Advertisement - Contact Us

PPSMI : Angkara PR, Masa Depan Anak Bangsa Diperjudikan...

Memang tidak dinafikan pelaksanaan PPSMI ada baik dan ada keburukan. Walau apa pun perkara yang baru yang hendak diperkenalkan pasti akan wujud pro dan kontra. Mungkin bagi sesetangah pihak ianya akan membawa manfaat dan kebaikan manakala sebahagian lagi akan berasa terbeban dan menanggung keburukannya. Dalam soal PPSMI ini, saya bersetuju dengan kerajaan untuk mencuba dan memperkenalkan di semua sekolah pada semua peringkat. Ini bertujuan untuk kita menilai semula samada perlaksanaan ini membawa banyak faedah kepada semua pihak termasuk pelajar, guru, pihak sekolah dan semua yang terlibat atau lebih banyak membawa masalah.

Dan kini setelah beberapa tahun perlaksanaannya baik di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat menengah, maka pro dan kontranya dapat kita nilai dengan jelas. Berdasarkan pendapat dan pemerhatian saya, pro pertama yang boleh saya senaraikan adalah peningkatan mutu dan penguasaan Bahasa Inggeris(BI) di kalangan pelajar dan guru yang terlibat. Ini jelas terbukti berdasakan keputusan peperiksaan rasmi yang menunjukkan peratusan pelajar yang berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang telah meningkat dari tahun ke tahun.

Mungkin ada segelintir pihak yang berpendapat bahawa pelajar kawasan bandar lebih mudah menerima kaedah pembelajaran PPSMI ini berbanding di kawasan luar bandar dan pedalaman. Hakikatnya pendapat ini tidak boleh diterima. Ini kerana berdasarkan statistik keputusan peperiksaan mengikut negeri, jelas menunjukkan pelajar dari kawasan luar bandar terutama di Terengganu, Sarawak, Kelantan, Kedah dan beberapa lagi berjaya memperolehi keputusan cemerlang termasuk mendapat semua 'A' dalam semua matapelajaran yang diambil. Kita boleh lihat Terengganu berjaya menjadi negeri yang terbaik beberapa tahun berturut-turut.

Kebaikan seterusnya adalah pelajar yang berjaya menguasai Sains dan Matematik dalam BI sebenarnya memiliki satu keistimewaan dan kelebihan. Pada masa sekarang, boleh dikatakan hampir kesemua institusi pengajian tinggi awam dan Swasta di Malaysia menggunakan BI sebagai bahasa pengantar di dalam kelas dan kuliah. Jadi seseorang pelajar yang tidak mempunyai asas Matematik dan Sains dalam BI pastinya menghadapi kesukaran dan masalah untuk mengikuti kuliah di IPTA dan IPTS. Mereka terpaksa bermula dari bawah semula untuk memahami istilah yang dipelajari dalam BI. Ini ditambah dengan kesukaran memperolehi bahan rujukan dalam Bahasa Melayu kerana rata-rata bahan rujukan ditulis dalam BI.

Penggunaan BI dalam Matematik dan Sains sebenarnya bukanlah untuk merendah-rendahkan atau menjatuhkan martabat Bahasa Melayu. Malah ia sebenarnya langsung tidak berkaitan memandangkan subjek-subjek lain masih lagi diajar dalam Bahasa Melayu malah bahasa pengantar utama di semua sekolah masih kekal Bahasa Melayu. Penguasaan BI dalam Matematik dan Sains sebenarnya perlu bagi memudahkan dan menggalakkan persaingan di kalangan pelajar Melayu dengan bangsa lain terutama melibatkan aliran Sains. Jika diimbas kembali, sebelum ini kebanyakan pelajar Melayu tidak berminat untuk memasuki aliran Sains dan ia dimonopoli oleh pelajar bangsa lain seperti Cina dan India. Hanya kebelakangan ini, kita dapat melihat peningkatan jumlah pelajar Melayu yang berminat memilih aliran Sains.

Pelajar dan ibu bapa Melayu terutama di kawasan luar bandar perlu berfikir dan mengkaji semula kenapa perlunya penggunaan BI di sekolah harus diperbanyakkan dan diperluaskan. Pelajar Melayu sebenarnya tidak ada ruang untuk mereka mengguna dan mengamalkan BI dalam kehidupan. Walhal umum mengetahu bahawa BI kini menjadi penting memandangkan ianya merupakan bahasa global dan bahasa pengantar seluruh dunia. Tidak ramai ibu bapa Melayu yang memberi pendedahan BI kepada anak mereka di rumah malah jauh sekali untuk menjadikan BI sebagi bahasa perhubungan di rumah. Jadi kesempatan dan peluang yang terhad dengan perlaksanaan PPSMI ini tidak harus dilepaskan demi masa depan pelajar itu sendiri dan negara. Masalah ini tidak timbul dikalangan pelajar bukan Melayu terutama Cina dan India memandangkan mereka sudah didedahkan dengan penggunaan BI ini sejak dari kecil kerana kebanyakan masyarakat Cina dan India kini menjadikan BI sebagai bahasa perhubungan harian di rumah.

Jadi, jika diketepikan soal politik maka perlaksanaan PPSMI ini membawa banyak kebaikan dan faedah kepada semua pihak terutama para pelajar. Tidak timbul isu menjatuhkan martabat Bahasa Melayu dengan perlaksanaan PPSMI ini kerana kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara Malaysia itu sendiri sudah pun termaktub dalam perlembagaan dan ianya tidak boleh dipertikaikan lagi. Yang menjadi masalah sekarang ialah campur tangan politik yang menjadikan PPSMI ini sebagai satu isu untuk menarik perhatian rakyat. Apatah lagi dengan pergolakan yang berlaku di Perak yang mana secara jelas dan nyata kesalahan terletak di bahu Pakatan Rakyat. Oleh itu, mereka menggunakan isu PPSMI ini untuk mengalih perhatian rakyat yang sebelum ini tertumpu dengan krisis di negeri Perak. Walhal, tidak boleh tidak, Pakatan Rakyat sendiri sedar akan kebaikan dan kelebihan perlaksanaan PPSMI ini. Demi untuk mewujudkan satu isu bertujuan untuk memburukkan persepsi rakyat kepada kerajaan BN maka PPSMI ini dipergunakan dan diperkotak-katikkan. Yang menjadi mangsa adalah rakyat dan pelajar yang tak berdosa.

1 Ulasan

  1. Saya rasa anak-anak patut diberi peluang seluasnya untuk menimba ilmu.

    ... it is important that every effort should be made to provide education in the mother tongue. ...

    On educational grounds we recommend that the use of the mother tongue be extended to as late a stage in education as possible. In particular, pupils should begin their schooling through the medium of the mother tongue, because they understand it best and because to begin their school life in the mother tongue will make the break between home and school as small as possible.

    (UNESCO 1951:691)

    Mungkin juga kita harus lihat dan baca ini:

    http://www.nst.com.my/Current_News/NST/PDF/Math-Science%20Report

    dan

    http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Rencana/20090303223151/Article

    BalasPadam
Terbaru Lebih lama