Rabu, 11 Mac 2009

UMNO mesti jaga kepentingan Melayu. - Bernama


"KUALA LUMPUR 10 Mac - UMNO mesti berperanan sebagai sebuah parti yang dilihat benar-benar mengetengahkan kepentingan bangsa Melayu terutama dari segi penguasaan ekonomi.

Calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim percaya, kesungguhan UMNO sebagai tulang belakang Barisan Nasional (BN) memperjuangkan nasib Melayu akan menjadikan parti itu kuat dan diterima oleh rakyat.

Sambil menolak kenyataannya itu boleh mengundang pergeseran di antara kaum-kaum di Malaysia, beliau menegaskan, kegagalan UMNO berbuat demikian menyebabkan bangsa Melayu mencari alternatif walaupun parti lain yang dipilih itu belum diketahui kekuatan sebenarnya.

''Saya percaya UMNO sebuah parti yang kuat. Sebagai tulang belakang BN, UMNO mesti memperjuangkan kepentingan Melayu terutama dari sudut ekonomi.

''Jika orang Melayu di negara ini jumlahnya hampir 60 peratus maka UMNO kena pastikan penguasaan ekonomi bangsa Melayu adalah sekurang-kurangnya di tahap 50 peratus,' katanya ketika menjadi tetamu rancangan Hujah TV9 di sini malam ini.

Program tersebut turut menampilkan seorang lagi calon Naib Presiden, Datuk Mohd. Shafie Apdal, dan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Mohamad Agus Yusuf bertindak sebagai perantara.

Menyentuh mengenai kerenah pakatan pembangkang di Perak, Mohd. Shafie pula berkata, adalah jelas pembangkang cuba mengalih tumpuan rakyat dengan mengetengahkan kes-kes yang tidak relevan sebagai rujukan.

Katanya, kes di Perak cukup kuat untuk menunjukkan bahawa apa yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan Speaker Dewan Undangan Negeri itu, V. Sivakumar menyanggahi undang-undang.

Katanya, pakatan pembangkang cuba bertuankan undang-undang yang salah dan pada masa yang sama mengelirukan rakyat supaya kerajaan negeri yang sudah tidak wujud lagi itu mendapat pengiktirafan."
- Bernama

Rakyat Malaysia sebenarnya kurang faham tentang perjuangan yang diterapkan oleh UMNO yang mana ianya banyak menekankan tentang ketuanan dan hak keistimewaan orang Melayu. Apatah lagi ditambah dengan provokasi yang dilemparkan oleh golongan pembangkang yang cuba memberi persepsi negatif tentang perjuangan UMNO selama ini. Memang benar UMNO berkonsepkan kemelayuan dan menitik beratkan perjuangan Melayu. Tetapi ini tidak beerti UMNO menolak atau meminggirkan hak-hak bangsa lain walaupun kedudukan bangsa lain itu hanyalah golongan minoriti.

UMNO melalui Barisan Nasional cuba untuk memastikan keseimbangan antara kaum dalam semua hal samada ekonomi, pembangunan, sosial dan lain-lain. Ini bertujuan untuk memastikan tidak ada kaum yang ketinggalan dan terpinggir dalam mengharungi arus global yang serba mencabar. Bezanya cuma UMNO menumpukan perhatian kepada perkembangan orang-orang Melayu secara khusus tanpa menafikan hak dan peluang kaum lain. Tidak timbul soal ketidak adilan atau berat sebelah kerana di dalam Barisan Nasional dan kerajaan sendiri, sudah ada parti komponen yang lain seperti MCA, MIC, PPP, Gerakan dan lain-lain yang menjaga dan membela kepentingan kaum masing-masing. Oleh itu, setiap cadangan atau dasar yang hendak diperkenalkan, ia perlu mendapat persetujuan dari komponen yang lain.

Kita sebagai rakyat Malaysia harus sedar dan sentiasa bersyukur kerana sejak tahun 1969, yakni sejak tragedi berdarah 13 Mei, kerajaan mulai sedar dan belajar dari pengalaman terutama melibatkan isu sensitif antara kaum. Jika diimbas kembali punca peristiwa 13 Mei ini adalah disebabkan rasa ketidak puasan hati yang wujud di kalangan kaum-kaum utama di Malaysia yang melihat perkembangan tidak sekata antara kaum. Bermula dari situ maka timbul cadangan-cadangan dan dasar-dasar yang baru seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Rancangan Malaysia 1 hingga 8 dan lain-lain yang mana ianya memastikan semua kaum tidak rasa terpinggir dan keharmonian hubungan antara kaum sentisa terjaga.

Kini setelah 50 tahun kemerdekaan, dan setelah semua rakyat hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu padu dan mampu bertolak ansur dalam semua hal, tiba-tiba wujud satu golongan yang mendakwa diri mereka sebagai pembela rakyat, penegak keadilan dan macam-macam lagi yang cuba mempertikaikan banyak perkara yang telah termaktub dalam perlembagaan selama ini yang telah dipersetujui bersama. Mereka cuba mengungkit kembali sentimen perkauman yang selama ini dipupuk dengan baik. Mereka cuba mewujudkan dasar yang baru dan cuba menyamatarakan kedudukan semua kaum di Malaysia dan menolak konsep parti berasaskan kaum yang selama ini telah digunapakai dengan baik. Kononnya ini bertujuan untuk memastikan semua kaum mendapat hak yang sama tara dalam semua hal.

Ini semua sebenarnya hanyalah retorik dan mainan politik pembangkang semata-mata. Jika dilihat secara umum tanpa kajian terperinci, memang dasar yang cuba diperkenalkan ini dilihat adil dan saksama. Tetapi kita harus menilai semula adakah kita mamapu melaksanakannya dengan sempurna? Sedangkan dalam suasana yang berasaskan DEB ini sendiri pun masih gagal menyeimbangkan kedudukan antara kaum yang mana jelas ekonomi masih dimonopoli oleh kaum tertentu. Penglibatan orang Melayu dalam ekonomi sendiri masih rendah dan belum mencapai sasaran yakni 30%. Jadi jika dihapuskan DEB ini maka orang Melayu akan kembali ke asal dan akan wujud jurang yang besar antara kaum. Bukan mudah untuk orang Melayu bersaing sendirian tanpa sokongan pihak kerajaan.

Jika matlamat pembangkang menjadi kenyataan maka tidak mustahil negara Malaysia bakal menghadapi sekali lagi tragedi 13 Mei. Keharmonian yang selama ini dipupuk akan terlerai begitu sahaja. Orang Melayu akan kembali ke asal sebagai petani kuno dan nelayan kampung. Mungkin inilah yang mahu dilihat oleh Pakatan Rakyat jika ditakdirkan mereka berkuasa. Jika benar konsep ketuanan dan hak orang Melayu dihapuskan maka tidak mustahillah bangsa Melayu bakal menjadi penumpang di bumi sendiri.
Show Comments: OR

0 comments:

Catat Ulasan









Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE