertuanya, Omar Hassan kepada Malaysiakini.

"(Setakat ini) kita tetap berpegang dengan keputusan usul kawasan (untuk PAS bertanding di Penanti).

"Kita tidak akan berganjak, sebab kita bawa hasrat ahli-ahli (akar umbi)," katanya lagi.

Penanti adalah antara tiga DUN dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh yang diwakili oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dua lagi DUN di situ ialah Seberang Jaya dan Permatang Pasir.

Omar berkata, usul untuk meletakkan calon PAS bertanding di Penanti dibuat dalam mesyuarat PAS kawasan tersebut pada 19 April lalu.

Dilaporkan, kesemua 115 perwakilan sebulat suara menyokong usul agar PAS bertanding dalam pilihanraya kecil DUN tersebut.

Jumpa Abdul Hadi

Pada hari berikutnya, kata beliau, mereka mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur untuk memaklumkan mengenai usul tersebut.

Setakat ini, kata Omar, pihaknya belum menerima apa-apa maklum balas dari Abdul Hadi yang juga ahli Parlimen Marang.

"PAS kawasan ini juga belum menerima sebarang arahan dari PAS Pusat untuk bersiap sedia menghadapi pilihanraya kecil DUN tersebut," kata Omar.

Semalam Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mengumumkan penamaan calon bagi pilihanraya kecil tersebut diadakan pada 23 Mei depan.

Kerusi DUN Penanti dikosongkan ekoran perletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin, yang juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang.

Dilaporkan Timbalan Ketua Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr Mansor Othman antara pemimpin parti itu yang disebut-sebut bertanding dalam pilihanraya kecil itu.

Anwar yang juga ketua umum PKR, dijadual mengumumkan di Pulau Pinang malam ini, calon PKR yang akan bertanding di Penanti.

Menurut Omar lagi, jawatankuasa PAS kawasan tersebut juga, akan berbincang malam ini, tentang penyusunan program, termasuk menyusun semula kepimpinan kawasan tersebut."
- MalaysiaKini.

Jika PAS meneruskan hajat akar umbi untuk bertanding di Penanti dan menentang rakan sendiri dari PKR dan pada masa yang sama BN tidak mahu melibatkan diri dalam PRK ini maka saya berpendapat dan mencadangkan kepada rakan-rakan Blogger Pembela Negara (BPN) sekalian untuk memberikan sokongan kepada calon PAS dan membantu calon PAS tersebut bagi menewaskan calon PKR di bawah naungan Anwar. Ini sekurang-kurangnya akan membantutkan cita-cita jahat Sang Anwar yang kini dilihat sudah lari dari perjuangan asal untuk membela agama, bangsa dan negara.

Isnin, 27 April 2009

Ramasamy akui kemiskinan tidak boleh dihapuskan. (Menipu lagi...)

Akhirnya kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Pakatan Rakyat melalui Timbalan Ketua Menteri 2nya terpaksa mengakui bahawa adalah satu perkara yang amat sukar dan mungkin hampir kepada mustahil untuk menghapuskan terus kemiskinan tegar di Pulau Pinang. Ini jelas membuktikan bahawa kempen yang selama ini dihamburkan kepada rakyat hingga membuahkan kemenangan kepada Pakatan Rakyat Pulau Pinang lebih banyak terarah kepada pembohongan dan tidak lebih hanyalah untuk menarik publisiti, perhatian dan sokongan rakyat kepada mereka.

Rakyat Pulau Pinang yang terlena dibuai angin bayu sambil disuap dengan 1000 janji manis Pakatan Rakyat terpaksa akur dan menelan kepahitan dek janji yang tak mampu ditunai. Malah rakyat terpaksa pula kini berdepan dengan pelbagai karenah dan tindakan yang menggila dari kerajaan negeri seperti saman, cukai dan banyak lagi disebabkan kerajaan negeri yang semakin ketandusan sumber kewangan. Adakalanya rakyat mula terfikir alangkah baiknya kerajaan terdahulu. Walaupun mereka ada makan duit tetapi hal kebajikan rakyat tidak pernah dipinggir. Bahkan lebih banyak peruntukan, pembangunan dan pelbagai wang ehsan telah dihulur kepada rakyat berbanding apa yang dinikmati rakyat. Mungkin kerajaan sekarang hanya mementingkan publisiti media dalam melaksanakan sesuatu aktiviti hinggakan sumbangan RM 50 pun digah ke seluruh dunia.

Walau apa pun, rakyat sudah pun memutuskan siapa yang berhak mentadbir negeri selama tempoh sepenggal ini dalam PRU12 yang lalu. Suka atau tidak, rakyat perlu tunggu hingga PRU13 samada masih ingin kekal dengan kerajaan sedia ada atau sudah tidak tertanggung keperitan hidup di bawah tangan Pakatan Rakyat.

"GEORGETOWN: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, hari ini mengakui bahawa kemiskinan di Pulau Pinang tidak boleh dihapuskan tetapi bilangan mereka yang miskin boleh dikurangkan.

Beliau berkata, kemiskinan adalah isu yang relatif dan sesiapa sahaja boleh menjadi miskin kerana pelbagai sebab dan apa yang dilakukan kerajaan negeri ketika ini ialah membantu golongan itu.

Beliau juga mengakui bilangan mereka yang miskin boleh bertambah pada bila-bila masa.

"Setakat ini terdapat 728 keluarga miskin tegar yang didaftarkan di Pulau Pinang dan kumpulan itu telah selesai dibantu," katanya ketika menggulung perbahasan ucapan terima kasih terhadap Yang Dipertua Negeri,Tun Abdul Rahman Abbas, pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian setelah beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mempertikaikan kenyataan yang dibuat Ketua Menteri, Lim Guan Eng, sebelum ini bahawa kerajaan negeri berjaya menghapuskan miskin tegar di Pulau Pinang.

Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (BN-Telok Bahang) berkata pihaknya tidak membantah usaha kerajaan negeri untuk membasmi kemiskinan tetapi mempertikaikan kenyataan ia telah menghapuskan kemiskinan tegar.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga seharusnya mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh Kerajaan Persekutuan dan agensinya untuk membantu golongan miskin tegar di negeri itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim, pula tidak bersetuju bahawa miskin tegar telah dihapuskan di negeri itu kerana masih ramai lagi penduduk di kampung termasuk di kawasannya, masih berada dalam kriteria itu.

"Kalau menggunakan jumlah 728 kata dah hapus miskin tegar, hal ini tidak betul sebab tak hapus lagi, banyak lagi orang di kawasan kampung yang masih berada dalam keadaan itu," katanya."
- B. Harian Online

Ahad, 26 April 2009

Asia dan MB Selangor perlu berjaga-jaga hadapi wabak selesema babi

Saya tertarik dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak media berhubung jangkitan wabak babi yang menular hampir ke seluruh dunia. Menurut kenyataan media tersebut antara simptom-simptom yang menunjukkan bahawa seseorang itu disyaki dijangkiti dengan penyakit ini adalah :

a) Selesema
b) Demam teruk
c) Sakit badan yang teruk
d) Kesukaran untuk bernafas.

Sehubungan dengan itu, WHO telah memberi peringatan kepada seluruh dunia sekiranya ada pihak yang terlibat dengan simptom di atas agar segera berjumpa dengan pihak perubatan untuk mendapatkan pengesahan. Ini termasuklah pihak yang terlibat secara langsung dengan babi.

Oleh yang demikian, Menteri Besar Selangor yang sebelum ini beria-ia hendak membuka kandang babi moden di Nilai supaya lebih berhati-hati dengan jangkitan terbaru ini kerana MB ini dilihat juga terlibat atau mungkin bakal melibatkan diri dengan industri babi ini pada masa akan datang (jika kandang babinya menjadi realiti).

"TOKYO: Pihak kesihatan negara Asia mengambil langkah berjaga-jaga hari ini dengan sebilangan memeriksa penumpang dan produk babi dari Mexico ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan virus baru itu adalah situasi kecemasan kesihatan awam dan mungkin bertukar wabak sejagat.

Lapangan terbang Jepun meningkatkan pemantauan kesihatan manakala pihak kesihatan di Filipina mengatakan ia mungkin mengenakan kuarantin terhadap penumpang yang demam dan pernah ke Mexico.

Pihak berkuasa di Thailand dan Hong Kong pula menyatakan mereka sedang memantau situasi semasa.

China menyatakan sesiapa yang mengalami simptom seperti selesema dalam tempoh dua minggu selepas tiba dari wilayah yang dijangkiti selesema babi diwajibkan melapor diri kepada pihak berkuasa.

Malaysia dan negara Asia lain pula menyatakan masih menunggu nasihat lanjut WHO.

Ketua Pengarah WHO, Margaret Chan, berkata penularan virus baru itu di Amerika Utara adalah amat serius dan berpotensi bertukar wabak sejagat.

Sekurang-kurangnya 81 mati akibat pneumonia teruk yang disebabkan penyakit seperti selesema.

Sebilangan yang mati itu memiliki versi unik virus selesema A/H1N1, iaitu gabungan virus burung, babi dan manusia.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat berkata 11 orang dijangkiti selesema babi itu dan semua mereka kian pulih atau masih dirawat di hospital."
- B. Harian Online

Tuan Guru Nik Aziz juga menyokong kerajaan perpaduan dalam diam...

Saya tertarik setalah membaca luahan dan hakikat sebenar berhubung kemelut yang melanda dalaman PAS yang ditulis sendiri anakanda Tuan Guru Nik Aziz, Nik Mohd Abduh (Klik sini). Beliau dengan lantang telah mengupas kedudukan sebenar berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan antara PAS dan UMNO hasil cadangan Tuan Guru Hadi Awang yang mana pada peringkat awalnya menerima tentangan hebat dari ayahandanya.

Inilah matlamat perpaduan yang kita mahukan. Kita tidak sanggup lagi untuk melihat bagaimana orang Melayu yang secara nyata dimana rata-ratanya merupakan beragama Islam terus dihimpit dengan perpecahan yang tidak berpenghujung. Sudah tiba masanya, tidak kira dari PAS mahupun UMNO memulakan sebarang usaha untuk mewujudkan dan mempelopori sebuah kerajaan perpaduan melibatkan seluruh umat Islam di negara ini. Niat Haji Hadi yang mencadangkan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan ini memang tepat pada masanya dan apa yang penting kini adalah untuk menarik keyakinan Nik Aziz dan para ulama PAS yang benar-benar ulama untuk menyokong dan sama-sama berusaha ke arah merealisasikan kerajaan perpaduan ini.

PAS dan UMNO sememangnya mempunyai kekuatan yang tersendiri. Tidak salah malah adalah lebih tepat jika kedua-dua kekuatan ini bergabung dan bersatu di bawah satu matlamat perjuangan yang hakiki. Apa yang paling penting sekarang adalah kedua-dua parti ini perlu duduk semeja dan memulakan usaha muzakarah dalam mencari titik pertemuan yang dapat memuaskan hati kedua-dua belah pihak. Masing-masing perlu belajar bertolak ansur dan meletak sifat ego di sebelah jika benar mahu melihat perpaduan dan kemajuan sesama ummah.

Saya amat besetuju jika wujudnya penglibatan para ulama yang benar-benar berjuang kerana Islam (bukan ulama mini)dalam sesebuah kerajaan dalam konteks di Malaysia ini yang mana ulama tersebut terlibat secara langsung dalam menentu dan melaksanakan dasar dalam setiap kementerian tidak kiralah sebagai menteri, timbalan menteri malah sebagai penasihat sekalipun. Atau mungkin PAS yang terkenal dengan golongan ulamanya diberi mandat untuk menerajui beberapa portfolio penting seperti pendidikan, pembangunan keluarga dan masyarakat serta beberapa portfolio lain. Dengan ini maka akan wujudnya 'check and balance' dan akan mengurangkan sifat dominan dalam sebuah pentadbiran.

Jika sebelum ini saya ada menulis sebuah artikel yang secara jelas menyelar tindakan Nik Aziz menolak kerajaan perpaduan dan telah menggesa beliau agar berundur dari kedudukan Mursyidul Am PAS, jika benar apa yang diluahkan oleh Nik Abduh ini, maka saya menarik semula gesaan saya sebelum ini asalkan matlamat untuk menjayakan sebarang usaha ke arah perpaduan tidak terhenti.

Apa yang penting sekarang adalah PAS perlu lebih berhati-hati, bukan dengan musuh diluar yang jelas boleh dilihat tetapi dengan kewujudan musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan yang hanya menanti masa untuk menjahanmakan orang Islam, Melayu malah negara Malaysia sendiri. Mereka ini lebih gemar mengambil kesempatan dengan menggunakan Islam demi untuk memenuhi tuntutan nafsu dan kepentingan diri sendiri. Musuh pertama yang perlu diteliti oleh PAS datangnya dari Anwar Ibrahim dan 'Do Re Mi'nya yang mana pada bila-bila masa sahaja akan melakukan apa saja untuk memastikan PM yang diimpikannya berada dalam genggaman.

Sabtu, 25 April 2009

Anwar Ibrahim : Pejuang atau petualang negara???

Syabas diucapkan kepada Anwar Ibrahim di atas kemampuan dan kejayaan beliau membawa dan menyumbang banyak masalah kepada semua pihak. Masalah kepada Barisan Nasional dan UMNO tak perlu diungkit lagi memandangkan peranan dan dendam beliau yang tak mungkin padam terhadap UMNO membuatkan Anwar tidak akan duduk diam dan terus mencari kelemahan dan mengorek kesilapan semata-mata untuk memburukkan dan menjatuhkan parti yang selama ini telah melonjakkan namanya ke persada politik negara.

Soalnya sekarang adalah masalah yang tidak putus-putus timbul di dalam Pakatan Rakyat itu sendiri yang diakibatkan oleh tindak tanduk dan ketidak matangan politik Anwar Ibrahim. Mungkin ada asasnya dengan kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang meminta agar Anwar Ibrahim bertaubat dan meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang. Kenyataan ini timbul berikutan kemelut politik yang melanda Perak di mana menyaksikan beberapa ADUN Pakatan Rakyat telah melompat parti dan beralih sokongan kepada Barisan nasional hingga mengakibatkan kerajaan Pakatan rakyat tumbang. Menurut Karpal, budaya melompat parti ini diperkenalkan oleh Anwar Ibrahim bila mana angan-angan Mat Jenin Anwar yang mengimpikan peralihan kuasa kerajaan berlaku pada tanggal 16 September setelah kononnya beberapa Ahli parlimen Barisan Nasional akan menyeberang ke Pakatan Rakyat tidak menjadi kenyataan. Walhal, perkara sebaliknya berlaku di Perak setelah Barisan Nasional kembali berjaya merampas pentadbiran kerajaan negeri.

Itu cerita lama. Terbaru melibatkan kemelut yang melanda politik Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang dilihat samada terlalu menghormati Anwar Ibrahim selaku Ketua Pakatan Rakyat atau mungkin mencapai tahap takut kepada Anwar dalam menentukan sesuatu keputusan penting melibatkan pentadbiran negeri Pulau Pinang. Ini berikutan isu perletakan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Fairus Khairuddin. Anwar Ibrahim dilihat telah membelakngkan hak dan kepentingan Lim Guan Eng selaku orang no 1 Pulau Pinang dalam menangani isu Fairus ini. Surat perletakan jawatan Fairus juga diserahkan kepada Anwar, bukannya Lim Guan Eng. Manakala perletakan jawatan sebagai ADUN Penanti juga telahpun dimaklumkan lebih awal kepada Anwar tanpa pengetahuan Lim. Lim mengetahui mengenai perletakan jawatan ADUN ini hanya melalui media. Ini menunjukkan bahawa Anwar seperti berlagak sebagai Ketua Pakatan Rakyat merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang. Malah sikap Lim Guan Eng yang menyerahkan sepenuhnya kuasa lantikan TKM1 Pulau Pinang kepada Penasihat PKR ini amat mengecewakan dan ia melambangkan bahawa Lim juga tidak ubah seperti boneka Anwar. Walaupun isu ini dianggap selesai oleh kedua-dua pemimpin ini setelah Anwar secara terbuka memohon maaf kepada Lim namun hakikatnya ia tidak sepatutnya berlaku jika Lim diberi sepenuh kepercayaan mentadbir negeri sejak dari mula lagi.

Anwar secara sedar atau tidak sebenarnya telah membawa dan mengakibatkan masalah kepada PAS. Tidak dinafikan bahawa kepimpinan PAS juga sedar akan masalah yang ditimbulkan oleh Anwar, namun disebabkan perasaan ego dan kononnya kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Pakatan Rakyat maka kepimpinan PAS sedia menutup mulut dan membutakan mata dengan segala perilaku Anwar. Kini di dalam PAS sendri telah wujud 2 kelompok atau golongan yang mana salah satunya merupakan ahli PAS yang pro-Anwar manakala satu lagi merupakan ahli PAS yang setia dengan kepimpinan sedia ada. Mungkin juga disebabkan PAS yang terlalu kepingin untuk berkuasa dan terus menduduki kerusi EXCO maka mereka tidak ada pilihan lain selain terus bersekongkol dengan DAP dan PKR walaupun jelas kedua-dua parti ini mempunyai berlainan prinsip dan hala tuju perjuangan. Dalam kebanyakan negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat, selain Kelantan dan Kedah, PAS hanya berjaya mendapat kerusi yang kecil dan ini membuatkan mereka terpaksa terus berpaut di dahan Pakatan Rakyat jika tidak mahu kedudukan EXCO terlepas dari tangan.

Sikap ego, prejudis dan kemaruk kuasa yang dimiliki oleh Anwar membuatkan banyak pihak terpaksa makan hati berulam jantung. Desakannya terhadap Fairus supaya meletak jawatan sebagai ADUN Penanti jelas menunjukkan bahawa Anwar sebebnarnya seorang yang gemar mementingkan diri sendri berbanding mengutamakan rakyat dan negara. Tidakkah perletakan jawatan Fairus dan pada masa yang sama terpaksa diadakan PRK DUN Penanti semula merupakan satu perkara yang jelas membuang masa dan membazirkan wang??? Rakyat tidak kisah jika terpaksa diadakan semula Pilihanraya Kecil jika wakil rakyat terbabit meninggal dunia atau hilang keupayaan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Tetapi tidak wajar untuk diadakan PRK jika jelas wakil rakyat sedia ada masih sihat dan mampu melaksanakan tugas.

Rakyat sepatutnya sudah mulai sedar dan mampu menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Kita perlu berpandangan lebih jauh demi untuk melihat negara kita diwarisi oleh anak bangsa dalam kedaaan yang harmoni dan penuh perpaduan. Tidak seharusnya bagi kita untuk terus memberi ruang dan peluang kepada mereka-mereka yang jelas inginkan sesuatu dari kedudukan yang dinikmati. Mereka ini bukanlah pejuang negara, tetapi petualang bangsa, agama dan negara.

Jumaat, 24 April 2009

Senarai perlantikan kepimpinan tertinggi UMNO.

Berikut merupakan senarai barisan kepimpinan UMNO yang dilantik :

Presiden : YAB Dato Seri Najib Razak
Tim. Presiden : TS Muhyiddin Yasin
SUA : DS Tg Adnan Tg Mansor

Bendahari: Datuk Ahmad Husni Hanadzlah
K. Penerangan : Datuk Ahmad Maslan

Ketua Perhubungan Negeri:

Perlis : DS Dr Isa Sabu
Kedah : DS Shafie Apdal
P.Pinang : DS Ahmad Zahid Hamidi
Perak: DS Dr Zambry Abd Kadir
Selangor : DS Najib Razak
W.Persekutuan: TS Muhyiddin Yasin
Melaka : DS Mohd Ali Rustam
N. Sembilan: DS Mohamad Hasan
Johor: DS Abd Ghani Othman
Pahang: DS Adnan Yakop
Terengganu: DS Hishamuddin Hussein
Kelantan : DS Mustapa Mohamed
Sabah : DS Musa Aman

Lantikan 12 MT UMNO baru :

1. Datuk Seri Dr Rais Yatim
2. Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz
3. Senator Datuk Jamil Khir Baharom
4. Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
5. Datuk Mohd Ali Rustam
6. Tan Sri Rafidah Aziz
7. Datuk Abdul Ghani Othman
8. Datuk Seri Shahidan Kassim
9. Datuk Aziz Sheikh Fadzir
10. Datuk Kamalia Ibrahim
11. Datuk Razali Ibrahim
12. Dr Wan Norashikin Wan Nordin

Rabu, 22 April 2009

Kerajaan Perak jual Camry, tukar Perdana...

Syabas diucapkan kepada kerajaan negeri Perak yang baru dibawah pimpinan Barisan Nasional kerana komitmen mereka menggunakan kereta jenama Malaysia. Di saat kerajaan kini dalam usaha melipat gandakan kempen menggunakan barang buatan sendiri memang sewajarnya untuk pihak kerajaan menunjukkan contoh dan teladan yang baik dengan merealisasikan dan mempelopori kempen tersebut di samping membuktikan betapa barang buatan Malaysia juga mempunyai class nya yang tersendiri.

Dalam menentukan corak kepimpianan yang baik, bukanlah terletak pada jenama kereta yang digunakan tetapi dinilai dari kesungguhan dan kemampuan melaksanakan tanggungjawab dalam menjalankan tugas. Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang dahulunya menjadi kerajaan negeri boleh dianggap gagal melaksanakan tugas mentadbir negeri dengan baik serta banyak memungkiri janji yang pernah ditabur tatkala ingin menarik perhatian rakyat walaupun gah dan megah menyusur di jalanraya dengan Camry mewahnya.

Seburuk dan selekeh manapun kereta Perdana buatan Malaysia sepatutnya menjadi kebanggan rakyat Malaysia kerana ianya diiktiraf dan digazetkan sebagai hak milik dan hak cipta negara Malaysia. Kenapa kita perlu rasa bangga bila menggunakan barangan buatan orang luar dan lebih menyedihkan bilamana segelintir manusia yang tidak ada semangat patriotisme sanggup memburuk-burukkan dan menghina kemampuan yang kita miliki. Sedangkan orang yang banyak menghina itu hakikatnya tidak mampu pun menghasilkan apa-apa yang boleh dibanggakan. Kalau ada pun mungkin tahi buatan sendiri untuk dibuat baja. Itu pun kalau pokok sudi untuk hidup.

"IPOH 22 April — Kerajaan negeri Perak akan membeli kereta Proton Perdana Eksekutif untuk digunakan sebagai kenderaan rasmi anggota exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan bagi menggantikan 16 buah kereta rasmi jenis Toyota Camry yang akan dilelong pada 4 hingga 18 Mei ini, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

“Kita telahpun membuat keputusan bahawa kita akan kembali semula kepada Proton kerana itu adalah kereta yang menjadi lambang kebanggaan negara dan sewajarnya kita kembali semula menggunakan kereta ini sebagai kereta rasmi,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini."
- Utusan Online

Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus mengakibatkan kerugian kepada negeri.

Hakikatnya di Pulau Pinang, bukan RM10 Bilion pelaburan seperti yang digembar-gemburkan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang berjaya dibawa masuk tetapi RM14.68 juta wang kerajaan negeri yang terpaksa dikeluarkan. Ini berikutan arahan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kerajaan negeri untuk membayar tuntutan yang dikemukakan oleh individu berhubung isu tanah di Pulau Pinang.

Kerajaan negeri pada mulanya bercadang memajak tanah kepada individu bernama Tang dan akhirnya membatalkan pemajakan itu. Akibatnya kerajaan negeri terpaksa membayar ganti rugi kepada individu itu atas pembatalan tersebut. Ini merupakan satu perkara yang amat merugikan negeri dan rakyat Pulau Pinang. RM14.68 juta merupakan satu jumlah yang besar dan sepatutnya ia dimanfaatkan dengan lebih baik dan berkesan terhadap pembangunan negeri atau kebajikan rakyat.

Mungkinkah wujud unsur penyelewengan dalam hal ini? Mustahil kerajaan negeri gagal mengkaji dan meneliti sebarang tindakan yang hendak dilakukan termasuk melibatkan hal pemajakan tanah ini. Kenapa begitu mudah untuk kerajaan negeri memajak tanah dan akhirnya membatalkan semula? Tidakkah ini mungkin melibatkan sebarang usaha kompromi antara individu tertentu dalam kerajaan negeri dengan individu yang bakal menerima RM14.68 juta ini?

Kerajaan negeri Pulau Pinang dilihat terus gagal mentadbir negeri dengan baik dan menguntungkan. Walaupun baru-baru ini, Ketua Menteri mengumumkan bahawa sebanyak RM10 bilion berbentuk pelaburan telah berjaya dibawa masuk sepanjang tempoh 1 tahun pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat, namun hakikatnya kerajaan negeri gagal untuk membuktikan kesahihannya melalui sebarang kertas kerja yang dibentangkan. Adakah ini hanyalah satu gimik politik yang cuba diwujudkan oleh kerajaan negeri bertujuan untuk menarik pehatian rakyat. Ditambah pula dengan kegagalan kerajaan negeri melunaskan janji untuk menghapuskan kemiskinan tegar dalam tempoh 1 tahun membuat rakyat mula menilai akan kemampuan dan kredibiliti kerajaan negeri Pulau Pinang.

"PULAU PINANG: Kerajaan negeri diarahkan membayar kira-kira RM14.68 juta kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berhubung kes tanah membabitkan kerajaan negeri dan seorang individu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kes itu membabitkan Tang Hak Ju sebagai pemohon dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Setiausaha Kerajaan negeri serta Pegawai Kewangan negeri sebagai responden.

"Kes ini masih dalam tempoh rayuan. Sementara menunggu rayuan, mahkamah meminta kerajaan negeri membayar separuh daripada jumlah gantirugi yang keseluruhannya sebanyak kira-kira RM29.36 juta," katanya di sini, hari ini.

Lim berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan rayuan kepada mahkamah untuk menangguhkan tempoh bayaran itu.

Pada 19 Februari 2008, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memerintahkan responden mendepositkan RM14.68 juta kepada mahkamah dalam tempoh dua bulan daripada tarikh perintah dikeluarkan.

"Kita akan bentangkan Rang undang-undang Perbekalan Tambahan pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada sesi akan datang Julai ini bagi mendapatkan kelulusan mengeluarkan wang untuk membayar tuntutan itu," katanya.

Skandal tanah itu membabitkan kerajaan negeri sebelum ini yang memajak tanah seluas 4.2 hektar kepada Tang dan kemudiannya membatalkan perjanjian itu.

Kes itu dibawa ke mahkamah dan kerajaan negeri kemudiannya diarahkan untuk membayar RM40 juta kepada pemohon dan selepas rayuan, jumlah itu dikurangkan kepada RM29.35 juta.

Ketika ini, kerajaan negeri sedang menunggu keputusan mahkamah terhadap rayuan bagi mengurangkan lagi jumlah itu."
- B. Harian Online

Selasa, 21 April 2009

Bersediakah rakyat Malaysia menerima konsep One Malaysia?

Saya tertarik dengan laporan media semalam yang telah mengupas salah satu aspirasi DS Najib melalui konsep 1Malaysia yang diperkenalkan beliau. Berdasarkan laporan tersebut, rakyat Malaysia dikatakan sudah lama mengamalkan konsep intergrasi yang baik antara kaum. Cumanya, rakyat Malaysia masih belum dapat mengikis sepenuhnya sifat pro etnik yang ekstrem. Sehubungan ini, salah satu konsep 1 Malaysia yang cuba diterapkan keada seluruh rakyat Malaysia adalah untuk berusaha ke arah mengasimilasikan antara etnik di Malaysia.

Memang tidak dinafikan bahawa hampir keseluruhan rakyat Malaysia sudah boleh berintergrasi dalam konteks komunikasi seharian. Seluruh etnik di Malaysia sebenarnya mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri dan dapat hidup dalam suasana harmoni dan penuh perpaduan. Ini mungkin disebabkan oleh dasar yang digunapakai oleh penjajah negara sejak dari mula yang mana telah membeza-bezakan dan memetak-metakkan etnik di Malaysia mengikut taraf penglibatan ekonomi, sosio kemasyarakatan dan beberapa kriteria lain. Sebagai contoh, orang Melayu diletakkan di kawasan kampung dan luar bandar memandangkan mereka lebih ramai terlibat dalam sektor pertanian dan perikanan, Orang Cina di kawasan bandar yang lebih menumpukan kepada sektor perniagaan manakala orang India di kawasan ladang-ladang dan estet-estet.

Usaha pertama kerajaan selepas merdeka untuk mewujudkan intergrasi yang baik antara kaum menemui kegagalan hingga mencetuskan peristiwa hitam 13 Mei 1969. Ini berpunca daripada beberapa perkara remeh yang dipandang ringan hingga menimbulkan rasa tidak puas hati antara kaum. Berasaskan dari peristiwa ini maka kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif positif untuk kembali merapatkan ruang yang timbul antara kaum. Maka wujud Dasar Ekonomi Baru yang dilihat sebagai pembela orang Melayu dan pada masa yang sama menjaga hak-hak masyarakat lain. Hasilnya, masyarakat Malaysia kembali hidup dalam suasana aman damai dan penuh perpaduan.

Kini, konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib menuntut agar masyarakat Malaysia untuk pergi lebih jauh dari apa yang ada sekarang. Persoalan yang timbul sekarang, bersediakah masyarakat Malaysia untuk merealisasikan asimilasi antara etnik ini? Langkah awal kerajaan yang memansuhkan MECD dilihat sebagai permulaan untuk mengurangkan keberkesanan Dasar Ekonomi Baru. Ini untuk mengurangkan secara perlahan-lahan sifat kebergantungan orang Melayu kepada kerajaan.

Mungkin bila tiba masanya nanti, kerajaan akan cuba memperkenalkan konsep yang benar-benar sama rata dan sama tara. Mungkin perkara ini dilihat berbaur perkuman dan bersifat pro etnik. Namun perlu diakui oleh semua pihak terutama orang Malayu samada orang Melayu sudah benar-benar bersedia untuk menerima konsep sama tara ini. Sedangkan dalam suasana DEB pun orang Melayu masih gagal mencapai objektif malah tidak boleh dinafikan bahawa orang Cina terus kekal sebagai penentu jatuh bangun dan pendominasi ekonomi negara.

Itu dalam sektor ekonomi. Untuk benar-benar menjayakan asimilasi antara etnik, dalam politik dan pentadbiran juga tidak boleh terlepas. Asimilasi ini bermaksud sama tara dan tidak dibeza-bezakan mengikut kaum. Sudah bersediakah orang Melayu untuk mengasimilasikan pentadbiran yang mana Perdana Menteri tidak semestinya orang Melayu dan parti antara kaum disatukan dan presidennya di pilih secara total?

Kerajaan perlu meneliti dan menilai perkara ini sedalam-dalamnya. Mengasimilasikan antara etnik bukanlah perkara mudah dan boleh dipandang ringan. Banyak faktor, kebaikan mahupun keburukan perlu diambil kira. Jangan jadi seperti pembangkang yang mengembar-gemburkan isu penyatuan etnik dan pada masa yang sama masih takut dengan DAP.

Isnin, 20 April 2009

Masa untuk nakhoda bahtera PAS bertukar tangan...

Pertembungan yang dijangka akan berlaku dalam menentukan kepimpinan tertinggi parti PAS yang juga merupakan parti orang Melayu kedua terbesar agak menarik perhatian untuk diperbincangkan. Berdasarkan senario politik semasa yang penuh dengan keputusan luar jangkaan menggambarkan akan berlaku juga perubahan atau tranformasi dalam PAS. Kemelut yang sedang melanda PAS walaupun hakikatnya cuba disimpan dan disembunyikan dari publisiti namun ia tetap dapat dihidu.

Umum sudah mula mengetahui bahawa wujudnya dua puak utama dalam PAS. Puak pertama adalah dari kumpulan yang menyokong permuafakatan antara PAS dan UMNO yang dikepalai oleh Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang. Manakala puak kedua pula merupakan kumpulan yang menentang sebarang cadangan atau usaha untuk bermuafakat dengan UMNO yang mana ianya dikepalai oleh pemimpin yang menggelar dirinya nakhoda tunggal banhtera PAS, Tuan Guru Nik Aziz.

Bagi saya sudah tiba masanya untuk Tuan Guru Nik Aziz melabuhkan sauh bahteranya dan diserahkan kepada nakhoda lain. Pertama, berpandukan faktor usia sudah menunjukkan bahawa Nik Aziz sudah tidak relevan lagi dengan perjuangan PAS sekarang. Ditambah dengan keadaan kesihatan fizikal yang kurang mengizinkan dan membataskan komitmen Nik Aziz terhadap kepimpinan. Sudah ramai pemimpin yang seusia dan sezaman dengan Nik Aziz yang telah mengambil keputusan untuk bersara dan berehat dari terus berkecimpung dalam dunia politik.

Kedua, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Aziz kebelakangan ini dilihat telah menyeleweng dan telah mengguris hati banyak pihak. Seingat saya, bermula dengan pengkafiran orang-orang UMNO, menuduh tuhan itu mencarut dan samseng, mengeluarkan fatwa sendiri kononnya penyokong PAS terjamin akan masuk syurga, terbaru membenarkan orang kafir menggunakan dan mempermainkan kalimah suci Allah dan beberapa lagi kenyataan lain. Adakah semata-mata Nik aziz hendak menegakkan benang yang basah dan melindungi kemungkaran yang dilakukan puak yang bersekongkol, maka Nik Aziz sanggup menggunkan kedudukannya sebagai Tuan Guru untuk membenarkan dan menghalalkan segala yang nyata akan kemungkarannya? Bagi menghindarkan diri Nik Aziz dari terus bergelumang dengan dosa politik dan terus merendahkan martabat Nik Aziz sebagai Tuan Guru maka sudah tiba masanya untuk Nik Aziz berundur dari kedudukannya sebagai Mursydul Am dan berhenti dari terus mengeluarkan kenyataan songsang.

Ketiga, Islam hakikatnya menggalakkan seluruh umatnya agar sentiasa bermuafakat dan hidup bersatu padu. Walaupun berbeza pendapat dan ideologi fahaman, Islam menyuruh umatnya agar mencari titik pertemuan yang menjadi asas sebagai permulaan ke arah permuafakatan. Tindakan Nik Aziz yang secara total menolak mentah-mentah sebarang cadangan atau usaha untuk bermuafakat adalah amat mengecewakan. Ini disebabkan sudah tersemat dalam hati dan minda yang menuduh bahawa UMNO itu kafir membuatkan pintu permuafakatan terus tertutup rapat. Paling menyedihkan bila mana Nik Aziz lebih rela bermuafakat dengan DAP yang jelas menolak akidah dan prinsip keislaman daripada bermuafakat dengan sesama Islam dari UMNO. Adakah ini ciri pemimpin yang didambakan oleh penyokong PAS fanatik yang mana jelas menolak akan perpaduan?

Keempat, tidak dinafikan bahawa kebelakangan ini jelas ada usaha untuk menjatuhkan Tuan Guru Nik Aziz dari dalam PAS sendiri. Tindakan kepimpinan PAS yang terus mencalonkan Nizar untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang walaupun pada awalnya tidak dipersetujui oleh Nik Aziz jelas menggambarkan betapa kepimpinan PAS kini sudah tidak memerlukan khidmat dan pendapat dari Nik Aziz lagi. Mereka sudah mula berani untuk menetang cadangan yang dikemukakan oleh Mursyidul Am Pas itu. Bertitik tolak pada hal ini maka Nik Aziz perlu sedar dan insaf bahawa sudah tiba masanya untuknya berundur dan memberi laluan kepada muka baru yang lebih terbuka pemikirannya.

Suka untuk saya ulangi bahawa sudah tiba masanya untuk Tuan Guru Nik Aziz berundur secara terhormat dan bermaruah dari kedudukannya sekarang selaku Mursyidul Am Pas. Ura-ura kononnya ada cadangan untuk menamakan Ustaz Haroon Din bagi menggantikan Tuan Guru Nik Aziz dilihat satu cadangan yang baik dan bernas. Umum sudah ketahui dan mengenali akan kemampuan dan kredibiliti Ustaz Haroon Din baik sebagai tokoh agama mahupun sebagai pengamal perubatan terkenal. Sememangnya beliau memang layak untuk menggantikan kedudukan Nik Aziz.

Ahad, 19 April 2009

Tiba masanya Fairus dedahkan bau busuk dari tahi PR P. Pinang.

Dimanakah ketelusan dan kejujuran pentadbiran Pakatan Rakyat yang selama ini dijaja dan dicanang setiap kali Pilihanraya diadakan? Kenyataan yang dikeluarkan oleh Fairus Khairuddin yang juga berbaur satu ugutan untuk Pakatan Rakyat benar-benar mengejutkan dan jelas menggambarkan bahawa Pakatan Rakyat juga sebenarnya tidak terlepas dari kemungkaran dan penyalahgunaan kuasa.

Fairus Khairuddin yang sejak dari mula lagi diberi tekanan hebat baik dari luar Pakatan Rakyat mahupun dari dalam sendiri jelas sudah tidak mampu menanggungnya lagi. Akibatnya, beliau terpaksa melepaskan jawatan tertinggi yang disandangnya yakni Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dengan alasan yang langsung tidak munasabah dan tidak boleh diterima sama sekali. Adakah wajar untuk Fairus memberi alasan menyambung pengajiannya walhal beliau telah diberi amanah dan tanggungjawab oleh rakyat untuk menjadi pemimpin dan wakil rakyat.

Jika benar ini alasannya, maka sejak dari awal lagi Fairus seharusnya menolak tawaran untuk bertanding merebut kerusi Penanti pada PRU-12 yang lepas. Tidak sampai 1 tahun Fairus memegang jawatan TKM1 Pulau Pinang, sudah pelbagai cerita negatif yang timbul berkaitan dengan komitmen beliau terhadap tanggungjawab yang dipikul. Sampai satu ketika Fairus telah ditegur secara terbuka oleh Anwar supaya lebih bijak membahagikan masanya antara tugas sebagai TKM1 dengan tanggungjawabnya menjaga DUN Penantinya sendiri. Fairus juga disifatkan sebagai seorang yang tidak menepati masa dan sering membatalkan temujanji penting pada saat akhir.

Kemuncak kepada kemelut pentadbirannya adalah bilamana Fairus telah dikaitkan dengan satu laporan yang dibuat oleh AMK PKR Kepala Batas yang mana melibatkan kes salah guna kuasa dan penerimaan sejumlah wang dari syarikat kuari berpengkalan di Seberang Perai Selatan. Akibatnya Fairus telah didesak oleh Anwar untuk menyerahkan surat perletakan jawatannya sebagai TKM1 Pulau Pinang dan mengosongkan kerusi DUN Penanti.

Tidak dinafikan kini Fairus dalam keadaan tertekan berhubung kemelut yang berlaku pada dirinya. Beliau berasakan bahawa dirinya tidak menerima pembelaan yang sewajarnya dari kepimpinan Pakatan Rakyat negeri dan pusat. Beliau beranggapan bahawa berlakunya ketidakadilan terhadap dirinya dan perkara ini disifatkan beliau sebagai satu penghinaan dan telah menjatuhkan maruah beliau sebagai bekas TKM1 Pulau Pinang. Beliau juga beranggapan bahawa beliau sepatutnya menerima pembelaan yang setara sepertimana yang diterima oleh ADUN Lanjan dan bekas ADUN Bukit Selambau.

Susulan dari rasa ketidakpuasan hati Fairus maka Fairus telah mengugut dan mendesak kepimpinan Pakatan Rakyat Pulau Pinang agar membersihkan semula namanya dalam tempoh 2 minggu. Sekiranya gagal, Fairus akan membongkarkan segala keburukan dan kemungkaran yang berlaku dalam pentadbiran negeri Pulau Pinang. Jika benar ini berlaku maka lebih ramai pihak yang akan diseret dan dilibatkan sama.

Ini menunjukkan bahawa memang benar ada sesuatu yang buruk yang telah dan sedang berlaku dalam pentadbiran Pulau Pinang yang sedang disembunyikan oleh kepimpinan tertinggi. Ini mungkin melibatkan salah guna kuasa, kedudukan, penyelewengan, makan suap dan rasuah. Maka jelas bahawa PR juga tidak sebaik dan setelus mana. Malah tidak mustahil dan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pentadbiran Pakatan rakyat adalah lebih buruk, hina dan jahat berbanding kerajaan BN terdahulu kerana ianya dilakukan dalam tempoh tidak sampai 1 tahun pengambilalihan kuasa kerajaan negeri.

Fairus tidak sepatutnya terus menyembunyikan kelemahan dan keburukan yang berlaku dalam pentadbiran negeri. Ini jelas bertentangan dengan prinsip yang selama ini diwar-warkan dan dimegah-megahkan oleh Pakatan Rakyat kononya mereka akan membentuk sebuah pentadbiran yang lebih baik, telus dan terbuka.

Sabtu, 18 April 2009

Politik terdesak Anwar bakal memakan dirinya sendiri...

Hairan, pelik bin ajaib bila difikirkan bagaimana rakyat Malaysia kini begini mudah percaya hingga sanggup diperbodohkan dan diperdungukan oleh seorang insan taksub bernama Anwar Ibrahim. Apa yang dirancang, dicanang dan dihidang dek Sang Anwar sudah jelas dan nyata penuh dengan tipu helah dan taktik memperdaya rakyat demi untuk mengejar matlamat jahatnya serta mengisi kantung kepentingan peribadinya.

Tak perlulah untuk kita bangkitkan apa yang pernah dilakukannya dahulu sehingga mengakibatkan dirinya disumbat oleh Tun Mahathir ke neraka dunia. Mungkin atas dasar simpati dan keyakinan bahawa diri Sang Anwar akan berubah maka Pak Lah sanggup mengorbankan jati dirinya dengan melepaskan Sang Anwar. Padahnya, bak melepaskan anjing tersepit, Pak Lah ditelungkupkan oleh Sang Anwar hingga duduk tersungkur dan terpaksa melepaskan kedudukan selesanya sebagai PM kepada Najib. Dengan bebasnya Sang Anwar dari neraka dunia maka bermulalah episod kerakusan politiknya satu persatu.

Sudah terlalu banyak kacau bilau dan caca merba yang dimulakan oleh Sang Anwar hingga membuatkan banyak pihak menjadi kucar-kacir. Jangan kan kerajaan, Pakatan Rakyat yang didokong oleh dirinya sendiri pun tak terlepas dari keadaan yang kelam kelibut. Bermula dengan angan-angan untuk mengambil alih kerajaan pada 16 septembar yang tidak menjadi kenyataan. Diikuti kepincangan yang berlaku di Perak hingga membuatkan sekutunya, Karpal Singh mendesak Sang Anwar bertaubat dan melepaskan kedudukannya sebagai ketua pembangkang. Kemudian, pembohongan yang cuba dilakukan olehnya kononnya akan membuat satu pendedahan besar pada PRK baru-baru ini, dan hingga kini tidak apa yang terdedah. Terbaru adalah kekalutan yang berlaku dalam pentadbiran Pulau Pinang hingga membawa kepada bakal berlangsungnya PRK di Penanti.

Apakah sebenarnya mainan politik Anwar??? Adakah ini yang dinamakan mainan politik terdesak??? Ditambah dengan ugutan Fairus yang terpaksa mengosongkan kerusi Penanti atas desakan Sang Anwar kononnya Fairus akan mendedahkan segala keburukan yang berlaku dalam pentadbiran PR Pulau Pinang jika PKR gagal membersihkan semula namanya dalam masa 2 minggu. Dengan ugutan ini maka terbukti bahawa memang ada sesuatu yang buruk dan hina telah berlaku dalam pentadbiran Pulau Pinang yang selama ini disembunyikan dari pengetahuan umum. Dan dengan ini juga jelas bahawa bukan sahaja BN yang selama ini dilabel kononnya pentadbiran penuh kemungkaran malah PR sendiri tidak terlepas dari melakukan kemungkaran yang tersembunyi. Sekurang-kurangnya BN ada inisiatif untuk membersihkan dan membetulkan kelemahan dan kemungkaran yang berlaku berbanding PR yang nyata terus menyembunyikan hal sebenar. Ini samalah juga seperti menyembunyikan tahi yang busuk walhal baunya terus tersebar ke merata.

Tindakan Najib untuk mengkaji semula samada hendak meletakkan calon di Penanti atau tidak memang kena pada tempat dan masanya. Kerajaan tidak seharusnya terus malayan akan kerenah yang cuba ditimbulkan oleh Anwar. Banyak lagi hal dan perkara yang lebih penting dan berfaedah yang perlu didahulukan oleh kerajaan demi kepentingan negara dan rakyat. Matlamat Anwar hendak mengadakan PRK di Penanti hanya membuang masa, tenaga dan wang banyak pihak. Walhal PRK ini boleh dielakkan. Sebelum ini, kelazimannya, wakil rakyat yang meninggal dunia sahaja yang perlu diadakan PRK bagi menggantikan wakil rakyat tersebut. Tindakan Anwar juga boleh dilihat sebagai satu usahanya untuk mengekalkan momentum sokongan rakyat yang diterima Pakatan rakyat kebelakangan ini.

"PEKAN, 18 April — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak menolak kemungkinan Barisan Nasional (BN) tidak akan menyertai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang.

Pengerusi BN itu berkata BN perlu melihat terlebih dahulu sama ada pilihan raya kecil itu menguntungkan rakyat atau sebaliknya.

“Tak tahu lagi (sertai atau tidak) kita tengok dulu tapi saya tak ketepikan apa juga kemungkinan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis `Sambutan Meraikan Perdana Menteri’ peringkat Parlimen Pekan di sini hari ini sempena pelantikannya sebagai Perdana Menteri pada 3 April lepas.

Sehubungan itu, Najib yang juga Presiden Umno berkata beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Majlis Tertinggi (MT) Umno dan bertemu dengan presiden-presiden parti komponen BN bagi membincangkan perkara itu.

“Saya akan bawa perkara ini kepada mesyuarat MT akan datang, kalau tak sempat saya akan bawa kepada Biro Politik, dan juga bincang dengan presiden-presiden parti komponen BN,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Penanti bakal diadakan berikutan tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkan kerusi DUN itu berkuatkuasa dua hari lepas."
- Utusan Online

Jumaat, 17 April 2009

PRK Penanti : Usaha Anwar untuk menjahanamkan negara.

Pilihanraya kecil lagi. Belum pun puas meneliti post mortem daripada keputusan Pilihanraya kecil sebelum ini iaitu di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, kini negara bakal berdepan dengan satu lagi Pilihanraya kecil. Kali ini di DUN Penanti di bawah Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang. Walhal jika diimbas kembali, Permatang Pauh baru saja melalui PRK Parlimen yang menyaksikan Bos PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim berjaya memenangi kerusi tersebut menewaskan dua lagi pencabar dari Barisan Nasional dan Akim setelah bini Anwar yang juga bekas ahli Parlimen Permatang Pauh mengosongkan kerusi tersebut bagi memberi laluan suaminya bertanding dan kembali ke Parlimen.

Apa sebenarnya muslihat Anwar yang telah menggunakan kuasanya mendesak Fairus Khairuddin, bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang disepak kedudukannya dan juga ADUN Penanti agar mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai ADUN kawasan Penanti. Inilah masalahnya jika wakil rakyat yang dilantik dan dipilih tidak berpengalaman dan cetek ilmu pentadbirannya. Sudah berkali-kali saya nyatakan sebelum ini bahawa bukan mudah untuk menjadi seorang pemimpin yang baik dan berkualiti serta mampu berkhidmat kepada masyarakat dengan berkesan.

Sikap Anwar Ibrahim dan geng kepimpinan Pakatan rakyatnya yang sering meletakkan calon bagi mewakili sesuatu kawasan secara membabi buta dan bak melepaskan batuk di tangga kini seperti memakan diri sendiri. Tidak dinafikan bahawa Pakatan rakyat sendiri tidak menyangka bahawa akan berlakunya tsunami politik dalam PRU-12 yang lepas. Di sesetangah tempat, Pakatan Rakyat meletakkan calon hanya sekadar untuk mencukupkan syarat iaitu untuk mewujudkan pertandingan menentang Barisan Nasional tanpa menyelidik dan mengkaji terlebih dahulu kemampuan dan kredibiliti calon tersebut untuk menjadi wakil rakyat. Setelah menang dalam PRU-12 tempoh hari maka muncullah masalah satu persatu.

Sebenarnya banyak keburukan jika dibandingkan dengan kebaikan yang ada apabila keputusan untuk mengadakan PRK diambil. Sepatutnya Anwar perlu mengambil pendekatan yang lebih berhemah dan menjadikan PRK sebagai keputusan terakhir jika sudah tiada pilihan lain. Soalnya sekarang, PRK ini hendaka diadakan oleh Anwar semata-mata kerana Anwar sudah kebuntuan idea untuk memilih Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang di kalangan ADUN PKR yang ada bagi menggantikan Fairus. Umum mengetahui bahawa tinggal 2 orang sahaja ADUN Melayu PKR yang menjadi pilihan iaitu Abdul Malik dan Makhtar. Dan pada pandangan Anwar, kedua-dua pilihan ini masih belum mampu untuk mengisi jawatan yang mencabar ini baik dari segi mental atau fizikal. Atau mungkin Anwar sedar bahawa kedua-dua pilihan ini juga mempunyai rekod yang tidak baik sepertimana Fairus dan hanya menanti perkara ini meletup ke pengetahuan umum.

Anwar mempunyai pilihan lain tapi sayangnya pilihan yang bermain di benaknya tidak berada dalam kedudukan selayaknya iaitu menduduki kerusi DUN. Pada hemat saya, calon yang menjadi pilihan Anwar mungkin Zahrain yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Pulau Pinang. Mahu tidak mahu, Anwar terpaksa mendesak Fairus untuk mengosongkan kerusi Penanti yang disandangnya untuk memberi laluan kepada calon pilihannya iaitu Zahrain untuk bertanding semula merebut kerusi tersebut. Dan jika ditakdirkan Zahrain menang maka secara automatik Zahrain akan dilantik mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. Sungguh kuat keyakinan Anwar untuk menang semula kerusi tersebut.

Dengan adanya Pilihanraya kecil secara kerap maka secara tak langsung banyak masa yang sepatutnya diisi dengan perkara lebih berfaedah akan terbuang. Lebih banyak duit kerajaan yang juga datangnya dari duit rakyat akan terbazir. Pihak polis, anggota keselamatan, SPR dan bayak lagi agensi lain terpaksa sekali lagi membuang masa bagi memberi tumpuan kepada PRK yang hendak diadakan. Sepatutnya, pada masa sekarang, dalam keadaan ekonomi dan kestabilan negara yang masih terumbang-ambing, semua pihak perlu bekerja keras dan memberi sepenuh tumpuan untuk memulihkan semula keadaan, bukannya membuang masa dengan pilihanraya kecil yang sepatutnya dari mula lagi boleh dielakkan jika pemimpin yang dicalonkan dan dipilih menjadi wakil rakyat merupakan calon yang berkualiti dan sedia berkhidmat pada mana-mana kedudukan pada bila-bila masa.

Jelas kini menunjukkan betapa Anwar Ibrahim merupakan seorang pemimpin yang mempunyai sifat ego yang tinggi dan lebih gemar mengutamakan kepentingan diri sendiri dan kepentingan matlamat politiknya berbanding dengan kepentingan rakyat dan negara. Dia lebih suka membelanjakan harta dan wang negara serta rakyat dengan perkara yang tak bermanfaat. Bagi Anwar, soal kebajikan rakyat dan keharmonian negara berada di kedudukan terbawah dalam senarai keutamaannya. Adakah ini ciri-ciri pemimpin yang menjadi sanjungan segelintir puak hingga sanggup mengenepikan perlembagaan dan undang-undang semata-mata hendak mengiakan segala kata-kata dan tindak-tanduknya? Jika inilah sifat dan sikap Anwar, maka bersedialah wahai warga Malaysia. Banyak musibah buruk akan berlaku pada masa akan datang selagi makhluk bernama Anwar Ibrahim diberi peluang bermaharajalela.

Khamis, 16 April 2009

Mohammad Fairus Letak Jawatan Sebagai Adun Penanti. (Selamat tinggal Fairus...)

Akhirnya, bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang meletak jawatan sebagai ADUN Penanti. Ini untuk memenuhi kehendak Penasihat PKR yang masih dalam dilema berhubung isu perletakan calon untuk mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri P. Pinang. Memandangkan kedua-dua ADUN PKR yang tinggal iaitu Abul Malik dan Makhtar tidak sessuai dan belum benar-benar berkelayakan untuk mengisi jawatan itu maka Anwar terpaksa mendesak Fairus meletak jawatan sebagai ADUN Penanti dan membenarkan calon pilihannya mungkin Zahrain yang juga Ketua Perhubungan PKR negeri untuk bertanding merebut semula kawasan Penanti. Jika ditakdirkan Zahrain menang di kerusi tersebut maka peluangnya untuk mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang adalah amat cerah.

"KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin mengumumkan beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti berkuatkuasa hari ini.

ADUN Parti Keadilan Rakyat itu (PKR) itu, dalam kenyataan empat perenggan yang di hantar melaluyi e-mel kepada Bernama berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap usahanya melanjutkan pelajaran ke pasca siswazah dan sekaligus memberikan masa kepadanya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasannya.

"Ruang ini juga akan saya manfaatkan untuk menumpukan usaha bagi membersihkan nama baik saya dari segala tohmahan yang dilemparkan terhadap saya selama ini," kata Mohammad Fairus, yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Mohammad Fairus, 32, yang meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Pengerusi Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat Negeri berkuatkuasa 8 April lepas, berkata tindakannya itu dibuat setelah mengambil kira landasan perjuangan dan kepentingan rakyat yang beliau wakili serta demi memelihara kepentingan PKR.

Ketua Menteri Lim Guan Eng sepatutnya melantik TKM I Pulau Pinang yang baru minggu lepas tetapi beliau memberi masa seminggu kepada Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membuat keputusan tentang calon akan menggantikan Mohammad Fairus.

Beliau melanjutkan tempoh itu semalam apabila penasihat PKR itu tidak memberi sebarang nama.

Di PULAU PINANG, Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata, beliau dimaklumkan bahawa Mohammad Fairus telah menghantar surat kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Abdul Halim Hussain hari ini.

Ketika dihubungi Bernama beliau berkata perbincangan untuk meletak jawatan dibuat antara Anwar dan Mohammad Fairus.

"Urusan itu antara mereka berdua dan saya hanya dimaklumkan sahaja. Perkembangan lanjut, tolong dapatkan dari Speaker," katanya."
- Bernama

Rabu, 15 April 2009

Cadangan untuk memantapkan komuniti bloggers UMNO... (Harap dipertimbangkan)

Peranan yang dimainkan oleh para blogger dalam zaman serba It ini amat penting dan amat besar nilainya. Tidak boleh dinafikan lagi komitmen yang diberikan oleh bloggers dalam usaha menyampaikan wadah perjuangan UMNO dan membetulkan persepsi rakyat serta masyarakat terutama di kalangan pengguna internet yang mana rata-ratanya datang dari golongan muda. Pembangkang yakni Pakatan Rakyat telah membuktikan betapa saluran alternatif ini telah berjaya menarik pengaruh pengundi dan menjadi satu kaedah berkempen yang amat berkesan dan terus kepada rakyat.

UMNO melalui barisan kepimpinan Pemuda yang baru dilantik harus sedar betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh para bloggers ini. Bloggers juga boleh dianggap sebagai agen penerangan dalam usaha UMNO menyampaikan dan menerangkan dasar serta perancangan yang akan dijalankan oleh kerajaan. Sehubungan itu, bermula dengan Pemuda dan belia, beberapa langkah penting perlu dirancang dan diambil tindakan bagi membentuk barisan bloggers pro kerajaan yang lebih mantap dan berilmu.

Pertama, di bawah pemantauan kepimpinan Pemuda UMNO, perlu diwujudkan sebuah komuniti bloggers yang pro UMNO dari kalangan Pemuda menjadi lebih sistematik dan tersusun. Mungkin perlu ada jawatankuasa khusus dari kepimpinan Pemuda yang menjaga barisan bloggers ini. YB Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda UMNO boleh dilantik menjadi penaung bagi komuniti bloggers ini. Tidak semua para blogger menjawat sebarang jawatan dalam Pemuda samada peringkat cawangan atau bahagian. Segelintirnya hanyalah ahli biasa yang tidak berpeluang untuk dipilih untuk apa-apa jawatan namun mempunyai semangat untuk menyampaikan wadah perjuangan melalui penulisan blog. Sekurang-kurangnya dengan wujudnya komuniti ini maka golongan bloggers ini akan rasa dihargai dan berpeluang untuk lebih rapat dengan barisan kepimpinan tertinggi.

Kedua, barisan kepimpinan Pemuda UMNO mungkin perlu menganjurkan atau mengadakan aktiviti permukiman, kem bina semangat dan jati diri atau sekurang-kurangnya seminar kepada barisan bloggers ini. Ia bertujuan untuk membina semula dan memupuk rasa sayang dan cinta kepada UMNO, parti pusaka orang Melayu. Aktiviti ini boleh diadakan bersama-sama kepimpinan Pemuda peringkat negeri dan peringkat tertinggi. Ini akan memberi ruang kepada bloggers untuk mengenali pemimpin mereka dan sekurang-kurangnya ia akan dapat merapatkan tali silaturrahim di kalangan kepimpinan Pemuda dan bloggers.

Ketiga, kepimpinan tertinggi Pemuda juga perlu sentiasa mengadakan aktiviti perjumpaan di antara kepimpinan dan bloggers. Melalui perjumpaan ini maka ia boleh dijadikan tempat untuk bertukar pendapat, berbincang berkaitan perkembangan parti, isu-isu terkini dan banyak lagi perkara berfaedah yang boleh diperolehi. Ini dapat menyumbang idea kepada para bloggers untuk menghasilkan penulisan yang lebih baik dan berkualiti serta terkini.

Diharap pihak kepimpinan tertinggi dapat menilai dan mengkaji baik buruk cadangan yang saya kemukakan ini. Saya menyokong penuh sekiranya ada usaha-usaha dari kepimpinan tertinggi Pemuda untuk merealisasikan cadangan saya ini. Marilah kita sama-sama berusaha untuk mencari jalan bagi menguatkan parti UMNO sebagi parti keramat orang Melayu dan mewujudkan semangat bersatu-padu di kalangan Pemuda.

Selasa, 14 April 2009

Ke mana perginya undi dari masyarakat Cina???

Umum mengetahui antara faktor utama kekalahan BN di Bukit Selambau dan Bukit Gantang adalah kemerosotan jumlah undi yang diterima dari masyarakat Cina. Senario politik semasa membuktikan bahawa BN sebenarnya tidak lagi boleh mengharap kepada undi kaum Melayu kerana perpecahan yang berlaku membuatkan undi Melayu terpecah kepada beberapa bahagian iaitu UMNO, PAS dan PKR. Malang bagi BN apabila masyarakat Cina juga dilihat seperti hilang kepercayaan kepada kepimpinan BN membuatkan mereka beralih undi menyokong Pakatan Rakyat walaupun calon yang bertanding datang dari PAS.

Kenapa senario ini berlaku? Pertama, memang tidak boleh dinafikan semuanya berpunca dan bermula dari kelemahan kepimpinan sebelum ini di bawah pentadbiran Pak Lah selaku Perdana Menteri. Beberapa keputusan yang tidak popular yang diambil oleh Pak Lah mengakibatkan terhakis kepercayaan Masyarakat Cina terhadap kredibiliti beliau. Antaranya, kenaikan mendadak kos bahan api dan minyak, kegagalan mengawal kenaikan harga barang dan beberapa keputusan lain. Masyarakat Cina sebenarnya hanya mahukan kestabilan ekonomi bagi memastikan perniagaan mereka sentisa membawa keuntungan berlipat kali ganda. Dengan kenaikan kos akan membuatkan perniagaan mengalami kerugian.

Kedua, masyarakat Cina melihat kehadiran Khairy Jamaluddin, menantu Pak Lah sebagai batu penghalang kepada mereka. Kehadiran beliau dalam kerajaan benar-benar menggugat dan menggoncang kedudukan selesa masyarakat Cina selama ini sebagai pemonopoli ekonomi negara. Silapnya cuma Khairy merupakan menantu pak Lah dan alasan ini telah digunakan sepenuhnya untuk menjatuhkan Pak Lah dan kini tiba giliran Khairy. Kemenangan Khairy dalam perebutan Ketua Pemuda UMNO benar-benar meresahkan masyarakat Cina hingga terpaksa Najib mengambil keputusan untuk menyisihkan Khairy buat sementara waktu dari barisan kabinet.

Ketiga, isu perkauman yang dimainkan oleh Pakatan rakyat menjadi penyumbang terhakisnya kepercayaan masyarakat Cina kepada Barisan Nasional. Anwar Ibrahim telah mengapi-apikan semangat perkauman untuk menarik perhatian orang-orang Cina. Anwar telah memanipulasikan isu Dasar Ekonomi Baru (DEB), hak kaum bumiputera dan meniup rasa kebimbangan dalam sanubari orang Cina kononnya BN sedang berusaha menyingkirkan atau mengurangkan peluang orang Cina di Malaysia. Ditambah pula dengan kepetahan Anwar menabur janji membuatkan orang Cina terpesona dan beralih keyakinan kepada Pakatan Rakyat.

Keempat, faktor kegagalan MCA selaku parti kedua terbesar dalam komponen BN yang mewakili masyarakat Cina juga membuatkan orang Cina hilang keyakinan terhadap kemampuan dan perjuangan MCA. Pergolakan yang sering berlaku dalam MCA,kewujudan team A dan team B, masalah moral dalam kepimpinan MCA dan kegagalan MCA menjadi suara orang Cina telah membuatkan orang Cina berasa meluat dan muak dengan BN. DAP selaku alternatif kepada masyarakat Cina telah berjaya merebut peluang ini untuk menarik keyakinan orang Cina dengan menampil imej yang lebih positif ditambah dengan kaedah kempen yang lebih berkesan.

Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia yang baru dan juga Pengerusi Barisan Nasional bersama barisan kepimpinan yang baru perlu bekerja lebih keras bukan hanya 100% malah perlu mencapai 200% kerana bukan sahaja untuk menarik semula keyakinan orang Melayu malah orang Cina dan India juga perlu diyakinkan semula untuk kembali memberi mandat kepada Barisan nasioanl.

Isnin, 13 April 2009

Awas! Makin ramai usahawan bumiputera bakal gulung tikar...

Kabinet baru sudah pun diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak. Dan pastinya hari ini merupakan hari permulaan bagi semua barisan kebinet yang baru dilantik untuk memulakan tugas setelah selesai majlis angkat sumpah pada Jumaat lepas. Sekurang-kurangnya tugas pertama adalah mengemas bilik atau pejabat baru. Rasanya masih tak terlewat untuk saya mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada semua barisan kabinet baru.

Namun bila diteliti semula barisan kabinet yang dibentuk, kementerian yang diwujudkan, digabungkan atau dimansuhkan, seperti ada satu perkara yang tertinggal dan serba tak kena. Ya.. Pemansuhan Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi. Sebelum ini kemeterian ini diterajui oleh Dato' Noh Omar yang kini telah bertukar portfolio. Kenapa Kementerian ini dimansuhkan??? Bukankah kementerian ini merupakan salah satu kementerian paling kanan???

Jika diimbas kembali, Kementerian ini sebelum ini berfungsi untuk mengawal selia pembangunan usahawan terutama melibatkan pembabitan usahawan-usahawan bumiputera dalam memacu ekonomi negara. Antara badan terkenal yang berada di bawah pengawasan kementerian ini adalah MECD, Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), Bank Pembangunan dan beberapa agensi penting lain. Dengan pemansuhan kementerian ini, dimana agensi-agensi ini akn bernaung selepas ini??? Mungkin Najib ada jawapannya.

Kembali ke persoalan asal, kenapa kementerian ini dimansuhkan? Adakah kementerian ini sudah tidak relevan. Umum sudah mengetahu bahawa antara fungsi kementerian ini adalah untuk menggalakkan pembabitan usahawan bumiputera bagi mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mahukan pembabitan bumiputera sebanyak 30% dalam sektor ekonomi. Adakah pemansuhan ini merupakan juga salah satu ciri-ciri corak pentadbiran baru yang diperkenalkan oleh Najib iaitu 'One Malaysia'? Secara kasarnya ditambah dengan pemansuhan kementerian ini bolehlah ditakrifkan konsep 'One Malaysia'ni hampir sama dengan 'Malaysian Malaysia' yang cuba diwujudkan oleh DAP. Jika benar telahan saya ini maka seluruh rakyat bumiputera Malaysia bakal berdepan dengan penghapusan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang selama ini menjadi tunjang perkembangan ekonomi Bumiputera Malaysia. Adakah ini langkah-langkah awal ke arah penghapusan DEB dan menjadikan negara Malaysia sebuah negara yang sama tara dan sama rasa sepenuhnya???

Kenapa Kementerian ini dimansuhkan??? Adakah kerana DEB gagal mencapai matlamatnya?? Sebenarnya kegagalan DEB bukanlah disebabkan oleh kegagalan kementerian ini semata-mata, tetapi terdapat faktor lain yang menyumbang ke arah kegagalannya. Pertama, Mungkin disebabkan tahap atau level yang diletakkan terlalu tinggi tak bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa. Meletakkan sasaran sebanyak 30% sekaligus memang menjadi beban untuk merealisasikannya ditambah dengan kaedah perlaksanaan yang agak lemah. Jadi, adalah lebih baik jika takat pengukur itu dimulakan dengan peratusan yang lebih rendah, mungkin 10% sebagai permulaan dan dinaikkan secara berperingkat setelah sasaran mula tercapai.

Kedua, Kaedah perlaksaan yang diamalkan untuk mencapai matlamat DEB ini dilihat kurang berkesan. Kerajaan seharusnya memberi bantuan pancing dan kail kepada bumiputera untuk mereka berusaha menggunakan pancing dn kail itu untuk menangkap ikan. Bukannya terus memberi ikan tanpa perlu mereka berusaha. Di samping itu, penerangan dan kesedaran tentang cara menggunakan pancing dan kail itu perlu juga disampaikan bagi mengelakkan masalah lain seperti menjual pancing dan kail kepada pihak ketiga dan hanya menerima keuntungan atas angin. Ini juga merupakan slah satu masalah sikap yang wujud dalam masyarakat bumiputera kita. Dengan erti kata lain, selain bantuan modal yang diberikan, kerajaan perlu juga memberikan galakan, kursus, motivasi dan peluang serta pemantauan berterusan bagi memastikan matlamat DEB itu tercapai.

Ketiga, sistem payung dan program usahawan angkat perlu diperluaskan dan diperkemaskan. Syarikat-syarikat dan usahawan-usahawan yang sudah berjaya perlu sama-sama memandang ke bawah bagi membantu usahawan baru dan sedang meningkat naik.. Ini akan merancakkan lagi ekonomi negara di samping mengelakkan berlakunya perkara yang kaya akan terus kaya dan yang miskin menjadi lebih miskin.

Mungkin Perdana Menteri mempunyai alasan dan kaedah tersendiri mengapa kementerian yang berperanan membantu usahawan bumiputera ini dimansuhkan. Tidak adil untuk kita terus menghentam tindakan PM ini tanpa memberi peluang dan ruang untuk beliau memperjelaskan keadaan sebenar. Mungkin ada alternatif baru yang lebih baik dan berkesan akan wujud selepas ini. Apapun, DEB tidak harus dihapuskan pada masa kini. Tetapi ia perlu dikemaskini dan diperbaiki kaedah perlaksanaannya agar lebih berkesan dan mampu mencapai matlamat. Tanpa DEB, bumiputera akan kembali ketinggalan dan tidak mustahil akan hanya jadi pencacai di bumi sendiri.

Ahad, 12 April 2009

Aktiviti Tun Pak Lah dan isteri di Taman Ramuan.

Jeanne banyak luang masa di Taman Ramuan: Perdana Menteri akan bersama isteri berkebun pada waktu lapang

"TAMAN Ramuan atau Edible Garden, mahu saya kongsikan dengan orang ramai, kerana aktiviti berkebun dan bercucuk tanam yang menjadi minat saya sejak kecil ini boleh memberikan manfaat besar," kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah mengenai taman boleh makan yang diusahakan di kediaman rasminya di Seri Perdana, Putrajaya.

Kesempatan menghabiskan masa melawat kebun ramuannya kira-kira empat jam, membuktikan Jeanne tidak kekok, malah aktiviti berkebun seakan sebati dengan jiwanya.

Beliau mampu mengingati hampir semua tanaman dalam Taman Ramuan atau Edible Garden yang menjadi kebanggaannya itu.

Taman Ramuan berkenaan dibangunkan sejak setahun lalu selepas beliau melihat banyak pokok kelapa sawit dan buah-buahan yang di tanam di kawasan berkenaan mati akibat dimakan anai-anai.

“Saya sudah berkebun sejak kecil kerana mengikut ibu bapa yang juga suka berkebun. Saya bukan datang daripada keluarga berada walaupun ibu bapa saya ketika itu bekerja. Bagi menjimatkan perbelanjaan, kami sekeluarga menanam tanaman seperti cili, serai, pandan dan pelbagai tanam makanan lain untuk keperluan harian.


“Bapa saya jika menanam pokok buah-buahan akan menanam empat pokok sekali kerana saya ada empat adik beradik. Kalau menanam pokok ciku semuanya empat pokok begitu juga belimbing dan rambutan,” katanya menceritakan bagaimana beliau mendapat ilham membina Taman Ramuan berkenaan.

Sebanyak 130 pokok yang boleh dimakan di tanam dalam kebun yang terletak di kanan sebelah pintu masuk ke kediaman Perdana Menteri.

Selain pokok ulam, herba dan rempah ratus, Taman Ramuan berkenaan juga ditanam dengan pelbagai jenis bunga dan rumput termasuk lalang yang boleh digunakan untuk merawat penyakit.

Antara tumbuhan yang menarik di taman itu ialah lalang berwarna ungu dan merah yang dipercayai boleh digunakan untuk mengubati gastrik dan kaki bengkak, pokok stevia yang daunnya manis apabila dimakan dikatakan sesuai menggantikan gula untuk pesakit kencing manis dan pokok butang nenek (chataranthu) sebagai penahan sakit gigi.
Jeanne bersama antara pokok yang ditanam beliau di Taman Ramuan.

Pelbagai spesies cili termasuk yang bulat berwarna warni seperti bola, bujur, besar dan kecil juga ada di tanam di Taman Ramuan berkenaan.

“Ada orang yang terkejut melihat cili yang buahnya tumbuh mendongak langit begitu juga bendi yang mempunyai bunga yang cantik. Sebenarnya, banyak faedah jika kita minat berkebun. Selain baik untuk kesihatan kerana peluh yang keluar, ia juga menjimatkan.

“Kebiasaannya, kebanyakan rumah akan menanam serai, pokok kari, pandan, kunyit dan limau kasturi. Ada banyak pokok lain sesuai dan boleh ditanam di perkarangan atau laman rumah. Contohnya, pokok turi, terung, ulam raja, misai kucing, cili, betik, labu dan petola yang sesuai sebagai pokok hiasan pagar,” katanya.

Selain landskap lembut, Taman Ramuan juga dihiasi landskap kejur seperti kolam ikan, tangga batu pasir, dinding granit, pelantar kayu dan wakaf. Kolam ikan bertingkat itu dihiasi ikan talapia, lampam, keli dan jelawat.

Taman berkenaan juga dihiasi ruang khas untuk keluarganya berkarya dengan dinding yang dicat dan dijadikan lukisan. Ruang berkenaan dihiasi pokok kemboja putih dan landskap keras seperti batu sungai, kayu hanyut dan pemijak batu pasir.

Ketika kunjungan berkenaan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut menyertai Jeanne menunjukkan Taman Ramuan yang menjadi tempat pasangan berkenaan menghabiskan masa bersama apabila ada waktu kelapangan.

“Tanya saja apa yang ada dalam kebun ini, Jeanne akan tahu semuanya,” kata Perdana Menteri yang turut mengetahui beberapa nama pokok herba yang ada dalam taman berkenaan.

Jeanne berkata, Pak Lah sering menyertainya di waktu lapang untuk berkebun bersama namun kesibukan sering membataskan waktu untuk menghabiskan masa lebih lama di taman berkenaan.

“Biasanya, apabila ada masa saja, kebun ini menjadi tempat saya beristirahat bersama keluarga dan saya berasa puas setiap kali melihat apa yang ditanam membuahkan hasil. Saya sangat minat bidang ini dan kesempatan mengiringi suami ke luar negara akan saya gunakan untuk mencari buku atau mengunjungi taman herba.

“Saya juga suka mengumpul pokok atau herba baru. Jika ada yang memperkenalkan pokok baru kepada saya, saya akan menanamnya di taman ini,” katanya yang sedang mengusahakan sebuah buku untuk bacaan ringan mengenai tanaman boleh makan dan kesihatan bersama anaknya Nadene Kimie.

Mengenai Edible Garden atau Taman Ramuan, katanya ramai yang tidak tahu apa itu Edible Garden berbanding kebun dapur atau taman herba.

“Sebenarnya Edible Garden adalah taman yang mengandungi pelbagai tumbuhan yang boleh dimakan atau yang dimanfaatkan untuk kesihatan. Saya suka memanggil Edible Garden sebagai Taman Ramuan dan terpulang kepada orang lain untuk menamakannya,” katanya.

Beliau berkata, Taman Ramuan boleh dibangunkan di kawasan lapang tidak kira ruangnya terhad atau luas, sama ada rumah anda teres, apartmen, banglo atau rumah kampung.

“Terkini, hiasan Edible Garden direka dan disusun dengan hiasan yang cantik dan menarik dengan campuran landskap keras seperti kolam ikan. Jika anda mempunyai ruang laman yang luas maka lebih mudah meletakkan landskap kejur seperti kolam, pemijak kaki atau kolam hiasan dan pancuran air.

“Reka bentuk dan suai letak taman anda adalah kreativiti dan inilah masa untuk anda berkarya sambil mereka cipta sendiri taman ramuan masing-masing,” katanya .

Jeanne turut berkongsi beberapa khasiat, ramuan dan resipi yang boleh diperoleh daripada pokok yang ditanam di taman miliknya seperti bunga kemboja yang boleh digoreng tepung (tempura) dan jus daun betik muda untuk mengurangkan demam denggi.

Beliau berkata, kesedaran umum mengenai Taman Ramuan masih rendah walaupun kini sudah ada kecenderungan membina taman atau landskap di kediaman masing-masing.

“Saya lihat laman rumah dihiasi pakaian yang dijemur atau tumbuhan hiasan yang tidak boleh dimanfaatkan dalam kehidupan harian. Saya harap lebih ramai beralih menanam pokok yang boleh dimakan atau berfaedah untuk kesihatan,” katanya.

Selain menjimatkan, Taman Ramuan dapat menjadi tempat teduhan, pagaran dan hiasan menarik kerana pokok herba mempunyai bunga dan daun yang berwarna-warni.

Mengakhiri perbualan petang itu, Jeanne berkata, beliau mengharapkan kegemarannya bercucuk tanam terutama kepada tumbuhan boleh makan akan menjadi inspirasi kepada rakyat untuk berkebun dan menghijaukan Malaysia.

Edible garden tanaman kesihatan, makanan

EDIBLE Garden atau Taman Ramuan, nama jolokan yang diberikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah adalah satu pendekatan reka bentuk taman yang menggabungkan tanaman untuk makanan dan kesihatan berkongsi satu landskap. Di Barat, ia dikenali sebagai laman dapur manakala sesetengah tempat menggelarnya taman tumbuhan makanan dan taman komuniti.

Landskap ini lebih menonjolkan landskap lembut berbanding kejur (keras). Landskap keras diwakili tembok, pagar dan pergola yang dibina untuk tumbuhan berpaut dan melilit padanya.

Selain menyumbang nilai estetika dan mewujudkan persekitaran selesa serta menarik, landskap Edible berfungsi membekalkan makanan segar, rempah-ratus masakan, kosmetik, perubatan selain dijadikan pewangi kediaman dan haruman tubuh.

Spesies tumbuhan dipilih mengisi taman terdiri daripada herba, ulam-ulaman, buah-buahan, bunga dan sayuran tempatan misalnya pokok kari, dukung anak, kunyit, pala, kacang turi, cengkih, misai kucing, pegaga, buah jambu, belimbing buluh, bunga kemboja, sayur kubis, petola, bendi dan beribu spesies lagi.

Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerbitkan buku khusus mengenainya bertajuk Edible Landskap. Dalam buku berkenaan, disenaraikan lima faedah utama pembentukan landskap berkenaan iaitu membantu mewujudkan kediaman memenuhi estetika serta kegunaan, menyediakan keperluan makanan bagi penghuni kawasan perumahan, menjimatkan perbelanjaan harian, menyediakan tempat rekreasi dan beriadah keluarga juga mengeratkan perpaduan masyarakat menerusi usaha menukar laman biasa sebagai tempat rekreasi bersama.

Proses mereka bentuk landskap Edible sama seperti laman biasa iaitu mengambil kira masalah penyelesaian tapak serta keperluan reka bentuk bagi cadangan dan keputusan membina landskap.

Manakala, faktor yang patut diberi perhatian adalah matlamat serta tujuan, kemampuan kewangan, analisis tapak, luas kawasan, lokasi, lot jiran serta persekitaran, kesesuaian tanah, cahaya matahari, maklumat tapak dan kawasan persekitaran (inventori), kepelbagaian alternatif konsep, penilaian terhadap konsep berkenaan bersama penyelesaian, cadangan reka bentuk dan kos penyelenggaraan.

Komponen landskap Edible dibahagikan kepada kediaman individu dan taman kejiranan serta komuniti. Setiap komponen mengandungi dua jenis landskap membabitkan kejur dan lembut.

Bagi kediaman individu, landskap kejur dibentuk melalui binaan seperti siar kaki, bangku, wakaf, pergola, tong sampah, kotak dan bekas tanaman, stor menyimpan bahan, perkakasan dan penyediaan baja serta elemen air.

Sementara, landskap lembut dibentuk melalui tanaman pelbagai saiz dan warna, daripada berukuran besar sehingga pokok renek dan penutup bumi.

Kepelbagaian pokok turut membentuk landskap lembut di taman kejiranan dan komuniti. Manakala, landskap kejur diperlihatkan melalui pintu dan laluan keluar-masuk, siar kaki, tempat meletak kenderaan, zon pemunggahan, lampu jalan, bangku, wakaf, pergola, papan tanda, tong sampah, sumber air, tapak penanaman dan kawasan diguna bersama seperti tempat berkumpul, stor menyimpan perkakasan dan baja dan tempat mengumpul serta memproses hasil tanaman.

Sebagaimana spesies tumbuhan lain, Edible Garden juga memerlukan sumber pencahayaan, penyediaan medium tanaman, penyelenggaraan, siraman, penggemburan tanah, pembajaan, pembersihan kawasan, sungkupan, pengawalan penyakit serta perosak, pemangkasan serta penjarangan , penggantian tanaman dan pemancangan.








Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE