Khamis, 9 April 2009

Mukhriz dipilih, KJ diketepikan...

Pemilihan barisan kabinet yang baru diumumkan ini dilihat mampu membawa perubahan yang baik dari segi pentadbiran negara selain berupaya memenuhi aspirasi rakyat yang inginkan sebuah kerajaan yang dinamik. Walaupun berlaku beberapa kejutan yang menarik perhatian namun secara keseluruhannya barisan yang dipilih ini berupaya menjadi tulang belakang kepada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia yang baru.

Beberapa rombakan kecil telah dilakukan dengan menggugurkan beberapa nama dan digantikan dengan muka baru serta muka lama yang dilantik semula. Ura-ura tentang pengguguran Dato' Azalina, Tan Sri Muhamad Mat Taib dan bekas Menteri Dalam Negeri, Dato' Syed Hamid Albar sememangnya benar-benar berlaku. Dato' Azalina telah digantikan dengan Dato' Dr. Ng Yen Yen. Muhammad Mat Taib pula digantikan oleh Naib Presiden UMNO baru, Dato' Shafie Apdal manakala Syed Hamid digantikan oleh bekas menteri Pelajaran yang juga Naib Presiden UMNO, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein. Pemilihan Dato' Shafie Apdal memegang portfolio Kementerian Luar bandar dan Wilayah dilihat paling tepat memandangkan beliau sendiri datang dari Sabah dan pastinya beliau amat arif akan hal ehwal luar bandar dan memahami kehendak masyarakat luar bandar.

Selain itu, beberapa muka lama yang digugurkan sebelum ini telah dilantik semula oleh Perdana Menteri baru. Antaranya Dato' Seri Shahrizat Jalil yang baru sahaja memenangi jawatan Ketua Wanita UMNO telah kembali ke kementerian lamanya sebagai Menteri Perpaduan Wanita dan Masyarakat melalui perlantikan senator. Seorang lagi yang dipilih melalui perlantikan senator adalah Dato' Awang Adek menjadi Timbalan Menteri Kewangan. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pula telah beralih portfolio ke Kementerian Jabatan Perdana Menteri menjaga Unit Perancang Ekonomi.

Kesemua ahli majlis tertinggi UMNO yang baru dipilih dalam Pemilihan Agung UMNO yang lepas dilantik menjadi menteri atau sekurang-kurangnya Timbalan Menteri. Hanya Khairy Jamaluddin yang baru memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO dilihat telah diketepikan dari barisan kabinet yang baru ini. Ini menjadikan beliau sebagai Ketua Pemuda pertama yang tidak tersenarai dalam barisan kabinet. Ketua Puteri baru, Dato' Rosnah Rashid Sirlin telah dilantik menjadi Timbalan Menteri Kesihatan. Naib Ketua Pemuda UMNO, Dato' Razali pula dilantik menjadi Timbalan Menteri Belia Dan Sukan. Satu lagi kejutan yang berlaku dalam senarai barisan kabinet baru ini adalah perlantikan Ahli Parlimen Jerlun, Dato' Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Menteri Perdagangan. Dalam Pemilihan Agung UMNO yang lepas, Dato' Mukhriz telah tewas di tempat ketiga dalam perebutan tiga penjuru jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Walau apapun, tahniah dan syabas diucapkan kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh barisan kabinet yang baru dilantik. Seluruh rakyat Malaysia pastinya akan sentiasa menilai dan memerhatikan prestasi setiap pemimpin yang telah dipilih. Diharap kepimpinan barisan kabinet baru ini dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik, amanah, telus dan penuh dedikasi. Pastikan kepentingan rakyat dan negara menjadi keutamaan, bukan kepentingan peribadi.
Show Comments: OR

3 ulasan:

  1. http://pkrpasdap.blogspot.com

    selamat berjuang....dan selamat bertugas...kabinet BN..



    nik aziz umum
    YB Encik Nga Kor Ming
    EXCO Kerajaan Negeri Perak
    (Bawah pokok kerajaan haram..)
    sebagai Menteri Agama PAS...

    BalasPadam
  2. abe MIE 'TERJAH'

    Dalam banyak perkara saya tidak dapat menilai secara tepat kerana tidak cukup maklumat namun pada ulasan abe MIE 'TERJAH' 2009 APRIL 9 20:30, saya yakin ianya adalah satu FITNAH.

    Berhati-hati apabila menulis. Sebelum jari-jari menekan keyboard, fikirkan dahulu baik atau buruk. Jika baik teruskan dan jika tidak, berhenti. Manusia macam kita, hidup dalam zaman sebegini, dosa yang tidak sengaja sahaja pun mungkin sudah tidak tertanggung. janganlah pula berusaha menambahkan dengan yang sengaja.

    BalasPadam
  3. Salam Ziarah

    Khairy menyeru semua ahli pemuda memberikan sokongan padu kepada YAB Perdana Menteri

    Satu pertemuan dan majlis ringkas minum pagi telah diadakan pagi tadi di mana YB Khairy Jamaluddin telah menjemput penyokong beliau dan juga Exco Pemuda UMNO Malaysia untuk bersama beliau bagi bertukar pendapat dan mendengar pandangan dari ahli-ahli Pemuda. Dalam ucapan ringkas YB Khairy telah menjelaskan kedudukan sebenar dan menyeru agar semua penyokong beliau untuk menerima keputusan Kabinet dan membantu beliau untuk melaksanakan kerja parti yang telah di amanahkan oleh Perdana Menteri. Beliau juga menyeru agar ahli UMNO tidak melabelkan diri mereka sebagai orang-orang pemimpin pemuda tertentu dan perlu membuang anggapan berkenaan kerana semuanya adalah Pemuda UMNO . Mereka mesti bersatu dengan semangat setiakawan sebagai Pemuda UMNO dibawah satu payung.

    YB KJ juga menyeru agar semua ahli Pemuda UMNO untuk memberikan sokongan padu kepada YAB Datuk Seri Najib Tun Razak Perdana Menteri Malaysia kerana beliau juga selaku Ketua Pemuda UMNO Malaysia akan terus setia dan memberikan sokongan yang padu kepada YAB Perdana Menteri. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada yang telah membantu dan menyokong beliau semasa pemilihan dahulu dan baliau benar-benar berharap semua penyokong beliau jangan merasa kecewa… Meminjam kata-kata Ali Rustam , Dunia Belum Kiamat, Esok Masih Ada.

    Beliau juga mengucapkan Syabas kepada dua pemimpin pemuda yang telah dipilih sebagai Timbalan Menteri dan beliau amat berbangga kerana pemuda diwakili oleh dua orang Timbalan Menteri. Beliau berkata , beliau sebenarnya tidak meletakkan harapan untuk menjawat jawatan dalam kerajaan ketika bertanding untuk merebut kerusi Ketua pemuda UMNO dan kerana itu beliau tidak merasa kecewa apabila dipanggil oleh Perdana Menteri sehari sebelum penamaan senarai kabinet.

    Pemuda akan menjadi sebuah pertubuhan yang tidak terikat dan bebas untuk menyuarakan apa juga permasalahan yang diperjuangkan kerana beliau tidak terikat didalam kerajaan dan beliau berharap Pemuda akan menjadi sebuah sayap yang digeruni oleh kawan dan lawan seperti di zaman Datuk Harun Idris dahulu. Untuk mencapai matlamat ini pemuda perlu bersatu dan memupukan semangat setiakawan. Beliau juga berharap agar semua yang hadir untuk menyampaikan apa yang telah beliau nyatakan dan berharap semua ahli Pemuda memahami akan pendirian beliau .

    Salam Setiakawan

    BJ

    BalasPadam









Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE