Advertisement - Contact Us

Zambri Jangan Ikut Jejak Nizar - Utusan Online


"IPOH 6 Feb. - Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali berharap Menteri Besar Perak yang baru dilantik, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir mampu melaksanakan tugasnya dengan baik dan tidak bersikap biadap serta kurang ajar terhadap Sultan Azlan Shah.

Bekas Menteri Besar Perak itu berkata, sebagai pemimpin yang mengetuai negeri, Zambry harus menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dalam apa jua keadaan sekalipun.

''Jika mendapat didikan yang betul, kita tidak akan kurang ajar seperti yang dilakukan oleh pemimpin pakatan pembangkang itu," katanya ketika menghadiri majlis Sambutan Tahun Baru Cina Anak-Anak Permata di Bercham dekat sini hari ini.

Tajol Rosli mengulas tindakan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang enggan meletakkan jawatan walaupun Sultan Perak menitahkan beliau berbuat demikian.

Sebaliknya, Mohammad Nizar menegaskan dirinya masih Menteri Besar Perak yang sah.

Mengulas lanjut, katanya, tindakan memohon sembah derhaka juga menampakkan beliau tidak lagi menghormati institusi raja-raja Melayu.

''Dia mohon sembah derhaka, ini macam meminta tuanku Sultan untuk tampar muka dia, dalam masyarakat Melayu, perbuatan ini biadap dan kurang ajar.

''Kalau kita biadap kepada Sultan, ini satu contoh sikap kurang baik yang ada pada hari ini. Saya harap Menteri Besar baru tidak akan melakukan seumpama itu," kata beliau."
- Utusan Online

Keputusan melantik ADUN Pangkor, Datuk Dr Zambri sebagai MB Perak ke 11 sudah pasti menjadi satu keputusan luar jangkaan dan tidak pernah terlintas di benak fikirannya. Namun inilah yang dinamakan politik. Segala-galanya berkemungkinan. Jika hari ini kita berada di atas, belum tentu esok kita masih kekal berada di atas. Walau apapun telahan dan yang sudah berlaku, keputusan sudah pun diambil, dan perkenan Ke Bawah Duli Sultan Perak sudah pun diterima, malah majlis angkat sumpah perlantikan MB Perak yang baru sudah pun berlangsung walaupun negara menyaksikan pelbagai kejadian yang tidak ingin kita lihat berlaku di negara kita.

Hakikat yang perlu di terima sekarang oleh seluruh rakyat Malaysia terutamanya warga Perak adalah kini MB Perak bukan lagi datangnya dari PR tetapi dari kerajaan BN. Dan yang pasti 'Lain Padang, Lain Belalang'. Sudah pasti akan wujud perbezaan corak pentadbiran di antara MB terdahulu dengan MB yang baru. Apa yang perlu dilakukan adalah rakyat Perak perlu belajar menerima hakikat dan bersedia dengan perubahan yang bakal berlaku.

Di pihak MB yang baru pula,'Buang Yang Keruh Dan Ambil Yang Jernih'. Jadikan kegagalan dan kemerosotan prestasi BN sebagai satu ikhtibar selain mencari jalan bagi memperkukuhkan dan mengembalikan keyakinan rakyat Perak terhadap kemampuan dan kredibiliti Bn dalam pentadbiran sesuatu kerajaan. Jangan biarkan Pisang Berbuah Dua Kali hingga menyebabkan BN kehilangan majoriti dalam PRU yang lepas hingga terpaksa melepaskan pentadbiran kerajaan kepada Pakatan Rakyat.

Kerajaan Barisan Nasional juga perlu membalas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan oleh Ke Bawah Duli Sultan Perak dengan mencorak pentadbiran yang terbaik kepada negeri Perak. Sultan Perak sebenarnya telah sanggup mengambil risiko yang besar dengan menolak cadangan pembubaran DUN dan menerima majoriti yang dipersembahkan kerajaan BN kepada Tuanku. Kerajaan BN perlu memastikan bahawa keputusan yang dibuat oleh Tuanku Sultan bukanlah satu keputusan yang silap bahkan ianya merupakan satu keputusan yang paling tepat demi kebaikan rakyat Perak.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama