Ahad, 1 Mac 2009

PAC Perak panggil Zambry, Nizar dan Exco. (Boleh harap ke PAC ni?) - MalaysiaKini


"Feb 28, 09 8:42pm
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Perak (PAC) akan memanggil menteri besar dan bekas menteri besar untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan penggunaan wang kerajaan sepanjang krisis politik di negeri itu.

Selain Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, PAC turut memanggil barisan exco mereka untuk memberi keterangan pada mesyuarat khas yang akan diadakan pada pukul 4 petang, 5 Mac ini.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata PAC boleh mengeluarkan arahan untuk waran tangkap terhadap individu yang enggan hadir, lapor Bernama.

Katanya, PAC yang mengadakan mesyuarat di bilik mesyuarat kewangan negeri di Ipoh kelmarin memutuskan terdapat dua perkara sepanjang krisis kerajaan negeri yang perlu ditangani segera iaitu berkaitan pelantikan tiga penasihat menteri mesar baru dan ketua penerangan kerajaan negeri.

Beliau memberitahu demikian dalam sidang akhbar di pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri Perak semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Canning itu berkata PAC mempersoal pelantikan Datuk Chang Ko Youn sebagai Penasihat Hal Ehwal Masyarakat Cina, Datuk S Veerasingam (penasihat hal ehwal masyarakat India) dan Datuk Najmuddin Elias Al-Hafiz sebagai penasihat hal ehwal agama serta pelantikan Datuk Hamdi Abu Bakar sebagai ketua penerangan kerajaan Perak.

Beliau berkata pelantikan itu dianggap luar biasa dan membabitkan penggunaan sejumlah wang yang besar kerana ia memerlukan pembayaran gaji atau elaun tertentu yang sememangnya menggunakan wang kerajaan negeri.

PAC perlukan penjelasan

"Oleh itu, timbul persoalan yang memerlukan penjelasan daripada pihak berkenaan iaitu apakah dasar undang-undang yang diguna dalam pelantikan itu, rasional dan tujuan pelantikan serta emolumen yang dibayar termasuk gaji, elaun dan kemudahan lain yang disediakan," katanya.

Wong yang juga Setiausaha Publisiti DAP Perak berkata PAC turut mempersoal manfaat daripada pelantikan itu kerana dua daripada mereka iaitu Chang dan Veerasingam bukan Adun, manakala kelayakan dua wakil rakyat iaitu Mohd Najmuddin dan Hamdi sebagai anggota pentadbiran negeri adalah diragui.

"PAC juga akan menuntut penjelasan berhubung kedudukan Zambry dan Mohammad Nizar sebagai menteri besar serta barisan exco masing-masing pada mesyuarat khas itu," katanya.

Beliau berkata dalam keadaan krisis politik sekarang PAC perlu mengambil berat dan memastikan barisan exco mana harus dibayar gaji dan elaun serta kemudahan lain seperti yang diperuntukkan undang-undang.

Wong berkata jika keadaan memerlukan, PAC juga akan memanggil Penasihat Undang-Undang negeri Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim bagi memberi penjelasan mengenai perkara yang sama.

"Notis pemberitahuan berhubung mesyuarat itu akan dikeluarkan Setiausaha PAC yang juga bertindak sebagai Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Abdullah Antong Sabri," katanya.

Sementara itu di Kuantan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak boleh memanggil sidang tergempar kerana mahkamah masih belum membuat keputusan berhubung status kerajaan negeri itu.

Tunggu keputusan mahkamah

Beliau yang juga pengerusi Umno Perak berkata sebarang keputusan untuk mengadakan sidang DUN Perak bergantung kepada keputusan mahkamah berhubung kes terbabit.

"Tak boleh (adakan sidang DUN), sebab ada tindakan mahkamah," katanya kepada pemberita di Kuantan semalam sebagai mengulas kenyataan Speaker V.Sivakumar bahawa sidang tergempar DUN Perak akan diadakan pada 3 Mac ini.

Ditanya sama ada sidang DUN itu bertujuan menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang baru ditubuhkan, Najib berkata: "Apa apa pun kita tunggu keputusan mahkamah dulu, kita kena 'establish' dulu kerajaan Perak dari segi perlembagaan."

Pada 13 Februari lalu, Mohd Nizar mengemukakan permohonan bagi mendapatkan perintah pengisytiharan dari Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur di sini bahawa beliau masih merupakan Menteri Besar Perak yang sah.

Mohd Nizar selaku pemohon juga menuntut perintah injuksi menghalang Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir daripada menjalankan tugas sebagai menteri besar serta menuntut pilihan raya diadakan semula di negeri itu.

Walau apapun, Najib berkata yang penting ketika ini ialah kerajaan negeri Perak yang baru ditubuhkan itu memberi perhatian dan tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat.

Di Taiping, Zambry berkata tindakan Sivakumar itu bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan peraturan Perintah Tetap persidangan itu.

Katanya terdapat peruntukan peraturan yang terkandung dalam Perintah Tetap dewan yang jelas menunjukkan sebarang persidangan yang mahu diadakan di DUN hendaklah mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah terlebih dahulu.

'Cerita karut'

"Dia (Speaker) boleh kata dan baca ikut Perintah Tetap (perkara) 8, 11. Cuba dia baca betul-betul dan lihat pula Perintah Tetap (perkara) 36, baca dan sebagainya. Ini tidak, dia ikut suka hati dia saja.

"Jadi dia buat peraturan ikut peraturan dia sendiri, suka hati dia apa yang dia nak buat. Dia merasakan bahawa tindakan dia mahu mengatasi Sultan dan sebagainya...ada orang kata 'Singh is King' tapi tak tahulah kalau ada yang kata 'Siva is King'," katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera Barisan Nasional (BN) bagi piliharaya kecil Parlimen Bukit Gantang di sini Changkat Jering semalam.

Katanya beliau yakin Sivakumar mengetahui tindakannya bertentangan dan tidak mengikut undang-undang serta peraturan yang ada tetapi masih mahu bertindak 'ikut suka hatinya'.

Zambry juga menyifatkan tindakan Sivakumar memanggil sidang tergempar itu seperti cerita 'kartun' kerana dalam masa yang sama Sivakumar menggantungnya dan enam Exco kerajaan negeri dan tiga Adun bebas yang didakwa Sivakumar telah meletak jawatan juga tidak akan diberi notis hadir.

Ketika ditanya sama ada beliau dan enam Exco kerajaan negeri akan menghadiri persidangan itu, Zambry berkata: "mereka patut faham bahawa ia tidak mengikut perlembagaan. Paling penting anda tanya mereka, sama ada apa yang dilakukan mereka betul atau salah, anda tanya mereka".

Sebelum ini, Sivakumar memberitahu pemberita bahawa sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan dalam keadaan DUN bersidang biasa dan bukannya untuk sidang tergempar."
- MalaysiaKini

Kenapa PAC ini dipengerusikan dan dianggotai oleh parti Pakatan Rakyat terutama DAP? Adakah demi untuk kebaikan, kepentingan dan ketelusan kepada rakyat, ia perlu dianggotai oleh badan bebas yang tidak memepunyai kepentingan pada mana-mana pihak. Jika ia diwakili oleh ahli Pakatan Rakyat maka sudah pasti setiap tindakan dan keputusan yang dibuat memihak dan condong ke arah Pakatan rakyat. Sudah pasti PAC akan bersungguh-sungguh mencari dan mengorek setiap kesalahan dan kelemahan kerajaan BN dan pada masa yang sam terus melindungi kelemahan yang wujud dalam Pakatan Rakyat. Sebenarnya jika dilihat dari sudut positif, perlantikan 3 penasihat perlu bertujuan untuk menjaga dan memberi nasihat kepada MB berhubung hal-hal yang berkaitan dengan portfolio yang dipegang. Soal peruntukan dan pembayaran elaun dan gaji kepada mereka tidak harus timbul asalkan ianya demi kebaikan dan maanfaat kepada rakyat dan negeri Perak. Yang penting isu perlantikan 2 MB dalam satu masa perlu diselesaikan dengan kadar segera kerana selagi ia berpanjangan maka selagi itulah ia akan merencatkan dan mengganggu perkembangan ekonomi, pembangunan dan rakyat Perak.

Selain itu, tindakan memanggil sidang tergempar adalah tidak wajar memandangkan ianya masih lagi di peringkat mahkamah. Perundangan masih belum memutuskan siapa yang berkuasa di Perak. Tindakan Sivakumar juga merupakan satu tindakan yang membelakangkan perlembagaan kerana apa yang sudah termaktub adalah setiap sidang yang hendak dijalankan perlulah mendapat perkenan dari sultan. Nampaknya Pakatan Rakyat semakin lama semakin tidak menghormati institusi Sultan yang selama ini menjadi payung untuk rakyat berlindung di negeri Perak.

Sivakumar dilihat cuba mengambil tindakan sesuka hatinya dan sewenang-wenangnya hanya untuk kepentingan Pakatan Rakyat dan bukannya untuk kebaikan rakyat Perak. Tindakan penggantungan MB dan EXCO baru dari memasuki sidang dewan negeri dan larangan kepada ADUN Bebas dari menyertai sidang itu merupakan tindakan yang penakut dan bacul. Apa guna usul tidak percaya yang hendak diadakan jika tidak semua ADUN dibenarkan hadir. Jika benar PR merupakan kerajaan yang berani kerana benar, panggil semua ADUN hadir dan kemukakan usul tidak percaya itu. Kita lihat siapa yang menjadi majoriti. Sudah pasti Sivakumar dan Pakatan Rakyat tidak berani...
Show Comments: OR

0 comments:

Catat Ulasan









Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE