Advertisement - Contact Us

Najib : Perdana Menteri Malaysia ke-6 dengan rasminya.

Tepat jam 10.10 pagi tadi, secara rasminya Dato' Seri Najib Tun Razak telah mengangkat sumpah bagi menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-6 bagi menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Majlis angkat sumpah diadakan di Istana Negara dalam suasana harmoni dan penuh takzim serta dihadiri oleh lebih 300 tetamu kehormat termasuk mantan Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri.

Dalam majlis yang sama juga, Pak Lah dan isteri telah dikurniakan gelaran Tun setelah mendapat perkenan dari Ke Bawah Duli. Rakyat Malaysia berasa amat bersyukur dan bertuah kerana dapat menyaksikan peralihan kuasa kepimpinan Perdana Menteri dalam keadaan aman dan makmur. Inilah hadiah terbesar dari kepimpinan negara terutama dari Tun Abdullah yang dengan besar hati dan penuh rasa kebertanggungjawaban kepada negara telah menyerahkah kuasa dan tampuk kepimpinannya kepada Najib dalam keadaan negara yang amat baik dan harmoni.

Terima kasih Tun Abdullah. Semoga Perdana Menteri baru dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai orang no 1 negara Malaysia dengan amanah, telus dan penuh rasa tanggungjawab demi rakyat, agama, bangsa dan negara tercinta.

"KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun.

Najib, 55, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Najib mengikut jejak allahyarham ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein, yang menerajui negara dari tahun 1970 sehingga 1976, apabila beliau meninggal dunia akibat leukemia.

Segak berbaju Melayu hitam, Najib tiba di Istana Negara pada 9.42 pagi diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Mereka berdua kemudian memasuki Balairong Seri pada 10 pagi diikuti Abdullah dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.

Kenamaan lain yang turut hadir termasuklah anggota Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Negara serta Speaker Dewan Rakyat.

Seramai 319 tetamu kehormat hadir pada majlis bersejarah itu termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Acara penuh istiadat itu bermula apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berangkat memasuki Balairong Seri pada jam 10.05 pagi.

Upacara dimulakan dengan lagu Negaraku dimainkan oleh pancaragam Angkatan Tentera Malaysia.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia oleh Najib sebagai Perdana Menteri dimulakan pada jam 10.10 pagi.

Najib kemudian membaca ikrar mengangkat sumpah taat setia serta menyimpan rahsia sebelum menandatangani keempat-empat Suratcara Pelantikan, diikuti dengan bacaan doa selamat.

Keempat-empat Suratcara Pelantikan itu kemudiannya ditandatangani oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff sebagai saksi yang kemudiannya diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan. "
- B. Harian Online

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama