Advertisement - Contact Us

Tun Mahathir : Bagai sirih pulang ke gagang...

Tun Mahathir bersama Dr Siti Hasmah akhirnya mengambil keputusan untuk kembali ke pangkuan UMNO. Ini satu keputusan yang pastinya mengembirakan seluruh rakyat Malaysia yang ingin melihat satu transformasi yang positif dalam parti UMNO. Dalam keadaan politik yang terumbang ambing ini, dengan penyertaan semula dua tokoh terbilang yang pernah mangharumkan nama negara dan UMNO ini maka ia secara tak langsung akan memberi satu impak yang dilihat mampu memperkasakan semula UMNO dan Barisan Nasional.

Rakyat sudah mula memberi harapan yang menggunung kepada kepimpinan baru di bawah tangan Najib untuk melihat satu anjakan paradigma ke arah penstabilan semula ekonomi, politik dan sosial negara. Kehadiran Tun Mahathir jua boleh dianggap sebagai pencetus semangat baru kepada Najib untuk memberi khidmat yang lebih cemerlang terutama melibatkan soal kebajikan rakyat, dasar dan hak kaum bumiputera, penstrukturan semula sisitem perundangan, mebaik pulih sektor awam, mengemaskini sumber ekonomi negara dan lain-lain.

Walau apapun syabas diucapkan kepada Tun Mahathir kerana telah memberi ruang dan peluang kepada Najib dan UMNO untuk memulihkan semula keadaan dan mengembalikan UMNO ke landasan yang sebenar. Diharap semoga rakyat Malaysia juga sedia untuk membuka semula skop pemikiran dan memberi ruang kepada Najib untuk membuktikan bahawa peralihan kuasa dan perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6 bukanlah satu kesilapan.

"PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyertai semula Umno hari ini berkata hati beliau tetap bersama Umno selama berada di luar parti hampir setahun lalu.

Bekas Presiden Umno itu berkata, tegurannya terhadap parti selama itu adalah untuk membina dan bukannya untuk menghancurkan parti.

"Walaupun berada di luar Umno, hati ada dalam Umno," katanya kepada pemberita di Kediaman Rasmi Timbalan Perdana Menteri, Sri Satria di sini, tengahari tadi.

Terdahulu, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, bersama anak mereka, Datuk Mokhzani, menyerahkan borang keahlian untuk menyertai semula Umno kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dua lagi anak Dr Mahathir iaitu Datuk Mukhriz dan Datuk Mirza turut hadir pada majlis itu.

Dr Mahathir keluar Umno pada 19 Mei tahun lalu selepas hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap parti yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun.

Mengenai kaitan penyertaan semula beliau dalam Umno semasa pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein dan kini semasa pentadbiran anak Perdana Menteri kedua itu, Dr Mahathir secara berseloroh berkata:

"Itu pakatan kekeluargaan yang tidak disengajakan".

Dr Mahathir pernah disingkirkan daripada Umno di zaman pentadbiran Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, pada 26 September 1969 kerana mengkritik kepimpinan Presiden Umno itu.

Beliau diterima masuk semula Umno pada 1972.

Ditanya peranan yang akan dimainkan beliau kelak, Dr Mahathir percaya seseorang pemimpin harus membantu Umno selepas bersara dan bukannya berpisah dengan Umno.

Mengenai jawatannya dalam Umno atau kerajaan kelak, Dr Mahathir berkata: "Tak payah".
- B. Harian Online

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama