Advertisement - Contact Us

Rapatkan semula barisan Pemuda UMNO. - KJ Ketua Pemuda UMNO Malaysia

Syabas dan tahniah kepada Khairy Jamaluddin kerana berjaya mendapatkan kepercayaan dari majoriti perwakilan Pemuda yang hadir dan akhirnya dinobatkan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia bagi tahun 2008/2011. Dengan kemenangan ini maka Khairy sekaligus berjaya menutup mulut segelintir pihak yang sebelum ini mendakwa Khairy tidak layak menjadi pemimpin UMNO, karier Khairy akan berakhir seiring dengan pengunduran pak Lah dan ada juga yang mengatakan kononnya Khairy hanyalah liabiliti kepada Pemuda dan UMNO.

Khairy juga berjaya membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa dia merupakan aset penting dalam UMNO dalam menentukan hala tuju Pemuda dan beliau juga membuktikan bahawa beliau masih relevan dan masih diperlukan oleh UMNO dalam usaha untuk mengembalikan keyakinan golongan muda agar kembali kepada perjuangan UMNO yang sebenar. Jika ada pihak yang mengatakan bahawa kejayaan Khairy sebelum ini yang dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda adalah kejayaan nasib memandangkan beliau ketika itu tidak dicabar oleh mana-mana pihak ditambah dakwaan kononnya kejayaan Khairy ketika itu mendapat restu ayahanda mertuanya, namun kini senarionya jelas berbeza. Khairy telah membuktikan kejayaannya adalah kerana kekuatan dirinya sendiri dan kemampuannya untuk mendapatkan mandat dan kepercayaan dari perwakilan Pemuda yang lain untuk memilih beliau dalam undian yang menyaksikan pertandingan 3 penjuru.

Kejayaan Khairy memang tepat pada masanya. Di saat UMNO dan Pemuda memerlukan dan amat dahagakan seorang pemimpin yang berani, kuat dan berkeyakinan untuk membawa semula generasi muda yang mana sekarang ini dilihat semakin menjauhi dari UMNO. Maka, pemimpin yang paling layak, yang datang dari kalangan orang muda juga, yang berdarah perjuangan dan bersemangat waja, menjadi simbol dan idola golongan muda, mempunyai cambahan idea yang bernas dan berwawasan dan mampu membawa dan menggerak generasi muda menjadi satu kumpulan di bawah nama semangat setiakawan, maka Khairylah calon dan pemimpin yang paling layak dan memenuhi ciri-ciri serta aspirasi Pemuda.

"KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang baru Khairy Jamaluddin berkata perkara penting selepas berlakunya pertandingan dalam pergerakan itu ialah merapatkan barisan demi menghadapi pembangkang selain memperjuangkan bangsa, agama dan negara.

Khairy yang dipilih ketua pergerakan itu selepas memperoleh 304 undi mengatasi dua calon lain iaitu Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Tun Mahathir turut mengingatkan mereka yang menang dalam pertandingan itu bukanlah menang semua manakala yang kalah bukanlah kalah semua.

"Pertandingan ini mencatatkan sejarah pemilihan Pemuda Umno yang berlangsung dengan semangat demokrasi yang cukup tinggi dan matang. Ini tidak bermakna yang tidak bersama saya akan dipinggirkan, semangat setiakawan akan dijadikan asas selepas pemilihan.

"Oleh itu, perkara yang paling penting selepas pertandingan cukup hebat ialah rapatkan barisan selepas bertanding," katanya semasa menggulung perbahasan persidangan perwakilan Pemuda Umno di sini hari ini selepas diumumkan sebagai Ketua Pemuda Umno yang baru.

Khairy mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang melepaskan jawatan itu untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno.

Anggota Parlimen Rembau itu berkata walaupun semasa bertanding pelbagai moto yang digunakan iaitu `setiakawan', "Pemuda Berani" dan "Berani Berubah", hari ini Pemuda Umno ialah pemuda yang berani menuntut perubahan demi setiakawan di dalam pergerakan itu.

"Oleh itu saya merayu pemuda berani berdirilah bersama saya semasa menghadapi pembangkang. Kepada berani berubah, apabila kita memikul amanat yang diberi kepada kita seperti yang dituntut Timbalan Presiden, tuan-tuan mesti bersama saya untuk mengubah parti Umno ini," katanya.

Khairy juga berkata bagi penyokongnya yang menggunakan moto setiakawan, beliau kini kembali kepada perjuangan asal Umno walaupun pada satu ketika dahulu beliau dianggap tidak lagi mempunya masa depan dengan pengunduran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi daripada jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri, malah pencalonannya untuk jawatan tersebut 'hanya nyawa-nyawa ikan'.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memilihnya dan mengucapkan syukur atas kemenangannya, beliau berkata undi sebanyak 304 yang diterimanya bukanlah satu majoriti kerana ia berpecah kepada tiga daripada jumlah keseluruhan 793 undi.

"Bagaimana calon bukan pilihan menang? Adakah wang yang menentukan keputusan ini,? jerit seorang penyokong yang marah, kemungkinannya anggota kumpulan calon yang tewas.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Mohamed Mustaffa Ishak, yang sebelum ini meramalkan Khairy mungkin pilihan anggota perwakilan, percaya kedudukannya sebagai Naib Ketua Pemuda membolehkannya menemui anggota akar umbi berbanding dengan dua calon lawannya.

"Maka, beliau boleh menggerakkan dan memanfaatkan hubungan dan jentera untuk kebaikannya," katanya.

Bagaimanapun, Prof Madya Dr Mohamed Mustaffa mengingatkan Khairy akan pandangan umum bahawa beliau tidak dialu-alukan sebagai Ketua Pemuda pada ketika ini.

Khairy perlu membuktikan pandangan negatif terhadapnya tidak benar dengan menjadikan dirinya sebagai pemimpin yang berwibawa dan keluar daripada bayang-bayang Abdullah.

Shahrizat memperoleh 507 undi berbanding penyandang Tan Sri Rafidah Aziz yang hanya mendapat 280 undi.

Dr Mohamed Mustaffa pula percaya faktor Rafidah yang telah terlalu lama menerajui pergerakan itu dan pelan peralihan yang dicadangkannya yang telah menyumbang kepada kekalahannya.

Rafidah telah menerajui pergerakan itu selama 24 tahun dan tempoh itu sudah terlalu lama, katanya.

Lagipun, pelan peralihannya yang asal untuk menyerahkan kepimpinan kepada Shahrizat tiga bulan selepas perhimpunan ini telah menimbulkan banyak soalan termasuk keikhlasan beliau di kalangan anggota perwakilan.

Oleh kerana Shahrizat dipilih dan dibimbing oleh Rafidah, ketua Wanita Umno yang baru itu perlu menunjukkan kebolehannya untuk memimpin dan keluar daripada bayang-bayang Rafidah, kata Dr Mohamed Mustaffa.

Dalam pemilihan bagi Ketua Puteri Umno, Rosnah Abdul Rashid Shirlin muncul pemenang selepas memperoleh 245 undi, menewaskan lima lagi calon.

Beliau sebelum ini ialah naib ketua pergerakan itu."
- Bernama

Apa yang penting sekarang, yang menjadi perkara serta agenda pertama yang perlu dilaksanakan oleh Khairy dan pasukan EXCO adalah kembali merapatkan semula silaturrahim sesama Pemuda dengan meletakkan satu matlamat dan objektif perjuangan sebenar yang dapat diterima semua Pemuda. Satukan kembali jika ada keretakan yang wujud di antara calon-calon Pemuda yang bertanding. Buang segala kekeruhan yang ada, dan ambil serta kutip semua kejernihan untuk dibawa dalam perjuangan Pemuda.

Akhir kata...

HIDUP KHAIRY!!! HIDUP PEMUDA!!! HIDUP UMNO!!!

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama