Sabtu, 7 Mac 2009

Antara Sembah Derhaka Bendahara Melaka Dan Mantan Menteri Besar Perak...

Rasa seperti sudah mangli(lali) tatkala mendengar alasan yang diberikan oleh pihak pembangkang atau Pakatan Rakyat dalam pelbagai isu apatah lagi jika sesuatu isu itu menunjukkan kesalahan jatuh di atas kepala Pakatan Rakyat. Memang inilah selayaknya bagi Pakatan Rakyat iaitu terus menjadi puak yang membangkang dalam Malaysia hingga ke akhir zaman. Kadangkala alasan yang dilemparkan oleh Pakatan Rakyat bagi menepis segala isu membuatkan kita rasa seperti hendak menepuk dahi sambil menggeleng kepala kerana adakalanya alasan itu langsung tidak masuk akal dan merupakan alasan politik semata-mata tanpa membawa sebarang kebaikan kepada mana-mana pihak.

"KOTA BAHARU, 6 Mac (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyalahkan media menjadi punca pakatan pembangkang dilihat rakyat sebagai penderhaka kepada Sultan terutamanya isu di Perak.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau mendakwa bahawa media telah membuat laporan tidak tepat berhubung isu di Perak sehingga menampakkan yang pembangkang memulakannya.

Beliau mengulas satu laporan media semalam yang mendakwa Umno sering menyalahkan pembakang dalam isu derhaka kepada sultan.�

Dengan memberi contoh kepada isu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, beliau berkata istilah sembah derhaka yang digunakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu yang bermaksud berbeza pendapat dengan sultan adalah tepat."
- Bernama

Seperti yang dinyatakan dalam laporan akhbar di atas, jelas menunjukkan Mursyidul Am PAS cuba menuding jari dan meletakkan kesalahan dan kelemahan yang berlaku dalam pentadbiran PAS ke bahu pihak lain. Bak kata P. Ramlee 'Beta ketis, jatuh gedebap ke muka Ahmad Nisfu'. Begitu jugalah senarionya yang berlaku kepada PAS yang cuba menyalahkan media menjadi punca PAS Perak dilabel sebagai penderhaka Sultan. Sedangkan secara nyata dan jelas menunjukkan betapa beberapa tindakan yang dilakukan oleh pemimpin PAS dan PR Perak membuktikan bahawa mereka cuba menderhaka dan membelakangkan Sultan dalam banyak perkara. Ditambah dengan tindakan berani Mohd Nizar yang memberi sembah derhaka kepada Sultan. Hakikatnya sembah derhaka adalah perkara terakhir yang dilakukan setelah tiada pilihan lain demi untuk membetulkan kesilapan Sultan yang mungkin dilakukan secara tak sengaja untuk kebaikan rakyat dan negara.

Di dalam konteks Hang Tuah. Saya menyebut soal yang berlaku pada zaman Hang Tuah memandangkan ia telah diterbitkan oleh Anwar Ibrahim dalam ceramahnya di Bintulu yang menyamakan tindakan Nizar sama dengan tindakan yang diambil oleh Memanda Bendahara Melaka ketika itu. Memang benar memanda Bendahara telah memberi sembah derhaka kepada Sultan Melaka kerana mengingkari titah Sultan Melaka agar menghukum mati Laksamana Hang Tuah sebaliknya menyorokkan Hang Tuah di kawasan terpencil di Hulu Melaka. Tetapi sembah derhaka yang diberikan itu merupakan tindakan terakhir yang mampu dilakukan untuk menewaskan Hang Jebat yangsedang mengamuk. Itu pun setelah terkeluar dari mulut Sultan akan kekesalan kerana menjatuhkan hukuman mati kepada Hang Tuah. Ini menunjukkan betap sembah derhaka itu adalah jalan yang terakhir dan merupakan satu perkara yang amat-amat perlu dielakkan dari berlaku.

Berbeza dengan isu di Perak. Tindakan Nizar yang mengadap sembah derhaka kepada Sultan adalah satu tindakan yang tidak patut dan tidak wajar berlaku. Adakah disebabkan pendirian Tuanku berbeza dengan kehendak Nizar menyebabkan Nizar berani mengadap sembah derhaka. Tuanku sudah pasti mempunyai sebab dan alasan tersendiri kenapa Baginda menolak cadangan Nizar untuk membubar DUN bagi mengadakan Pilihanraya Kecil Negeri Perak. Tuanku Sultan Perak bukanlah calang-calang individu keran Baginda amat arif dan mempunyai kelayakan dalam perundangan dan perlembagaan. Jelas Tuanku sudah mengambil langkah-langkah yang perlu serta mengkaji sedalam-dalamnya sebelum membuat sesuatu keputusan terutama melibatkan negeri kesayangan Tuanku yakni Perak. Berdasarkan perlembagaan sendiri jelas menunjukkan keputusan yang diambil oleh Tuanku tidak ada cacat celanya dan ia amat bertepatan dengan perlembagaan negara yang sudah termaktub.

Jadi, kesimpulannya, tindakan Nizar mengadap sembah derhaka sememangnya adalah satu tindakan yang derhaka dan menjatuhkan maruah dan intergriti insitusi Raja-raja. Nizar dan Pakatan Rakyat sebenarnya telah gagal menjadi contoh dan role model yang terbaik kepada rakyat dalam menegakkan prinsip Rukun Negara. Dan sudah pasti mereka tidak layak diberi amanah dan tanggungjawab menjadi pemimpin negara yang baik.
Show Comments: OR

1 ulasan:

  1. Nik aziz pasti akan membela rakan PRnya yang lain tak kira samada baik atau buruk tindakan yang telah diambil. Jika tidak masakan Nik Aziz pernah menuduh bahawa Tuhan juga mencarut...

    BalasPadam









Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE