Rabu, 1 April 2009

Pengundi Jangan Ulangi Kesilapan PRU 12.

Memilih calon yang bertanding untuk menjadi wakil rakyat yang berstatus Yang Berhormat (YB) bagi Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen tidak wajar mengikut selera sesuka hati.

Pengajaran memilih wakil rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) sepatutnya tidak diulangi dalam tiga pilihan raya kecil serentak kali ini.

Pengundi bagi ketiga-tiga kawasan tidak perlu mengikut emosi atau terpedaya dengan janji-janji yang belum tentu dapat mereka tunaikan apabila menang kelak.

Di Bukit Gantang, Pas nampaknya mahu bermati-matian memastikan kemenangan mereka. Ini bukan sahaja untuk mengekalkan kerusi yang mereka memenangi pada piliihanraya umum lalu namun yang lebih penting untuk mendabik dada dan mempertahankan tindakan derhaka terhadap Sultan Perak.

Tindakan meletakkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin sudah cukup membuktikan niat sebenar Pas bertanding. Bukan sangat untuk menawarkan khidmat kepada rakyat tetapi lebih bertujuan menunjukkan tindakan derhaka itu direstui rakyat.

Malah sudah menjadi rahsia umum bahawa Nizar adalah calon pilihan DAP kerana yang berada di belakang Nizar selama beliau menjadi Menteri Besar bukanlah Pas jauh lagi rakyat tetapi DAP.

Walaupun DAP penentang tegar cita-cita penubuhan Negara Islam namun demi kuasa, Pas bukan sahaja sanggup bersekongkol malah rela menjadi boneka kepada DAP. Maka tidak hairan juga Pas lebih akur pilihan calon DAP berbanding Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam menentukan calon di Bukit Gantang.

Sudah mula kedengaran di kalangan rakyat bahawa yang menjadi pertarungan di Bukit Gantang sebenarnya adalah di antara calon Barisan Nasional dengan calon DAP bukan Pas.

Sementara itu di Bukit Selambau lain pula ceritanya. Bukit Selambau tiba-tiba menjadi menarik apabila ia menjadi rebutan 15 calon, termasuk 13 calon Bebas.

Kita tidak tahu apa punca sebenar kemunculan begitu ramai calon Bebas mencuba nasib, tetapi yang pasti ada di antara mereka yang tidak berpuas hati dengan pemilihan calon yang jelas memperlihatkan keretakan berlegar dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah, ketika PKR mengumumkan nama calonnya sebelum ini pun, sudah berlaku kekecohan apabila ada pihak mendakwa calon yang dipilih, iaitu S Manikumar tidak dikenali.

Hakikatnya masyarakat tidak rasa terkejut dengan calon-calon yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri Batang Air, Sarawak.

Walaupun kehadiran calon Bebas sudah dijangka di kedua-dua kawasan itu tetapi jumlah 13 calon Bebas bagi merebut kawasan Bukit Selambau, Kedah cukup memeranjatkan.

Memang dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil yang lepas, calon Bebas juga ada yang berjaya meraih banyak undi dan menang pilihan raya.

Sebenarnya memilih calon Bebas bukan salah, tetapi berdasarkan pengalaman lalu mereka kurang berkemampuan untuk membantu rakyat apatah lagi pengundinya sendiri.

Jika kali ini mereka bertanding kerana berpandangan rakyat akan mencari wakil rakyat yang bukan mewakili mana-mana parti politik, atau pengundi sudah hilang keyakinan kepada calon parti politik, mungkin ia tidak berlaku lagi.

Hakikatnya calon-calon Bebas hanya ingin mengambil kesempatan akibat sentimen kekecewaan atau kemarahan para pengundi. Belum menang lagi, ada yang sudah membayangkan sedia untuk menyertai mana-mana parti politik.

Impian ini sudah terbukti kerana ada wakil rakyat Bebas menyertai parti politik dan ditawarkan jawatan exco. Dan akhirnya, apa yang para pengundi kawasan berkenaan dapat daripada wakil rakyat Bebas itu.

Oleh itu, pilihan raya kecil bukan tempat untuk golongan individu mengambil kesempatan. Kita tidak terkejut jika calon-calon Bebas mendakwa mereka bertanding kerana mempunyai ramai pengikut.

Namun kita lebih percayakan 'keghairahan' calon-calon Bebas bertanding kali ini bukan kerana soal demokrasi tetapi untuk menguji populariti mereka supaya dapat menuntut sesuatu atau menagih tempat dalam pentadbiran negeri.

Biar apapun telahan dan anilisis segala-galanya akan terjawab pada 7 April nanti. Namun pengundi ketiga-tiga kawasan pilihan raya kecil perlu diperingatkan akan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat.

Mereka perlu memilih bukan semata-mata untuk masa depan diri sendiri tetapi juga majoriti masyarakat di kawasan berkenaan.

Terpulang kepada pengundi untuk membuat penilaian siapa yang lebih baik antara BN dan pembangkang, bukan saja di Selambau, malah di Bukit Gantang dan Batang Air.

-Dr Razak Nasruddin-
Show Comments: OR

0 comments:

Catat Ulasan









Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE