Isnin, 20 April 2009

Masa untuk nakhoda bahtera PAS bertukar tangan...

Pertembungan yang dijangka akan berlaku dalam menentukan kepimpinan tertinggi parti PAS yang juga merupakan parti orang Melayu kedua terbesar agak menarik perhatian untuk diperbincangkan. Berdasarkan senario politik semasa yang penuh dengan keputusan luar jangkaan menggambarkan akan berlaku juga perubahan atau tranformasi dalam PAS. Kemelut yang sedang melanda PAS walaupun hakikatnya cuba disimpan dan disembunyikan dari publisiti namun ia tetap dapat dihidu.

Umum sudah mula mengetahui bahawa wujudnya dua puak utama dalam PAS. Puak pertama adalah dari kumpulan yang menyokong permuafakatan antara PAS dan UMNO yang dikepalai oleh Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang. Manakala puak kedua pula merupakan kumpulan yang menentang sebarang cadangan atau usaha untuk bermuafakat dengan UMNO yang mana ianya dikepalai oleh pemimpin yang menggelar dirinya nakhoda tunggal banhtera PAS, Tuan Guru Nik Aziz.

Bagi saya sudah tiba masanya untuk Tuan Guru Nik Aziz melabuhkan sauh bahteranya dan diserahkan kepada nakhoda lain. Pertama, berpandukan faktor usia sudah menunjukkan bahawa Nik Aziz sudah tidak relevan lagi dengan perjuangan PAS sekarang. Ditambah dengan keadaan kesihatan fizikal yang kurang mengizinkan dan membataskan komitmen Nik Aziz terhadap kepimpinan. Sudah ramai pemimpin yang seusia dan sezaman dengan Nik Aziz yang telah mengambil keputusan untuk bersara dan berehat dari terus berkecimpung dalam dunia politik.

Kedua, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Aziz kebelakangan ini dilihat telah menyeleweng dan telah mengguris hati banyak pihak. Seingat saya, bermula dengan pengkafiran orang-orang UMNO, menuduh tuhan itu mencarut dan samseng, mengeluarkan fatwa sendiri kononnya penyokong PAS terjamin akan masuk syurga, terbaru membenarkan orang kafir menggunakan dan mempermainkan kalimah suci Allah dan beberapa lagi kenyataan lain. Adakah semata-mata Nik aziz hendak menegakkan benang yang basah dan melindungi kemungkaran yang dilakukan puak yang bersekongkol, maka Nik Aziz sanggup menggunkan kedudukannya sebagai Tuan Guru untuk membenarkan dan menghalalkan segala yang nyata akan kemungkarannya? Bagi menghindarkan diri Nik Aziz dari terus bergelumang dengan dosa politik dan terus merendahkan martabat Nik Aziz sebagai Tuan Guru maka sudah tiba masanya untuk Nik Aziz berundur dari kedudukannya sebagai Mursydul Am dan berhenti dari terus mengeluarkan kenyataan songsang.

Ketiga, Islam hakikatnya menggalakkan seluruh umatnya agar sentiasa bermuafakat dan hidup bersatu padu. Walaupun berbeza pendapat dan ideologi fahaman, Islam menyuruh umatnya agar mencari titik pertemuan yang menjadi asas sebagai permulaan ke arah permuafakatan. Tindakan Nik Aziz yang secara total menolak mentah-mentah sebarang cadangan atau usaha untuk bermuafakat adalah amat mengecewakan. Ini disebabkan sudah tersemat dalam hati dan minda yang menuduh bahawa UMNO itu kafir membuatkan pintu permuafakatan terus tertutup rapat. Paling menyedihkan bila mana Nik Aziz lebih rela bermuafakat dengan DAP yang jelas menolak akidah dan prinsip keislaman daripada bermuafakat dengan sesama Islam dari UMNO. Adakah ini ciri pemimpin yang didambakan oleh penyokong PAS fanatik yang mana jelas menolak akan perpaduan?

Keempat, tidak dinafikan bahawa kebelakangan ini jelas ada usaha untuk menjatuhkan Tuan Guru Nik Aziz dari dalam PAS sendiri. Tindakan kepimpinan PAS yang terus mencalonkan Nizar untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang walaupun pada awalnya tidak dipersetujui oleh Nik Aziz jelas menggambarkan betapa kepimpinan PAS kini sudah tidak memerlukan khidmat dan pendapat dari Nik Aziz lagi. Mereka sudah mula berani untuk menetang cadangan yang dikemukakan oleh Mursyidul Am Pas itu. Bertitik tolak pada hal ini maka Nik Aziz perlu sedar dan insaf bahawa sudah tiba masanya untuknya berundur dan memberi laluan kepada muka baru yang lebih terbuka pemikirannya.

Suka untuk saya ulangi bahawa sudah tiba masanya untuk Tuan Guru Nik Aziz berundur secara terhormat dan bermaruah dari kedudukannya sekarang selaku Mursyidul Am Pas. Ura-ura kononnya ada cadangan untuk menamakan Ustaz Haroon Din bagi menggantikan Tuan Guru Nik Aziz dilihat satu cadangan yang baik dan bernas. Umum sudah ketahui dan mengenali akan kemampuan dan kredibiliti Ustaz Haroon Din baik sebagai tokoh agama mahupun sebagai pengamal perubatan terkenal. Sememangnya beliau memang layak untuk menggantikan kedudukan Nik Aziz.
Show Comments: OR

2 ulasan:









Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE