Advertisement - Contact Us

Rasuah : Nyah Kau Dari UMNO !!!

Syabas SPRM dan syabas Lembaga Tatatertib UMNO. Inilah ungkapan yang paling layak untuk saya ucapkan kepada kedua-dua suruhanjaya di atas. Walaupun hakikatnya saya sedih dan terkilan dengan perkembangan yang cukup mengecewakan apabila satu persatu salah laku, politik wang dan salah guna kuasa di dalam kerajaan dan UMNO didedahkan. Mungkin inilah realitinya dalam politik. Mungkin disebabkan terlalu lama memegang tampuk pemerintahan negara, maka timbul sifat tamak haloba, bongkak dan besar kepala hingga sanggup melakukan apa saja termasuk mengenepikan prinsip pemerintahan berlandaskan agama Islam dan memandang undang-undang hanya dengan sebelah mata.

Bermula dengan pendedahan penggunaan politik wang dalam pemilihan peringkat Bahagian, kemudian timbul kes rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam Kementerian Pelancongan hingga membabitkan jumlah yang boleh dikatakan besar pegawai atasan dalam Kemeterian Pelancongan yang terlibat, penglibatan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria yang dikatakan menggunakan wang bagi mempengaruhi perwakilan supaya memilihnya dalam Pemilihan Agung UMNO nanti dan terbaru pendedahan Tengku Ahmad Rithaudden yang akan memulakan kertas siasatan melibatkan beberapa nama besar yang bakal bertanding nanti. Semua ini seperti membuktikan betapa pincangnya keadaan politik dalam kerajaan dan UMNO.

Adakah mereka yang terlibat ini sudah lupa bagaimana UMNO dan BN hampir tumbang dan dimalukan dalam keadaan yang cukup hina sewaktu PRU 12 tempoh hari? Adakah mereka lupa bagaimana rakyat bangkit dengan menunjukkan protes mereka melalui peti undi setelah rasa kecewa dan tertipu dengan perkembangan negatif politik UMNO dan BN? Dan hingga kini rakyat terus protes apabila memberi kemenangan dalam kedua-dua PRK yang baru berlalu.

Apapun sekali lagi saya ucapkan syabas kepada SPRM dan Lembaga Tatatertib UMNO. Rakyat sentiasa menyokong peranan dan tanggungjawab serta tugas yang dilaksanakan oleh kedua-dua suruhanjaya ini. Asalkan prinsip jujur, amanah dan telus terus menjadi pegangan dalam usaha membongkar segala aktiviti negatif yang berlaku baik dalam kerajaan mahupun diluar kerajaan. Sekurang-kurangnya dengan pendedahan dan ketelusan yang sedang diamalkan sekarang membuatkan pihak yang bercadang untuk terlibat atau melibatkan diri dengan aktiviti negatif ini akan berfikir bekali-kali.

Kedua, kita tidak mahu pemimpin yang bakal memimpin parti nanti terdiri dari kalangan yang tidak amanah, pembelot parti, gila kuasa dan dari golongan yang bangsat. Kita harus sedar bahawa tidak mustahil satu hari nanti UMNO selaku parti yang telah banyak menabur jasa kepada bangsa Melayu dan negara akan terkubur begitu sahaja akibat dan berpunca dari kepimpinan yang terdiri dari golongan negatif ini.

Seperkara lagi, kepada pihak yang ingin dan terdesak untuk melihat UMNO dan BN terkubur sekurang-kurangnya bertindaklah secara yang lebih gentle dan bermaruah. Jangan pula seperti membaling batu sembunyi tangan. Jika ada perkara yang menimbulkan ketidakpuasan hati, gunakanlah saluran yang betul untuk bertindak. Bukannya menabur fitnah, mengadu domba dan menyebar khabar angin tanpa ada hala tujuan. Sebarang tuduhan atau laporan yang hendak dibuat perlulah disertakan dengan bukti yang sahih dan lengkap. Bukannya main hentam keromo semata mata mengharapkan perhatian pihak lain.

SPRM pastinya bertindak berdasarkan laporan dan bukti yang cukup sebelum boleh menyabitkan sesuatu pihak itu samada benar-benar terlibat atau tidak. Ini kerana ia melibatkan maruah dan keaiban pihak yang dituduh. Tindakan segelintir pihak terutama dari kalangan pembangkang yang memprotes ketelusan SPRM kononnya SPRM tidak mengambil tindakan di atas beberapa laporan yang mengaitkan nama-nama besar adalah tidak patut sama sekali. SPRM pastinya akan bertindak walaupun melibatkan Perdana Menteri sekalipun jika laporan yang diterima lengkap dengan bukti yang benar-banar kukuh. Adalah tidak wajar untuk SPRM mengambil tindakan jika laporan yang dibuat adalah berdasarkan cakap orang, spekulasi, kemungkinan dan asas lain yang langsung tidak ada kekukuhannya.

Apapun, saya sebagai seorang ahli UMNO setia yang sentiasa ingin melihat UMNO terus relevan dan kekal diterima rakyat berharap agar dihapuskan terus unsur dan aktiviti negatif yang berlaku dalam parti. Masing-masing perlu memainkan peranan sebaik mungkin agar tidak terlibat dengan rasuah dan politik wang. Jika tidak ada orang yang meminta pasti tidak ada pihak yang memberi. Marilah sama-sama kita hapuskan budaya politik wang ini dari terus menjadi kudis yang bernanah dalam UMNO.

2 Ulasan

  1. Ini lah yang dikatakan UMNO yang BERANI

    BalasPadam
  2. Tahniah SPRM. Saya sayangkan UMNO. Pemimpin UMNO yg korupsi, perlu keluar dari perjuangan UMNO. Tapis...tapis pemimpin yg korupsi, & tinggalkan pemimpin ygbenar2 B.C.A (bersih, cekap, amanah)

    BalasPadam
Terbaru Lebih lama