Advertisement - Contact Us

Rombongan Pilihanraya kecil ke Kota Alam Shah pula.

Negara kemungkinan besar bakal menghadapi satu lagi Pilihanraya kecil jika benar ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan mengosongkan kerusi tersebut. Beliau akan mengumumkan keputusannya pada 19 Mei ini. M. Manoharan yang kini masih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah berjaya memenangi kerusi tersebut pada PRU12 yang lepas.

Parti pembangkang yakni Pakatan Rakyat benar-benar telah mempermainkan dan mencemarkan kesucian sistem demokrasi negara. Berdasarkan beberapa keputusan perletakan jawatan sebagai wakil rakyat sebelum ini yang dilakukan oleh pemimpin PR telah mencerminkan sikap sebenar mereka yang mana matlamat mereka untuk bertanding dalam pilihanraya bukanlah untuk menumpahkan bakti kepada masyarakat dan negara, tetapi semata-mata hanyalah demi untuk kepentingan politik peribadi yang tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

Secara rasionalnya, bagaimana seorang wakil rakyat hendak menunaikan tanggungjawab dengan berkesan jika diri masih berada dalam tahanan? Keputusan M. Manoharan untuk meletak jawatan adalah lebih tepat dan mempunyai alasan yang lebih kukuh dan logik berbanding tindakan sama yang telah diambil oleh Fairus Khairuddin. Apa yang jelas kini adalah sudah terlalu banyak PRK diadakan selepas PRU12 yang lepas semenjak Pakatan Rakyat memperlihatkan kebangkitan. Ini melambangkan Pakatan Rakyat sebenarnya langsung tidak bersedia dan gagal menunjukkan tanjak untuk menjadi pemimpin apatah lagi untuk memerintah negara.

"SHAH ALAM, 2 Mei (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hari ini mengesahkan bahawa beliau sedang memikirkan untuk mengosongkan kerusi itu.

Dalam kenyataan media yang diedarkan oleh isterinya S. Pushpaneela, Manoharan berkata beliau akan mengumumkan keputusannya secara rasmi selepas bertemu dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh, di Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak, pada 19 Mei ini.

"Saya rasa bersalah dan tidak adil kerana tidak mampu menunaikan tanggungjawab kepada pengundi pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor.

"Kini saya perlu mempertimbangkan untuk meletak jawatan sebagai wakil rakyat Kota Alam Shah bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan," kata peguam berusia 48 tahun itu.

Dalam kenyataan itu, Manoharan turut meminta maaf kepada pengundi di kawasan itu kerana tidak dapat memberi perkhidmatan secara peribadi kerana ditahan di bawah Akta ISA sejak 2007.

Manoharan, Penasihat Undang-Undang pertubuhan haram Hindraf, bersama empat lagi pemimpin pertubuhan itu telah ditahan di bawah Akta ISA pada 13 Dis 2007.

Bagaimanapun, dua daripada mereka iaitu peguam R. Kenghadharan dan V. Ganabatirau dibebaskan pada 5 April lalu selepas Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Pada pilihan raya umum 8 Mac 2008, Manoharan, yang bertanding atas tiket DAP, memenangi kerusi DUN Kota Alam Shah setelah menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ching Su Chen dengan majoriti 7,184 undi."
- Bernama

1 Ulasan

  1. Pemimpin PAS sanggup melihat Islam dan Melayu berpecah kerana mereka sangat yakin bahawa PAS boleh menjadi parti alternatif kepada orang-orang Melayu. Pemimpin PAS semakin yakin bahawa kaum Cina dan India mulai menyokong calon PAS. Mengapa mereka perlu bersatu dengan UMNO? Mereka beranggapan UMNO mulai menuju kehancuran atau lubang kubur.
    Pandangan yang terlalu awal. Dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Ada masa naik dan ada masa turun. Ada masa air pasang dan ada masa air surut. Bergantunglah kepada keadaan dan masanya. UMNO mulai membuat beberapa perubahan bagi mengembalikan keyakinan rakyat. Pemimpin-pemimpin MT UMNO yang dipilih melalui Persidangan Agung UMNO kebanyakan pemimpin yang berani bercakap, berpendirian tegas, berwibawa dan bersih. PM, DS Najib telah melantik Menteri dan Timbalan Menteri dari kalangan pemimpin UMNO yang bersih dan berkemampuan memberi sumbangan kepada rakyat dan negara. Beberapa dasar telah mengalami perubahan dan pembaharuan. Majlis perasmian yang bakal dihadiri oleh pemimpin kerajaan diringkaskan kerana lebih masa ditumpukan kepada perkhidmatan kepada rakyat. Sesuai dengan cogan kata di bawah pentadbiran DS Najib iaitu "Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan". Jika UMNO dan BN mendapat restu rakyat pada masa akan datang bermakna Melayu terus berpecah.
    Oleh itu pemimpin PAS mahu pun UMNO tidak perlu mendabik dada mengatakan parti masing-masing kuat. Sebenarnya NGOs dan orang Melayu tidak rela melihat bangsa Melayu semakin menuju kehancuran. Apakah Islam boleh terus berkembang maju jika bangsa Melayu hancur? Perjuangan Islam PAS sebenarnya samalah jua dengan perjuangan UMNO. Cuma pendekatan PAS dan UMNO mungkin sedikit berbeda dan apakah perbedaan itu tidak memungkinkan UMNO dan PAS bersatu kerana Allah. Jika PAS boleh menerima DAP sebagai rakan dalam pakatan, mengapa PAS tidak boleh menerima UMNO sebagai pakatan dalam perjuangan membela nasib bangsa Melayu dan Islam?

    BalasPadam
Terbaru Lebih lama