Jumaat, 13 Mac 2009

PPSMI tak jejas pencapaian pelajar SPM. - B. Harian Online

Keputusan peperiksaan SPM yang baru diumumkan semalam telah membuktikan bahawa kaedah pembelajaran PPSMI ini bukanlah batu penghalang kepada kejayaan pelajar. Malah peningkatan peratusan pelajar yang lulus dalam Matematik dan Sains walaupun diajar dalam bahasa Inggeris menunjukkan bahawa pelajar mampu mengikuti dan mula menguasainya dengan baik. Oleh yang demikian, alasan yang diberikan oleh segelintir pihak yang membantah perlaksanaan PPSMI ini kononnya pelajar menghadapi kesukaran untuk memahami Istilah Matematik dan Sains dalam BI adalah amat tidak berasas sama sekali. Jelas ia hanya omongan kosong yang cuba untuk dipolitikkan dan untuk mencari kelemahan dan kesalahan dalam setiap dasar atau cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan.

"Anak nelayan, Nik Nur Madihah menunjukkan slip keputusan peperiksaan SPM kepada bapanya, Nik Mohd Kamal Husin yang berada di atas bot ikan di Kuala Besar, Kota Bharu, Kelantan, semalam. Madihah muncul pelajar terbaik bagi sekolah tajaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dengan mendapat 20A."

Malah jika dilihat dan dinilai berdasarkan keputusan SPM yang keluar, jelas menunjukkan bahawa pelajar luar bandar yang tidak mempunyai latar belakang English sekalipun masih mampu untuk lulus malah berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang. Ini menunjukkan bahawa jika kena pada cara pembelajaran dan minat serta semangat para pelajar dapat dipupuk dengan baik maka tidak musatahil untuk pelajar luar bandar dan pedalaman malah anak orang asli sekalipun mampu untuk mencapai keputusan yang memberansangkan. Segala-galanya sekarang terletak kepada ibu bapa dan pelajar itu sendiri samada ingin terus berjaya dalam pelajaran demi masa depan yang cerah atau memilih untuk terus memberi alasan.

"PUTRAJAYA: Seramai 6,277 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran, meningkat 24.05 peratus berbanding 5,060 pada 2007.

Keputusan peperiksaan itu juga menunjukkan peningkatan kelulusan dalam Sains dan Matematik, sekali gus membuktikan pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menjejaskan pencapaian pelajar.

Mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata prestasi calon bandar dan luar bandar serta pada peringkat nasional bagi mata pelajaran itu terus meningkat.

Subjek Sains mencatat kelulusan 91.2 peratus berbanding 87 peratus pada tahun sebelumnya, manakala Matematik 77.5 peratus berbanding 75.8 peratus pada 2007.


Statistik jelas menunjukkan peningkatan yang positif dalam jumlah yang berjaya mencatatkan keputusan lulus dalam kedua-dua subjek Sains dan Matemaik berbanding dengan keputusan tahun sebelumnya. Ini menunjukkan pelajar dalam era PPSMI ini sentiasa bersedia untuk berjaya dan mencatatkan keputusan yang cemerlang atau sekurang-kurangnya lulus. Ini juga membuktikan bahawa pihak kerajaan terutamanya melalui Kementerian Pelajaran sentiasa memastikan dengan mengambil langkah berpanjangan untuk memberi persediaan kepad para guru yang bakal terlibat dengan PPSMI ini.

Seramai 442,936 calon menduduki SPM tahun lalu, yang menjadi kumpulan kedua mengikuti PPSMI sejak Tingkatan Satu pada 2003.

Alimuddin berkata, calon yang memperoleh gred 1A dalam semua mata pelajaran juga meningkat, iaitu seramai 1,676 orang berbanding 892 pada tahun sebelumnya.

Tiga calon mendapat keputusan 1A dalam semua 16 subjek diduduki; 15 mata pelajaran (dua); 14 mata pelajaran (enam); 13 mata pelajaran (41); 12 mata pelajaran (229); 11 mata pelajaran (610); 10 mata pelajaran (614) dan sembilan mata pelajaran (171).

Seramai 10,080 calon pula berjaya memperoleh 10A atau lebih, 5,863 memperoleh 9A dan 5,909 (8A).

Beliau berkata, 181,416 calon atau 46.7 peratus lulus semua mata pelajaran berbanding 175,452 calon pada 2007.

"Seramai 208 atau 47.8 peratus daripada 435 calon berkeperluan khas pelbagai kecacatan pula berjaya mendapat sijil SPM berbanding 189 pada tahun sebelumnya.

"Seorang calon rabun dari Sekolah Menengah Sains Keluang, Johor, Mohamad Shafiq Sahdon berjaya memperoleh 12 1A manakala calon pekak dari Sekolah Menengah Kebangsaan, Jalan Bukit, Kajang, Selangor, Agilan Narayanan mendapat 11 1A," katanya.

Mengenai calon yang menjawab kertas soalan subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (BI), beliau berkata ia menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Seramai 45,662 calon menjawab kertas soalan Matematik 1 dalam BI sepenuhnya, berbanding 44,207 dalam Bahasa Melayu (BM) dan 55,550 menggunakan kedua-dua bahasa, manakala bagi Matematik 2, 227,720 menjawab soalan dalam BI sepenuhnya berbanding 86,463 dalam BM dan 41, 630 dalam dwibahasa.

Bagi Sains Kertas 1, 41,078 calon menjawab dalam BI, 16,557 (BM), 47,156 (dwibahasa); Sains Kertas 2, 36,855 (BI), 130,725 (BM), 36,041 (dwibahasa); Kimia Kertas 1 (4,347 (BI), 29,833 (BM), 25,367 (dwibahasa); Kimia Kertas 2, 90,669 (BI), 12,589 (BM), 23,907 (dwibahasa) dan Kimia Kertas 3, 79,920 (BI), 12,592 (BM), 11,551 (dwibahasa).


Jumlah pelajar yang menjawab kedua-dua kertas yakni Matematik dan Sains dalam BI juga telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan. Pelajar juga mulai berasa semakin selesa untuk mempraktikkan istilah dalam BI kerana ia mungkin lebih mudah difahami dan dikuasai berbanding dengan istilah yang telah di'Bahasa Melayu'kan.

Mengenai penurunan prestasi mata pelajaran teras BI, Alimudin berkata, jumlahnya kecil serta tidak ketara.

"Kita sudah mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan penguasaan BI di kalangan guru, antaranya mengikuti kursus dan latihan termasuk ke Pusat Bahasa Serantau (RELC), Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (Seameo) di Singapura," katanya.

Beliau turut mengumumkan 3,098 daripada 6,240 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2008 memperoleh sijil dengan pangkat lulus (maqbul) berbanding 3,341 calon pada tahun sebelumnya.

STAM ialah sijil yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran dan menggunakan sepenuhnya bahasa Arab sebagai pengantar peperiksaan."
- B. Harian Online


Para pembangkang dan segelintir golongan yang membantah perlaksanaan PPSMI ini perlu berfikir semula samada untuk terus membantah atau kembali menerima kenyataan bahawa perlaksanaan PPSMI ini bukan lagi satu beban kepada para pelajar malah ia bakal menjadi satu kelebihan kepada mereka tatkala mereka mula menjejak kaki ke institusi pengajian tinggi baik awam ataupun swasta. Perkara ini tidak harus terus dipolitikkan jika mahu melihat anak bangsa terus maju ke depan dan bukannya kembali mundur ke belakang.

Sekarang bukan masanya kita memikirkan bagaimana untuk memansuhkan atau menghapuskan PPSMI ini, tetapi masing-masing baik pihak kerajaan mahupun pembangkang perlu mula mengorak langkah yang lebih positif dengan sama-sama mencari jalan bagaimana untuk memastikan perlaksanaan PPSMI ini terus berjalan lancar dalam melahirkan pelajar yang berkualiti dan cemerlang. Buanglah keegoan diri demi anak bangsa yang kita cintai. Ketepikan soal martabat dan kedudukan Bahasa Melayu dalam perlaksanaan PPSMI ini kerana PPSMI sebenarnya lansung tidak menggugat kedudukan Bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa rasmi yang mana telahpun termaktub dalam perlembagaan dan kekal manjadi bahasa pengantar utama di semua sekolah.
Show Comments: OR

1 ulasan:

  1. PPSMI ini bayk kebaikan yer drpd keburuk kan..so ape salah yer diteruskan sj..jgn dimansuhkan..golongan yg menentang ini dinamakan celaka kerana tidak mahu org melayu berjya mguasai bhsa ingeris..

    http://www.buaya-merah.blogspot.com/

    BalasPadam









Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE