Advertisement - Contact Us

4 anjakan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan sektor awam.

Perdana Menteri Malaysia telah menyenaraikan 4 anjakan paradigma ke arah modenisasi yang perlu dilaksanakan oleh sektor perkhidmatan awam bagi mencapai kejayaan di alaf baru yang serba mencabar. Anjakan ini dilihat penting bertujuan untuk meningkatkan prestasi dan meletakkan sektor awam ini di kedudukan terbaik. Bersesuaian dengan matlamat One Malaysia yang diperkenalkan oleh PM, serta sasaran kerajaan untuk mencapai negara maju pada tahun 2020 maka sektor awam perlu melakukan satu anjakan positif memandangkan sektor awam ini merupakan nadi dan tulang belakang kerajaan dalam menetukan keberkesanan perlaksanaan sesuatu dasar yang diwujudkan oleh kerajaan.

Anjakan pertama yang digariskan oleh mamanda Perdana Menteri adalah melakukan perubahan daripada ketegaran kepada keanjalan. Ini penting sebagai satu suntikan atau pemudah cara kepada sektor swasta untuk meningkatkan prestasi bertepatan dengan peranan yang dimainkan oleh swasta yang juga merupakan penyumbang dan penentu kejayaan serta peningkatan ekonomi negara. Ini secara tak langsung dapat menyumbang semula kepada sektor awam hasil daripada peningkatan prestasi dan produktiviti sektor swasta melalui cukai korporat bilamana keanjalan atau peluang pelbagai cara dapat diterapkan dalam sektor perkhidmatan awam.

Anjakan kedua pula adalah perlunya peralihan daripada budaya out put dan perbelanjaan atau kesan nyata semata-mata, kepada mementingkan keberhasilan secara holistik. Sektor perkhidmatan awam perlu mengkaji dan meneliti sesuatu perlaksanaan agar lebih berkesan dan dapat menyumbang semula secara maksimum, bukannya pembaziran semata-mata. Perbelanjaan atau peruntukan yang digunakan bukan saja perlu secara berhemah tetapi kena pada tempat, masa dan ketika di samping dapat memberi kesan secara menyeluruh. Sebagai contoh, pembinaan klinik kesihatan dan hospital terutama di kawasan luar bandar bukan sahaja perlu ditingkatkan dari segi kuantiti malah kualiti perkhimatan yang diberikan perlu juga sejajar dan sentiasa berada pada tahap terbaik.

Anjakan ketiga adalah perubahan daripada birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang memudah cara serta menyenangkan rakyat. ISO atau pemantauan perkhidmatan perlu dipertingkatkan kualitinya dan keberkesanannya bagi memastikan sistem yang diguna pakai sentiasa relevan dengan kehendak semasa. Sektor perkhidmatan awam perlu sentiasa mengkaji kaedah 'memperturunkan kuasa' atau memberi mandat kepada orang bawahan yang layak dan sesuai terutama melibatkan prosedur-prosedur yang kurang penting di bawah pengawasan. Ini sekaligus dapat mendidik sifat kebertanggungjawaban dan mewujudkan rasa dihargai dalam diri setiap penjawat awam yang diberi peranan. Setidak-tidaknya ia dapat mengurangkan karenah birokrasi yang sentiasa membelenggu perkhidmatan awam.

Manakala anjakan keempat yang digariskan oleh Dato' Seri Najib adalah sektor awam perlu beralih daripada hanya menekankan soal produktiviti kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan inovasi. Bersesuaian dengan faktor kehendak semasa dan arus globalisasi yang maha mencabar kini, setiap pihak di dalam sektor perkhidmatan awam perlu diterapkan dan dipupuk dengan ketiga-tiga kretiria di atas. Hakikatnya sekarang kuantiti bukan lagi faktor penting dalam menentukan kejayaan sesuatu organisasi tetapi kualiti yang dapat dibentuk terutama melibatkan elemen-elemen positif mampu melonjakkan tahap dan prestasi sesuatu struktur menjadi lebih baik.

Dengan erti kata lain, jika sektor perkhidmatan awam mampu merealisasikan anjakan yang digariskan oleh Perdana Menteri ini maka sasaran One Malaysia dan Wawasan 2020 akan mampu dicapai dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. Apa yang penting, semua pihak perlu memainkan peranan dengan berkesan agar anjakan ini mampu menjadi realiti.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama