Advertisement - Contact Us

Khairy Jamaluddin ke Majlis Perkawinan di Sungai Puyu, P. Pinang.


Hari ini merupakan hari yang bertuah bagi diri saya kerana saya berpeluang sekali lagi bertemu dengan pemimpin muda idola saya, Khairy Jamaluddin. Saya berasa amat berbangga kerana beliau sudi meluangkan masa untuk hadir bagi memeriahkan majlis perkahwinan rakan saya di Sungai Puyu, Pulau Pinang. Beliau bersama beberapa pemimpin tertinggi UMNO yang lain hadir selaku tetamu VIP ke majlis tersebut atas undangan tuan rumah yang juga baru sahaja memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda Bahagian Tasek Gelugor pada pemilihan Agung UMNO peringkat Bahagian yang lalu.

Kehadiran tetamu VIP ini disambut dengan meriah oleh tuan rumah dan juga kumpulan serta EXCO Pemuda Bahagian Tasek Gelugor yang lain. Saya bukanlah dari kalangan EXCO Pemuda Bahagian malah jauh sekali untuk memegang jawatan yang lebih tinggi. Saya hanya sekadar ahli UMNO biasa dan hanya memegang jawatan kecil di peringkat cawangan dalam bahagian Tasek Gelugor. Jadi tidak hairanlah kehadiran saya ke majlis tersebut tidak disambut sewajarnya malah apa yang sedikit yang membuatkan saya rasa terkilan adalah tidak ada seorang pun dari kalangan EXCO Pemuda tersebut yang menyapa atau bersalaman dengan saya walhal saya tahu mereka mengenali saya kerana saya juga salah seorang perwakilan Pemuda cawangan ke peringkat Bahagian yang mana telah memberi 1 undi saya kepada mereka sehingga mereka berjaya dilantik ke jawatan yang dipegang sekarang. Mungkin disebabkan saya kurang menonjolkan diri maka disebabkan itu saya kurang mendapat perhatian dari mereka.

Tak kisahlah itu semua kerana penglibatan saya dalam politik dan UMNO bukanlah kerana nama dan pangkat. Perjuangan saya hanyalah untuk mengembalikan kekuatan UMNO dan BN serta mendapatkan semula kepercayaan rakyat terutama dari golongan muda agar menerima semula UMNO di hati mereka. Saya tidak mahu melihat UMNO yang selama ini telah diperjuangkan oleh bapa saya terkubur begitu sahaja. Mungkin tidak ada yang ambil peduli suara saya di luar namun matlamat saya adalah untuk memastikan Suara Melayu Baru di dunia siber lebih tajam dari mata pedang.

Apapun, nasihat saya kepada kalangan EXCO Pemuda UMNO Tasek Gelugor khususnya dan seluruh ahli UMNO amnya agar lebih prihatin dan memberi layanan yang baik kepada semua orang tidak kira dari kalangan VIP atau hanya ahli biasa sahaja. Jangan sampai orang kata, bila tiba musim pemilihan maka pijak semut pun tak mati, selepas dapat apa yang dikejar, gajah depan mata pun buat tak peduli. Mungkin saya kurang ambil peduli dan tidak kisah sangat akan hal seperti ini namun tidak semua orang seperti saya. Orang lain yang mungkin lebih sensitif mungkin akan beranggapan bahawa UMNO ini jenis pilih bulu dan sombong. Perkara-perkara seperti ini menjadi punca kenapa rakyat berasa jauh hati dengan UMNO.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Khairy Jamaludin dan barisan kepimpinan tertinggi Pemuda yang lain kerana sudi hadir ke majlis perkahwanan rakan saya. Selain YB Khairy, turut hadir adalah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, YB Dato' Seri Khir Toyo dan beberapa lagi. Harapan saya, janganlah hanya disebabkan Pemilihan Agung UMNO Malaysia yang bakal berlangsung akhir bulan ini baru hendak menyinting kaki turun padang untuk bertemu rakyat. Setelah selesai pemilihan, nak nampak muka 1 tahun sekali pun susah. Kita mahu UMNO yang sedia berkhidmat pada setiap masa dan ketika, bukannya UMNO yang bermusim. Seperkara lagi, diharap teguran saya kepada geng Pemuda Tasek Gelugor untuk diambil tindakan dan akan berlaku perubahan sikap yang positif demi masa depan UMNO.

1 Ulasan

  1. kalau saya tahu idola saya YB Kj turun kenduri kwn sdr tentu saya pergi jg ..hehe

    tak pa sdr , insyallah jika saya kahwin ,saya akan jemput YB KJ sebagai tetamu VIP kenduri saya ..hehe sdr pun saya jemput juga ..

    salam setiakawan ..come on join team setiawakan

    BalasPadam
Terbaru Lebih lama