Advertisement - Contact Us

Tidak Perlu Ubah Cara Pilih Perdana Menteri: Nazri. - Bernama


"KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa tiada sebarang keperluan untuk menukar kaedah pemilihan Perdana Menteri seperti yang sedang diamalkan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sistem sedia ada bagi memilih Perdana Menteri berjaya menjamin keamanan, kemajuan dan kestabilan politik di negara selama lebih 50 tahun.

"Saya juga ingin mengingatkan bahawa sistem pemilihan yang sedia ada di Malaysia adalah termaktub dalam Perlembagaan (Persekutuan), dan bukannya satu yang boleh ditetapkan melalui keputusan eksekutif.

"Oleh itu, keputusan sama ada untuk menukar sistem pemilihan Perdana Menteri yang sedia ada sebenarnya adalah terletak di tangan Parlimen," katanya menjawab soalan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) sama ada kerajaan akan membubarkan sistem pemilihan Perdana Menteri sedia ada dan mengguna pakai sistem di mana semua rakyat boleh memilih Perdana Menteri seperti di Amerika Syarikat.

Mohamed Nazri berkata Malaysia merupakan sebuah negara Raja Berperlembagaan yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang berdasarkan model Westminster yang kini diamalkan di United Kingdom.

"Mengikut sistem ini, Perdana Menteri mestilah seorang anggota Dewan Rakyat yang pada pendapat Yang di-Pertuan Agong, memimpin kumpulan majoriti dalam Dewan Rakyat.

"Oleh itu, sejak merdeka lagi Malaysia telah dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang juga merupakan ketua kepada Parti Perikatan (yang kemudiannya diperluas dan dikenali sebagai Barisan Nasional).

"Ini adalah berbeza dengan sistem politik di Amerika Syarikat di mana seorang Presiden adalah dipilih secara langsung, melalui undian rakyat setiap empat tahun," katanya.

Beliau berkata dalam konteks negara, apabila rakyat membuang undi dalam pilihan raya umum, mereka sedar dan tahu bahawa mereka sebenarnya secara tidak langsung memilih Perdana Menteri.

Menjawab pertanyaan Gobind mengenai kredibiliti calon Perdana Menteri akan datang yang beliau dakwa kononnya mempunyai skandal dan terlibat dengan kes jenayah, Mohamed Nazri berkata dakwaan itu hanya spekulasi dan ia tidak mempengaruhi keputusan.

"Di Malaysia, seseorang itu tidak bersalah jika tidak didakwa di mahkamah. Jadi apa yang dibangkitkan Yang Berhormat hanya spekulasi. Ia tidak boleh pengaruhi keputusan dan kita buat keputusan mengikut asas dan bukti yang nyata.

"Dalam hal perlantikan Perdana Menteri, (ia) mengikut keputusan Yang di-Pertuan Agong dan jika Tuanku membuat keputusan menerima ahli Yang Berhormat Pekan (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebagai Perdana Menteri, bukanlah tanggungjawab kita untuk mempertikaikannya," katanya."
- Bernama

Kenapa perlu ada perubahan terhadap sistem dan kaedah pemilihan Perdana Menteri yang telah sekian lama diamalkan selama ini. Kaedah yang sedia ada sudah pun membuktikan bahawa setiap Perdana Menteri yang dipilih berjaya menunaikan tanggungjawab dengan berkesan dan telah membawa negara Malaysia setanding dengan negara lain di dunia.

Cadangan yang dibawa wakil Pakatan rakyat dari DAP ini menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat sebenarnya sudah mula tertekan merasakan peluang mereka untuk dipilih sebagai Perdana Menteri mahupun Kerajaan Malaysia semakin tipis. Jadi, bagi memastikan matlamat politik mereka tercapai, maka mereka sanggup dan sedia melakukan apa sahaja termasuk mendesak agar perlembagaan yang selama ini telah di terima pakai dengan berkesan diubah semula.

Sepatutnya Pakatan Rakyat harus sedar walau siapa yang bakal dipilih sebgai Perdana Menteri, asasnya tetap datang dari rakyat yang menterjemahkan setiap kehendak mereka melalui kertas undi. Jika rakyat mahukan Perdana Menteri dari BN seperti yang telah dicadangkan maka secara tak langsung rakyat akan mengundi BN. Begitu juga sebaliknya. Jadi tidak timbul soal menjadikan Amerika sebagai contoh kaedah memilih Presiden.

Berkenaan dengan isu pemilihan Najib yang banyak dikaitkan dengan pelbagai isu negatif, ia sebenarnya lebih ke arah spekulasi dan agenda untuk menjatuhkan dan memburukkan reputasi beliau. Walaupun banyak tuduhan dilemparkan namun selagi perundangan tidak mensabitkan kesalahan ke atas beliau maka ia hanya sebagai tuduhan kosong. Jika hendak dilihat dari segi itu, maka nyata Anwar Ibrahim yang diuar-uarkan calon PM jika Pakatan Rakyat menjadi kerajaan memiliki lebih banyak rekod buruk dan mengaibkan. Malah setiap tuduhan yang dikenakan ke atas Anwar telah pun disabitkan oleh mahkamah dan sudah pun dikenakan hukuman. Jadi, adakah Anwar Ibrahim lebih layak berbanding Najib jika faktor rekod dan spekulasi diambil kira???

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama