Isnin, 16 Mac 2009

Politik Wang : Benarkah Mereka Ini Terlibat???

Jika benar khabar angin dan ura-ura yang sedang bertiup kencang kini, maka negara bakal menyaksikan satu lagi kejutan yang mana akan berlakunya perubahan yang amat drastik dalam Pemilihan Agung UMNO yang semakin hampir ini. Awal-awal lagi Lembaga Tatatertib UMNO yang dipengerusikan oleh 'otai' UMNO sendiri yakni Tengku Ahmad Rethaudden sudah pun memberi bayangan bahawa sesuatu yang menggemparkan akan diumumkan dalam masa terdekat yang pastinya akan memberi gegaran dalam kancah politik negara.

Khabar angin terkini telah mengaitkan beberapa nama besar atau ikan 'paus Biru' yang disyaki terbabit secara langsung dengan politik wang dan salah guna kuasa. Antara nama yang menjadi sebutan bakal dipanggil mengadap Lembaga Tatatertib bagi diambil keterangannya adalah melibatkan calon Timbalan Presiden UMNO dari Melaka, 2 calon Ketua Pemuda UMNO yang berjaya mendapatkan kuota pencalonan pada saat-saat akhir dan beberapa lagi nama yang bertanding bagi merebut Ahli Majlis Tertinggi.

Walau apapun sagala-galanya akan terjawab dalam masa terdekat setelah nama yang terbabit diumumkan untuk dipanggil oleh Lembaga Tatatertib Parti. Saya amat berharap agar mereka yang terlibat dengan politik wang ini diambil tindakan segera sebelum Pemilihan Agung UMNO berlangsung. Jika boleh kita tidak mahu melihat seorangpun calon yang bakal bertanding nanti datangnya dari baka yang mengamalkan politik wang dan rasuah. Kita lakukan perubahan drastik dalam UMNO ke arah parti yang bersih, telus dan bertanggungjawab walaupun terpaksa mengorbankan nama-nama besar yang telah banyak memberi sumbangan kepada UMNO dan negara. Kita buktikan kepada pembangkang dan terutamanya kepada rakyat bahawa UMNO memang benar-benar ingin melakukan perubahan bagi membuang semua parasit-parasit negatif yang selama ini menjadi punca kejatuhan UMNO dan hilangnya keyakinan rakyat kepada UMNO.

" Mon | Mar 16, 09 | 9:55:25 pm MYT :PEMILIHAN pucuk pimpinan Umno semakin panas. Semakin hampir hari pengundian, semakin terasa bahangnya. Panas bukan hanya kerana saingan antara calon semakin sengit tetapi dek kerana ada usaha oleh pihak-pihak tertentu yang mahu menyingkir calon-calon tertentu lebih awal, sebelum proses pemilihan diadakan.

Bermula dengan pendakwaan terhadap Dato' Norza Zakaria, calon ahli Majlis Tertinggi yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh atas dua tuduhan rasuah bagi memenangi jawatan dalam pemilihan parti.

Ketika kes Norza masih panas, kepanasan dalam Umno kemudiannya berpindah kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dijalankan ke atas Dato' Azalina Othman Said atas tuduhan rasuah politik dan salah guna kuasa dalam kementerian itu.

Kedua-dua mereka ini, Norza dan Azalina mengikut pandangan beberapa penganalisa politik adalah 'kambing hitam' untuk membolehkan Umno dilihat sedang melakukan reformasi dalam parti dan juga sebagai salah satu cara bakal Presidennya, Dato' Seri Najib Tun Razak agar dilihat sebagai pemimpin yang bersih dan calon-calon yang dipilih kelak merupakan mereka yang bebas daripada rasuah.

Kemudiannya sudah kedengaran terdapat lebih 20 calon yang bertanding pada pemilihan Umno kali ini dijangka menemui Jawatankuasa Disiplin parti dalam masa terdekat, dipercayai berhubung kes salah laku kempen dan politik wang. Umno kali ini mahu dilihat serius mahu membersihkan parti daripada mereka yang rasuah.

Khabarnya yang bakal menjadi mangsa hingga tidak layak bertanding dan digantung keahlian terdiri daripada Dato' Seri Mohd Ali Rustam, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo dan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan tetapi ini topik hangat yang diperkatakan di internet dan juga di cafe-cafe mewah.

Pembersihan orang Abdullah

Umno mahu kesemua kes politik wang diselesaikan sebelum pemilihan yang akan berlangsung 25 dan 26 Mac ini. Tindakan ini dilihat seperti menurut kehendak sesetengah pihak yang telah mengarahkan pihak lain membuat sidang media akan mengambil injuksi mahkamah jika Umno tidak menyelesaikan kesemua kes politik wang yang telah dilaporkan sebelum ini.

Dato' Kadar Shah Tan Sri Sulaiman Ninam Shah dan Dato' Mazlan Harun yang baru-baru ini membuat sidang media mengumumkan akan mengambil injuksi mahkamah jika kesemua kes politik wang dalam Umno tidak diselesaikan sebelum pemilihan parti tersebut diadakan.

Ada pihak yang melihat mereka berdua ini diarahkan oleh satu pihak lain untuk membuat kenyataan tersebut agar mudah bagi pihak lain tersebut 'membersihkan orang Abdullah' daripada Umno.

Apa yang cuba dilakukan oleh Lembaga Displin Umno dan SPRM dilihat sebagai usaha untuk 'membersihkan orang Abdullah' dalam barisan kepimpinan parti tersebut. Pembersihan 'orang Abdullah' perlu dilakukan untuk memudahkan Najib menjalankan tugas beliau mengikut arahan mentornya, Tun Dr Mahathir Muhammad.

'Pembersihan' itu juga merupakan satu tindakan untuk memastikan kabinet Najib tidak dibarisi oleh perasuah. Ia bersesuaian dengan kehendak Mahathir yang sebelum ini membuat kenyataan Najib "akan menjerat lehernya sendiri" jika beliau melantik pemimpin yang rasuah menganggotai kabinet barunya nanti.

"Masyarakat memang tahu siapa yang terbabit dengan rasuah kerana mereka memberikan wang secara agak terbuka, dan pihak yang menerima pula bercakap bahawa mereka menerima wang itu yang bertujuan memenangi sokongan mereka.

"Jadi apabila Najib menjadi PM dan beliau melantik orang ini, maka seperti yang telah saya katakan, beliau menjerat lehernya sendiri kerana beliau akan kalah dalam pilihanraya umum ke-13 yang akan datang," kata bapa Mukhriz salah seorang calon Ketua Pemuda Umno.

Kerana itu, beliau menasihati Najib supaya memastikan barisan kabinet terdiri daripada mereka yang bersih daripada sebarang bentuk rasuah. "
- Harakah Daily

Hidup UMNO !!!
Show Comments: OR

0 comments:

Catat Ulasan









Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE