Khamis, 12 Mac 2009

Tindakan Keluar Dewan Dikecam. - Utusan Online

Wajah sebenar Pakatan Rakyat kini kian terbuka sedikit demi sedikit. Apa yang ditunjukkan dan ditonjolkan oleh mereka sejak kebelakangan ini mula mencerminkan diri mereka yang sebenar. Matlamat perjuangan yang sebelum ini dilaungkan saban hari mulai menjadi indah khabar dari rupa. Prinsip keadilan untuk rakyat yang kononnya diperjuangkan bukan lagi menjadi agenda utama mereka. Apa yang dikejar oleh mereka sekarang hanyalah kedudukan, kuasa, nama dan publisiti murahan. Bukan lagi soal kebajikan rakyat, hak rakyat, usaha memulihkan ekonomi, kemajuan dan pembangunan negara dan rakyat dan seumpama dengannya yang menjadi keutamaan Pakatan Rakyat. Kalau ada disebutkan pun ia hanyalah bertujuan sebagai mainan politik yang tidak membawa sebarang kebaikan dan faedah dan hanyalah sebagai sumber kritikan dan komplen yang tak sudah.

Terbaru adalah tindakan sebahagian besar Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang keluar dari dewan Rakyat sewaktu pembentangan Bajet Mini dibaca oleh Menteri Kewangan. Kenapa mereka perlu bertindak sedemikian rupa? Adakah Pakatan Rakyat sudah tidak berminat lagi dengan soal ekonomi negara? Tindakan mereka sebenarnya mencerminkan sikap mereka mulai terpesong dari landasan dan peranan serta tanggungjawab mereka selaku Barisan Pembangkang yang telah dipilih oleh rakyat. Memang tidak dinafikan tugas pembangkang sudah tentu membangkang dan mencari kelemahan dalam setiap tindakan dan dasar yang cuba diperkenalkan oleh kerajaan. Namun, untuk menjadi pembangkang yang baik dan berhemah, setidak-tidaknya mereka perlu mendengar sebelum sesuatu penilaian diambil. Bukannya menolak mentah-mentah sebelum sesuatu hujah diperdengarkan.

"KUALA LUMPUR 11 Mac - Beberapa Ahli Parlimen mengecam tindakan wakil pembangkang khususnya daripada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana bertindak keluar Dewan Rakyat sewaktu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan pakej rangsangan ekonomi kedua atau bajet mini semalam.

Menurut mereka, tindakan itu menyerlahkan wajah sebenar pembangkang yang tidak berminat menjadi pembangkang yang membina, sebaliknya hanya mahu mendapatkan kuasa tanpa memikirkan kepentingan negara.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, tindakan pembangkang keluar dewan sewaktu pembentangan bajet mini yang amat penting membantu negara mengharungi kemelesetan ekonomi global perlu dinilai oleh rakyat.

''Saya amat kecewa dengan sikap mereka, wakil Pas hanya ada seorang manakala PKR pula tiga orang.

''Ini berbeza dengan wakil DAP yang majoritinya berada dalam dewan, ini menunjukkan DAP lebih prihatin dan berminat untuk mengetahui ke mana setiap sen wang rakyat dibelanjakan kerajaan,'' katanya kepada Utusan Malaysia, di Parlimen hari ini.

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) berkata, tindakan itu adalah modus operandi biasa pembangkang untuk mewujudkan persepsi di kalangan rakyat bahawa apa jua yang dilakukan kerajaan tidak betul.

Katanya, tindakan itu tidak menghairankan kerana pembangkang sudah tentu tidak mahu hilang pengaruh jika mengakui tindakan kerajaan adalah betul.

''Mungkin juga mereka terkejut dengan bajet mini itu kerana fokusnya berada pada landasan yang betul, sebab itu hari ini perbahasan mereka tidak begitu tertumpu kepada mini bajet,'' katanya.

Sementara itu, Dr. Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) berkata, tindakan itu sememangnya dirancang lebih awal dan ia diakui oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, mereka mungkin tidak menyangka kerajaan mampu menyediakan RM60 bilion kerana maklumat awal mengatakan nilai bajet mini itu hanyalah RM10 bilion.

''Mereka keluar kerana menyangka kerajaan tidak mampu melaksanakan pakej rangsangan ekonomi kedua dan membuat bising kononnya jumlah RM10 bilion itu tidak mencukupi.

''Pembangkang kata peruntukan mestilah sekurang-kurangnya RM35 bilion dan akhirnya mereka terkejut besar apabila nilainya ialah RM60 bilion,'' katanya.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata, pembangkang tersilap langkah kerana tidak menyertai pembentangan bajet mini yang cukup penting.

''Saya kira mereka tidak menjangka peruntukan yang diumum Timbalan Perdana Menteri adalah luar biasa sebanyak RM60 bilion untuk menjana ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat.

''Bagaimanapun mereka boleh membahaskan cadangan-cadangan jika ada untuk menambah baik bajet mini termasuk sistem penyampaian dan pelaksanaan agar lebih cekap dan berkesan... kerajaan sedia mendengar,'' katanya."
- Utusan Online

Mungkin benar kenyataan yang dikeluarkan oleh Pak Lah yang berpendapat bahawa Pakatan Rakyat lebih berminat berkenaan isu-isu politik dan dipolitikkan. Bagi mereka, soal memulihkan ekonomi adalah masalah kerajaan dan ia perlu diselesaikan sepenuhnya oleh kerajaan. Atau mungkin mereka berasa kecewa dengan kemampuan kerajaan yang telah memberi satu kejutan yang positif dengan memberi suntikan sebanyak RM60 bilion sebagai ransangan untuk memastikan ekonomi Malaysia terus bertahan walaupun impak kejatuhan ekonomi dunia amat dirasai. Dalam masa yang sama, Pakatan Rakyat lebih berminat untuk menanam pokok demokrasi kononnya yang langsung tidak membawa sebarang value kepada negara dan rakyat dan tidak lebih hanyalah untuk menarik perhatian dan simpati rakyat kepada mereka.

Beberapa respon yang diberikan oleh pemimipin Pakatan Rakyat ketika ditanyakan komen mereka berhubung Bajet Mini yang dibentangkan juga menunjukkan mereka mula rasa tergugat dan terancam dengan peranan yang telah dimainkan dan tanggungjawab yang cuba ditunaikan kerajaan demi untuk rakyat dan negara. Lim Guan Eng mempertikaikan pemberian RM60 bilion yang dilihatnya masih belum mencukupi dan sasarannya adalah RM100 bilion. PAS pula berpendapat bahawa Bajet Mini ini tidak akan ke mana selagi ketirisan dan pembaziran tidak dapat dikawal. Manakala Anwar masih terdiam mencari alasan yang sesuai yang menunjukkan kelemahan Bajet Mini walhal pada masa yang sama peranannya selaku ketua pembangkang dan bekas Menteri Kewangan masih diawang-awangan.
Show Comments: OR

0 comments:

Catat Ulasan









Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE