Rabu, 18 Mac 2009

Benarkah Wujud Konspirasi Dalam UMNO???

Semalam, negara telah digemparkan dengan pendedahan oleh Lembaga Tatatertib UMNO tentang kaitan beberapa individu yang berpengaruh dan bakal bertanding jawatan tertinggi dengan politik wang. Mereka yang terlibat antaranya calon Timbalan Presiden UMNO, Dato' Seri Mohd Ali Rustam bersama setiausahanya, calon Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Sabah dan beberapa individu di peringkat cawangan dan bahagian. Antara tindakan tatatertib yang dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah termasuk larangan untuk bertanding atau dipilih ke jawatan tertinggi, penggantungan sehingga maksimum 3 tahun dan amaran keras.

Secara dasarnya tindakan yang telah dikenakan ini adalah yang terbaik bagi memastikan Pemilihan Agung UMNO yang semakin hampir ini menjadi medan pertempuran yang paling bersih, telus dan beretika. Jika diambil kira pandangan dari pihak pembangkang, pastinya mereka masih belum berpuas hati dengan anjakan yang dilakukan oleh UMNO. Bagi mereka nama-nama yang dikenakan tindakan ini tidak lebih hanyalah sebagai 'kambing hitam' untuk UMNO mempamerkan imej positif. Mereka mahukan nama yang lebih besar dan lebih berpengaruh. Sedangkan mereka gagal mengemukakan sebarang bukti yang sahih untuk menyabitkan mana-mana individu dengan sebarang kesalahan salah laku atau politik wang. Mana mungkin untuk menuduh pihak lain hanya berdasarkan spekulasi, cakap orang dan kemungkinan yang logik jika tidak disertakan dengan sebarang kesahihan bukti. Ini namanya cubaan untuk menfitnah dan mengaibkan pihak yang dituduh. Dan inilah kerja sebenar pihak pembangkang terutamanya Pakatan Rakyat.

Kita ketepikan soal pandangan pembangkang kerana jelas ia tidak membawa sebarang faedah dan manfaat baik kepada UMNO mahupun rakyat. Saya menerima satu respon dari sahabat saya, Saudara Bro Jinggo mengenai pembabitan idola saya Khairy Jamaluddin dengan politik wang hingga dikenakan amaran oleh Lembaga Disiplin UMNO. Kita sedar dan kita tahu memang wujud satu konspirasi terutamanya dalam UMNO sendiri yang cuba menghalang dan menidakkan peluang calon lain terutamanya dalam konteks ini, Khairy Jamaluddin untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda. Pihak ini bersedia melakukan apa sahaja bagi mematikan dan menghapuskan terus karier politik Khairy Jamaluddin.

Khairy harus sedar, salah satu isu yang sering dimainkan oleh pihak seteru adalah status Khairy sendiri sebagai Menantu Pak Lah yang menjadi lonjakan kepada Khairy di dalam UMNO. Perkara ini memang sukar untuk diubah dan secara rasionalnya ia tidak boleh dijadikan alasan. Itu cakap kita, penyokong Khairy. Manakala musuh Khairy tetap beranggapan bahawa Khairy tidak layak berada di kedudukan sekarang.

Kedua, timbulnya desas-desus tentang kewujudan satu konspirasi yang cuba menghapuskan puak Pak Lah dalam UMNO dan kerajaan. Khabar angin itu juga turut menyatakan bahawa wujudnya satu puak yang sedang melakukan operasi pembersihan dalam UMNO dengan menyingkirkan dengan apa cara sekalipun orang-orang Pak Lah dari terus wujud dalam barisan kepimpinan yang baru selepas Pemilihan Agung UMNO nanti. Yang tinggal nanti hanyalah kumpulan Najib dan kumpulan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang memang sudah diketahui umum menjadi mentor kepada corak kepimpinan Najib.

Tak kisahlah walau apapun berlaku. Saya sebagai seorang penyokong Khairy berasa bersyukur kerana Khairy hanya diberi amaran dan masih berpeluang untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Khairy juga harus bersyukur kerana konspirasi ini masih gagal membunuh peluangnya. Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah Khairy perlu menyusun semula strategi baru bagaimana untuk mengembalikan keyakinan Pemuda dan perwakilan supaya memilihnya dalam Pemilihan agung nanti. Khairy perlu menggunakan sepenuhnya kemampuan dan kelebihan yang dimiliki kerana itu semua merupakan aset dalam menentukan kejayaan Khairy. Buka semula mata Pemuda dengan idea-idea yang baru dan berwawasan. Lakukan sesuatu kepada Pemuda UMNO. Itulah kelebihan yang dimiliki Khairy yang membezakan Khairy dengan calon Pemuda yang lain.
'Buang Yang Keruh, Ambil Yang Jernih'. jadikan semua yang telah berlaku ini sebagai satu pengajaran dan pengalaman yang berguna kepada Khairy dalam menempuh arus politik Malaysia yang serba mencabar ini.
Show Comments: OR

2 ulasan:

  1. Salam Sahabat...

    Hidup ini adalah perjuangan… Syukur Alhamdulillah walaupun pelbagai cabaran, dugaan dan rintangan yang harus YB KJ tempuhi, namun perjuangannya diberkati Allah, Allah memimpin YB KJ untuk memimpin dengan kepimpinan yang diredhai. Justeru, marilah kita sama-sama memberi sokongan yang padu kepada YB KJ menerusi laman web YB KJ http://www.rembau.net.my/

    Salam setiakawan

    Salam Perjuangan

    BJ

    BalasPadam
  2. Hidup adalah perjuangan !!!

    Lawan tetap Lawan !! never give up

    BalasPadam









Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE