Isnin, 2 Mac 2009

Portfolio agama Fairus diserahkan kepada Malik. (Goyang Nampak!!!) - MalaysiaKini


"Mar 2, 09 3:00pm
Tindakan memindahkan portfolio agama kepada seorang lagi exco PKR dalam kerajaan Pulau Pinang bukan bermakna Timbalan Ketua Menteri Mohammad Fairus Khairuddin tidak mencapai prestasi yang baik.

Ketua perhubungan PKR negeri Datuk Zahrain Mohamed Hashim menegaskan, tindakan itu tiada kaitan dengan prestasi wakil rakyat Penanti itu dan ia hanya diambil bagi meringankan bebannya, lapor Bernama.

Tambahnya, tanggungjawab Mohammad Fairus saat ini agak berat kerana beliau mempengerusikan beberapa portfolio lagi iaitu pembangunan usahawan, koperasi, penerangan dan perhubungan masyarakat.

Portfolio agama kini diserahkan kepada Abdul Malik Abul Kassim yang juga wakil rakyat Batu Maung - pemimpin PKR yang dianggap pencabar terdekat Mohammad Fairus dalam kerajaan dan parti.

"Rombakan ini telah saya persetujui selepas berbincang dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng dan tidak salah memberikan tugas mengetuai portfolio agama itu kepada Abdul Malik kerana beliau hanya mengetuai dua jawatankuasa sahaja iaitu perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna," kata Zahrain kepada agensi berita itu.

Beliau diminta mengulas mengenai rombakan itu dan spekulasi bahawa rombakan tersebut dibuat berdasarkan prestasi Mohammad Fairus yang tidak menyerlah.

Katanya, beliau menyedari wujud bermacam-macam dakwaan negatif di blog terhadap prestasi Mohammad Fairus tetapi menegaskan bahawa semua dakwaan itu tidak mempunyai bukti kukuh.

"Saya memang dengar macam-macam cerita mengenai Fairus tetapi kena ada bukti kukuhlah," Zahrain dipetik berkata.

"Kalau setakat menulis dalam blog, saya rasa itu tindakan yang kurang sesuai sebaliknya pihak yang mendakwa itu perlu membuat aduan secara rasmi sama ada kepada parti mahupun pihak berkuasa yang berkaitan jika dakwaan mereka melibatkan soal penyalahgunaan kuasa."

Barisan exco kerajaan negeri dianggotai 11 pemimpin yang mana tiga daripadanya diwakili pemimpin PKR manakala bakinya daripada DAP.

Prestasi Mohammad Fairus menjadi subjek perbincangan umum apabila beberapa pegawainya meletakkan jawatan dan diserang secara intensif melalui blog, selain ditegur secara terbuka oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahrain menambah, PKR negeri menubuhkan pasukan petugas khas memantau prestasi semua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), anggota parlimen dan ahli majlis kerajaan tempatan bagi memastika sumbangan mereka berkesan kepada kerajaan negeri dan rakyat." -
MalaysiaKini

Memang dari awal lagi rakyat Pulau Pinang sudah sedar akan kelemahan kepimpinan yang ditunjukkan oleh TKM ini. Dalam banyak hal, Fairus dilihat kurang profesional dalam menangani soal pentadbiran negeri. Mungkin ini disebabkan oleh kekurangan pengalaman terutama berkenaan soal pentadbiran negeri, hal ehwal negeri, ekonomi dan pembangunan Pulau Pinang.

Hakikatnya, bukan mudah untuk menjadi pemimpin. Seperti yang telah saya nyatakan berulang kali sebelum ini, Bercakap ketika tanpa jawatan adalah lebih mudah jika dibandingkan bercakap ketika memegang jawatan utama apatah lagi hendak melaksanakan apa yang telah dicakapkan. Fairus juga dilihat sebagai kurang mesra rakyat dan adakalanya seperti kaduk naik junjung. Mungkin ini disebabkan oleh tekanan yang diterima dari pelbagai pihak membuatkan Fairus hilang keyakinan dalam menjalankan tugas.

Apapun secara umumnya, Pakatan Rakyat sudah mula berasa bahang dan kesukaran dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin kerajaan negeri. Apatah lagi untuk menunaikan janji mereka kepada rakyat. Jika difikirkan secara logik, Fairus tidak harus berasa tertekan dan terbeban dengan tugas dan tanggungjwabnya kerana jawatan bagi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang diisi oleh dua orang. Mungkinkah ini sebagai petanda bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang hanya menanti masa untuk rebah ke bumi???
Show Comments: OR

0 comments:

Catat Ulasan









Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE