Isnin, 30 Mac 2009

Pemuda risau disisih penyokong Khairy.

Tidak sepatutnya masih timbul lagi masalah label-melabel atau cop-mengecop seseorang itu penyokong siapa. Sudah jelas dan terbukti bahawa majoriti perwakilan Pemuda mahukan seorang pemimpin dari kalangan orang muda untuk menjadi peneraju bagi sayap utama parti UMNO ini. Dan keputusan itu sudah pun diterjemahkan melalui pengudian yang berlangsung di PWTC. Semua Pemuda baik dari kalangan penyokong Mukhriz mahupun Dr. Khir mesti belajar menerima hakikat dan keputusan yang telah diumumkan.

Bagi para penyokong KJ pula, ini adalah masanya untuk membuktikan bahawa pemilihan KJ sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia bukan satu kesilapan. Masing-masing perlu sama-sama berganding bahu bernakhodakan Khairy sebagai pemimpin untuk benar-benar berjuang membawa suara pemuda dan mengembalikan keyakinan golongan pemuda bahawa UMNOlah parti sebenar yang dapat membela nasib pemuda dan mampu membawa Pemuda ke pentas yang selayaknya. Penyokong KJ tidak boleh meminggirkan atau mengasingkan penyokong lain kerana masing-masing juga adalah Pemuda UMNO dan pastinya semua Pemuda adalah sama. Perkara yang sepatutnya menjadi agenda utama bagi semua Pemuda adalah berusaha untuk merapatkan semula ukhwah sesama Pemuda dan memastikan Pemuda kembali menjadi sebuah sayap utama yang benar-benar bersatu-padu. Bak kata pepatah, 'Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh' dan biarlah Pemuda UMNO menjadi seperti aur dengan tebing atau isi dengan kuku.

"Mar 30, 09 1:49pm: Dalam kesibukan kempen tiga pilihanraya kecil sekarang, timbul kebimbangan di kalangan penyokong dua bekas calon ketua Pemuda Umno kemungkinan mereka bakal dipinggirkan oleh kumpulan ketua baru pergerakan itu, Khairy Jamaluddin.

Dalam persaingan bagi jawatan ketua Pemuda Umno Minggu lalu, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo memperolehi undi kedua terbanyak (254), mengatasi seorang lagi calon Datuk Mukhriz Mahathir (232). Khairy menang dengan mendapat 304 undi.

Kemenangannya itu disambut dengan bantahan "boo" para perwakilan di perhimpunan Umno dan jeritan “rasuah” para penyokong dua calon yang tewas.

Susulan reaksi negatif tersebut, tindakan Pemuda Umno Selangor – dianggap penyokong kuat Dr Khir – menghantar jentera kecil ke Bukit Gantang menimbulkan tanda tanya sama ada rasa marah terhadap Khairy belum reda.

Difahamkan, hanya sembilan daripada 22 bahagian pergerakan Pemuda dari Selangor dihantar membantu kempen calon Umno, Ismail Safian, di kawasan parlimen tersebut.

Calon BN itu berdepan calon PAS Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, bekas menteri besar Perak, dan calon bebas Kamarul Ramizu Idris pada 7 April ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, ketua Pemuda Selangor, Shukor Idrus menjelaskan, mereka menghantar jentera dalam jumlah kecil kerana “kempen menggunakan jentera tempatan (Umno negeri) lebih berkesan”.

"Kita tidak mahu menang sorak kampung tergadai. Jentera kita (Selangor) akan bertugas memantau terus di peti-peti undi," katanya, sambil menambah jenteranya memberikan lebih tumpuan merampas kerusi yang dimenangi PAS dalam pilihanraya umum lalu.

Diketuai Pemuda Umno Kuala Selangor, tambahnya, Pemuda negeri itu menghantar 36 ahlinya – atau empat wakil dari setiap bahagian – bagi bekerjasama dengan ahli akar umbi Umno di Perak.

Diminta mengulas rasa tidak berpuas hati penyokong Dr Mohamad Khir dan Mukhriz, beliau mengakui terdapat penyokong dua bekas calon itu yang masih “baran” tetapi, tambahnya, keadaan sudah beransur-ansur pulih.

"Kita harapkan KJ (Khairy) dan penyokongnya tidak melabelkan penyokong Dr Khir dan Mukhriz. KJ, kita yakin beliau (pemimpin) matang, tetapi penyokong beliau kena matang juga.

"KJ kena nasihatkan penyokongnya,” kata Shukor, juga wakil rakyat Kuang.

Sementara exco baru Pemuda Umno, Lokman Noor Adam berkata, ketidakpuasan segelintir ahli pergerakan itu terhadap Khairy merupakan “fitrah manusia”.

Bagaimanapun, katanya, apabila exco Pemuda bermesyuarat sehari selepas Khairy terpilih, mereka semua sepakat memberikan sokongan kepada kepimpinannya dan rasa tidak puas hati itu akan reda dengan sendirinya.

"Apabila yang di atas tidak ada masalah. Yang di bawah akan ikut," katanya, bekas setiausaha Pemuda PKR (dulu dikenali Parti Keadilan Nasional)."
- MalaysiaKini
Show Comments: OR

0 comments:

Catat Ulasan









Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE