Ahad, 8 Mac 2009

Demonstrasi PPSMI Jelas Didalangi Pembangkang - Bernama


"KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perhimpunan membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) jelas didalangi pembangkang berdasarkan penyertaan beberapa pemimpin mereka pada demontrasi jalanan pada Sabtu.

Beliau berkata berdasarkan apa yang berlaku jelas memperlihatkan bahawa pertimbangan mereka bukanlah bersandarkan perjuangan pendidikan kerana sanggup melanggar undang-undang, mengaitkan institusi istana dan mencemarkan imej masjid.

"Saya lihat ada hikmah di sebalik apa yang berlaku semalam. Sekurang-kurangnya orang ramai dapat melihat sendiri apa yang saya sudah tahu lama, iaitu di belakang gerakan ini ada dalang-dalang yang sanggup mengeksploitasi apa juga isu, memperalatkan sesiapa sahaja demi agenda politik sempit mereka.

"Saya tidak bermaksud semua yang terlibat (pertimbangan bukan berdasarkan kepentingan pendidikan) tetapi adakalanya mereka ini diperalatkan untuk kepentingan tertentu," katanya ketika mengulas kejadian itu pada sidang media di kediamannya di sini.

Perhimpunan anjuran Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) semalam menjadi kecoh setelah penyokong-penyokong terbabit berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara walaupun tidak mendapat permit polis untuk berbuat demikian.

Perhimpunan yang asalnya bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong turut disertai beberapa pemimpin pembangkang termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, selain segelintir peserta perarakan yang dilihat memakai pakaian dan membawa logo beberapa parti pembangkang.

Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda Umno turut menolak andaian bahawa demonstrasi jalanan itu didalangi individu dalam Umno sendiri bertujuan menjatuhkan beliau pada pemilihan agung Umno hujung bulan ini.

"Tidak. Kita dalam Umno semua dididik untuk meletakkan kepentingan ramai lebih penting dan kedua, semalam saya tengok (dalam televisyen) tidak ada muka-muka yang saya cam macam orang Umno, tetapi muka pembangkang ramai," katanya.

Pada sidang media itu, Hishammuddin juga sekali lagi menegaskan bahawa sebarang keputusan berhubung pelaksanaan PPSMI terletak di tangan kabinet dan bukannya kementerian itu.

"Keputusan muktamad bukan daripada kementerian ini tetapi pada jemaah menteri. Tugas kementerian adalah untuk meneliti, mengkaji dasar ini selepas keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Disember lepas. Masa dua setengah bulan bukannya jangka masa yang panjang untuk menentukan hala tuju dasar yang melibatkan jutaan pelajar, ratusan ribu guru dan puluhan ribu sekolah," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kertas Kabinet PPSMI telah pun berada di peringkat akhir dan dijangka dibentangkan kepada kabinet tidak lama lagi.

"Saya harap orang ramai akan memberi seluas-luasnya peluang kepada kita untuk membuat keputusan berdasarkan fakta, angka dan kajian daripada hanya membuat satu kesimpulan berdasarkan emosi dan demonstrasi seperti mana yang kita lihat dilakukan semalam," katanya.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera berhubung isu PPSMI bagi mengelakkan isu itu menjadi lebih besar.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kejadian semalam boleh memberi impak kepada imej beliau sebagai calon Naib Presiden pada pemilihan Umno kelak, Hishammuddin berkata dia tidak melihatnya sebegitu.

"Apa yang dipikul merupakan satu amanah dan tanggungjawab, yang melebihi kepentingan diri. Selaku menteri saya mesti membuat keputusan yang baik demi anak-anak kita," katanya.

Beliau berkata di sebalik keriuhan yang dibangkitkan sesetengah pihak, masih ada golongan yang menyokong dasar berkenaan dan untuk itu kementerian berharap dapat membuat keputusan terbaik bersandarkan keadaan sebenar yang berlaku di peringkat akar umbi.

Di KUCHING, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tindakan beberapa Anggota Parlimen pembangkang menyertai perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI di Kuala Lumpur semalam semata-mata untuk meraih sokongan politik.

Katanya Anggota-anggota Parlimen yang terlibat dalam perhimpunan yang disertai ribuan penyokong diikuti perarakan ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan hanya satu tindakan politik untuk menunjuk-nunjuk.

"Mereka (Anggota Parlimen) mahu menunjukkan bahawa mereka ini adalah pejuang Melayu dan Bahasa Malaysia. Mereka berharap untuk meraih sokongan politik. Ia tiada kena mengena dengan apa yang praktikal," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Seminar Asas Keusahawanan 2009 hari ini.

Sambil menyifatkan perhimpunan membantah tersebut sebagai "cauvinisme berfikiran sempit", Wan Junaidi menyokong seruan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera berhubung isu PPSMI bagi mengelakkan isu lebih besar tercetus.

"Saya berharap pandangan semua akan diambil kira sebelum membuat keputusan pelaksanaan PPSMI," katanya.

Wan Junaidi yang menyokong pelaksanaan PPSMI berkata kerajaan harus memberi jaminan bahawa pelaksanaan PPSMI tidak akan menjejaskan martabat Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan."
- Bernama

Memang tidak dinafikan bahawa isu PPSMI ini sebenarnya merupakan satu gimik politik yang cuba dimainkan oleh segelintir puak terutama dari kalangan pembangkang atau Pakatan Rakyat. Perlaksaan PPSMI ini hakikatnya bukanlah mebawa kesan negatif semata-mata walhal jika dikaji dan diselidik dalam semua ruang dan faktor jelas ia membawa kesan yang positif dan meninggalkan banyak manfaat pada pelbagai pihak termasuk pelajar, guru dan pihak sekolah.

Pakatan Rakyat sedar bahawa isu PPSMI bukanlah satu isu yang popular. Namun disebabkan desakan politik dan keadaan Pakatan Rakyat sendiri yang kian terhimpit dengan pelbagai perkara membuatkan mereka tidak ada pilihan lain melainkan cuba mempopularkan isu PPSMI ini. Ini ditambah dengan persepsi negatif yang mula dilemparkan oleh rakyat kepada Pakatan Rakyat berhubung isu di Perak yang mana ia jelas menunjukkan kelemahan dan kekurangan yang dimiliki oleh Pakatan rakyat membuatkan mereka mula untuk cuba mengalih perhatian rakyat kepada isu lain yang dilihat kononnya lebih memihak kepada mereka.

Pakatan Rakyat cuba dan berusaha untuk menarik sokongan pihak lain termasuk para ilmuawan, cendikiawan dan pakar bahasa yang pastinya akan membela Bahasa Melayu jika diprovokasikan dengan perkara negatif berkaitan PPSMI ini. Tidak hairanlah bagaimana sasterawan negara, A Samad Said turut diheret bersama agar membantah PPSMI ini hingga sama-sama terlibat dalam demonstrasi jalanan. Pembelajaran BI dalam Sains dan Matematik sebenarnya bukanlah menjadi masalah kepada pelajar kerana isu bahasa ini jika diberi pendedahan dan cara penggunaannya yang tepat maka tidak akan timbul masalah untuk menguasainya. Pakatan Rakyat sendiri sedar akan hal ini. Maka, mereka membangkitkan hal lain iaitu soal martabat Bahasa Melayu.

Hakikatnya, Penggunaan BI dalam Sains dan Matematik langsung tidak mengganggu gugat martabat dan kedudukan Bahasa Melayu selaku bahasa rasmi dan bahasa ibunda kerana bahasa utama atau bahasa pengantar di semua sekolah tetap Bahasa Melayu dan ianya tidak berubah. Ditambah pula dengan kedudukan Bahasa Melayu sememangnya sudah termaktub dalam perlembagaan. Kenapa pihak Pakatan Rakyat perlu mempersoalkan isu perlembagaan walhal merekalah yang telah banyak memperkotak-katikkan perlembagaan dengan isu hak Sultan dan Raja seperti yang berlaku di Perak, isu perlantikan Menteri Besar, isu kuasa speaker dan banyak lagi yang jelas bercanggah dengan prinsip yang termaktub dalam perlembagaan. Kini, mereka cuba untuk mengalih perhatian dengan membangkitkan isu PPSMI ini kononya kerajaan cuba untuk merendahkan martabat Bahasa Melayu dan menghina perlembagaan dan kedudukan Bahasa Melayu.

Inilah yang dinamakan gimik politik. Jika mereka gagal meraih simpati dan perhatian rakyat berkaitan isu PPSMI ini, maka tak mustahil mereka akan cuba untuk beralih arah dengan mempertikaikan pula perlaksanaan PLKN. Bagi Pakatan Rakyat atau puak pembangkang ini, tidak ada satupun perkara yang baik yang berjaya diperkenalkan oleh kerajaan melainkan keburukan dan kelemahan semata-mata. Walhal manfaat dan faedah telah pun mereka sebat dan telan hasil dari inisiatif dan idea positif yang dilaksanakan oleh kerajaan. Sememangnya golongan ini tidak layak menjadi pemimpin dan pemerintah negara kerana mereka ini tidak ada bezanya dengan golongan munafik dan fasik yang tidak tahu bersyukur atas kenikmatan yang telah mereka kecapi hasil dari kemakmuran negara yang datangnya dari keredhaan Allah.
Show Comments: OR

0 comments:

Catat Ulasan









Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE