Rabu, 16 September 2009

Nizar vs BN : MIC tidak layak bersikap biadap dan kurang ajar kepada Tun Mahathir...

1. Hari ini, 16 September sepatutnya menjadi hari ulang tahun buat Anwar dan PKR menjadi PM Malaysia sekiranya cita-cita 'berdeke' salam'nya untuk merampas kerajaan pusat menjadi kenyataan. Tapi sedihnya apabila angan-angannya itu telah gagal menjadi realiti malah seharusnya boleh mula dilupakan terus hajatnya untuk menjadi PM sekiranya senario politik semasa diambil kira. Bermula dengan kegagalan kerajaan PR mempertahankan kerajaan Perak dan kemudiannya pergolakan yang tidak berpenghujung yang berlaku di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah menjadikan kerajaan Pakatan Rakyat umpama telur di hujung tanduk.

2. Keputusan PRK akhir-akhir ini tidak seharusnya dijadikan kayu pengukur di atas kekuatan Pakatan Rakyat memandangkan kemenangan yang dikecapi oleh PR sudah dijangka berdasarkan status kawasan bertanding yang sememangnya merupakan kawasan atau kubu kuat Pakatan Rakyat. PR mungkin boleh dikatakan bersedia untuk menjadi kerajaan jika mereka berupaya merampas ADUN Bagan Pinang yang menjadi milik BN apatah lagi jika mampu menewaskan Tan Sri Isa Samad yang amat disayangi oleh penduduk kawasan tersebut.

3. Bukan soal Anwar dan PKR yang ingin saya bangkitkan, apa yang ingin saya perkatakan adalah berhubung dengan apa yang berlaku terutama membabitkan pemilihan MIC yang selesai baru-baru ini. Apa pun tahniah diucapkan kepada pemimpin MIC yang berjaya dipilih bagi menduduki kerusi tertinggi parti. Ini termasuklah Presiden MIC, Dato' Seri S. Samy Vellu yang masih mampu memanipulasikan pemikiran ahli MIC agar terus setia dan tunduk kepadanya.

4. Pada dasarnya bagi saya, pemilihan MIC kali ini sebenarnya telah gagal mencapai objektif sepatutnya. Tidak wujud lagi prinsip ketelusan malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa pemimpin MIC terutama Presidennya telah menafikan hak yang sepatutnya dimiliki oleh ahli akar umbi. Samy Vellu cuba menjadikan MIC sebagai hak milik eksklusif dirinya di mana kepimpinan yang dipilih sudah ditentukan dari awal manakala pemimpin yang cuba berdiri di atas kaki sendiri akan terus dimatikan survivol politiknya.

5. Saranan dan nasihat dari mantan PM, Tun Mahathir memang wajar dan tepat ke batang hidung Samy Vellu. Tindakan seorang perwakilan yang menghina Tun Mahathir apabila mencadangkan agar gambar Tun diletakkan kalungan selipar amat biadap dan kurang ajar. Matlamatnya mungkin untuk membodek Samy Vellu tetapi tindakan ketrlaluannya tidak boleh dibiarkan dan MIC mesti mengambil tindakan drastik terhadap perwakilan tersebut.

6. Tun Mahathir sebagai seorang negarawan yang amat berjasa kepada negara tidak boleh dibiar diperlakukan sedemikian rupa. MIC perlu ingat sumbangan besar Tun terutama kepada kaum India di mana Tun tidak pernah membiarkan kaum India ketinggalan di dalam arus pembangunan negara. Malah saya percaya, perwakilan yang biadap itu juga sudah banyak menikmati hasil dari sumbangan Tun Mahathir. Jadi, saya menggesa kepada perwakilan tersebut dan kepimpinan MIC terutama Dato' Seri S. Samy Vellu agar mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Tun Mahathir di atas keterlanjuran yang berlaku.

7. Samy Vellu mungkin masih belum sedar apa yang berlaku dalam politik negara terutama melibatkan kaum India. Kejatuhan sokongan rakyat kepada BN dalam PRU yang lepas salah satu dari faktornya adalah peralihan sokongan masyarakat India dari MIC kepada PKR. Rata-rata kaum India sebenarnya sudah hilang kepercayaan kepada MIC di bawah pimpinan Samy Vellu. Yang tinggal hanyalah pembodek Samy vellu. Malah saya percaya, tempoh 3 tahun kepimpinan Samy Vellu yang akan datang hanya akan menjadikan MIC sebagai parti mewakili kaum India yang paling lemah.

8. Pengerusi BN, Dato' Seri Najib sudah perlu memulakan langkah untuk membetulkan keadaan yang berlaku terutama melibatkan komponen-komponen BN yang dilihat tidak stabil dan sedang menghadapi krisis kritikal. Itu pun sekiranya Najib masih mahu melihat BN terus menjadi kerajaan dan menguasai semula PRU yang akan datang. Ini termasuklah pergolakan yang berlaku dalam MCA, PPP, MIC, SNAP dan Gerakan.

9. BN seperti kelazimannya tidak boleh terlalu mengharapkan kepada UMNO untuk terus utuh. Sumbangan dan peranan dari komponen lain tidak boleh dipandang sepi malah perlu diperkukuhkan lagi. Bak kata pepatah,'cubit paha kanan, paha kiri turut terasa sakit'. Malah komponen di Sabah dan Sarawak juga perlu diberi perhatian memandangkan merekalah yang menjadi penyelamat kepada BN dalam PRU-12 yang lepas. Bukan niat untuk mencampuri rumah tangga parti komponen, tetapi cukup sekadar untuk menjernihkan semula keadaan dan menjadikan BN kembali relevan kepada semua kaum di Malaysia.

10. Dalam kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas kepada UMNO Bahagian Batu Pahat di bawah pimpinan Dato' Fuad Zakarshi di atas keprihatinan untuk membiayaai kos guaman dan perbiacaraan yang bakal dihadapi oleh penduduk Seksyen 23, Shah Alam membabitkan isu kuil dan kepala lembu.
Show Comments: OR

2 ulasan:









Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE