Jumaat, 3 April 2009

Umno sedia hadapi pilihan raya kecil Penanti, P. Pinang.

Benarkah akan ada satu lagi Pilihanraya kecil di Pulau Pinang? Inilah isu yang sedang hangat diperbincangkan terutamanya di Pulau Pinang berhubung perletakan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang serta jawatan EXCOnya oleh bekas penyandangnya Fairus Khairuddin yang juga merupakan ADUN kawasan Penanti.

Fairus telah dinasihatkan supaya berundur dari jawatannya dalam kerajaan negeri Pulau Pinang oleh bos PKRnya, Anwar Ibrahim dan bos negerinya, Lim Guan Eng setelah didapati dan disisat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam salah guna kuasa dan menerima sejumlah wang komisyen dari syarikat kuari di Seberang Perai.

Sebelum ini, beliau telah ditahan oleh SPRM di Johor bagi membantu siasatan dan diambil keterangan berhubung kes tersebut. Namun beliau telah dibebaskan. Perletakan jawatan beliau berkuatkuasa 8 April ini. Sehubungan itu, BN Pulau Pinang akan sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan akan adanya Pilihanraya Kecil di DUN Penanti yang juga kawasan Fairus sekiranya Fairus mengambil keputusan lanjut untuk meletakkan jawatan sebagai ADUN.

"PULAU PINANG: Perhubungan Umno Pulau Pinang sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, pada bila-bila masa, kata setiausahanya, Datuk Azhar Ibrahim, hari ini.

Beliau yang juga ketua pembangkang berkata, sudah menjadi tanggungjawab setiap ahli Umno supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil serta mengutamakan kepentingan rakyat dalam semua aspek.

Azhar berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi berhubung isu kemungkinan ada pilihan raya kecil DUN Penanti dalam tempoh terdekat, berikutan peletakan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang juga exco kerajaan negeri, Mohammad Fairus Khairuddin, berkuatkuasa Rabu ini.

Mohammad Fairus menjadi Adun Penanti pada pilihan raya umum ke-12, 8 Mac tahun lalu.

Spekulasi mengenai pilihan raya itu dikuatkan lagi dengan penahanan Mohammad Fairus oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kompleks Imigresen Johor pada 25 Mac lalu, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan sebuah syarikat kuari di Seberang Perai.

Bagaimanapun SPRM membebaskan beliau selepas mengambil keterangan bagi membantu siasatan."
- B. Harian Online
Show Comments: OR

0 comments:

Catat Ulasan









Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE