Selasa, 7 April 2009

S. Manikumar dari PKR menang DUN Bukit Selambau.

Pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau pula menyaksikan calon Parti Keadilan Rakyat, S. Manikumar berjaya memenangi kerusi tersebut menundukkan calon Barisan Nasional yang juga dari MIC termasuk 13 lagi calon dari Bebas. S. Manikumar berjaya memperolehi majoriti sebanyak 2403 melebihi majoriti yang diperolehi oleh V. Arumugam dalam Pilihanraya Umum 2008 yang lepas. PRK DUN Bukit Selambau juga telah mencipta rekod tersendiri iaitu menampilkan calon paling ramai dan melibatkan paling banyak calon yang terpaksa kehilangan wang pertaruhan.

"SUNGAI PETANI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah, apabila calonnya, S Manikumar, 35, menang dengan majoriti 2,403 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dan 13 calon Bebas.

Manikumar memperoleh 12,632 undi manakala calon BN, Datuk S Ganesan, 49, mendapat 10,229 undi dalam pertandingan paling ramai calon dalam sejarah pilihan raya negara.

Semua 13 calon Bebas hilang wang deposit selepas gagal mendapat undi minimum satu per lapan daripada keseluruhan undi, sekali gus mencatatkan satu lagi sejarah sebagai pilihan raya paling ramai calon hilang wang deposit.

Pilihan raya kecil itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila kertas undi paling besar digunakan bagi memuatkan 15 nama dan simbol calon.

Kira-kira 70.28 peratus daripada 35,140 pemilih berdaftar di DUN Bukit Selambau keluar mengundi di 22 pusat pengundian yang dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang.

Sebanyak 415 undi ditolak.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Abdullah Mat Akhir, tepat jam 10.48 malam di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Teknik Sungai Petani I.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan V Arumugam dari PKR sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau dan Exco kerajaan negeri pada 9 Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008 lalu, Arumugam yang bertanding atas tiket Bebas sebelum menyertai PKR, menang dengan majoriti 2,362 undi ke atas calon BN, S Krishnan. Arumugam mendapat 13,225 undi manakala Krishnan memperoleh 10,863 undi. "
- B. Harian Online

TAHNIAH !!!
Show Comments: OR

0 comments:

Catat Ulasan









Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE